All Articles

Briged al-Qassam dan Perang Saraf

8 min read
Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
September 17, 2025

Sayap ketenteraan HAMAS, Briged Izzuddin al-Qassam dilihat menggunakan strategi perang saraf dalam menumpaskan tentera rejim Israel. Mereka mengambil pendekatan merakam video-video sebagai kaedah praktikal untuk mendokumentasikan operasi ketenteraan dan keselamatan yang menyasarkan pasukan tentera rejim yang menyerang semenanjung Gaza. Sebagai contoh, dalam dua operasi di Khan Yunis, di mana para mujahidin berjaya melontarkan bahan letupan berkuasa tinggi ke dalam ruang kawalan sebuah kereta kebal Israel. 

Perkara ini telah menyuntik semangat rakyat Palestin yang telah lama hidup di bawah kekejaman perang rejim Zionis sejak hampir dua tahun lalu, di samping memperkukuh sokongan rakyat terhadap perjuangan kumpulan penentang, baik di peringkat antarabangsa mahupun di Palestin khususnya di Gaza. 

Namun, strategi ini tidak hanya digunakan dalam mendokumentasi operasi ketenteraan sahaja, malah turut merangkumi video yang memaparkan kehidupan para tahanan warga haram Israel yang ditawan oleh mujahidin pada pagi 7 Oktober 2023. Hasilnya, video-video tersebut yang telah menyampaikan pelbagai mesej kepada masyarakat haram Israel, berjaya mencetuskan kemarahan masyarakat sivil wilayah haram tersebut agar bangkit menentang kerajaan mereka khususnya Perdana Menteri wilayah haram Israel sendiri, Benjamin Netanyahu selaku individu utama yang enggan menghentikan serangan ke atas Gaza. 

Antara mesej yang ingin disampaikan oleh al-Qassam melalui video-video yang ditayangkan kebelakangan ini adalah keadaan para tahanan Israel yang turut terkesan dengan kebuluran yang melanda penduduk Gaza. Salah seorang tentera rejim Israel dilihat begitu kurus, menyamai keadaan rakyat Gaza yang terjejas akibat kebuluran.

Hal ini dapat dilihat melalui perkembangan luar biasa dalam taktik perang saraf yang diaplikasikan oleh gerakan penentangan Palestin yang secara langsung memberi kesan terhadap rejim penjajah dalam pelbagai dimensi yang mencakupi sosial, ketenteraan, keselamatan dan antarabangsa. Ia turut memperkukuh naratif Palestin, sekaligus menolak dan melemahkan naratif Israel, di samping turut memberikan tekanan kepada Netanyahu untuk bersetuju dengan satu perjanjian yang memenuhi syarat-syarat utama gerakan tersebut, iaitu:

  1. Pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza,
  2. Menghentikan sekatan dan membenarkan bantuan masuk,
  3. Pembinaan semula Gaza,
  4. Perjanjian pertukaran tahanan yang bermaruah.

Sebagaimana yang kita lihat, kesinambungan perjuangan rakyat Palestin dalam menghadapi serangan penjajah dengan segenap cara yang ada, meskipun perang masih berlarutan; telah membuktikan bahawa hakikatnya mereka sudah bersedia dengan penuh kesiagaan bagi menghadapi peperangan yang sengit. Perang ini dijangka tidak akan berakhir dalam masa terdekat, malah dijangka akan ada lagi pusingan pertempuran yang lebih dahsyat dan lebih rumit berbanding sebelumnya.

Meskipun masa berlalu seiring pertumpahan darah rakyat Palestin di tengah-tengah jenayah yang tidak pernah berhenti, keteguhan yang mereka tunjukkan tetap menjadi sesuatu yang amat langka pada zaman ini. Ketabahan itu semakin terserlah ketika berdepan pembunuhan beramai-ramai oleh rejim Israel bagi mengusir mereka dari tanah air dan memperluaskan penempatan haram hingga merangkumi Tebing Barat serta semenanjung Gaza.