Pihak berkuasa Switzerland telah memberi masa 30 hari kepada cawangan Gaza Humanitarian Foundation (GHF) di Geneva untuk membetulkan kelompongan polisi dalam pendaftarannya atau kemungkinan besar akan entiti itu berdepan dengan tindakan mahkamah.
Notis undang-undang yang diterbitkan Khamis lalu dalam daftar perdagangan Geneva menyatakan bahawa cawangan GHF mempunyai kelemahan organisasi dalam mematuhi polisi pengoperasian. Jika kumpulan itu gagal memperbaikinya, kes tersebut akan dipindahkan ke mahkamah tempatan atau badan pengawas, menurut pemfailan rasmi.
GHF mula mengagihkan pakej makanan di Gaza pada akhir Mei menggunakan kaedah baru yang bercelaru sehingga mengundang kritikan keras daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi antarabangsa. Yayasan ini berdaftar di Amerika Syarikat (AS) dan pejabatnya di Geneva beroperasi bermula 19 Mei 2025.
Pihak berkuasa Switzerland berkata cawangan Geneva GHF tidak mempunyai akaun bank Switzerland, tidak menetapkan alamat tempatan yang sah dan bilangan ahli lembaga yang diwajibkan. Jabatan Persekutuan Hal Ehwal Dalam Negeri Switzerland juga sedang mempertimbangkan siasatan berasingan terhadap pertubuhan ini.
Sejak mula beroperasi, tentera Israel telah membunuh lebih 550 rakyat Palestin yang kelaparan ketika cuba mendapatkan bantuan di pusat pengagihan GHF. Entiti itu bagaimanapun menafikan sebarang tanggungjawab.
Sumber: Quds News Network