All Articles

Buffer Zone di Gaza

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
February 21, 2024

Rupanya, ramai belum tahu kewujudan buffer zone yang dibina Israel ketika ini semakin mengecilkan lagi Gaza. 

Buffer zone atau dikenali sebagai zon penampan sinonim dengan sektor ekologi dan industri yang dipisahkan dari kawasan kediaman. Tetapi apabila ia dikaitkan dengan perang geopolitik, zon penampan membawa maksud sebuah kawasan larangan atau kawasan berkecuali dari sebarang kuasa yang boleh mengancam keselamatan atau mencetuskan konflik di antara pihak musuh.

Untuk konteks Israel, musuh mereka tidak lain tidak bukan pasukan mujahidin Palestin, HAMAS. Persoalannya, adakah buffer zone yang diwujudkan di Gaza adalah sesuatu yang baharu?

Berdasarkan rekod sejarah, buffer zone sudah menjadi satu normalisasi di Timur Tengah sejak penubuhan Philadelphi Corridor hasil daripada perjanjian damai di antara Mesir dan Israel pada 1979. Difahamkan melalui perjanjian yang sama juga rejim Israel kehilangan kuasa ke atas Sinai dan pembukaan semula Terusan Suez berlaku. Tetapi Philadelphi Corridor perlu ditubuhkan dan diletakkan di bawah kawalan Israel, kononnya mahu menghalang sebarang aktiviti pengimportan haram senjata api atau pengganas dari Mesir ke Gaza yang boleh mengancam keselamatan wilayah haram Israel.  

Namun, Israel berundur pada tahun 2005 apabila Mesir bersetuju menangani penyeludupan senjata api dan pengganas di Sinai dengan menempatkan kumpulan tentera khusus di bahagian mereka yang akan mengawal keluar masuk barang import di sempadan tersebut.

Jadi seluas manakah zon penampan itu?

Juga dikenali sebagai Paksi Salahuddin (Saladin Axis), koridor ini seluas 100 meter lebar dengan panjang 14 kilometer, mengunjur dari laut Mediterranean sehingga Lintasan Kerem Shalom yang menjadi titik temu sempadan di antara Mesir, wilayah haram Israel dan Semenanjung Gaza. 

Empat dekad kemudian, susulan daripada insiden 7 Oktober 2023, pihak Israel menyuarakan keinginan mereka untuk mengawal semula Philadelphi Corridor kerana sudah tidak percaya dengan kawalan di sempadan itu. Bagi mereka, koridor tersebut kini sudah menjadi kawasan strategik untuk HAMAS. 

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menyuarakan rancangan untuk menubuhkan buffer zone tetapi kali ini di bahagian dalam Gaza kerana mahu mengekalkan keamanan di wilayah haram Israel apabila perang tamat nanti. Ternyata diam-diam Israel merealisasikan pelan itu apabila pada awal Februari 2024, satelit merakamkan buffer zone sudah mula kelihatan di dalam Gaza dengan lebar sejauh satu kilometer dari sempadan Gaza-Israel. Walaupun pihak Israel belum mengesahkan hal itu, pihak pakar tidak menafikan bahawa tindakan Israel mengosongkan lebih 30 peratus bangunan di dalam ruang tersebut adalah untuk dijadikan sebagai buffer zone.

Jadi, apakah nasib penduduk Palestin di Gaza?

Melalui media akhbar Haaretz, kini 90 peratus bangunan di dalam ruang penampan sudah musnah atau rosak - 3,033 buah bangunan musnah sepenuhnya, 327 buah bangunan telah musnah dan 266 buah bangunan separa musnah - sejak pemerhatian pada Februari 2024. 

Perubahan geografi yang Israel lakukan terhadap Gaza melalui penubuhan buffer zone menjadi satu lagi tamparan realiti terhadap Amerika Syarikat (AS) sebagai rakan sekutu terawal yang menentang idea tersebut. Pun begitu, AS masih menyalurkan bantuan kewangan kepada Israel dengan dana yang diluluskan bernilai $14 bilion. Sokongan sedemikian, yang jelas tidak selari dengan kata-kata sudah cukup membuktikan dua perkara: pertama, Israel semakin mencabar kuasa pentadbiran AS; kedua, AS secara tidak langsung menganggap perkara itu sebagai angin lalu selagi mana mereka percaya ia adalah bentuk pertahanan diri daripada serangan HAMAS. Jika mereka benar-benar serius dengan bantahan itu, tidakkah sepatutnya mereka bertindak lebih agresif?

Justeru, tidak keterlaluan untuk mengatakan dek kerana pembantaian Israel terhadap orang Palestin di Gaza, tiada lagi tempat yang selamat untuk mereka. 

Berdasarkan perkembangan terkini, Rafah dibedil Israel ketika lebih 1.1 juta penduduk Palestin berkumpul di kawasan paling selatan Semenanjung Gaza. Dengan saiz Rafah yang berkeluasan tiga kali ganda daripada keluasan Kangar, Perlis, bayangkan kepadatan penduduk Gaza yang sedang berkumpul di Rafah ketika artikel ini dibaca. Hanya dengan satu bom yang dilepaskan Israel sahaja boleh menyebabkan puluhan atau ratusan penduduk Gaza yang ada di Rafah syahid. 

Adakah ini bermakna mereka akan terperangkap di Rafah? Adakah kita akan menyaksikan pembersihan etnik secara seluruhnya di Semenanjung Gaza ekoran genosid yang berterusan?

Nasib penduduk Gaza tidak ubah seperti telur di hujung tanduk. Walaupun ada desas-desus yang mengatakan Mesir sedang menyiapkan sebuah kawasan lapang di Sinai khusus untuk penduduk Palestin mendapatkan perlindungan di situ, tiada jaminan bahawa Israel akan berhenti ‘memburu’ rakyat Palestin. 

Malah, lebih parah sebenarnya sekiranya penduduk Gaza terus dihalau keluar dari Gaza sehingga terpaksa ke Sinai kerana bukan sahaja Mesir perlu menanggung malu membiarkan negara saudaranya dijajah tetapi rakyat Palestin juga akan kehilangan Gaza, sama seperti yang berlaku pada 1948.