All Articles

Aafia Siddiqui: Neurosaintis Wanita Islam yang Dibisukan

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
December 16, 2025

Dunia dikejutkan dengan amaran keselamatan yang dikeluarkan oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) ke atas seorang wanita Pakistan. Namun, beberapa hari kemudian, wanita tersebut hilang bersama tiga orang anaknya.

“Saya rasa, ada orang menculiknya!”, mungkin begitulah tebakan utama setiap kali topik kehilangan wanita itu dibualkan. Baik FBI mahupun kerajaan Pakistan, masing-masing meneruskan usaha mereka untuk mencari wanita tersebut. Ya, kehilangan wanita itu menyebabkan Amerika Syarikat (AS) bagaikan serigala kelaparan sementara rakyat Pakistan pula mendesak kerajaan bertindak agresif untuk mencari wanita tersebut.

Tetapi masing-masing gagal. 

Lima tahun kemudian, wanita itu muncul dan ditangkap FBI di Afghanistan. 


Aafia Siddiqui – Saintis Wanita Islam Yang Dibanggakan

Wanita itu dikenali sebagai Aafia Siddiqui, seorang muslimah yang bukan calang-calang kerana prestasinya dalam bidang pengajian Neurosains Kognitif mendapat perhatian dunia akademik. 

Walaupun dilahirkan di Karachi, Pakistan pada tahun 1972, Aafia memperoleh visa pelajar dan menetap bersama abangnya di AS dari tahun 1990 sehingga 2002. Pada ketika itu, beliau merupakan seorang aktivis yang lantang dalam berdakwah dan menyuarakan hak-hak wanita Islam. Antara intipati penting dakwah yang sempat dirakam pada 1991 dan turut dihadiri oleh Dr. Yasir Qadhi dan Dr. Jamal Badawi ialah Women Rights in Islam. 

Pada tahun 1992, beliau mendapat tajaan penuh ke Massachusetts Institute of Technology (MIT) di dalam bidang biologi, antropologi dan arkeologi. Pada tahun yang sama juga, kertas cadangan penyelidikan beliau yang bertajuk Islamization in Pakistan and its Effects on Women telah menang dan namanya masih kekal di dalam rekod MIT Entrepreneurship Center sehingga kini. Beliau dikatakan membawa pulang hadiah penyelidikan bernilai $5,000 (pada hari ini nilainya sekitar $11,5000, bersamaan RM47,369).

Pun begitu, beliau tidak pernah tarik diri dari dunia aktivis. Selain seorang penghafaz Al-Quran, beliau juga aktif dalam Persatuan Pelajar Islam, disamping mengimbangi kerja dakwah dan memelihara hak asasi manusia dengan cemerlang. Pada masa yang sama, beliau mula terlibat sebagai sukarelawan bagi Pusat Pelarian Al-Kifah yang berpusat di Masjid Faruq, Brooklyn.

Beliau terus mendewasa; membawa imej wanita yang bijak dan bersemangat meneruskan kerja dakwah serta mengangkat imej wanita Islam sehingga digelar sebagai ‘anak yang luar biasa’. Manakan tidak, selesai menamatkan pengajian di MIT, beliau menubuhkan sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO) penyelidikan, Institut Pembelajaran dan Penyelidikan Islam pada 1999 selain menjadi pengasas bersama Pusat Sumber Dakwah yang memfokuskan kepada dakwah dalam kalangan banduan di penjara. Semangat dan usaha beliau sedikit sebanyak terinspirasi daripada ibunya, Ismat yang aktif dalam kerja dakwah dan mengangkat martabat wanita Islam ketika mereka menetap di Zambia, Afrika. Usaha Ismat kemudian diteruskan di Pakistan dan disitulah juga Aafia menyambung legasi ibunya.

