All Articles

Di Sebalik Statistik: Realiti Hidup Anak Yatim di Gaza

Written by
Khairul Yunus
Published on
February 26, 2026


Gaza berdepan krisis kemanusiaan berpanjangan akibat konflik bersenjata yang berulang sejak bertahun-tahun. Dalam keadaan ini, kesan peperangan tidak terhad kepada kemusnahan fizikal atau kehilangan nyawa semata-mata, tetapi turut menjejaskan struktur keluarga sebagai institusi utama perlindungan kanak-kanak. Apabila ibu bapa terbunuh atau terpisah akibat konflik, kanak-kanak kehilangan jaringan sokongan sosial dan emosi yang penting untuk kelangsungan hidup mereka.

Pada masa yang sama, perpindahan penduduk, kemerosotan taraf hidup dan risiko trauma psikologi membentuk persekitaran yang semakin tidak stabil bagi perkembangan kanak-kanak. Dalam konteks ini, anak-anak yatim di Gaza muncul sebagai kelompok paling terdedah dengan risiko, bukan sahaja kerana kehilangan ibu bapa, tetapi juga kerana proses perkembangan psikososial mereka terganggu dalam tempoh pembesaran. Oleh itu, memahami realiti mereka memerlukan analisis yang melangkaui angka statistik, dengan meneliti bagaimana krisis berpanjangan membentuk kehidupan harian dan masa depan generasi muda di Gaza.


Konteks Konflik di Gaza

Sejak konflik Israel–Palestin memuncak pada tahun 2023 dan masih berlarutan hingga kini, Gaza berdepan kemusnahan berskala besar di kawasan perumahan, kemudahan awam serta jaringan sosial masyarakat. Dalam keadaan konflik bandar yang padat penduduk, kesannya tidak hanya terlihat pada kerosakan fizikal, tetapi turut dirasai dalam kehidupan seharian keluarga. Kehilangan ibu bapa, kecederaan serius dan perpindahan paksa menjadi pengalaman yang mengubah corak penjagaan kanak-kanak dalam komuniti setempat.

Apabila ibu atau bapa terbunuh, cedera atau terpaksa berpisah demi keselamatan, tanggungjawab penjagaan sering beralih kepada saudara terdekat atau jiran yang berada di sekeliling mereka. Peralihan ini berlaku secara beransur-ansur dan meluas, sehingga membentuk pola baharu dalam kehidupan keluarga di sana. Struktur keluarga tidak runtuh secara mendadak, tetapi berubah sedikit demi sedikit di bawah tekanan konflik yang berterusan.

Dari perspektif inilah, statistik anak yatim perlu ditafsir sebagai indikator perubahan sosial yang sedang berlaku. Ia menunjukkan bagaimana konflik yang berpanjangan membentuk generasi kanak-kanak yang membesar dalam keadaan kehilangan dan ketidakstabilan emosi yang berlarutan.


Taburan Geografi Anak Yatim

Perubahan struktur keluarga akibat konflik berterusan ini turut memperlihatkan pola yang tidak sekata mengikut wilayah di Gaza. Peningkatan jumlah anak yatim lebih ketara di kawasan yang mengalami intensiti konflik paling tinggi, berbanding kawasan yang kurang terjejas. Keadaan ini menunjukkan bahawa geografi peperangan berkait rapat dengan jumlah kehilangan keluarga dalam masyarakat setempat, khususnya di kawasan yang paling kerap terdedah kepada serangan dan kemusnahan penempatan awam. 

Menurut laporan Palestinian Orphan Home Association, wilayah Khan Yunis mencatatkan 7,914 anak yatim, termasuk 271 kanak-kanak yang kehilangan kedua-dua ibu bapa. Di Rafah pula, jumlah anak yatim direkodkan sebanyak 4,528 orang, dengan sekurang-kurangnya 133 kanak-kanak yang kehilangan kedua-dua ibu bapa. Angka ini menunjukkan kesan langsung operasi ketenteraan dan perpindahan penduduk yang berulang di kawasan selatan Gaza.

Di bahagian tengah dan utara Gaza pula, gambaran kehilangan menjadi lebih ketara. Bandar Gaza merekodkan 9,359 anak yatim, manakala di utara Gaza mencatat jumlah tertinggi iaitu 9,739 orang. Perbandingan ini menunjukkan bahawa kawasan yang mengalami serangan intensif serta kemusnahan infrastruktur secara meluas menanggung beban sosial yang lebih berat, khususnya terhadap institusi keluarga.

Secara keseluruhan, taburan angka ini membentuk gambaran geografi tentang kesan konflik terhadap struktur keluarga di Gaza. Setiap kawasan bukan sekadar mewakili lokasi fizikal, tetapi mencerminkan tahap kehilangan keluarga dan kesan psikososial yang dialami masyarakat setempat sepanjang konflik berlangsung.


Tiga Bentuk Kehilangan Utama

Statistik anak yatim di Gaza menunjukkan bahawa krisis yang dialami kanak-kanak ini tidak terhad kepada kehilangan ibu bapa semata-mata, tetapi turut melibatkan kehilangan tempat tinggal serta kesan terhadap keupayaan fizikal mereka. Ketiga-tiga bentuk kehilangan ini saling berkait dan bersama-sama membentuk realiti kehidupan harian anak yatim di wilayah konflik tersebut.

