All Articles

Gaza Berdarah: Kekejaman Tanpa Henti di Tengah Usaha Genjatan Senjata

Written by
Khairul Yunus
Published on
March 19, 2025

Awal pagi 17 Ramadan, Gaza sekali lagi menjadi medan serangan bersenjata besar-besaran oleh Israel, yang dilaporkan sebagai tindak balas terhadap kebuntuan dalam rundingan gencatan senjata bersama HAMAS. Serangan ini yang dikatakan sebagai kesinambungan kekejaman Israel sejak gencatan senjata Januari lalu, telah memakan korban seramai lebih daripada 200 orang termasuk wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan ratusan yang lain. Serangan ini telah mencetuskan persoalan mendalam tentang keadilan, hak asasi manusia, dan masa depan keamanan di wilayah tersebut.

Latar Belakang Serangan

Menurut kenyataan pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, serangan ini dilancarkan selepas Hamas didakwa enggan melepaskan tebusan dan menolak semua cadangan yang dikemukakan oleh perantara antarabangsa. Mereka turut mengabsahkan serangan ini disokong penuh oleh sekutu Amerika Syarikat. Netanyahu menyatakan bahawa operasi ini akan diteruskan ‘selama mana yang diperlukan’ dan mungkin diperluaskan menggunakan serangan udara.

Namun, Hamas dalam respon balasnya menuduh Israel telah terlebih dahulu melanggar perjanjian gencatan senjata secara sepihak dan dan melanjutkan “perang genosid terhadap orang awam yang tidak berdaya di Semenanjung Gaza”. Setelah sekian lama berada di bawah sekatan ketat Israel, Gaza terpaksa berdepan lagi dan lagi dengan krisis kemanusiaan yang semakin buruk, dengan kekurangan makanan, air, dan bekalan perubatan.

Kesan Kemanusiaan

Serangan ini telah menyebabkan kemusnahan besar-besaran seterusnya di kawasan perumahan dan infrastruktur awam di Gaza yang sebelumnya sudahpun hancur dalam serangan lepas. Menurut laporan, ramai mangsa masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan yang dibom. Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan bahawa lebih separuh daripada mangsa yang terkorban adalah wanita dan kanak-kanak.

Krisis ini menambah penderitaan kepada penduduk Gaza, yang sudah pun menghadapi keadaan hidup yang tidak berperikemanusiaan akibat sekatan yang dikenakan oleh Israel sejak 2007. UNICEF dan organisasi kemanusiaan lain telah memberi amaran bahawa ratusan ribu kanak-kanak di Gaza kini dalam keadaan darurat dan berjuang untuk terus hidup.

Analisis Serangan

Tindakan Sepihak Israel; Serangan ini menunjukkan sikap Israel menangani konflik dengan Hamas secara unilateral. Israel menyatakan bahawa tindakan ketenteraannya bertujuan untuk melindungi kepentingan negaranya dan memberi amaran tegas ke atas kumpulan Hamas. Walau bagaimanapun, tindakan ini telah dikritik secara meluas kerana menyebabkan kematian dan penderitaan yang besar kepada penduduk awam Gaza.

Menurut undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Geneva 1949, semua pihak yang terlibat dalam konflik bersenjata dikehendaki melindungi penduduk awam dan memastikan tindakan ketenteraan mematuhi prinsip seperti perbezaan (membezakan antara sasaran tentera dan awam) dan proportionality (mengelakkan kerosakan yang berlebihan kepada penduduk awam).  Walau bagaimanapun, organisasi hak asasi manusia telah melaporkan bahawa prinsip-prinsip ini kerap dilanggar dalam serangan Israel ke atas Gaza.

Peranan Amerika Syarikat; Sehubungan dengan serangan terbaharu ke atas Gaza, laporan menunjukkan bahawa pentadbiran Donald Trump telah lebih awal memberi restu ke atas Israel untuk melakukan serangan sebelum ia dilancarkan.  Kenyataan ini menunjukkan hubungan yang erat antara kedua-dua negara; Tel Aviv dan Washington sering membuat keputusan strategik terlebih dahulu dalam perancangan jahat mereka ke atas Gaza.  Sokongan ini menimbulkan persoalan tentang komitmen Amerika Syarikat dalam ketegangan konflik, terutamanya apabila tindakan Israel melanggar hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa. 

Kegagalan Komuniti Antarabangsa; Berdasarkan laporan, serangan Israel di Gaza telah menyebabkan hampir keseluruhan daripada kediaman Gaza rosak, 80% kemudahan komersial hancur, 87% bangunan sekolah dan kemudahan penjagaan kesihatan berjaya diranapkan. Selain itu, ribuan orang telah mati, termasuk kanak-kanak, dan puluhan ribu telah dicederakan dalam serangan ini.  Walaupun banyak pihak, termasuk Liga Arab, telah mengecam tahap keganasan ini dan meminta tindakan segera untuk menghentikan pencabulan hak asasi manusia di Gaza, malangnya tiada usaha yang tuntas dibuat untuk menyelesaikan kesusahan rakyat Gaza.

Krisis ini menunjukkan betapa lemahnya masyarakat antarabangsa dan betapa lemahnya organisasi global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk melaksanakan tanggungjawab mereka. Malaysia, sebagai contoh, pernah meminta PBB melakukan campur tangan dengan tegas untuk menangani krisis kemanusiaan di Gaza yang semakin teruk. Namun, seruan ini kerap tidak disusuli dengan tindakan yang berkesan.

Kesimpulan

Serangan terbaru ini menunjukkan kegagalan diplomasi dan ketidakadilan yang berterusan yang dialami oleh rakyat Palestin.  Gaza tidak memerlukan sekatan tambahan atau bom. Sebaliknya, ia memerlukan penyelesaian yang adil dan berkekalan yang menghormati hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa.