Antara Dua Persimpangan: Rundingan Damai AS–Iran

Konflik antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran yang tercetus sejak 28 Februari 2026 terus menunjukkan peningkatan ketegangan melalui episod serangan balas dan penglibatan banyak pihak di Asia Barat. Setakat 26 Mac 2026, menurut laporan Human Rights Activists News Agency (HRANA), sekurang-kurangnya 1492 orang awam telah terbunuh di Iran. Pun begitu, serangan balas Iran turut mengakibatkan kematian di Israel pada skala yang lebih kecil, selain melibatkan korban dalam kalangan anggota tentera AS. Perkembangan ini menunjukkan bahawa konflik yang pada awalnya tercetus daripada siri serangan bersasar kini telah berkembang menjadi krisis serantau yang melibatkan pelbagai aktor dan pihak berkepentingan.
Di tengah-tengah ketegangan yang masih berterusan, AS pada 24 Mac 2026 telah mengemukakan pelan damai 15 perkara kepada Iran, tetapi ditolak oleh Tehran yang membalas dengan mengemukakan lima syarat sendiri untuk menamatkan permusuhan. Walaupun masih terdapat ruang rundingan, usaha tersebut terus berdepan kebuntuan akibat perbezaan asas antara kedua-dua pihak dalam menentukan syarat perdamaian.
Pertaruhan Dalam Rundingan
Idea rundingan ini tidak berlaku secara bersendirian melainkan ia dipengaruhi oleh struktur kuasa, sejarah konflik, kepentingan strategik dan tekanan luar. Perkara ini perlu difahami dalam konteks geopolitik yang lebih luas, di mana isu nuklear, pengaruh serantau, serta keseimbangan kuasa antara negara dan aktor bukan negara saling berkait antara satu sama lain.
Sebagai contoh, program nuklear Iran selama ini dilihat oleh AS dan sekutunya sebagai ancaman kepada keselamatan serantau. Namun bagi Iran, ia merupakan sebahagian daripada alat strategik pertahanan negara. Bahkan, penglibatan Iran melalui rangkaian proksi di Lubnan, Syria, Iraq dan Yaman menguatkan lagi hujah mengapa AS merasakan adanya gugatan kuasa ke atas mereka di rantau itu.
Syarat AS: Pelucutan Senjata Menyeluruh Iran
Cadangan yang dikemukakan oleh AS memperlihatkan pendekatan yang boleh digambarkan sebagai tuntutan pelucutan senjata secara menyeluruh ke atas Iran. Teras utama pelan ini ialah penghapusan sepenuhnya program nuklear Iran, termasuk penamatan pengayaan uranium dan pemusnahan infrastruktur berkaitan.
Selain itu, Iran juga diminta untuk mengehadkan program peluru berpandu balistiknya, khususnya yang mempunyai keupayaan jarak jauh. Syarat ini turut diperluas kepada dimensi serantau, di mana Iran dituntut untuk menghentikan sokongan kepada kumpulan seperti Hizbullah di Lubnan, HAMAS di Palestin dan Houthi di Yaman serta mengurangkan pengaruhnya di beberapa negara Timur Tengah.
Dalam masa yang sama, Iran juga dikehendaki memastikan kebebasan laluan maritim, khususnya di Selat Hormuz, yang merupakan salah satu laluan perdagangan minyak paling penting di dunia.
Secara keseluruhannya, walaupun cadangan ini menawarkan kemungkinan pengurangan sekatan ekonomi terhadap Iran sekiranya semua syarat dipersetujui, pelan tersebut tidak hanya bertujuan menghentikan konflik semasa. Ia juga dirangka untuk mengurangkan keupayaan strategik Iran secara signifikan dalam jangka panjang. Dalam konteks politik antarabangsa, pendekatan ini dilihat sebagai bentuk diplomasi paksa, yang menggunakan tekanan ketenteraan dan ekonomi untuk mendesak perubahan dasar dan pendirian strategik Tehran.
Syarat Iran: Keselamatan dan Kedaulatan Negara
Berbeza dengan pendekatan AS, tuntutan Iran lebih tertumpu kepada aspek keselamatan dan kedaulatan. Antara syarat utama yang dikemukakan adalah penghentian segera semua serangan ke atas wilayah Iran, jaminan bahawa tiada tindakan ketenteraan baharu akan dilancarkan pada masa hadapan, serta pembayaran pampasan terhadap kerosakan yang dialami akibat konflik.
Selain itu, Iran juga menuntut agar konflik di semua tempat yang melibatkan sekutunya ditamatkan, selain menggesa pengiktirafan terhadap peranannya dalam mengawal laluan strategik seperti Selat Hormuz.
Menariknya, tuntutan Iran tidak menyentuh soal pelucutan program nuklear atau peluru berpandu secara jelas. Hal ini menunjukkan bahawa bagi Iran, isu utama bukanlah untuk menukar struktur keupayaan strategiknya, tetapi untuk memastikan kelangsungan rejim dalam menghadapi tekanan luar.
