Amal al-Hayya: Khansa’ Era Moden

Dalam sejarah awal Islam, nama Khansa’ dikenang sebagai simbol ketabahan seorang ibu yang meredai pemergian anak-anaknya ke medan jihad mempertahankan kaum Muslimin menentang musuh. Khansa’ yang terkenal sebagai seorang penyair wanita ulung Arab pada zaman itu, bukan hanya cerdas bersyair; membakar semangat para pahlawan pasukan Muslimin di medan tempur, tetapi juga terkenal dengan hikmahnya ketika menyampaikan wasiat kepada keempat-empat orang anaknya, sehari sebelum mereka turun berperang menentang pasukan Parsi.
“Wahai putera-puteraku, kalian semua memeluk Islam dan berhijrah dengan penuh kerelaan. Demi Allah, yang tiada Tuhan selain Dia. Sesungguhnya kalian adalah keturunan dari satu ayah dan satu ibu. Aku tidak pernah merendah-rendahkan kehormatan mahupun mengubah keturunan kalian. Ketahuilah, sesungguhnya kehidupan akhirat itu jauh lebih baik berbanding dunia yang fana ini,”
Sambungnya lagi, “Wahai putera-puteraku. Sabar, tabah dan bertakwallah kepada Allah SWT. Semoga kalian menjadi orang-orang beruntung. Jika kalian mendengar seruan berjihad, maka terjunlah ke medan peperangan dan perangilah musuh kalian dengan gagah berani. Dan mintalah kemenangan dan pertolongan kepada Allah SWT ke atas musuh-musuhnya.”
Khansa’ atau nama sebenarnya Tumadhar binti ‘Amr bin Syuraid bin ‘Ushayyah as-Sulamiyah al-Harith merupakan salah seorang sahabiyah yang sangat menghargai nikmat Islam. Hasil pernikahannya dengan Rawahah bin Abdul Aziz al-Sulami, Khansa’ dikurniakan empat orang cahaya mata lelaki, iaitu Yazid, Mu’awiyah, ‘Amr dan ‘Amrah. Kehidupannya berubah sejak memeluk Islam. Khansa’ menjadi seorang yang sanggup mengorbankan segala yang dimilikinya demi membela agama baru yang dianutinya itu. Termasuklah perkara yang paling berat bagi kebiasaan seorang ibu, iaitu ‘mengorbankan’ anak sendiri pada jalan peperangan. Pun begitu, Khansa’ berjaya mendidik keempat-empat puteranya sedari kecil untuk mencintai Islam dan rela berkorban demi agama pada jalan jihad sehinggalah keempat-empat mereka beroleh syahid pada pengakhiran kehidupan mereka.
Perang yang disertai oleh keempat-empat putera Khansa’ adalah Perang Qadisiyah. Perang yang berlangsung pada tahun 636 masihi di sempadan Kufah, Iraq telah dipimpin oleh Sa’ad bin Abi Waqas atas arahan Khalifah Umar bin al-Khattab. Perang ini direkodkan telah mengorbankan hampir 7,000 orang tentera Muslimin termasuklah keempat-empat orang anak Khansa’, ketika menentang musuh Parsi Sassanid yang diketuai oleh Rustam Farrukhzad dan berlangsung selama empat hari.
Meskipun kaum Muslimin hanya berbekalkan kekuatan kuda perang sahaja ketika berdepan pihak musuh yang menggunakan gajah sebagai perisai pertahanan, keadaan itu langsung tidak menggetarkan hati kaum Muslimin. Bahkan setelah empat hari berperang, kemenangan akhirnya berpihak kepada kaum Muslimin dan sejak itulah empayar Parsi Sassanid mula jatuh dan bermulalah penyebaran agama Islam di sekitar Parsi.
Sepanjang tempoh perang berlangsung, Khansa’ setia menunggu di pintu rumahnya, menantikan kepulangan anak-anak tercinta dari medan perang. Walau bagaimanapun, berita yang diterimanya selepas perang selesai hanyalah khabar mengenai kesyahidan kesemua puteranya itu.
Namun apa yang berlaku, berita itu langsung tidak membuatkan Khansa’ terkejut mahupun bersedih hati. Sebaliknya Khansa’ hanya mengucapkan, “Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang telah memuliakan diriku dengan syahidnya putera-puteraku. Semoga Allah SWT segera memanggilku dan berkenan mempertemukanku dengan putera-puteraku dalam naungan rahmatNya yang luas di syurgaNya yang abadi.”
Demikianlah ucapan yang hampir sama dapat kita saksikan pada hari ini, ketika Amal al-Hayya, isteri kepada Khalil al-Hayya, pemimpin HAMAS di Gaza dan juga ibu para syuhada’ di saat menerima berita kesyahidan anaknya yang keempat, ‘Azzam al-Hayya yang gugur dalam serangan tentera rejim Zionis Israel pada 7 Mei 2026 lalu. Sebelum ini, Amal al-Hayya telah pun kehilangan puteranya, Hamzah pada 2008, kemudian Usamah pada 2014 dan Himmam sekitar tujuh bulan lalu yang kemudian disusuli oleh saudara kembarnya, Azzam pada awal Mei tahun ini dalam pertempuran menentang tentera Zionis penjajah mempertahankan tanah air.
