All Articles

Genjatan Senjata: HAMAS Bagi 'Greenlight', Israel Mengelat

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
May 7, 2024

Benar, HAMAS telah bersetuju dengan gencatan senjata pada awal pagi 7 Mei 2024, sekaligus membawa kegembiraan dalam kalangan penduduk Palestin di Gaza.

Tapi, jangan terlalu teruja.

Mengapa?

Pihak kerajaan Israel yang dipimpin Benjamin Netanyahu pula mendakwa perjanjian gencatan senjata yang diusulkan Qatar dan Mesir tidak memihak kepada mereka. Malah mendakwa langsung tidak terlibat dengan rundingan tersebut. Ekoran daripada itu, Israel telah menghantar delegasi ke Mesir untuk meneruskan rundingan gencatan senjata.

Sebelum pergi lebih terperinci, berikut adalah rumusan perjanjian yang dipersetujui HAMAS pada 7 Mei:

  • Gencatan senjata akan berlangsung selama enam minggu. Namun, dalam tempoh enam minggu itu, gencatan senjata akan dilaksanakan dalam tiga fasa. Setiap fasa dilaksanakan selama 42 hari.
    • FASA PERTAMA
      • HAMAS dan Israel akan berhenti daripada bertempur.
      • Tentera Israel akan berundur ke timur Gaza, jauh dari kawasan berpenduduk padat; dan ke sempadan antara wilayah haram Israel-Palestin.
      • Pesawat dan dron Israel akan dihentikan penerbangannya selama 10 jam setiap hari; dan selama 12 jam pada hari tawanan dibebaskan.
      • Difahamkan sebanyak 33 tahanan akan dibebaskan secara berperingkat.
        • Tawanan yang dimaksudkan melibatkan mereka yang sudah meninggal dunia dan yang masih hidup; golongan wanita; mereka yang berusia lebih 50 tahun; mereka yang sakit atau mereka yang bukan tentera dan berusia di bawah 19 tahun.
        • Seorang tawanan Israel yang dibebaskan secara hidup, Israel akan membebaskan 30 penduduk Palestin yang ditahan.
        • Seorang tentera wanita yang dibebaskan HAMAS, Israel akan membebaskan 50 orang penduduk Palestin.
      • Penduduk Gaza dibenarkan pulang ke rumah atau ke kawasan asal mereka.
      • Bantuan kemanusiaan serta bahan api juga akan dibenarkan masuk ke Gaza.
    • FASA KEDUA
      • Operasi ketenteraan Israel akan dihentikan serta-merta secara kekal dan pengunduran penuh dari Gaza.
      • Pertukaran tawanan akan diteruskan dalam fasa ini.
    • FASA KETIGA
      • Pertukaran tawanan diteruskan untuk mereka yang masih ditahan baik di Gaza atau di penjara Israel. 
      • Fasa ini melibatkan juga perancangan pembangunan semula Gaza dalam tempoh tiga hingga lima tahun, sekaligus menamatkan juga sekatan Israel di dalam Gaza.
  • Penjamin kepada perjanjian ini melibatkan dua negara pengantara, termasuk Amerika Syarikat (AS) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Melihat kepada isi perjanjian tersebut, jangan lupa bahawa sehari sebelum persetujuan HAMAS, rejim Israel telah mengedarkan risalah arahan pemindahan segera penduduk Gaza dari Rafah. Jelas perjanjian itu langsung tidak menghentikan serangan yang masih berlaku. Malah, terpisah dengan idea asal Israel yang mahu membedil Rafah untuk mengejar dan menghapuskan tentera HAMAS. 

Tapi, kemana lagi 1.4 juta orang penduduk Gaza mahu pergi sekiranya mereka tidak dibenarkan untuk bergerak ke mana-mana, hatta jika pulang ke kampung halaman sekalipun?

Tidak cukup dengan itu, AS pula tidak mahu beri kerjasama untuk memberi sebarang komen berkaitan persetujuan HAMAS terhadap gencatan senjata itu. Namun, mereka tidak teragak-agak memberi jaminan bahawa perjanjian itu boleh dipersetujui Israel serta-merta.

Adakah ini juga bermakna Israel benar-benar tidak tahu bahawa ada rundingan telah dipersetujui di belakangnya? Tengok saja cara Israel mengelat; mereka tunding jari kepada tentera HAMAS, mendakwa pasukan mujahidin itu sengaja mahu menunjukkan kepada dunia bahawa merekalah yang menggagalkan gencatan senjata kali ini. Mereka juga memaklumkan perjanjian yang diusulkan begitu berbeza dengan apa yang diinginkan oleh pihak Israel. 

Jika benarlah apa yang didakwa Israel, sudah tentulah Israel harus tidak senang duduk ketika ini kerana penduduk haram Israel, terutama ahli keluarga tawanan di Gaza kini mengalihkan perhatian kepada Netanyahu dan mendesaknya untuk terima usul gencatan senjata itu. 

Penulis tertarik untuk kongsikan pandangan staf Cinta Gaza Malaysia, Shadi yang berasal di Gaza dan sedang menetap di Malaysia sejak perang meletus. Katanya, tak mustahil gencatan senjata ini akan diterima Israel tetapi ia akan mengambil masa yang sangat lama kerana Israel suka bermain dengan kata-kata. Boleh jadi mereka mendakwa mereka bersetuju dengan gencatan senjata tetapi bukan untuk tempoh enam bulan tetapi satu atau dua bulan. Boleh jadi juga mereka sudah tahu dari awal perjanjian tersebut, cuma berdalih mengatakan tidak pernah dimaklumkan perihal itu. 

Semoga usaha gencatan senjata di Gaza tidak dijadikan alat untuk diperkotak-katikkan kerana ia melibatkan nyawa dan nilai kemanusiaan. In shaa Allah kita akan menyaksikan gencatan senjata dalam masa terdekat atau sebaliknya, kepada yang Maha Berkuasa jualah kita berharap.

Rujukan: Foreign Policy, AlJazeera, Reuters