All Articles

Flotila dan Simbolisme Pembebasan Palestin

Written by
Khairul Yunus
Published on
May 11, 2026


Pergerakan Global Sumud Flotilla (GSF 2.0) kali ini berhadapan detik cemas, dengan cabaran pemintasan oleh Tentera Penjajah Israel (IOF) di lautan berhampiran Crete, Greece. Kejadian yang berlaku pada hari Khamis, 30 April 2026 menyaksikan sebanyak 21 daripada 69 kapal telah dipintas secara haram di perairan antarabangsa, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap pematuhan undang-undang maritim dunia. Walaupun berdepan ancaman, flotila tetap meneruskan pelayaran, selari misinya untuk memecahkan kesunyian dan membuka sekatan haram ke atas Gaza. Sehingga detik ini, GSF telah menjadi ikon baharu dalam rangkaian simbol perjuangan untuk membela rakyat Palestin. Namun, terdapat juga simbol-simbol lain yang sudah sebati membawa makna unik dan tersendiri, bahkan rangkaian simbol ini memainkan peranan yang cukup penting dalam arus penentangan dan pembebasan Palestin.

Bendera Palestin: Simbol Kedaulatan

Salah satu simbol yang paling utama dan sering dikibarkan dalam setiap misi flotila adalah bendera Palestin. Sejarah di sebalik wujudnya bendera ini berasal daripada kebangkitan nasionalisme Arab pada awal abad ke-20. Ketika itu muncul gerakan seperti Al-Fatat (1911) dan Ottoman Party for Administrative Decentralization, yang berusaha membina identiti politik Arab selepas kejatuhan Uthmaniyyah. Hasil daripada usaha tersebut, tiga warna utama dipilih iaitu hitam, hijau dan putih sebagai manifestasi kesatuan dan pembebasan.

Sejarah bendera ini berkembang berlaku semasa era Sharif Hussein melancarkan Arab Revolt pada 10 Jun 1916. Waktu itu, bendera penentangan mengekalkan elemen warna hitam, hijau dan putih pada jalurnya, manakala elemen segi tiga merah di bahagian kiri bendera ditambah untuk melambangkan kepimpinan Hashemite dan semangat perjuangan. Setahun kemudian, bendera ini mula digunakan secara lebih meluas dalam gerakan tersebut, namun susunan jalurnya masih lagi belum ditetapkan.

Pada 28 Mei 1964, bendera ini kemudian secara rasminya diinstitusikan oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) sebagai lambang perjuangan kemerdekaan Palestin. Sejak itu, susunan jalur bendera telah dimuktamadkan secara konsisten kepada hitam (atas), putih (tengah) dan hijau (bawah), bersama segi tiga merah di bahagian kiri, menandakan peralihan daripada simbol revolusi kepada identiti nasional Palestin moden. Bendera ini akhirnya mencapai tahap pengiktirafan antarabangsa yang signifikan pada 30 September 2015, bilamana ia dikibarkan buat pertama kalinya di bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York susulan resolusi yang membenarkan pengibaran bendera bagi negara pemerhati bukan ahli.

Sebagai tambahan, penulis secara peribadi ingin berkongsi bagaimana kaedah yang mudah untuk mengingat susunan bendera ini. Bermula dengan peletakan warna merah; segitiga sama kaki; di tengah sebelah kiri, sebagai lambang perjuangan dengan darah dan nyawa. Kemudian tiga jalur mendatar sama lebar boleh dihafal dengan susunan yang terdapat pada elemen bumi iaitu jalur atas: hitam bak angkasa, jalur tengah: putih bak awan dan jalur bawah: hijau bak rerumputan. Dengan ini, kekeliruan terhadap pemilihan dan penggunaan bendera Palestin sebagai simbol sebuah negara yang berdaulat dapat dielakkan.


Tembikai: Kreativiti Merentas Sekatan

Antara simbol penentangan paling popular di ruang digital dan gerakan sosial masa kini adalah melalui penggunaan imej tembikai. Kreativiti tersebut telah berjaya menzahirkan sebuah abstrak yang menggambarkan realiti perjuangan untuk rakyat Palestin. Asal usul timbulnya idea ini adalah selepas Perang Enam Hari (1967) di mana pihak IOF mengharamkan sebarang paparan yang terkait dengan bendera Palestin. Disebabkan tembikai mempunyai warna semula jadi yang sama dengan bendera Palestin; merah, hijau, hitam, dan putih, maka ia mula digunakan oleh para artis dan rakyat untuk menzahirkan identiti tanpa dikesan oleh rejim penjajah Israel. Seiring peredaran zaman, penggunaanya kini semakin meluas di media sosial, dengan imej dan emoji tembikai digunakan di mana-mana platform media untuk mengelakkan sekatan kandungan atau shadowban terhadap hantaran yang menyokong Palestin.

