All Articles

AS, Israel, Iran Isytihar Perang – Apa Puncanya?

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
March 2, 2026

Amerika Syarikat (AS) dan Israel telah bersama melancarkan serangan udara ke atas Iran, menyebabkan 14 kawasan utama Iran terjejas pada Sabtu, kira-kira jam 11.00 malam petang waktu Malaysia.

Antara kawasan yang terjejas ialah Tehran, Isfahan, Qom, Kermanshah, Ilam, Tabriz dan Karaj. Difahamkan rejim penguasa asing tersebut menyasarkan Tehran yang menempatkan pejabat pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan ibu pejabat Pengawal Revolusi Islam (IRGC) menjadi sasaran utama dalam serangan tersebut. 

Al Jazeera melaporkan jumlah pasukan tentera AS yang telah digerakkan dalam serangan tersebut, memiliki angka yang terbesar sejak perang Iraq pada 2003. 

Motif Serangan?

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menjelaskan serangan ke atas Iran yang disebut sebagai Operation Lion’s War bertujuan untuk menyahkan ancaman Iran terhadap Israel. Antara ancaman yang didakwa ialah mengharapkan kematian di AS dan Israel; menindas rakyat Iran; mengusahakan bom nuklear dan puluhan ribu buah misil untuk melenyapkan Israel; dan membina hubungan proksi dengan Gaza, Lubnan, Syria, Iraq, Yaman dan Tebing Barat.

Namun, itu bukanlah konteks sebenar serangan di Iran. 

Secara umumnya, AS mahu memunculkan diri sebagai kuasa besar yang mampu menggerunkan negara-negara Timur Tengah dengan membawa polisi damai. Alasan mahu memastikan tiada projek nuklear dijalankan di Iran demi keamanan sebenarnya lebih kepada mahu mempertahankan kedudukan Israel sebagai entiti yang memiliki program nuklear terbesar di Timur Tengah. 

AS sejak dari dulu tidak pernah senang duduk dengan kemampuan Iran untuk membangunkan program nuklear. Bukan sejak Jun 2025, malah sejak era Ayatollah Ruhollah Khomeini pasca kejatuhan pentadbiran Shah Mohammad Reza Pahlavi dalam Revolusi 1979. Sejak daripada itu, Iran mengakhiri kerjasama dengan AS. Walhal ketika era Pahlavi, AS banyak membantu Iran di dalam pembangunan program nuklear demi mencapai objektif; menjadikan Iran sebagai negara moden dan maju dalam sains serta tenaga. 

Di bawah pemerintahan Khomeini, program nuklear diaktifkan semula pada akhir 1980-an sehingga kini. Namun, program yang diusahakan terpalit dengan kontroversi di mana pengayaan uranium di Iran lebih daripada peratusan yang dipersetujui di dalam perjanjian Pelan Tindakan Komprehensif Bersama (JCPOA) pada Julai 2015. Sebagai rekod, perjanjian ini melibatkan lima ahli tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu – Iran, AS, United Kingdom (UK) Perancis, Rusia, China – dan Jerman (disebut sebagai P5+1).

Perjanjian itu tamat pada Oktober 2025 tetapi AS keluar daripada perjanjian tersebut pada 2018 dengan alasan Iran tidak serius dalam mematuhi perjanjian tersebut. Walhal, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan sendiri Iran mematuhi perjanjian tersebut. Malah, Iran juga menandatangani Perjanjian Mengenai Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (Non-Proliferation Treaty/NPT), membuktikan Iran sedia untuk mematuhi undang-undang antarabangsa sebagaimana mereka sendiri menyatakan kegunaan senjata nuklear adalah untuk kepentingan sendiri. 

Pada Mei 2025, kadar pengayaan uranium Iran sudah mencapai 60 peratus dan jauh lebih tinggi daripada kadar yang ditetapkan dalam JCPOA, 3.67 peratus. Pun begitu, kadar tersebut masih di bawah 90 peratus, kadar yang membentuk bom nuklear. Tetapi negara Barat, terutama AS semakin tidak senang duduk. AS melancarkan pelbagai jenis tekanan ke atas Iran seperti serangan ketenteraan terhadap tapak nuklear (dikenali sebagai Operation Midnight Hammer), serangan ekonomi ke atas mana-mana pihak yang menyokong usaha nuklear Iran, tekanan diplomatik berbentuk had pengayaan dan keterlibatan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) secara aktif di lapangan projek nuklear.

Kesannya terhadap Iran?

Sudah tentu ekonomi Iran menyaksikan kejatuhan yang drastik. Dikatakan pada Disember 2025, banyak institusi pendidikan dan syarikat terpaksa ditutup kerana situasi yang tidak stabil susulan protes besar-besaran di beberapa buah bandar besar di Iran. Menteri Luar Iran, Seyed Abbas Araghchi memberitahu bahawa 70 peratus penduduk Iran bersetuju gangguan keamanan di negara itu berpunca daripada kuasa asing dan 30 peratus kerana tekanan ekonomi.

Trump menggunakan peluang sebagai pengaman di tengah-tengah rundingan program nuklear tidak langsung bersama Iran dengan menambah minyak ke dalam api. Serangan yang dilancarkan pada Sabtu dengan kerjasama Israel membawa alasan bahawa dia membuka ruang untuk rakyat Iran untuk mengambil alih kerajaan dan mengubah masa depan mereka. Iran terus ditekan walaupun Menteri Luar Oman sebagai perantara memaklumkan Iran bersetuju untuk menurunkan pengayaan uranium ke paras terendah. 

Sedangkan Israel sebagai satu-satunya entiti di Timur Tengah yang memiliki 90 buah peledak nuklear, sedang berdiri di belakang AS kerana sedar sedang dilindungi kuasa besar atau ‘abangnya’. Israel langsung tidak terlibat dalam mana-mana perjanjian JCPOA atau NPT walaupun projek nuklear di wilayah haram itu dikatakan telah bermula seawal 1958 di Dimona.

Begitulah kontradiknya undang-undang dunia.