All Articles

Di Sebalik Intifadah Pertama: Menyingkapi Posisi Golongan Belia

8 min read
Written by
Lia Maryam
Published on
March 29, 2024

Umum kita mengetahui, penindasan dan kekejaman yang dilakukan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin tanpa belas kasihan telah berlarutan bahkan makin rancak selepas Perang Enam Hari (1967) yang berlangsung antara Israel dan beberapa buah negara Arab. Peluasan kuasa dengan menjajah dan membina kawasan-kawasan penempatan haram makin ghairah dilaksanakan selepas Israel berjaya menumbangkan pakatan Arab dalam perang ini. 

Semenjak hari itu, saban hari penindasan demi penindasan, jenayah kejam serta pengusiran rakyat Palestin dari rumah kediaman mereka makin meningkat. Kadar peratusan pelarian dari Tebing Barat turut meningkat dengan mendadak. Justeru hal ini telah mencetuskan kemarahan dan kebangkitan rakyat Palestin untuk bangkit melawan serta menuntut hak yang telah dirampas. Ditambah lagi dengan siri pencerobohan dan penodaan Masjid al-Aqsa tanpa henti oleh warga haram Yahudi yang telah mencemarkan kesucian masjid barakah ketiga suci di sisi Islam itu. 

Rentetan daripada itu, Intifadah pertama tercetus. Bulan Disember 1987 menyaksikan gerakan kebangkitan rakyat Palestin yang lebih signifikan bahkan mula merebak ke Tebing Barat telah disertai oleh kesemua peringkat lapisan masyarakat. Malah kebangkitan atau Intifadah ini turut dirasai kesannya oleh seluruh masyarakat dunia. Yang pasti, ianya merupakan suatu kebangkitan rakyat yang berlaku secara spontan, sebagai respons terhadap kezaliman rejim penjajah, tanpa ada sebarang campur tangan mana-mana parti politik atau gerakan, atau perancangan rapi yang telah disusun lebih awal. Menurut salah sebuah sumber, pendekatan yang diambil oleh rakyat Palestin dalam peristiwa Intifadah ini adalah lebih berbentuk kepada perhimpunan dan demonstrasi jalanan.

Perlu diketahui, kebangkitan ini berlaku disebabkan beberapa faktor. Namun apa yang pasti, tindakan sebegini tercetus selepas tentera Israel bertindak melanggar konvoi pekerja Palestin dengan kereta kebal ketika hendak pulang semula ke Gaza. Mereka adalah rakyat Palestin yang bekerja di Israel. Sebagai akibat, empat dilaporkan terbunuh dan kesemua mereka adalah dari kem Jabaliya. Peristiwa kemalangan ini dikatakan memang telah dirancang dan bukan suatu kebetulan. Ia merupakan tindakan balas dendam atas kematian seorang usahawan Yahudi Israel yang telah terbunuh dua hari sebelumnya. 

Pun begitu, antara perkara menarik yang boleh kita teliti di sebalik peristiwa Intifadah ini adalah faktor-faktor yang menjadi pencetus khususnya daripada golongan belia. Menurut kajian yang telah dilakukan, sebelum tercetusnya kebangkitan peristiwa Intifadah ini, kesedaran masyarakat Palestin terhadap agama Islam pada ketika itu berada di tahap yang sangat baik terutamanya dalam kalangan mahasiswa universiti. 

Intifadah pertama telah menyaksikan golongan mahasiswa memainkan peranan yang amat penting sama ada mereka diposisikan sebagai pimpinan atau mereka terlibat secara langsung dalam siri-siri pemberontakan yang berlaku. Hal ini boleh dilihat dalam perubahan corak kesedaran dalam kalangan mereka. Kesedaran dan rasa penting ke arah sebuah sistem dan kewujudan gerakan-gerakan yang memperjuangkan Islam khususnya. 

