Axis of Resistance dan Taufan al-Aqsa

Sejak tercetusnya gerakan-gerakan penentangan terhadap Israel, Republik Islam Iran memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat perjuangan di wilayah sekitar tanah Palestin yang diduduki. Iran turut berusaha mewujudkan satu tapak kukuh di rantau tersebut yang mempunyai hubungan langsung dengan entiti penjajah Israel. Pada ketika itu, kekuatan yang boleh dijadikan sandaran dalam jaringan Syiah di Lubnan hadir melalui kewujudan Gerakan Perjuangan Islam di Lubnan, yang lebih dikenali sebagai Hizbullah.
Israel telah dipersalahkan atas pembunuhan Setiausaha Agung pertama Hizbullah, Abbas al-Musawi, yang kemudian digantikan oleh Sayyid Hassan Nasrallah; seorang tokoh yang menjadi ikon penentangan bukan sahaja bagi Iran, malah bagi masyarakat Syiah yang menyokong perjuangan tersebut di seluruh dunia. Dalam masa yang sama, Iran turut memberikan sokongan dalam pelbagai bentuk kepada kumpulan-kumpulan penentangan Palestin, khususnya dua gerakan utama iaitu HAMAS dan Jihad Islami, memandangkan kedua-duanya berada di barisan hadapan dalam konfrontasi secara langsung menentang entiti Israel penjajah.
Strategi ini membolehkan Iran mengelakkan kerugian besar dari sudut nyawa dan harta benda sekiranya terlibat secara langsung dalam peperangan menentang kewujudan Israel. Selain itu, langkah ini turut membantu Iran mencantikkan imejnya yang sering dilihat berunsur sektarian, khususnya dalam kalangan dunia Arab Sunni, melalui jalinan eratnya dengan gerakan-gerakan mujahidin beraliran Sunni.
Iran turut menyalurkan pelbagai bentuk sokongan kepada Gerakan Ansarullah di Yaman, yang kini lebih dikenali sebagai Houthi — sebuah gerakan yang mula menonjol selepas tercetusnya gelombang Arab Spring dan kejatuhan Presiden Yaman pada ketika itu, Ali Abdullah Saleh. Dalam masa yang sama, Iran turut berusaha untuk mengukuhkan kedudukannya/pengaruhnya di Iraq dengan membentuk beberapa kumpulan penentangan di sana. Melalui langkah-langkah ini, Iran berjaya menguasai pelbagai sumber dan aset penting di dunia Arab, yang kemudiannya dimanfaatkan untuk menyokong projek nuklearnya; sebuah usaha berskala besar yang bertujuan menjadikan Republik Islam Iran sebagai kuasa dominan di rantau tersebut.
Dengan itu, Iran berjaya membentuk paksi penentangannya sendiri, atau apa yang dikenali sebagai Paksi Penentangan (Axis of Resistance) yang bertujuan untuk ‘mengepung’ Israel dalam satu lingkaran api sekiranya berlaku peperangan menentang Iran. Melalui strategi ini juga, Iran berusaha untuk melemahkan Israel secara tidak langsung, dengan mengheret entiti tersebut ke dalam konflik bersama mana-mana pihak dalam pakatan penentangan, memandangkan Israel tidak memiliki keupayaan yang kukuh untuk berperang secara serentak di pelbagai medan.
Apa yang diimpikan Iran mula menjadi kenyataan apabila Operasi Taufan al-Aqsa dilancarkan pada 7 Oktober 2023, di mana Hizbullah dari Lubnan mula terlibat dalam pertempuran secara separa, namun gagal mengatasi keupayaan risikan pihak Israel, yang telah mendahului mereka dengan beberapa langkah strategik. Antara tindakan Israel termasuk meletupkan peranti komunikasi seperti pager dan melumpuhkan sistem teras seperti komando, senjata, komunikasi milik Hizbullah, yang akhirnya mengakibatkan kehilangan sejumlah besar tokoh penting dalam gerakan tersebut.
Antara yang gugur ialah Setiausaha Agung Hizbullah sendiri, Hassan Nasrallah, yang terbunuh pada September 2024, yang telah menjadi suatu kehilangan besar dalam sejarah gerakan tersebut. Peristiwa ini menjadi titik mula kepada perang berskala besar yang dilancarkan oleh Israel terhadap Hizbullah di Lubnan. Namun begitu, Hizbullah tidak mampu bertahan lama dalam konflik tersebut berikutan beberapa serangan maut yang diterimanya secara berturut-turut. Akibatnya, gerakan itu terpaksa menarik diri daripada medan pertempuran, setelah berdepan dengan cabaran-cabaran baharu yang muncul dari arah tidak disangka dan dalam bentuk yang jauh lebih mencabar daripada jangkaan awal.
