All Articles

Gaza Hasyim: Nama Lain bagi Gaza

Written by
Nur 'Afifah
Published on
June 9, 2026


Perang Taufan al-Aqsa yang masih berterusan hingga ke hari ini menjadikan nama Gaza meniti di bibir masyarakat Malaysia, malah turut mendapat perhatian masyarakat dunia. Perang yang tercetus antara rejim haram Israel dan Palestin ini bukanlah yang pertama. Sebaliknya, ia mencerminkan perjuangan berterusan rakyat Palestin untuk bangkit melawan penjajah dan naratif yang dibawa bagi mengekalkan kedaulatan tanah air sendiri. Namun, disebalik situasi yang membungkam ini, ramai tidak mengetahui bahawa wilayah ini memikul beban sejarah yang sangat padat terutamanya apabila ia berhubung kait dengan salasilah Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. 


Berdasarkan rekod sejarah dan kajian, Gaza mempunyai nama samaran yang lain dan hanya diketahui oleh penduduk di sana, mahupun pengkaji yang menyoroti sejarah lama mereka. Antara gelarannya ialah Hazatu (هازاتو), Gazatu (غازاتو) dan Gaza Hasyim (غزة هاشم). 


Asal Usul Gaza Hasyim

Mengapa ia digelar Gaza Hasyim? Hal ini kerana ‘Hasyim’ dinisbahkan kepada Amru bin Abdul Manaf (atau dikenali sebagai Hasyim), iaitu moyang Nabi Muhammad SAW. Moyang Baginda meninggal dunia sekitar tahun 524 masihi di wilayah itu ketika dalam perjalanan untuk pulang ke Mekah selepas urusan perdagangan. Moyang Baginda dikebumikan di sana dan sebagai tanda hormat kepada beliau, bandar ini diberi gelaran bersempena namanya, Gaza Hasyim. Nama Gaza Hasyim turut mengingatkan masyarakat terhadap sifat-sifat keperibadian mulia Hasyim bin Abdul Manaf yang terkenal dengan kemurahan hati, mempunyai kedudukan yang tinggi dan suka berkongsi apa sahaja untuk membantu orang lain. Malah, gelaran ‘Hasyim’ itu berasal daripada kata kerja هَشَمَ yang bermaksud memecahkan dan isim fa’il atau pelakunya disebut هاشِمْ. Gelaran ini diberikan kepada beliau kerana beliau sering menghancurkan roti dan mencampurkannya dengan kuah untuk dijadikan juadah buat orang ramai khususnya ketika kemarau. Gaza menjadi tempat persinggahan beliau di dunia dan tempat persemadian makamnya. Ini membuktikan bahawa wilayah Palestin, khususnya Gaza bukan sekadar penting daripada aspek geopolitik dan kawasannya yang strategik, malah ia juga merupakan tapak awal sejarah salasilah Rasulullah SAW. 

Gaza—Laluan Perdagangan 

Lingkaran sejarah awal Gaza telah melebihi 4,000 tahun yang lalu. Dalam tempoh tersebut, wilayah tersebut berada di bawah pelbagai kerajaan dan empayar. Pada fasa awal abad ke-12 sebelum Masihi, kerajaan Mesir Purba memerintahnya kira-kira 350 tahun sebelum diambil alih oleh bangsa Filistin kuno yang menjadikannya salah satu bandar paling berpengaruh di rantau itu. Setelah itu, Gaza berada di bawah pemerintahan kerajaan Bani Israel pada zaman Nabi Daud AS, kemudian ditakluk oleh Empayar Assyria sekitar tahun 730 sebelum Masihi, diikuti pemerintahan Parsi dan seterusnya Empayar Rom.

Lokasi Gaza yang berada di persimpangan antara Mesir, semenanjung Arab dan wilayah Syam menjadikannya laluan perdagangan yang tidak dapat dielak. Oleh itu, sesiapa sahaja yang dapat menguasai Gaza, berupaya mengawal pergerakan perdagangan di rantau itu. Oleh sebab itu, bandar ini direbuti kerajaan demi kerajaan. 


Sepanjang pemerintahan kerajaan silih berganti, Gaza dihuni pelbagai bangsa seperti Yunani, Rom, Mesir, Yahudi dan Nabatean. Agama Kristian berkembang pesat apabila Empayar Rom berpecah yang ketika itu di bawah kekuasaan Byzantine Timur dan ketika itulah, kebanyakan penduduk di wilayah itu menganuti agama Kristian. 

