All Articles

Di Sebalik Kecanggihan Teknologi dan Kerapuhan Ekonomi Penjajah Akibat Perang Berpanjangan

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Written by
Nur 'Afifah
Published on
June 15, 2026


Rejim haram Israel telah melancarkan peperangan di pelbagai medan sejak hampir dua tahun setengah yang lalu. Peperangan tersebut telah menghakis sebahagian besar keupayaan ketenteraan dan ekonominya, khususnya sejak tercetusnya Taufan Al-Aqsa pada 7 Oktober 2023, sekali gus membuka ruang kepada konflik berpanjangan merentasi lebih daripada satu medan serantau. Dalam tempoh itu, Amerika Syarikat (AS) bersama penjajah telah melaksanakan pelbagai serangan udara dan operasi ketenteraan yang menyasarkan pihak lawannya di rantau ini.


Sewaktu peperangan, tentera Zionis banyak bergantung kepada sistem mobilisasi ketenteraan yang melibatkan pasukan simpanan selain tentera tetap yang beroperasi di lapangan ketika situasi aman dan perang. Ketika perang tercetus, orang awam akan dipanggil untuk berkhidmat dalam tentera hingga menyebabkan banyak jawatan awam dikosongkan dalam pelbagai sektor seperti pelancongan, ekonomi, teknologi, kesihatan, pendidikan dan alam sekitar, yang merupakan sektor penting dalam negara haram itu.


Corak mobilisasi ini merupakan antara ciri utama dalam kajian strategik dalam ekonomi perang, iaitu keadaan apabila ekonomi dan sumber manusia sesebuah negara digerakkan bagi memenuhi tuntutan konflik ketenteraan jangka panjang. Disebabkan kepentingan ekonomi rejim haram Israel, sebarang kelemahan di dalamnya boleh dianggap sebagai keretakan besar dalam struktur negara haram Israel. Hal ini kerana banyak sektor ekonominya bergantung kepada jaringan kompleks yang melibatkan industri, perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Oleh itu, ekonomi menjadi nadi penting bagi memastikan kerajaan haram Israel terus mampu membiayai operasi ketenteraan serta mengurus konflik yang berpanjangan.


Oleh itu, pihak-pihak yang menentang penjajahan rejim haram Israel tidak berhenti berusaha melaksanakan operasi yang menyasarkan ekonomi negara haram itu. Usaha ini berdasarkan andaian bahawa serangan terhadap salah satu sektor ekonomi mampu melemahkan struktur dalaman masyarakat dan negara haram itu secara serentak. Sekiranya berlaku kemerosotan ekonomi yang mendadak, negara-negara penaja seperti AS dan beberapa negara Kesatuan Eropah (EU) mungkin berdepan tekanan politik dan strategik untuk menilai semula tahap sokongan yang diberikan kepadanya. Perkara ini berkait rapat dengan konsep keselamatan ekonomi iaitu keupayaan sesebuah ‘negara’ untuk mengekalkan kestabilan ekonominya ketika berdepan krisis dan konflik, sebagai salah satu komponen asas kekuatan menyeluruh negara.


Namun, persoalan yang paling penting adalah: Apakah bentuk pendekatan yang digunakan oleh Zionis dalam mengurus ekonominya ketika perang? Dan adakah dengan menyasarkan ekonomi mereka memberikan satu kesan yang signifikan ke atasnya?


Rejim haram Israel merupakan antara pemain utama dunia dalam sektor teknologi tinggi dengan rangkaian kerjasama antarabangsa yang luas. Sektor teknologi dilihat sebagai aset strategik dari dua sudut utama, iaitu ekonomi dan keselamatan. Dari aspek ekonomi, sektor tersebut berperanan menarik pelaburan asing serta menghubungkan ekonomi rejim itu dengan pasaran global. Pelbagai anggaran ekonomi menunjukkan bahawa industri teknologi canggih menyumbang sebahagian besar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain menjadi penerima utama pelaburan asing. Dari sudut keselamatan pula, teknologi dimanfaatkan untuk tujuan pengawasan, perisikan, pengumpulan data serta memperkukuh keupayaan pertahanan dan ketenteraan.


Pertindihan antara ekonomi, teknologi dan keselamatan bukan sahaja menjadikan sektor teknologi sebagai tunjang utama kekuatan ekonomi penjajah, tetapi juga sebagai sektor sensitif yang mudah terjejas jika berlaku gangguan besar dalam persekitaran keselamatan dan ekonomi. Kewujudan unit ketenteraan dan keselamatan khusus dalam perisikan teknikal serta pintasan elektronik juga mencerminkan kepentingan strategik sektor ini. Oleh itu, teknologi bukan sekadar sektor ekonomi biasa, tetapi juga merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan negara penjajah. 


Dari sudut pandang ini, beberapa penganalisis berpendapat bahawa sektor teknologi boleh berubah menjadi medan konflik tambahan dalam perang tidak simetri, khususnya ketika ruang siber semakin penting dalam konflik antarabangsa kini. Perkara ini termasuk dalam kerangka perang siber, yang kini menjadi salah satu dimensi utama persaingan antara negara dan aktor bukan negara dalam era digital.


