All Articles

Deklarasi Brussels: Tindakan Strategik Menuntut Keadilan

Written by
Khairul Yunus
Published on
April 28, 2026


Dunia telah menyaksikan puluhan misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, namun tembok sekatan haram masih lagi berdiri teguh. Di tengah-tengah kepungan yang kian menghimpit, muncul satu anjakan paradigma yang dibawa oleh Kongres Parlimen Sumud Global (GSPC) di Brussels, Belgium pada 22 April 2026 atas inisiatif yang digerakkan bersama Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0. Kehadiran tokoh-tokoh antarabangsa, termasuk pakar undang-undang hak asasi manusia dan Pelapor Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Wilayah Palestin yang diduduki—Francesca Albanese, telah membawa anjakan baharu dalam usaha membebaskan Palestin. Strategi yang lebih tersusun dan bersepadu telah dilaksanakan bagi menghasilkan impak yang lebih besar demi menghentikan kezaliman rejim penjajah.


Pesan Albanese Untuk Perubahan

Francesca Albanese memulakan bicaranya di Brussels dengan nada yang mengejutkan ramai. Beliau secara jujur mengakui kerisauannya terhadap keberkesanan misi flotila yang kini telah memasuki percubaan ke-38. Malah, beliau turut mempersoalkan mengapa selepas 37 misi sebelum ini, sekatan tetap gagal dipecahkan. Baginya, tindakan yang bersifat simbolik atau sekadar untuk mendapatkan perhatian dunia dengan logo, gambar dan delegasi—ini tidak lagi memadai untuk menghentikan genosid.


Beliau menegaskan bahawa Palestin telah menjadi cermin yang mendedahkan kegagalan sistem antarabangsa dan kewujudan sistem kekebalan daripada hukuman (impunity) yang melampau. Albanese menuntut agar gerakan ini tidak lagi terperangkap dalam ritual aktivisme yang tidak memberi impak yang kuat secara fizikal, ekonomi dan undang-undang. Tidak sekadar itu, beliau juga menyeru agar segala sumber dan kekuatan yang telah dikumpulkan sepanjang misi ini digunakan sebaik mungkin untuk menyekat infrastruktur para sekutu yang menyokong sistem Aparteid—di pelabuhan, pusat pengedaran dan  dalam rantaian bekalan.


Sumud 2.0: Bertahan Dengan Strategi

Istilah Sumud sering kali diterjemahkan sebagai ketabahan atau daya tahan. Namun, dalam konteks GSF 2.0, Albanese membawakan perspektifnya terhadap Sumud, bukan sekadar “bertahan untuk bangkit”, bahkan jauh lebih penting daripada itu adalah “bertahan dengan efektif”. Beliau mengibaratkan Sumud seperti pokok-pokok dalam satu ekosistem yang saling menyuburkan dan berdiri teguh menahan tekanan.


Initipati ucapan Albanese juga membahaskan perbezaan ketara gerakan Sumud kali ini berbanding misi-misi sebelumnya, ia bukan lagi sekadar gerakan pelayaran flotila semata-mata. Misi kali ini menggabungkan beberapa tindakan dan salah satu strateginya adalah dengan menggerakkan deklarasi politik yang mengikat. Strategi ini memerlukan disiplin, penyelarasan dan kepimpinan. Gerakan memperjuangkan hak rakyat Palestin tidak boleh sekadar dilihat membantu, namun ia perlu dibuktikan dengan perubahan atau apa yang diistilahkan Albanese sebagai tokenism. Selain itu, rakyat Palestin juga perlu dilibatkan secara langsung dalam proses membuat keputusan. Sinergi ini membawa kepada satu matlamat yang jelas, menamatkan segala kerjasama jahat negara-negara dan kumpulan pedagang yang masih membekalkan senjata atau berurus niaga dengan rejim yang melakukan genosid.


Kepentingan Deklarasi Brussels

Deklarasi Brussels yang ditandatangani di akhir kongres tersebut merupakan dokumen penting yang mengubah retorik kepada tindakan undang-undang dan politik. Deklarasi ini menegaskan bahawa tanggungjawab antarabangsa tidak berakhir dengan pengiktirafan hak Palestin sahaja, malahan menuntut tindakan nyata untuk menegakkan undang-undang.


