All Articles

Global Sumud Flotilla: Armada Memecahkan Kepungan Gaza

Written by
Khairul Yunus
Published on
October 13, 2025

Di tengah Laut Mediterranean pada ketika ini, puluhan kapal berlayar sedang membelah ombak. Lampu navigasi berkelip seperti manik-manik tasbih di hamparan lautan. Ketumbukan ini bukanlah armada perang. Armada ini adalah armada kemanusiaan yang terdiri daripada para aktivis – lebih 500 jiwa dari 44 negara yang mencalonkan diri mereka untuk menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF). Jelas ini adalah usaha sivil untuk memecahkan kepungan Gaza dan membuka koridor bantuan kemanusiaan. Beberapa malam yang lalu, di selatan Greece, armada ini diganggu dron dan letupan; talian komunikasi terputus dan objek tidak dikenal pasti dijatuhkan ke atas sekurang-kurangnya 10 buah kapal. Tiada korban jiwa dilaporkan tetapi layar kapal koyak dan tiang retak menjustifikasikan serangan itu sebagai ancaman psikologi dan cubaan meruntuhkan motivasi para aktivis yang terlibat.

Sementara itu di daratan, gema pembebasan kembali riuh. Kebangkitan rakyat dunia yang menuntut jaminan keselamatan ke atas para aktivis kepada para pemerintah di negara masing-masing kian berlanjutan. Pada masa yang sama, Kementerian Luar Israel mengeluarkan kenyataan keras – “Flotila ini adalah Flotila HAMAS” – yang berkhidmat untuk HAMAS. Rentetan itu, Israel tidak membenarkan kapal-kapal ini berlabuh di Gaza. Oleh sebab itu, Israel menggesa kumpulan kapal ini berlabuh di Pelabuhan Ashkelon untuk memunggah bantuan yang kononnya akan dipindahkan secara terkoordinasi ke Gaza. Kenyataan inilah yang menimbulkan persoalan, sama ada bantuan akan dihantar terus ke Gaza atau disalurkan melalui pintu yang ditentukan Israel? 

Manakala, pihak flotila menegaskan insiden pada malam itu adalah peningkatan ancaman terhadap misi sivil yang membawa mesej keamanan. Mereka menuduh berlaku pintasan komunikasi yang meluas dan operasi psikologi untuk melemahkan moral kru kapal. Dalam liputan media bertarikh 23 September, sekretariat flotila menyebut lebih 500 sukarelawan doktor, peguam dan wakil kesatuan berada di atas kapal dengan latihan anti-keganasan, disertai bot perubatan dan sokongan undang-undang bagi memastikan ketelusan dan pematuhan undang-undang antarabangsa. Mereka mendesak negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyediakan bot pengiring maritim dan pengawasan diplomatik bagi memastikan pelayaran selamat. 

Naratif “Keselamatan” dan Darurat Kemanusiaan

Sejak 2007, Gaza berada di bawah sekatan darat, laut dan udara. Israel mempertahankan sekatan sebagai keperluan ‘keselamatan’. Pun begitu, para aktivis dan badan hak asasi pula menilainya sebagai hukuman kolektif. Perang yang meletus selepas 7 Oktober 2023 mengheret rantau ini ke jurang kemanusiaan yang lebih dalam. Angka korban di Gaza mencecah puluhan ribu dengan krisis kemanusiaan yang berpanjangan. Laporan mutakhir menganggarkan angka kematian warga Palestin melepasi 65,000 angka yang terus dipertikai metodologinya, namun tetap menggambarkan kedahsyatan tragedi ini. Dalam detik yang sama, serangan rentas sempadan dan serangan dari aktor serantau sesekali menembusi pertahanan Israel, meningkatkan lagi ketidaktentuan.