Walaupun begitu, ekonomi penjajah telah menunjukkan keupayaan yang tinggi untuk menyesuaikan diri dengan konflik serantau sejak beberapa dekad yang lalu. Penjajah pernah melalui beberapa siri perang pada tahun 1967, 1973, 1982 serta konflik di Gaza dan Intifada Palestin. Walaupun begitu, ekonomi mereka tidak mengalami keruntuhan sepenuhnya malah turut menunjukkan kemampuan untuk menyesuaikan diri dengan krisis global seperti pandemik Covid-19. Hal ini mencerminkan sifat ekonomi negara haram Israel yang banyak bergantung kepada inovasi, teknologi dan pelaburan dalam penyelidikan saintifik. 


Perkara ini berkait rapat dengan perubahan strategik yang dilaksanakan oleh rejim penjajah sejak 1990-an, iaitu ke arah keterbukaan ekonomi serta pengukuhan ekonomi berasaskan pengetahuan. Dalam tempoh yang sama, rejim itu turut berusaha menarik pelaburan asing dalam bidang penyelidikan saintifik dan pembangunan teknologi bagi memperkukuh daya saing ekonominya di peringkat global.


Walau bagaimanapun, kesan peperangan tidak dirasai secara sama rata oleh semua sektor ekonomi. Sektor pelancongan, pengangkutan, perkhidmatan dan pelaburan jangka pendek lazimnya lebih terdedah kepada gangguan berbanding sektor teknologi tinggi atau industri yang berkait rapat dengan keselamatan dan pertahanan. Pada masa yang sama, mobilisasi ketenteraan yang berpanjangan berpotensi menjejaskan kapasiti pengeluaran dalam beberapa sektor penting akibat kekurangan tenaga kerja dan pengalihan sumber kepada keperluan perang.


Keadaan ini boleh meletakkan ekonomi di bawah tekanan yang semakin meningkat kerana walau sekuat mana sekalipun sesebuah ekonomi, keupayaannya untuk berkembang tetap bergantung pada kemampuan sumber manusianya menjana produktiviti, inovasi dan pertumbuhan yang berterusan.

Dalam konteks ini, sebahagian penyelidik melihat bahawa konflik moden tidak terbatas kepada pertembungan ketenteraan secara konvensional, bahkan telah tersebar ke bidang baharu seperti ruang siber, ekonomi digital dan infrastruktur teknologi. Oleh itu, fokus pihak-pihak yang menentang penjajah mungkin terarah kepada usaha menyasarkan lapisan perlindungan ekonomi serta infrastruktur teknologi yang berkait dengannya, memandangkan ekonomi moden tidak lagi bergantung pada sumber tradisional, malah telah banyak berasaskan infrastruktur digital, pangkalan data dan sistem komunikasi canggih. 


Dalam konteks ini, beberapa penyelidik dalam bidang keselamatan siber menyatakan bahawa konflik moden kini turut merangkumi usaha untuk mempengaruhi infrastruktur digital negara pesaing. Perkara ini boleh berlaku melalui gangguan sistem, kekacauan pada rangkaian maklumat atau menyasarkan infrastruktur digital. Oleh itu, gangguan sistem digital atau pendedahan kepada ketidakseimbangan utama boleh menyebabkan impak besar ke atas sektor ekonomi dan keselamatan. Hal ini kerana sektor-sektor penting seperti perbankan, tenaga, perdagangan elektronik dan penyelidikan saintifik sangat bergantung kepada sistem digital yang canggih. 


Ini bermaksud, ruang siber telah menjadi medan pertempuran selari dengan medan pertempuran tradisional. Ia termasuk dalam konsep yang dikenali dalam literatur kontemporari sebagai perang siber, iaitu alat yang digunakan oleh negara dan aktor bukan negara dalam persaingan serta konflik antarabangsa.


Dalam dunia yang bergantung kepada ekonomi digital dan teknologi canggih, sebarang gangguan besar pusat pengurusan data atau infrastruktur digital bukan sahaja boleh menjejaskan ekonomi sesebuah negara tertentu, malah rangkaian hubungan ekonomi global yang berkait dengannya. Peningkatan kebergantungan dunia kepada teknologi turut menjadikan ekonomi-ekonomi utama saling berkait pada tahap yang tinggi. Ini bermakna, sebarang gangguan kepada salah satu nod teknologi penting boleh memberi kesan kepada pasaran dan syarikat di pelbagai kawasan di dunia. 


Oleh itu, ekonomi negara haram Israel bukan sebuah kekuatan ekonomi yang terpisah dari persekitan antarabangsa, tetapi sebaliknya membentuk sebahagian daripada rangkaian ekonomi global yang luas. Disebabkan itu, sebarang kejutan ekonomi besar yang dialami berpotensi memberi kesan pelbagai tahap terhadap rakan ekonomi dan sekutu antarabangsanya. 


Dari sini, kita dapat lihat kondisi ketidakstabilan keselamatan dan ketenteraan yang berterusan dalam persekitaran serantau berpotensi memberi cabaran yang semakin besar kepada ekonomi negara haram Israel. Khususnya, jika konflik tersebut bertukar menjadi konflik jangka panjang yang merangkumi dimensi ketenteraan, ekonomi dan teknologi.


Diterjemahkan oleh: Nur 'Afifah