Beliau meneruskan pengajian PhD di dalam bidang Neurosains Kognitif di Brandeis University dan mendapat gelaran ‘Dr. Aafia’, hasil kejayaannya di dalam disertasi bertajuk Separating the Components of Imitation pada 2001. Dalam tempoh pengajian PhD, beliau juga merupakan tenaga pengajar untuk kursus Biologi Am. Tetapi, cerita tentang beliau tidak selalunya indah dan mudah. Beliau pernah menerima kecaman daripada barisan pensyarah yang mengkritik kajiannya – bagaimana arak memberi kesan terhadap janin dan mengaitkannya dengan larangan Allah di dalam Al-Quran – kerana dianggap tidak sesuai. Tetapi, beliau bertegas dengan pendiriannya dan nekad mahu mendedahkan lebih banyak hal-hal yang dilarang mengikut garis panduan Islam. 

Aafia Siddiqui – Saintis Wanita Islam Yang Dibisukan

Pada era Gen-Z, peribadi wanita ini mungkin samar-samar atau langsung tidak berdaftar dalam kotak memori. Tetapi, isu Aafia Siddiqui mendapat tempat di dalam dunia aktivis kemanusiaan, lagi-lagi dalam kalangan ibu bapa yang berkelahiran antara 1960 - 1980. Lebih parah, insiden yang berlaku pada 9 November 2001 turut dikaitkan dengan beliau.

Bagaimana?

Ia bermula dengan perkahwinan pertamanya dengan seorang pakar bius, Amjad Mohammed Khan yang baru sahaja menamatkan pengajian pada tahun 1995. Hasil perkahwinan mereka, lahirlah tiga orang anak yang dinamakan Ahmad, Maryam dan Suleiman. Bagaimanapun, perkahwinan mereka cuma bertahan sehingga tahun 2002. Menjelang kelahiran Suleiman, hubungan antara mereka semakin tegang, dengan pertelingkahan yang berulang kali berlaku hingga memuncak kepada insiden yang menyebabkan Dr. Aafia mengalami lebam dan luka pada wajah, sehingga memerlukan jahitan.

Kakak beliau, Dr. Fawzia Siddiqui menyifatkan Khan sebagai suami yang memerangkap isterinya dan menyebabkan situasi keruh yang berlanjutan sehingga ke hari ini dengan tuduhan-tuduhan tidak berasas, antaranya – Khan mendakwa beliau terlalu obses dengan kerja-kerja dakwah, terutamanya kerja sukarelawan bersama Al-Kifah pasca krisis politik di Bosnia. Situasi beliau semakin keruh apabila keaktifan beliau dalam kerja sukarelawan dikaitkan dengan pengeboman World Trade Center (WTC) pada 1993 dan terdapat hubungan antara beliau dengan al-Qaeda. Lebih parah, dana yang dikumpulkan dalam akaun Al-Kifah telah dituduh sebagai dana keganasan gerakan Afghanistan itu. Walhal, dana-dana yang dikumpulkan adalah bertujuan untuk aktiviti kemanusiaan di Bosnia. Penjelasan Khan kepada FBI tidak memihak kepada beliau kerana suaminya itu mendakwa transaksi berjumlah $10,000 dibuat untuk pembelian alat ketenteraan yang dikatakan atas permintaan Dr. Aafia; isterinya terlalu obses untuk berjihad menentang AS sehingga sanggup mendapatkan latihan ketenteraan di luar negara dan menonton video-video propaganda ekstrem Islam.

Kemudian, insiden 11 September 2001 atau sinonim dengan 9/11, berlaku. 

Khalid Sheikh Mohammed yang dikatakan mastermind pengeboman WTC di New York itu telah menuduh Dr. Aafia sebagai rakan kerjasama dan pengantara al-Qaeda. Tuduhan Khalid dianggap kuat kerana Dr. Aafia telah pun berkahwin dengan anak saudara Khalid, Ammar al-Baluchi. Dakwaan Khalid terhadap beliau disokong oleh beberapa banduan lain yang mendakwa beliau memang ada menyusun serangan ke atas AS, Britain dan Pakistan. Rentetan daripada itu, status beliau adalah ‘bahaya’ untuk AS kerana beliau dianggap sebagai wanita yang sanggup menggunakan latar belakang pendidikannya untuk menentang AS. Jadi, tidak hairan jugalah mengapa beliau dilabel sebagai Wanita al-Qaeda.

