All Articles

Al-Sinwar: Hidup Berprinsip, Mati Sebagai Syahid

Written by
Lia Maryam
Published on
October 16, 2025

Setahun telah berlalu selepas HAMAS mengesahkan kesyahidan Ketua Biro Politiknya, Yahya Sinwar pada 16 Oktober 2024. Seluruh dunia jeda seketika, mencuba menerima berita yang pada awalnya dianggap hanya propaganda jahat pihak rejim. Pun begitu, ajal maut tidak mengenal sesiapa, apatah lagi Sinwar merupakan seorang pemimpin yang benar-benar beraksi di medan tempur yang sebenar. 


Meskipun pada ketika itu ramai yang beranggapan terutamanya pihak rejim penjajah, mereka berfikir bahawa dengan kematian Sinwar mampu menumpaskan HAMAS. Hakikatnya, sebagaimana yang dapat kita saksikan, sehingga hari ini, usaha perlawanan kumpulan pejuang dan kecekalan rakyat Gaza sendiri masih bertahan hebat khususnya dalam mempertahankan tanah air mereka daripada dirampas rejim penjajah. 


Sinwar adalah bukti hidup yang nyata, yang menggambarkan bagaimana seorang individu membenarkan prinsip hidupnya. Apabila seluruh makna keagungan terhimpun dan terpancar dalam diri seorang lelaki seperti Sinwar, maka kita dapat saksikan penutup kehidupannya juga luar biasa. Pada dirinya, ucapan tidak hanya tinggal sekadar kata-kata tetapi dibuktikan melalui tindakan!


As-syahid telah memilih cara kematiannya. Beliau tidak mahu meninggal seperti unta, meminjam kata-kata Khalid bin al-Walid. Tidak pula ingin meninggal disebabkan penyakit wabak atau serangan jantung mahupun strok atau kanser, sebagaimana matinya berjuta manusia lain. Beliau tahu bagaimana cara kematian yang diimpikannya. Seperti kata Friedrich Nietzsche, ahli falsafah Jerman, “A great man in one who knows how to die.” Namun Nietzsche sendiri tidak tahu bagaimana untuk mati. 


Sementara Paul Valéry, penyair Perancis berkata, “A great man is one who leaves others at a loss after he is gone.” Namun Valéry sendiri tidak meninggalkan manusia dalam kebingungan selepas kematiannya. Sedangkan Sinwar sendiri telah mengelirukan para pencintanya malah musuh-musuhnya pada masa yang sama. Semua yang pernah berbicara tentang sebuah kematian dengan cara yang mulia tidak mengalaminya kecuali barisan pejuang beriman semisal Sinwar dan rakan perjuangannya.


“Sinwar memilih untuk hidup dalam kemuliaan dan mati dalam kehormatan. Hidup sebagai seorang pejuang dan pergi sebagai seorang syuhada. Itulah antara rasa yang paling tulus dan luhur yang boleh bersemadi dalam hati seorang mukmin sejati.”


As-syahid tidak mahu hanya sekadar berjalan dalam perarakan menyokong perjuangan, tidak mahu juga menjadi orang yang menyumbang sekadar apa yang termampu demi perjuangan, apatah lagi menjadi sekadar penonton di hadapan televisyen atau duduk di belakang komputer menzahirkan sokongan dengan beberapa rangkap penulisan yang indah. Sebaliknya, beliau telah memilih untuk berada di medan perjuangan dan menyatakan pendiriannya dengan darah, yang mampu membangunkan umat yang sedang lena.


Beliau lahir daripada madrasah yang tidak mengenal erti menyerah kalah ketika berhadapan dengan musuh sebenar. Tetap teguh bersabar mendepani kezaliman pemimpin bangsa sendiri; bangsa Arab yang telah terjerut lehernya oleh pihak musuh sehingga tidak mampu untuk melakukan apa-apa, buta dan membisu sehingga ke hari ini. 


Sinwar tidak memandang kekalahan-kekalahan bangsa Arab yang lalu. Beliau sedar bahawa jenayah hanya akan menjauhkan Islam dari medan perjuangan sebenar dan pastinya ia merupakan satu kekalahan besar. Maka beliau bangkit, mengangkat semula panji itu dengan lafaz: “Bismillah kami bangkit untuk mengangkat panji. Biarlah agama kembali kepada kemegahannya, biarlah Baitul Maqdis kembali kepada kemuliaannya, atau darah kami yang akan tumpah.” 


Ujian dan penderitaan yang dihadapi rakyat Palestin khususnya rakyat Gaza tidak membuatkan Sinwar menyerah atau putus asa. Sebaliknya as-syahid teguh meneruskan apa yang dimulakan oleh al-Qassam. Bezanya, al-Qassam pernah tertipu oleh rejim-rejim Arab pada tahun-tahun tiga puluhan yang menyangka bahawa isu itu sedang menuju penyelesaian. Namun Sinwar tidak peduli kepada sesiapa malah meneruskan jalannya sehingga mencapai syahid. 


Sinwar termasuk dalam golongan lelaki yang digambarkan oleh seorang ulama terkemuka, Muhammad al-Ghazali: “Mereka mengenal hari-hari kesusahan, bukan hari-hari jamuan.” Hal ini kerana, telah banyak kesusahan pernah dilalui Sinwar sejak dari kecil; hidup dalam perlindungan bawah tanah, pernah menyaksikan semua kekalahan Arab (dari 1967 hingga 1982) serta pernah juga menyaksikan keengganan mereka, malah pengkhianatan mereka yang berpihak kepada musuh demi mengorbankan isu utama umat.


Keperibadiannya yang unik yang telah dibentuk dengan nilai-nilai Islam telah memberinya ciri-ciri seorang lelaki terhormat menurut ukuran Timur dan Barat. Yahya Sinwar bukan seorang yang banyak berkata-kata, tetapi banyak bertindak. Beliau tidak pernah memandang pada kelemahan yang dimiliki dirinya atau kekuatan yang ada pada musuhnya tetapi sentiasa menatap matlamat perjuangan dengan penuh teliti dan bersedia mengorbankan jiwa demi merealisasikannya. Bahkan as-syahid pernah mencabar seorang agen Zionis dengan berkata: “Suatu hari nanti, aku akan berada di tempatmu, dan engkau pula di tempatku.” Alangkah agungnya keyakinan itu!

Yahya Sinwar telah gugur syahid ketika mempertahankan maruah seluruh umat.


Engkau kekal sebagai pemimpin agung, wahai Sinwar. Engkau tidak mati, bahkan engkau telah menghidupkan seluruh umat dan dengan kesyahidanmu, engkau telah menerangi jalan kafilah para pejuang dan barisan para syuhada demi pembebasan Baitul Maqdis.