Antara poin utama Deklarasi Brussels:

  1. Kami Mengingatkan (We Recall): Keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) tentang ketidaksahan pendudukan Israel, kegagalan pematuhan langkah sementara dalam kes genosid, serta hak mutlak rakyat Palestin terhadap kedaulatan sumber dan hak untuk pulang yang tidak boleh dirunding.
  2. Kami Menegaskan (We Affirm): Isu Palestin adalah perjuangan penyahjajahan (decolonisation) untuk kelangsungan hidup kumpulan yang melampaui bantuan kemanusiaan, di mana semua aktor wajib menamatkan persubahatan yang mengekalkan pergantungan bantuan secara kekal.
  3. Kami Berkomitmen (We Commit): Berjanji akan melaksanakan sekatan ekonomi, memutus hubungan dengan entiti yang menyokong penjajahan, serta menyokong akauntabiliti penuh melalui mekanisme kehakiman antarabangsa bagi mengembalikan kedaulatan sebenar  Palestin.
  4. Mengenai Koridor Maritim: Mewujudkan koridor maritim ke Gaza adalah satu kewajipan undang-undang (legal imperative) yang mendesak bagi menjamin akses selamat kepada keperluan asas serta melindungi aktivis kemanusiaan daripada sebarang serangan atau gangguan.


Langkah Konkrit Wakil Malaysia Ke ICC

Sementara Malaysia, melalui Sumud Nusantara, telah mengambil peranan kepimpinan yang signifikan dalam gerakan GSF kali ini. Penglibatan Delegasi Malaysia yang diketuai Pengerusi Kaukus Palestin Parlimen Malaysia, Syed Ibrahim Syed Noh, dalam kongres tersebut membuktikan komitmen Malaysia untuk berada di barisan hadapan diplomasi parlimen, bagi menegakkan prinsip undang-undang antarabangsa.


Sehubungan itu, Sumud Nusantara melalui Centre For Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA), sebuah badan hak asasi dan advokasi kemanusiaan di Malaysia akan memperkukuhkan tindakan perundangan dengan memfailkan aduan rasmi ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC). MoU yang dimeterai antara CENTHRA bersama Waves of Freedom France (WOFF) dan Global Coalition to End The Occupation of Palestine (SANED) bertujuan mewujudkan kerjasama undang-undang antarabangsa bagi mendakwa pelaku pelanggaran serius undang-undang antarabangsa, khususnya berkaitan Palestin. 


Ianya turut melibatkan pemfailan aduan di Perancis terhadap beberapa pegawai Israel berhubung undang-undang hukuman mati ke atas tahanan Palestin yang diluluskan oleh Knesset pada Mac lalu. Aduan ini menyasarkan individu-individu seperti Itamar Ben-Gvir, Limor Son Har-Melech, Zvika Fogel, Nissim Vaturi serta Benjamin Netanyahu atas peranan individu mereka dalam merangka, menyokong dan meluluskan undang-undang tersebut. Lima tindakan undang-undang tambahan dijangka difailkan sebelum akhir minggu ini di beberapa bidang kuasa Eropah. 


Usaha ini bukan sekadar sokongan moral, justeru ia adalah suatu tindakan undang-undang yang bersifat “serangan” untuk menuntut akauntabiliti atas jenayah perang dan Aparteid yang dilakukan oleh rejim Israel. Dengan membawa kes ini ke ICC, Sumud Nusantara sedang menterjemahkan matlamat GSF 2.0—iaitu menggunakan segala mekanisme yang ada termasuk tuntutan undang-undang antarabangsa demi mengembalikan semula keadilan kepada rakyat Palestin.


Kesimpulan

Mesej daripada Brussels ini jelas, dunia tidak lagi boleh berdiam diri atau sekadar memberikan bantuan kemanusiaan yang bersifat sementara, sedangkan sistem penindasan terus bermaharajalela. Deklarasi Brussels dan GSF 2.0 adalah suatu sinergi dan seruan untuk menghentikan segala kerjasama jahat yang mendukung rejim penjajah.


Seperti yang diungkapkan oleh Albanese, ‘You cannot block the wind in a jar’; sekatan mungkin menutup laluan, namun seperti angin yang tidak boleh dikurung, kebenaran dan penderitaan tetap akan sampai kepada dunia.


Misi ini harus bergerak dan menyekat rantaian yang menyokong kezaliman. Dengan penglibatan aktif negara-negara seperti Malaysia di pentas undang-undang antarabangsa, harapan untuk melihat keruntuhan sistem Aparteid kolonial bukanlah suatu yang mustahil untuk dijayakan. Suatu hari nanti, melalui strategi, kebersamaan dan kesungguhan dalam tindakan, ia pasti akan menghasilkan kemenangan.