All Articles

Antara Legitimasi Penentangan dan Pelucutan Senjata: Bagaimana Respons HAMAS Mengubah Percaturan Permainan di Peringkat Serantau

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
October 14, 2025

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump telah  mengumumkan satu cadangan dengan persetujuan rejim Israel bagi menghentikan perang di Gaza, dan seterusnya mengeluarkan rejim daripada keadaan pengasingan antarabangsa dan diplomatik yang memuncak sejak bermulanya perang tersebut. Cadangan itu juga merangkumi penghapusan HAMAS dan pelucutan senjatanya yang dianggap mengancam kewujudan rejim haram, di samping menyerahkan pentadbiran Gaza kepada Tony Blair sebagai pemerintah sementara.


Langkah ini sebenarnya telah menterjemahkan sokongan mutlak Amerika Syarikat terhadap rejim Israel serta mengembalikan dominasi dan kawalannya di rantau ini sebagai sekutu strategik Amerika Syarikat, setelah negara-negara Arab dan Islam yang berpengaruh di wilayah tersebut bersetuju dengan inisiatif berkenaan. Trump memberikan tempoh kepada HAMAS sehingga malam Ahad (waktu Washington) bagi memberikan jawapan terhadap cadangan tersebut.


Walau bagaimanapun, sepanjang tempoh tersebut, respons HAMAS terhadap cadangan AS bukanlah sesuatu yang baharu. HAMAS bertindak secara rasional demi kepentingan rakyatnya, dan tampil sebagai pemain politik yang menggunakan segala bentuk tekanan yang dimilikinya sambil tetap mengambil kira penderitaan penduduk Gaza. HAMAS tidak menolak cadangan tersebut secara mutlak yang akan melegitimasi kesinambungan perang, dan pada masa sama tidak menerimanya bulat-bulat; yang akan dilihat tunduk kepada tuntutan AS yang hanya menguntungkan kepentingan rejim haram.


HAMAS tidak bersetuju dengan pelucutan senjata, juga tidak mengubah pendiriannya yang dituntut pengunduran sepenuhnya dari semenanjung Gaza. Bahkan ia juga tidak menerima sebarang tawaran yang kurang daripada perjanjian pertukaran tahanan dengan jaminan keselamatan yang diperlukan. Selain itu, HAMAS juga menolak penubuhan sebuah jawatankuasa antarabangsa untuk mentadbir Gaza, sama ada diketuai oleh Tony Blair atau pihak lain, sambil menegaskan bahawa ‘rumah tangga’ Palestin mesti kekal bebas dalam pentadbiran sendiri tanpa campur tangan kuasa asing.


Melalui responsnya, HAMAS telah memperkukuh usaha penyusunan semula struktur politik Palestin, dengan menolak percubaan Netanyahu untuk bermain dengan sentimen perpecahan dalaman yang berlaku dalam kalangan rakyat Palestin. Umum mengetahui, selepas Operasi Tufan al-Aqsa meletus, perpecahan dalam kalangan rakyat Gaza sendiri berlaku terutamanya selepas munculnya kumpulan-kumpulan pemberontak seperti Yasir Abu Syabab dan semisalnya. HAMAS juga tidak membenarkan pentadbiran Amerika Syarikat memberi legitimasi bagi meneruskan pembantaian ke atas rakyat Palestin, meskipun selepas beberapa buah negara Arab dan Islam yang berpengaruh bersetuju dengan inisiatif itu.


Dengan ini, HAMAS telah mengembalikan bola ke gelanggang pentadbiran AS, sementara Netanyahu berada dalam kedudukan yang semakin mencabar untuk merangka tindakan. Namun, seperti biasa, Netanyahu akan mencari helah demi mengelakkan kerajaannya jatuh. Justeru, ada kemungkinan Netanyahu akan mencetuskan ketegangan atau konflik baharu di kawasan lain misalnya di sempadan Lubnan, Syria, supaya perang tidak berhenti dan terus berlanjutan dan meluas di rantau ini.


