Menurut satu laporan daripada Harvard Dataverse, kira-kira 377,000 orang daripada 2.227 juta populasi Gaza telah hilang sejak 7 Oktober 2023 dan dianggarkan separuh daripada mereka adalah kanak-kanak.
Menurut penemuan Profesor Israel, Yaakov Garb, serangan dan sekatan oleh tentera Israel telah menyebabkan penurunan mendadak populasi sebenar di Gaza dengan jumlah sebenar kematian berkemungkinan jauh lebih tinggi berbanding angka rasmi semasa yang kini melebihi 56,000 orang.
Menurut beliau lagi, populasi yang tinggal di Bandar Gaza kini adalah sekitar satu juta orang dengan 500,000 berada di zon ‘selamat’ al-Mawasi dan 350,000 lagi berada di kawasan tengah Gaza, menjadikan jumlah keseluruhan lebih kurang 1.85 juta orang.
Sebelum jenayah genosid ini, jumlah penduduk Gaza dianggarkan seramai 2.227 juta orang. Perbezaan angka ini jelas menunjukkan sekurang-kurangnya 377,000 orang kini tidak dapat dikesan.
Walaupun sebahagiannya mungkin hilang tempat tinggal atau belum dapat dijejaki, skala kehilangan ini telah mendorong penganalisis membuat kesimpulan bahawa sebilangan besar daripadanya berkemungkinan telah terbunuh, sekali gus menunjukkan angka korban sebenar mungkin berkali ganda lebih tinggi daripada yang dilaporkan.
Laporan itu turut mengkritik peranan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dengan mengatakan bahawa struktur yayasan itu kelihatan lebih dipengaruhi oleh strategi ketenteraan Israel berbanding keperluan kemanusiaan sebenar.
Berdasarkan data lokasi dan analisis spatial, Garb mendapati bahawa sebahagian besar penduduk Gaza tidak dapat mengakses pusat bantuan GHF.
Menurut laporan tersebut, infrastruktur yang rosak, ketiadaan pengangkutan dan laluan selamat menjadikan akses kepada bantuan amat sukar.
Garb menyatakan bahawa reka bentuk dan pengendalian pusat bantuan itu kelihatan berfungsi sebagai pemangkin kepada kejadian buruk yang berterusan. Dia juga menegaskan bahawa model pengagihan yang menyediakan bekalan makanan untuk 5-6 orang selama kira-kira tiga hari secara tidak langsung memaksa orang awam melakukan perjalanan berulang kali merentasi zon ketenteraan yang berbahaya.
Laporan tersebut turut menekankan bahawa hampir tiada langkah diambil untuk melindungi maruah dan keselamatan orang awam yang memerlukan bantuan. Tapak-tapak bantuan dilaporkan kekurangan kemudahan asas seperti tempat berteduh, bekalan air, tandas, peti pertolongan cemas dan laluan khas untuk golongan berusia. Kebanyakan tapak hanya mempunyai satu pintu masuk dan keluar, sekali gus meningkatkan risiko kekecohan dan bahaya ketika pengagihan bantuan.
Ia tidak wajar digambarkan sebagai pusat agihan bantuan kemanusiaan kerana tidak mematuhi prinsip asas kemanusiaan, malah reka bentuk dan pengoperasiannya dilihat dipengaruhi oleh objektif lain yang bercanggah dengan tujuan asal.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan pada hari Selasa bahawa sekurang-kurangnya 450 orang telah terbunuh dan sekitar 3,500 lagi cedera berhampiran atau dalam perjalanan ke tapak bantuan GHF sejak yayasan itu memulakan operasinya di Gaza pada 17 Mei.
Sumber: Quds News Network