Keffiyeh: Lambang Keteguhan Identiti

Jika tembikai melambangkan kreativiti, keffiyeh pula melambangkan keteguhan identiti. Skaf yang bermotifkan petak hitam-putih ini berubah menjadi sebuah simbol perlawanan politik menentang penjajahan British sejak peristiwa pemberontakan Arab pada tahun 1936. Setiap corak pada keffiyeh mempunyai maknanya yang tersendiri seperti (1) corak jala ikan; mewakili hubungan rakyat dan lautan, (2) corak daun zaitun; melambangkan kekuatan dan ketabahan dan (3) garisan tebal; mewakili laluan perdagangan. Ramai tokoh politik, selebriti, aktivis dan masyarakat hari ini menggunakan keffiyeh sebagai aksesori fesyen yang secara tidak langsung membawa mesej perjuangan rakyat yang tertindas. Selain itu, skaf ini juga sinonim dengan pemakaian para mujahidin yang menggunakannya untuk melindungi identiti dan menyembunyikan wajah mereka. Bahkan, keffiyeh turut menjadi simbol ikonik yang cukup sinonim dengan tokoh nasional Palestin, Yasser Arafat yang sentiasa memakainya di kepala beliau.

Pohon Zaitun & Kunci : Antara Ketahanan dan Harapan

Pohon zaitun adalah tumbuhan yang tumbuh subur dan berasal dari bumi barakah.  Pohon ini sangat signifikan dalam kehidupan rakyat Palestin, sehingga sekitar 100,000 keluarga bergantung sepenuhnya kepada hasil zaitun setiap tahun. Sepertimana sifat pohon ini yang mampu bertahan walaupun dalam keadaan cuaca ekstrem, sifat yang sama menjadi cerminan dalam diri rakyat Palestin yang teguh bertahan berjuang untuk tanah air mereka. 

Selain simbol ketahanan, terdapat juga simbol harapan yang sering diguna pakai dalam menzahir hasrat dan perasaan. Contohnya ialah kunci besi yang dibawa semasa peristiwa Nakba pada tahun 1948, yang melambangkan hak untuk pulang bagi sekitar 750,000 rakyat Palestin yang diusir secara paksa dari tanah air mereka. Kunci-kunci ini kemudiannya diwariskan dari satu generasi ke generasi seterusnya sebagai bukti fizikal terhadap rumah-rumah yang ditinggalkan. Ia menjadi simbol harapan yang tidak pernah luntur bahawa suatu hari nanti, pintu-pintu rumah di tanah air mereka akan dibuka semula oleh pemilik asalnya.

Handala dan Peta: Hero Cilik dan Sempadan Negara

Harapan untuk pulang ini turut dizahirkan melalui watak Handala. Siapakah Handala? Handala ialah watak kartun ciptaan Naji al-Ali. Watak kanak-kanak berusia 10 tahun yang sentiasa membelakangi penonton sejak tahun 1973 ini melambangkan bagaimana dunia membelakangkan nasib rakyat Palestin. Nama Handala pula diambil daripada buah handhal yang pahit, namun mempunyai akar yang sangat kuat di bumi Palestin.

Selari dengan kehadiran Handala, peta Palestin asal yang merujuk kepada sempadan sebelum tahun 1948 turut menjadi bukti sejarah yang penting. Peta ini berkembang sebagai simbol kedaulatan tanah air yang terus dituntut dan diperjuangkan oleh rakyat Palestin.

Merpati, Kaktus dan Masjid al-Aqsa: Simbol Alam dan Keagamaan 

Perjuangan ini turut diserikan dengan simbol-simbol alam seperti burung merpati putih yang membawa dahan zaitun sebagai tanda harapan terhadap kebebasan dan keamanan sebenar. Selain itu, kaktus (sabra) pula melambangkan kemampuan rakyat Palestin untuk terus hidup dan menyesuaikan diri dalam keadaan yang sangat sukar, sepertimana kaktus yang tetap tumbuh di tapak perkampungan yang telah musnah.

Keseluruhan simbol ini akhirnya berpaksikan kepada Masjid al-Aqsa di Baitul Maqdis. Kompleks ini bukan sekadar tempat ibadah ketiga paling suci dalam Islam, malah menjadi teras identiti nasional dan kerohanian yang sentiasa dipertahankan oleh rakyat Palestin serta umat Islam di seluruh dunia.


Kesimpulan

Secara keseluruhannya, daripada pergerakan flotila di lautan hingga simbol-simbol visual di daratan, naratif penentangan Palestin membuktikan bahawa identiti perjuangan mereka terus dipelihara melalui bahasa simbolik dan semangat perjuangan.

Usaha untuk mencapai pembebasan hakiki juga akan terus hidup dalam sanubari masyarakat sejagat selagi semangat tersebut kekal dipertahankan.