1,000 Hari Taufan al-Aqsa: Gaza, Keadilan dan Masa Depan Palestin

3 Julai 2026 – genap 1,000 hari Taufan al-Aqsa yang dicetuskan oleh rejim Israel-Zionis pada 7 Oktober 2023. Dalam tempoh hampir tiga tahun ini, penduduk Palestin di semenanjung Gaza bukan sahaja menyaksikan kemusnahan fizikal yang belum pernah berlaku dalam sejarah moden Palestin, malah malapetaka di penjara terbuka terbesar dunia ini menjadi simbol kegagalan sistem antarabangsa dalam melindungi nyawa orang awam.
Seribu hari bukanlah satu tempoh yang singkat. Malah, jauh tidak mudah untuk penduduk Gaza bertahan, lagi-lagi mereka ‘dianggap’ boneka negara-negara berkuasa. Bayangkan, dalam tempoh ini, seorang bayi yang dilahirkan sudah boleh bercakap walaupun pelat dan berlari-lari di padang permainan. Tetapi di semenanjung Gaza, rakyatnya berhadapan dengan pengeboman berterusan, pengepungan menyeluruh di setiap sempadan, pemindahan paksa, kebuluran, kemusnahan sistem kesihatan, pendidikan dan sosial. Bayi tadi, tidak mustahil hanya berpeluang hidup cuma tiga hari selepas kelahirannya. Sebagai rekod, seramai lebih 520 bayi yang dilahirkan sepanjang 1,000 hari Taufan al-Aqsa telah terbunuh.
Mengapa keadaan ini terus berlaku?
Jeritan mereka, suara mereka, tangisan mereka, letupan bom yang meledak memenuhi ruang udara sepanjang masa di semenanjung Gaza – masih gagal untuk menggerakkan organisasi antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC). Walaupun pelbagai resolusi diusulkan, realitinya mekanisme antarabangsa terus terperangkap dengan kepentingan politik, kuasa veto dan percaturan geopolitik yang mengatasi keadilan kemanusiaan. Jelasnya, pencapaian terbesar yang pernah dicapai untuk keamanan semenanjung Gaza adalah gencatan senjata yang disokong melalui Resolusi 2803, bermula pada November 2025. Pun begitu, gencatan senjata tersebut dimeterai hasil rundingan dan campur tangan kuasa-kuasa Barat yang membawa kepada penubuhan Lembaga Keamanan (BOP).
Apakah hasilnya pada hari ini?
Statistik membuktikan sebanyak 3,465 pencabulan gencatan senjata dilakukan, menyebabkan seramai 1,053 rakyat Gaza terbunuh dan 3,406 yang lain tercedera. Secara keseluruhannya, sejak 7 Oktober 2023, seramai 73,066 rakyat Gaza telah syahid, manakala 39,022 buah keluarga menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Lebih tragis, 2,700 buah keluarga telah dihapuskan sepenuhnya daripada rekod kerajaan kerana tiada lagi waris yang tinggal. Statistik ini bukan sekadar menggambarkan kematian, tetapi turut mencerminkan proses pemusnahan struktur keluarga dan penghapusan etnik yang sedang berlaku secara sistematik di semenanjung Gaza.
Kelompangan Keadilan Antarabangsa dan Mahkamah Dunia
Selepas 1,000 hari, dewan perbicaraan antarabangsa seolah-olah bertukar menjadi sekadar pentas perbahasan moral yang tidak bertaring. Kes yang dibawa oleh Afrika Selatan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendedahkan satu realiti pahit tentang legal standing dan sistem keadilan global. Walaupun ICJ telah mengeluarkan arahan langkah-langkah sementara (provisional measures) yang mengiktiraf kewujudan risiko genosid yang munasabah (plausible), namun pelaksanaan undang-undang antarabangsa ini lumpuh sepenuhnya di lapangan.
Krisis ini menelanjangkan lompang terbesar dalam undang-undang antarabangsa iaitu ketiadaan mekanisme penguatkuasaan yang adil. Apabila ketetapan tertinggi mahkamah dunia boleh diabaikan begitu sahaja oleh rejim Zionis, ia membuktikan bahasa undang-undang antarabangsa masa kini buta huruf apabila berdepan dengan entiti yang dilindungi oleh kuasa besar. Keadilan seolah-olah menjadi hak eksklusif yang hanya terpakai kepada negara-negara yang lemah, manakala rejim penindas bebas merobek Konvensyen Genosid 1948 tanpa sebarang tanggungjawab.
Hipokrasi Kuasa Hegemoni : What’s Next For Gaza ?
Kegagalan penguatkuasaan keputusan ICJ ini membawa kita kepada paksi masalah yang sebenar: hipokrasi kuasa hegemoni barat. Mungkin juga kini mereka tidak lagi berselindung di sebalik misi ‘White men’s burden’ atau ‘The White Saviour Syndrom’. 1,000 hari yang berlalu ini adalah kegagalan sistem dan juga satu bentuk kejayaan pelan pemerkasaan genosid oleh sekutu-sekutu Israel. Pemain dunia seperti Amerika Syarikat (AS) terus menggunakan kuasa veto di UNSC sebagai perisai diplomatik sambil membekalkan berbilion dolar dana ketenteraan yang menghujani Gaza. Ini adalah dwistandard yang sangat menjijikkan. Tangan kanan ‘membuang’ bantuan kemanusiaan dari udara manakala tangan kiri membekalkan bom yang menghancurkan khemah pelarian.
Maka, what’s next for Gaza?
Masa depan Gaza tidak lagi boleh bergantung harap pada Aturan Berasaskan Peraturan (Rules Based Order) iaitu tajaan Barat yang terbukti hipokrit. 1000 hari ini sedang memacu satu anjakan besar dalam landskap politik dunia. Penolakan secara kolektif oleh negara-negara Selatan Global terhadap naratif pro-Zionis menunjukkan hegemoni Barat sedang retak.
Masa depan Gaza kini terletak di tangan rakyat Palestin sendiri dan juga kita, masyarakat dunia. Gaza memerlukan daya tahan (sumud) dan tekanan dari masyarakat global. Kita tidak boleh terus terperdaya oleh kuasa besar dunia.
Kesimpulan
1,000 hari Taufan Al-Aqsa adalah titik hitam sejarah dunia dan ujian litmus terhadap kompas moral dan landskap politik seluruh dunia. Jika genosid yang berlaku di siang hari, di bawah teriknya matahari mahupun di bawah langit yang menangis ini hanya ibarat angin yang melintas mengikut musim tanpa sebarang tindakan, hukuman, rangkulan selama 1000 hari, maka tiada sempadan negara atau undang-undang yang benar-benar selamat daripada penyalahgunaan kuasa besar pada masa akan datang.
Mengapa setiap daripada kita mempunyai bahagian atau peranan yang perlu dimainkan ? Kerana apabila keadilan dicabul, sikap berdiam diri bukanlah satu pilihan neutral, tetapi satu bentuk persubahatan. Kita adalah sebahagian daripadanya kerana suara kita, penolakan kita, terhadap naratif penjajah dan boikot ekonomi yang berterusan adalah satu bentuk penguatkuasaan (deterrence) baharu. Selagi bumi Gaza terus bernafas di sebalik runtuhan, selagi itulah kita di Malaysia harus terus menjadi suara mereka yang dibungkam.
Mempertahankan mereka yang ditindas di bumi Allah SWT juga bererti mempertahankan sisa-sisa kemanusiaan yang masih berbaki di dunia ini.