Gaza — Wilayah Islam Pertama 

Gaza merupakan antara kota terpenting dalam urusan perdagangan. Kafilah-kafilah Arab sering melalui bandar ini dalam urusan perdagangan mereka. Pada tahun 635 Masihi, Gaza menjadi wilayah Palestin pertama yang dibuka oleh tentera Islam sebelum jatuh ke tangan tentera Salib pada tahun 1099. Ia kemudian dikuasai tentera Islam semula oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi pada tahun 1187. 

Ketika era Empayar Islam iaitu Ayyubiyah, Mamluk dan Uthmaniyyah, Gaza berkembang sebagai pusat perdagangan yang penting dan juga gerbang strategik ke Palestin. Kedudukannya yang berada di persimpangan laluan perdagangan menjadikan bandar ini sangat bernilai dari segi ekonomi dan ketenteraan. 


Pada fasa akhir kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah, Gaza turut terjejas dengan perubahan politik yang melanda dunia Islam. Revolusi Arab yang disokong British ketika itu membuka jalan kepada projek penjajahan Zionis di Palestin. 


Gaza dan Warisan Sejarah

Gaza terkenal dengan warisan sejarah dan seni bina. Antara mercu tanda paling terkenal ialah Masjid Jami’ al-Umari. Masjid ini asalnya merupakan sebuah gereja sebelum ia ditukar menjadi masjid pada zaman Khalifah Umar al-Khattab RA. Ini menjadikan masjid ini sebagai bukti salah satu simbol sejarah Islam di Gaza. 

Selain itu, terdapat Masjid Sayyid Hasyim yang terletak di kawasan al-Daraj, kota lama Gaza. Di tengah-tengah kompleks masjid ini terdapat sebuah makam yang dipercayai menempatkan makam Hasyim bin Abdul Manaf dan ia merupakan antara tapak bersejarah yang terpenting di Gaza serta pernah diperluas serta dipulihkan pada zaman Sultan Abdul Hamid II. 

Bukan hanya masjid, malah Gaza turut memiliki Gereja Ortodoks Saint Porphyrius iaitu gereja tertua di semenanjung Gaza. Ia dibina pada abad kelima Masihi. Kewujudan kedua-dua rumah ibadah ini melambangkan kepelbagaian agama dan budaya yang pernah berkembang di wilayah ini. 

Gaza dan Ciptaan Kain Kasa (Gauze)

Kain kasa atau dalam istilah perubatannya dipanggil gauze merupakan sejenis kain yang diguna pakai secara meluas dalam bidang perubatan. Nama gauze itu dikaitkan dengan wilayah Gaza. Ia berkemungkinan berasal daripada kalimah Arab iaitu qazz bermaksud sutera dan kalimah Parsi iaitu kaz yang bermaksud sutera mentah. Kemungkinan istilah ini diwujudkan berdasarkan bandar Gaza yang masyhur sebagai pusat industri tekstil yang berkembang luas di pesisir pantai Palestin sejak dahulu lagi. Gaza menjadi pusat utama dalam perdagangan dan pertukaran budaya ekoran kedudukannya yang strategik di laluan perdagangan purba Via Maris, yang menghubungkan Mesir dan wilayah Syam. Industri tekstil Gaza yang terkenal dengan penghasilan kain sutera berkualiti tinggi menjadi komponen penting dalam rangkaian perdagangan Mediterranean. 

Jadi, Gaza tidak hanya dikenali dengan sejarah peperangan dan perdagangan, malah ia juga dipercayai turut terlibat dalam istilah perubatan moden yang digunakan di seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Gaza Kini

Hari ini, Gaza, yang juga dikenali dengan kota terpadat di dunia ini terus melambangkan keteguhan dan sumud rakyat Palestin dalam mengekalkan tanah air mereka daripada dirampas oleh penjajah. Walaupun teruk diserang musuh dan sekutunya, penduduk Gaza tetap bertahan memperjuangkan tanah dan identiti bangsanya walaupun tiada siapa yang menghulurkan tepung, malah kain kasa buat mereka. Oleh itu, jika ada mana-mana orang yang menyebut Gaza Hasyim, cukup kita faham bahawa ia merujuk kepada kota yang sangat banyak mendatangkan warisan sejarah dan ketamadunan.