Dalam konteks ini, pendekatan Iran lebih mengutamakan usaha mengekalkan kuasa pemerintahan dan mempertahankan kebebasan membuat keputusan tanpa campur tangan luar.
Mengapakah Rundingan Sukar Berjaya?
Apa yang menghalang rundingan ini daripada mencapai titik temu bukan sekadar perbezaan tuntutan, tetapi pertembungan cara kedua-dua pihak dalam memahami aspek keselamatan masing-masing. Pertembungan ini dapat dilihat melalui beberapa dimensi utama yang membentuk asas kegagalan rundingan tersebut.
Pertama, terdapat konflik asas antara logik pelucutan dan logik pencegahan. AS melihat pengurangan keupayaan Iran sebagai prasyarat bagi kestabilan serantau, manakala Iran melihat keupayaan tersebut sebagai jaminan keselamatan negara.
Kedua, terdapat kebimbangan serius di pihak Iran bahawa pelucutan keupayaan strategik ke atas mereka akan membuka ruang kepada campur tangan luar atau usaha melemahkan kerajaan sedia ada. Dalam sejarah hubungan Iran dengan kuasa Barat, pengalaman lalu memainkan peranan penting dalam membentuk persepsi ancaman ini.
Ketiga, struktur konflik itu sendiri yang berasaskan rangkaian proksi menjadikan penyelesaian ini menemui jalan buntu. Bagi Iran, sokongan kepada kumpulan proksi di rantau ini merupakan sebahagian daripada strategi untuk meluaskan pengaruh dan mengimbangi tekanan daripada pihak lawan. Namun, bagi AS dan sekutunya, rangkaian ini dilihat sebagai sumber ketidakstabilan yang perlu dihapuskan.
Dalam kerangka realisme, kedua-dua pihak bertindak secara rasional untuk melindungi kepentingan masing-masing. Namun, rasional ini menghasilkan dilema keselamatan, di mana tindakan defensif satu pihak ditafsir sebagai ancaman oleh pihak yang lain.
Kesan Krisis Ini Terhadap Asia Barat
Implikasi daripada krisis ini kian jelas kelihatan dari sudut geopolitik Asia Barat. Ketegangan yang berterusan bukan lagi bersifat retorik, tetapi telah diterjemahkan dalam bentuk serangan langsung, tindak balas ketenteraan, serta peningkatan aktiviti konflik proksi di beberapa lokasi strategik. Perkembangan ini menunjukkan bahawa ketiadaan penyelesaian bukan sahaja mengekalkan ketegangan, tetapi juga meluaskan bentuk dan medan pertembungan antara pihak terlibat.
Pada masa yang sama, laluan strategik seperti Selat Hormuz terus berada dalam keadaan tidak stabil, dengan gangguan terhadap aliran tenaga global yang semakin ketara. Konflik ini tidak hanya melibatkan AS dan Iran sahaja, sebaliknya turut melibatkan aktor lain seperti Israel dan negara-negara Teluk yang mempunyai kepentingan keselamatan dan ekonomi tersendiri. Kehadiran pelbagai aktor ini menjadikan konflik ini semakin kompleks dan sukar dikawal.
Dalam situasi ini, kegagalan mencapai persetujuan bersama akan menatijahkan ketidaktentuan global dan serantau yang berpanjangan. Sebaliknya, jika rundingan berjaya mencapai titik persefahaman, ia berpotensi mengubah landskap keselamatan dan ekonomi secara signifikan. Namun, perkara ini bergantung kepada kesediaan kedua-dua pihak untuk bertoleransi terhadap tuntutan masing-masing, sesuatu yang sukar dicapai selagi ada pihak yang melihat cadangan damai ini sebagai usaha untuk melemahkan satu pihak secara unilateral.
Kesimpulan
Pada akhirnya, rundingan ini tidak boleh dibaca sebagai kegagalan diplomasi, sebaliknya ia merupakan manifestasi ketidakseimbangan kuasa dalam sistem antarabangsa, di mana satu pihak berupaya menetapkan syarat keselamatan ke atas pihak lain. Dalam situasi di mana serangan ketenteraan, tekanan ekonomi dan bahkan usaha melemahkan kepimpinan negara telah pun berlaku, Iran mempunyai asas yang kukuh untuk melihat keupayaan strategiknya sebagai keperluan, bukan pilihan.
Dalam konteks ini, tuntutan untuk mengurangkan keupayaan strategik Iran sukar ditafsir tanpa mengambil kira risiko kehilangan keupayaan mempertahankan diri dalam persekitaran yang nyata tidak stabil. Oleh itu, persoalan sebenar kini bukan lagi sama ada Iran perlu berkompromi atau tidak dengan tawaran AS, tetapi sejauh mana sistem antarabangsa bersedia mengiktiraf bahawa hak untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan adalah hak mutlak sesebuah negara yang merdeka.