Sebagai contoh, seperti yang dilaporkan oleh sebuah tinjauan, didapati bahawa tiga daripada empat mahasiswa Universiti Islam Gaza telah memilih ikatan Islam (al-Kutlah al-Islamiah) dalam pilihanraya yang diadakan di universiti tersebut. Corak pengundian dalam kalangan mahasiswa dalam pilihanraya rata-ratanya lebih cenderung kepada kelab-kelab yang berorientasikan Islam. Justeru apa yang boleh dirumuskan, kesedaran agama yang muncul dalam diri mereka semakin berkembang dan akhirnya menolak mereka untuk melakukan perubahan. Selanjutnya, bertunjangkan kesedaran ini para belia majoritinya berada di barisan utama dalam barisan pertahanan rakyat menentang rejim Zionis Israel ketika berlakunya Intifadah. 

Bahkan pada tahun sebelum berlakunya peristiwa ini, bibit-bibit awal yang dapat kita lihat, kesan daripada kesedaran yang berlaku dalam kalangan belia ini iaitu pada Disember 1986, di mana tentera Zionis Israel telah menembak mati dua orang mahasiswa Universiti Birzeit di dalam kampus tersebut. Mereka ditembak mati atas alasan kerana telah menyemarakkan siri-siri demonstrasi di daerah kediaman mereka iaitu di Gaza, meluas ke kem-kem dan juga sekolah-sekolah yang lain yang berada di Gaza. Tentunya siri-siri demonstrasi ini mewakili suara-suara mereka dalam memperjuangkan hak pembebasan tanah Palestin. 

Begitu banyak keratan akhbar pada ketika itu melaporkan kes-kes kecederaan dan kematian yang berlaku dalam kalangan pemuda yang telah ditembak mati oleh tentera Zionis Israel. Malahan, golongan belia Palestin yang terlibat bukan sahaja daripada kalangan lelaki, dalam kalangan wanita juga turut terlibat dan tanpa belas kasihan mereka dibunuh ketika pertempuran berdepan tentera Zionis. Antara yang direkodkan terlibat dan mengalami kecederaan dalam siri pertempuran adalah seorang belia wanita, Hanan Beg, 18 tahun yang cedera ditembak dalam himpunan besar-besaran di Bayt Lahiya. 

Hakikatnya, usaha-usaha berani mati seperti pemberontakan, serangan hendap, pembalingan batu dan sebagainya banyak dipelopori oleh golongan anak muda Palestin. Atas kesedaran dan kefahaman yang benar inilah, mereka menjadi golongan yang berani, tidak gentar meskipun tanpa sebarang kelengkapan senjata dan hanya berbekalkan batu.  Maka tidak hairanlah, golongan pemuda dan kanak-kanak di Palestin begitu digeruni oleh rejim Zionis Israel. 

Meskipun kebangkitan mereka tidaklah setanding dengan kelengkapan yang dimiliki tentera rejim, namun atas dasar cintakan agama dan tanah air, rakyat Palestin tetap bangkit menentang dan memperjuangkan hak mereka. Demikianlah sejarah memperlihatkan bahawa kesedaran terhadap ajaran Islam dalam diri mereka ini menunjukkan bahawa kebangkitan Islam yang berlaku telah disokong dan didokong oleh golongan belia khususnya golongan mahasiswa universiti. Mereka merupakan golongan anak muda yang memiliki satu keazaman serta semangat juang yang tinggi untuk membebaskan tanah Palestin dan agama suci Islam daripada terus dicengkam rejim Zionis Israel. 

James L. Gevin menyatakan di dalam bukunya The Israel-Palestine Conflict: One Hundred Years of War bahawa, pemuda Palestin merupakan tonggak utama dalam masyarakat, dan mereka inilah yang duduk di barisan hadapan bagi menentang tentera rejim Zionis. Dalam serba kekurangan, berbekalkan kayu dan batu dalam perjuangan pembebasan, serangan psikologi yang dilancarkan mereka ketika peristiwa Intifadah telah memperlihatkan bahawa rakyat Palestin tidak sesekali gentar terhadap rejim Zionis Israel. Sebaliknya tindakan mereka berjaya menggerunkan pihak musuh.