Apakah yang dituturkan oleh Amal ketika media wartawan merakam responnya susulan berita kesyahidan anaknya, ‘Azzam? Tuturnya, “Demi Allah, aku bangga dengan kesyahidannya. Demi Allah, aku bangga dengan kesyahidannya.” Sambungnya lagi, “Demi Allah, kesyahidan itu layak buatmu, wahai ‘Azzam.” Ucapan seorang ibu penuh rasa bangga itu terbit daripada bibirnya tatkala beliau menceritakan perihal kesakitan yang telah ditanggung oleh ‘Azzam, di mana sehari sebelum anaknya itu syahid, beliau telah mengalami kecederaan teruk akibat serangan dari pihak musuh ketika dalam pertempuran. Seperti kebanyakan pejuang, bahkan rakyat awam yang lainnya, kecederaan mereka hanya boleh ditahan dan dirawati dengan rawatan yang sangat minimal dan ringkas akibat keterbatasan bahan rawatan.
Video yang disiarkan oleh Al Jazeera di laman Facebook yang merakamkan reaksi spontan Amal al-Hayya telah memperoleh 505 ribu tontonan dan 23 ribu reaksi dari seluruh dunia. Tentunya video itu tular bukanlah kerana semata posisi beliau yang bergelar isteri kepada seorang pemimpin tertinggi HAMAS tetapi kerana kenyataan yang terbit dari tutur katanya itu hakikatnya mewakili puluhan ribu individu yang bergelar ibu di Gaza yang telah ‘mengorbankan’ batang tubuh anak-anak tercinta demi mempertahankan tanah air daripada dirampas oleh rejim Zionis penjajah.
Seperti kebanyakan ibu Palestin, Amal juga melalui kesusahan dalam membesarkan anak-anak dalam suasana selesa memandangkan Gaza sudah sejak sekian lama berada di bawah kawalan dan sekatan rejim Zionis Israel. Realitinya, mereka tidak pernah hidup sebagai seorang insan biasa yang hidup bebas merdeka dengan hak asas selayaknya seorang rakyat biasa patut ada.
Menurut sebuah laporan, setakat Mei 2026 sahaja, sekurang-kurangnya 22,000 wanita di Gaza telah kehilangan insan bergelar suami, yang menjadi penguat dan penyokong terbesar dalam rumah tangga. Kehilangan tersebut memaksa mereka meneruskan kehidupan dengan memikul tanggungjawab sebagai pencari nafkah tunggal demi memastikan anak-anak dan ahli keluarga dapat terus bertahan hidup meskipun terpaksa berlindung di khemah-khemah sementara mahupun di celahan reruntuhan bangunan kediaman yang terjejas akibat perang yang masih berlanjutan.
Kisah Amal al-Hayya bukan sekadar kisah seorang ibu yang kehilangan anak-anaknya. Beliau adalah cerminan ribuan ibu di Gaza yang setiap hari bangun dengan hati yang sarat dengan luka namun tetap memilih untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Mungkin tidak semua yang bergelar ibu akan diuji dengan ujian kehilangan anak seperti yang dialami para ibu di Gaza kerana setiap ibu ada medan perjuangannya sendiri. Ada yang sedang berjuang membesarkan anak dalam keadaan serba kekurangan. Ada yang sedang berjuang sendirian menyara anak dan keluarga. Dan tentunya ada yang sedang berjuang mendidik generasi masa depan dalam dunia yang semakin mencabar hari ini.
Jika Khansa’ dikenang sebagai wanita yang melahirkan generasi pejuang pada zaman awal penyebaran Islam, maka Amal al-Hayya adalah gambaran Khansa’ yang wujud pada abad ini. Kedua-dua figura hebat ini mengingatkan kita bahawa kekuatan sebenar seorang ibu bukanlah terletak pada kemampuannya untuk tidak berasa sedih atas kehilangan anak-anak yang dikasihi. Sebaliknya mereka mengajarkan kita satu pelajaran penting lagi berharga bagaimana peranan sebenar seorang ibu dalam mendidik dan membesarkan anak-anak dengan nilai, prinsip dan keberanian untuk terus berdiri di atas jalan kebenaran sehingga sanggup mengorbankan tubuh badan sendiri.
Oleh itu, wanita-wanita di Gaza sering digambarkan sebagai “wanita yang memikul langit di pundak bahu mereka”. Dalam kalangan ribuan wanita tersebut, Amal al-Hayya muncul sebagai sosok ibu yang muncul pada hari ini sebagai simbol seorang ibu yang mampu menjadi sumber kekuatan bagi sebuah keluarga dan masyarakat serta mengajarkan makna sebenar kepada dunia. Justeru itu, selama mana dunia masih melahirkan sosok-sosok ibu yang berfungsi semisal Amal al-Hayya, maka selagi itulah harapan tidak akan pernah mati meskipun sesebuah bangsa itu sedang berdepan perang genosid.