Houthi turut melancarkan operasi sekatan laut pada peringkat awal konflik, bagi menghalang kemasukan barangan ke pelabuhan-pelabuhan haram Israel, di mana tindakan ini sekali gus meningkatkan kos peperangan ke atas pihak rejim penjajah tersebut. Malah, Houthi juga telah menyerang kapal induk, pesawat, dan kapal selam milik Amerika Syarikat, yang menunjukkan tahap penglibatan mereka yang mendalam mereka dalam pertempuran. Lebih daripada itu, gerakan itu telah menyasarkan bandar Tel Aviv — ibu kota pentadbiran entiti Israel — dengan peluru berpandu hipersonik dan dron serangan yang gagal dikesan oleh sistem radar Israel. Dalam serangan tersebut, terdapat juga cubaan bunuh Perdana Menteri wilayah haram Israel, Benjamin Netanyahu.
Amerika Syarikat bersama-sama kuasa Barat lain telah cuba untuk menyingkirkan penglibatan Houthi daripada kancah peperangan, dengan harapan agar serangan dapat difokuskan sepenuhnya ke atas Gaza. Namun, segala usaha tersebut menemui jalan buntu, di mana akhirnya, pada Januari 2025, satu perjanjian gencatan senjata secara berperingkat telah berjaya dimeterai dengan bantuan para pengantara. Aktiviti ketenteraan Houthi kemudiannya dihentikan, sejajar dengan penghentian operasi ketenteraan oleh mujahidin Palestin di Gaza serta oleh pihak penjajah Israel sendiri.
Namun begitu, pihak penjajah telah bertindak menutup semua laluan keluar masuk antara wilayah haram Israel dan Palestin serta menyekat kemasukan barangan kemanusiaan sejak berakhirnya fasa pertama gencatan senjata. Ketika ini, para pengantara masih berusaha untuk menyelamatkan perjanjian tersebut daripada terkubur sepenuhnya.
Pada 7 Mac 2025, Abdul Malik al-Houthi telah muncul dalam satu ucapan yang disiarkan di televisyen, memberi amaran kepada Israel penjajah dengan menetapkan tempoh empat hari bagi membuka laluan sempadan dan membenarkan kemasukan barangan ke semenanjung Gaza. Jika tidak, katanya, operasi ketenteraan di perairan Laut Merah, yang sebahagiannya menyasarkan bandar-bandar di kawasan pedalaman Israel akan disambung semula. Kenyataan ini mengukuhkan lagi kedudukan Houthi sebagai pendukung perjuangan rakyat Palestin, meskipun mereka sendiri telah menerima beberapa serangan keras sepanjang tempoh konflik, termasuk serangan terhadap Pelabuhan Hodeidah yang merupakan aset penting kepada ekonomi Yaman.
Kesimpulan:
Justeru, Paksi Penentangan (Axis of Resistance) masih berupaya untuk bertahan dan berdiri teguh menghadapi pelbagai bentuk permusuhan, biarpun telah berdepan dengan serangan bertubi-tubi. Ia turut menunjukkan keupayaan dalam menetapkan kehendaknya serta memaksakan syarat-syarat tertentu, seperti yang jelas tergambar dalam proses rundingan antara HAMAS dan Israel penjajah. Pada masa yang sama, kelemahan ketara dalam sistem perisikan Israel turut terserlah apabila berhadapan dengan tahap persiapan dan kesiapsiagaan tinggi yang ditunjukkan oleh komponen-komponen utama dalam pakatan ini, dalam usaha menghadapi sebarang bentuk pencerobohan dari pihak penjajah.
Keadaan ini telah meletakkan Israel dalam posisi yang semakin terdesak, terhimpit antara tekanan dari masyarakatnya sendiri dan tekanan ketenteraan dari luar, sekali gus menjadikannya tidak lagi mampu bertahan seperti mana yang pernah berlaku dalam tahun-tahun sebelumnya, ketika ia hanya berhadapan sendirian dengan perjuangan rakyat Gaza.
Penulis artikel asal: Naeem Ashraf Mushtaha
Terjemahan: Lia Maryam