.png)
Kerajaan Sudan pada Rabu memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 2,000 rakyatnya terbunuh di bandar El-Fasher sejak bandar itu ditawan. Dalam masa sama, agensi bantuan melaporkan menerima maklumat mengenai kekejaman yang berlaku, termasuk hukuman mati serta-merta, serangan terhadap orang awam di laluan pelarian, serta serbuan dari rumah ke rumah.
Menurut sebuah kumpulan sukarelawan di Sudan, Sudan Doctors Network melaporkan bahawa Pasukan Sokongan Pantas (RSF) yang berperang dengan tentera Sudan bagi menguasai negara itu, telah membunuh sekurang-kurangnya 2,000 orang awam dalam tempoh tiga hari lalu ketika orang awam cuba melarikan diri dari bandar yang terkepung itu. Kumpulan tersebut yang menjejak perkembangan perang saudara di negara tersebut menyifatkan kejadian itu sebagai satu bentuk genosid.
“Pembunuhan beramai-ramai yang sedang disaksikan oleh dunia hari ini adalah sambungan daripada apa yang berlaku di El-Fasher lebih setahun setengah lalu, apabila lebih daripada 14,000 orang awam dibunuh melalui pengeboman, kebuluran dan hukuman mati tanpa perbicaraan,” kata kumpulan itu.
Mereka menyatakan bahawa serangan tersebut merupakan sebahagian daripada kempen pembunuhan dan pemusnahan yang disengajakan serta dilakukan secara sistematik.
Kenyataan itu dikeluarkan susulan penemuan bukti baharu pembunuhan besar-besaran di kawasan strategik tersebut oleh Yale Humanitarian Research Lab (HRL). Makmal itu melaporkan bahawa imej satelit El-Fasher yang diambil selepas RSF memasuki bandar berkenaan menunjukkan kumpulan objek bersaiz tubuh manusia, selain kawasan tanah luas berwarna merah yang dipercayai kesan darah.
Kerajaan yang berpihak kepada tentera Sudan juga mendakwa RSF menyerang orang awam di dalam masjid semasa pengambilalihan bandar tersebut.
“Lebih 2,000 orang awam terbunuh semasa pencerobohan militan ke El-Fasher, termasuk sukarelawan di masjid dan anggota Bulan Sabit Merah,” kata pegawai bantuan kemanusiaan kerajaan Sudan, Mona Nour Al-Daem.
Wartawan Al Jazeera, Hiba Morgan yang melaporkan dari Khartoum, berkata rakaman video di media sosial menunjukkan pejuang RSF menembak orang awam yang cuba melarikan diri. Beliau turut melaporkan bahawa keganasan seksual, khususnya terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan, turut berlaku di bandar tersebut.
Pasukan paramilitari itu menawan El-Fasher, kubu terakhir tentera Sudan di Darfur, pada Ahad lalu selepas 17 bulan pengepungan. Sejak 2023, RSF terlibat dalam pertempuran sengit dengan tentera Sudan dalam konflik yang telah meragut puluhan ribu nyawa dan memaksa lebih 12 juta penduduk melarikan diri.
Sumber: Al-Jazeera