Bentuk pertama ialah kehilangan ibu bapa sebagai penjaga utama. Menurut laporan sebuah NGO Gazze Destek Derneği (GDD), daripada keseluruhan 58,554 anak yatim, sekurang-kurangnya 17,000 daripadanya kehilangan kedua-dua ibu bapa. Kehilangan ini bukan sahaja memberi kesan emosi, tetapi turut mengubah struktur penjagaan harian, termasuk pemenuhan keperluan asas, sokongan psikologi dan kestabilan kehidupan harian.

Bentuk kedua ialah kehilangan tempat tinggal akibat kemusnahan kawasan perumahan. Sebanyak 30,575 anak yatim berasal daripada keluarga yang kediamannya musnah sepenuhnya, manakala 7,387 lagi daripada kediaman yang rosak sebahagian. Situasi ini menunjukkan bahawa mereka bukan sahaja kehilangan ibu bapa, tetapi juga kehilangan rumah sebagai ruang perlindungan dan kestabilan kehidupan seharian. Ketiadaan tempat tinggal yang tetap menyebabkan penjagaan oleh saudara-mara atau komuniti menjadi lebih sukar dan berisiko.

Bentuk ketiga berkait dengan kehilangan keupayaan fizikal akibat kecederaan dan kecacatan. Sekurang-kurangnya 549 anak yatim dilaporkan mengalami kecederaan, 124 mengalami kecacatan, dan 1,746 berdepan penyakit kronik akibat konflik. Selain itu, sekurang-kurangnya 42 kes amputasi direkodkan dalam kalangan kanak-kanak, menunjukkan kesan fizikal peperangan terhadap kanak-kanak yang masih dalam fasa pembesaran.

Secara keseluruhan, kehilangan penjaga utama, kehilangan tempat tinggal dan kehilangan keupayaan fizikal membentuk satu rangkaian krisis yang secara langsung mempengaruhi realiti kehidupan anak yatim di wilayah konflik tersebut.

Perubahan Struktur Keluarga 

Sehubungan dengan itu, data ini menunjukkan bahawa konflik berpanjangan telah merombak struktur keluarga di Gaza secara ketara. Kehilangan ibu bapa dalam skala besar memaksa kanak-kanak bergantung kepada datuk, nenek atau saudara terdekat untuk meneruskan kehidupan. Dalam banyak kes, ibu yang masih hidup terpaksa memikul peranan sebagai ketua keluarga dalam keadaan ekonomi dan psikologi yang mencabar.

Statistik menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 13,089 ibu berstatus balu dalam kalangan keluarga anak yatim ini. Angka tersebut mengukuhkan gambaran bahawa konflik bukan sahaja menyebabkan pertambahan anak yatim, tetapi juga meningkatkan bilangan keluarga yang diketuai oleh ibu tunggal yang berdepan tekanan sosial dan ekonomi yang berat.

Perubahan dalam struktur keluarga ini memberi kesan langsung terhadap kesejahteraan mental dan kestabilan komuniti dalam jangka panjang. Pada masa yang sama, tekanan terhadap institusi keluarga turut meningkatkan beban ekonomi serta mengehadkan akses kanak-kanak kepada pelbagai sokongan sosial.



Realiti Harian Anak Yatim

Dalam perbincangan geopolitik, konflik Israel–Palestin sering difokuskan kepada persoalan sempadan wilayah dan rundingan damai. Namun bagi anak yatim di Gaza, kesan konflik dirasai secara lebih langsung dalam bentuk kehidupan tanpa ibu bapa, kehilangan tempat tinggal dan ketidakpastian masa depan

Ramai daripada mereka membesar dalam keadaan perpindahan berulang, perkembangan pendidikan yang terjejas dan akses kesihatan yang terhad. Kehilangan ibu bapa turut menjadikan mereka lebih terdedah kepada kemiskinan, eksploitasi dan tekanan emosi yang berterusan. Keadaan ini membentuk pengalaman hidup harian anak yatim di Gaza yang dipenuhi ketidakpastian, bergantung kepada sokongan saudara-mara atau komuniti untuk meneruskan kehidupan.

Implikasi Terhadap Generasi Muda

Secara keseluruhan, peningkatan jumlah anak yatim di Gaza memberi implikasi jangka panjang terhadap pembentukan generasi muda di wilayah konflik tersebut. Kehilangan ibu bapa, kemusnahan kediaman serta pendedahan berulang kepada keganasan meletakkan kanak-kanak ini dalam keadaan yang sangat terdedah. Mereka berisiko mengalami kesan psikososial yang berpanjangan akibat pengalaman traumatik tersebut. Keadaan ini berpotensi menjejaskan kelangsungan pembelajaran formal, kesejahteraan mental dan integrasi sosial mereka apabila memasuki fasa remaja dan dewasa.

Dalam konteks konflik yang berlarutan, isu anak yatim tidak lagi terhad kepada dimensi kebajikan semata-mata, tetapi menjadi cabaran sosial yang menjejaskan kesinambungan generasi dan daya tahan masyarakat. Justeru, statistik anak yatim ini berfungsi sebagai indikator sosial yang penting, menunjukkan bahawa kesan peperangan bukan sahaja melibatkan kehilangan nyawa, tetapi turut membentuk struktur keluarga, kestabilan tempat tinggal dan hala tuju sosial generasi muda pada masa hadapan.