FBI tidak tunggu lama untuk melancarkan operasi penangkapan ke atas beliau. Amaran keselamatan dikeluarkan untuk menarik perhatian seluruh dunia bagi memastikan beliau benar-benar dapat ditangkap. Tetapi, beliau lagi cepat bertindak dengan menyelamatkan diri dan tiga orang anaknya sehingga gagal dijejak selama lima tahun!

Ismat mendakwa anaknya itu mahu ke Islamabad untuk berjumpa dengan pak cik saudaranya. Namun, dalam tempoh yang dikatakan tempoh penculikan beliau dan tiga orang anaknya, langsung tiada petunjuk yang membawa kepada keberadaan beliau. Sebaliknya, kemunculan beliau di Afghanistan pada 2008 kemudian menimbulkan pelbagai persoalan – kemanakah beliau selama ini? Lebih mengelirukan, beliau muncul bersama anak sulungnya, Ahmad. 

Pun begitu, kemunculan beliau di Afghanistan berakhir di penjara. Begitu juga Ahmad, turut dipenjarakan. Beliau dijatuhkan hukuman penjara selama 86 tahun atas tuduhan cubaan untuk membunuh pihak berkuasa yang mahu menahannya. Kisah disebalik penangkapannya juga sebenarnya tidak masuk akal, lagi-lagi Dr. Aafiya berdepan dengan pelbagai bentuk penderaan di dalam penjara Federal Medical Center (FMC), Carswell namun keadaannya dibisukan. 

Sehingga ke hari ini, Dr. Fawzia tidak pernah gagal membawa isu ini ke persada dunia namun tetap sahaja tidak mendapat liputan yang meluas seperti yang dijangka. Beliau dalam temubual terbaharu pada awal November 2025 bersama beberapa aktivis dan NGO di Malaysia memberitahu, semakin banyak bukti yang menunjukkan Dr. Aafia tidak bersalah namun adiknya itu tetap dipenjarakan. Malah, ketika beliau merayu untuk mendapatkan perlindungan daripada penderaan di dalam penjara, dunia seakan-akan pekak dan tenggelam dengan isu-isu lain yang dilihat jauh lebih penting. 

Di mana empati dan simpati manusia ke atas wanita yang bukan sahaja seorang ibu yang terpisah dengan anaknya, tetapi wanita yang pernah berjuang untuk wanita yang lain? Bagaimana pula dengan nasib Ahmad yang pernah menangis di hadapan Dr. Fawzia dan merayu untuk dibebaskan dengan janji tidak akan nakal kerana enggan berada di dalam penjara? Walhal, anak kecil berhak untuk diberi akses kepada pendidikan dan kehidupan sebagai kanak-kanak, sama seperti kanak-kanak yang lain. 

Nasib Dr. Aafia dan Ahmad tidak ubah seperti wanita dan kanak-kanak di Palestin yang dipenjarakan oleh rejim Israel. Jika kita boleh memberi perhatian kepada penduduk Palestin atas dasar sesama saudara Islam dan kemanusiaan, kita juga boleh memberikan perhatian kepada nasib Dr. Aafia dan Ahmad.


Rujukan

[1] Qadhi, Y. [@yasir.qadhi]. (2021). Dr. Aafia Siddiqui My first day at the University of Houston (July 1991) was nerve-racking. I felt so out of place, straight out [Lampiran gambar]. Facebook. https://www.facebook.com/yasir.qadhi/posts/dr-aafia-siddiquimy-first-day-at-the-university-of-houston-july-1991-was-nerve-r/402653121220564/

[2] Darsequran.com. (31 Julai 2012). Speech by Dr Aafia Siddiqui on "Women Rights in Islam" Aafia Siddiqui Houston 1991 [Video]. YouTube. https://youtu.be/Cgn8HsCn7G8

[3] MIT Entrepreneurship Center. (n.d.). https://web.archive.org/web/20110928000504/http://entrepreneurship.mit.edu/clw-award-recipients#1992

[4] Scroggins, D. (2012). Wanted Women, Faith, Lies, and the War on Terror: The Lives of Ayaan Hirsi Ali & Aafia Siddiqui. New York, NY: Harper.