Oleh itu, penulis berpendapat pihak-pihak yang terlibat di dalam Axis of Resistance (Iran, Hizbullah di Lubnan, Houthi di Yaman) perlu meneliti perubahan geopolitik serantau dengan cermat. Kali ini, Syria juga wajar dimasukkan, kerana sebelum kejatuhan rejim ia pernah menjadi sebahagian daripada paksi tersebut, meskipun rejim Israel tidak pernah berhenti menyerangnya dengan alasan keselamatan demi mengukuhkan pendudukan ke atas sebahagian wilayahnya. Pada masa yang sama, laporan rejim haram turut mendedahkan bahawa tentera Mesir sedang menggerakkan pasukannya di kawasan Sinai berhampiran sempadan Mesir–Israel.


Pada masa yang sama, Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi dalam ucapannya di Sidang Kemuncak Liga Arab baru-baru ini telah membentangkan satu inisiatif Mesir kepada negara-negara Arab bagi membentuk pakatan yang menghalang rejim Israel daripada melakukan pencerobohan ke atas negara-negara Arab, selepas percubaannya membunuh pemimpin HAMAS di luar negara. Ucapan itu menandakan perubahan besar dalam asas politik Mesir, apabila beliau menyifatkan rejim haram sebagai “musuh” — suatu kenyataan yang dianggap berani selepas pendirian Mohamed Morsi, bekas Presiden Mesir, sejak termeterainya Perjanjian Damai Camp David pada tahun 1979.


Dengan langkah ini, HAMAS mengorak langkah secara politiknya dengan begitu bijak, sebagaimana sayap ketenteraannya menyusun strategi di medan tempur. Justeru, tidak wajar dibuat pemisahan antara sayap politik dan sayap ketenteraan HAMAS kerana pada akhirnya keputusan tetap bergantung pada percaturan di medan tempur. Pentadbiran Amerika Syarikat juga sedar bahawa operasi ketenteraan yang dirancang oleh pasukan rejim haram terhadap penduduk Gaza hanyalah akan membawa lebih banyak kematian dalam kalangan mereka. Serta limitasi penderitaan yang penduduk Gaza alami telah melepasi had yang paling tinggi sehingga perkara itu tidak lagi membuatkan tekad politik mereka menjadi goyah. 


Kesimpulannya, cadangan yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat menunjukkan bahawa konflik Palestin–Israel kini telah berubah secara mendalam. Ia bukan lagi sekadar konflik antara Palestin dan Israel, atau antara Israel dan Axis of Resistance (seperti Iran, Hizbullah dan lain-lain), tetapi kini menjadi ujian terhadap kesahihan sistem politik serantau di Asia Barat. Amerika Syarikat cuba menyelamatkan rejim Israel daripada pengasingan yang semakin mendalam, bukan hanya dari sudut diplomatik, tetapi juga secara politik dan moral. Pada masa yang sama, Amerika Syarikat juga ingin memulihkan imejnya di mata rakyatnya sendiri, terutama generasi muda yang dibesarkan dengan nilai-nilai seperti keadilan dan hak asasi manusia.


Sementara itu, HAMAS pula muncul sebagai pemain politik yang sedang menyusun semula keseimbangan kuasa di rantau ini sepanjang peperangan, dengan tetap mengambil kira pandangan kuasa-kuasa dan pelbagai fraksi Palestin lain dalam proses tersebut. Tambahan pula, penglibatan negara-negara kuasa baharu seperti Mesir dan Syria dalam kemelut persaingan ini turut menandakan satu fasa perubahan dalam jajaran politik serantau, di mana konsep keselamatan nasional Arab kini dibaca semula dari sudut ancaman yang datang daripada rejim Israel, bukannya dari perspektif kerjasama dengan pihak rejim sebagaimana yang berlaku ketika Perjanjian Abraham sebelum ini.

Diterjemahkan oleh: Lia Maryam Faisal