Dalam kerangka undang-undang, GSF menegaskan perlindungan di bawah Konvensyen Geneva untuk misi kemanusiaan dan merujuk langkah sementara Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mewajibkan akses bantuan. Menurut mereka, penyerahan bantuan kemanusiaan di pelabuhan Israel menafikan prinsip ketelusan dan hak untuk tidak dikaitkan dengan pihak yang mereka anggap sebagai kuasa pendudukan yang mengawal laluan dan kandungan kotak bantuan. Di sinilah ideologi “sumud” – keteguhan – menghadapi penindasan yang diterjemah menjadi tindakan tuntutan pembebasan melalui laluan maritim.

Israel pula menegaskan tanggungjawabnya mengawal zon pertempuran aktif dan menolak apa yang digambarkan kumpulan “flotila HAMAS,” sambil mengulangi tawaran berlabuh di Ashkelon. Naratif keselamatan bertembung dengan naratif kemanusiaan. Dalam liputan media Israel sendiri, penolakan GSF terhadap cadangan berlabuh di Ashkelon dikemukakan sebagai bukti misi ini bermotif politik, bukan semata-mata bantuan. 

Kebangkitan Rakyat Eropah untuk Gaza

Gelombang kecemasan turut menyambar Eropah. Itali mengerahkan frigat tentera lautnya, Fasan untuk kesiapsiagaan menyelamat sebagai langkah yang mengiringi kecaman terhadap serangan dron ke atas kapal-kapal GSF. Sepanyol menyusul dengan nada sama, keselamatan pelayar sebagai orang awam perlu diutamakan dan kebebasan pelayaran mesti dihormati. Beberapa pemimpin Eropah, termasuk ahli Parlimen Eropah yang berada atas kapal mengesahkan kerosakan fizikal seperti layar utama kapal yang koyak berpunca dari dron yang menjatuhkan bom letupan.

Sweden menyatakan kebimbangan meningkat kerana rakyatnya turut serta di atas kapal, sambil cakna akan pengumuman Israel untuk mengekalkan sekatan di perairan Gaza. Ireland pula melalui kenyataan Timbalan Perdana Menteri (Tanaíste), mengangkat martabat keselamatan kru sebagai kepentingan segera komuniti antarabangsa. Suara-suara ini, walaupun dengan nada berhati-hati, mencerminkan keretakan antara konsensus keselamatan dengan kesedaran kemanusiaan yang kini dihidangkan dengan bukti-bukti visual dari perairan antarabangsa. 

Bayang-bayang Mavi Marmara, Memori Luka Lama

Setiap kali kita menyebut “flotila ke Gaza”, memori kolektif dunia terimbas pada Mavi Marmara (2010), sebuah operasi kemanusiaan berdarah yang meragut 10 nyawa aktivis Turki. Tiga belas tahun kemudian, medan dan retorik berubah tetapi dilema utama kekal. Adakah kapal bantuan harus dibenarkan lalu kerana empati kemanusiaan atau disekat atas nama keselamatan negara? Episod bulan-bulan kebelakangan ini, termasuk pemintasan kapal tunggal Madleen pada Jun lalu menunjukkan betapa jalur sempit antara kedua-duanya mustahil bersatu. Pengkritik politik di Israel sendiri ada yang menegur pendekatan keras terhadap flotila sebagai kegagalan diplomatik yang sepatutnya diselesaikan di meja rundingan.

Kenyataan Israel: Pelabuhan Alternatif Atau Penjara

Kenyataan Kementerian Luar Israel yang berulang kali di pelbagai platform rasmi mengukuhkan dua garis besar:

  1. Flotila tidak akan dibenarkan menghampiri Gaza
  2. Dan jika niatnya benar kemanusiaan, berlabuh di Ashkelon dan biarkan pihak berkuasa Israel menyelaras penghantaran ke Gaza. 
    a. Logik ini tampak kemas di atas kertas dengan pelabuhan yang terkawal, pemeriksaan keselamatan  dan saluran yang diiktiraf. Namun, bagi aktivis cadangan itu mengosongkan makna aksi. Mereka mahu memecahkan kepungan ke atas Gaza, bukan untuk mengikut struktur kawalan yang sama mengakibatkan kebuluran manusia. Jurang kepercayaan yang melebar selepas dua tahun perang menjadikan pelabuhan alternatif itu sukar diterima walaupun ancamannya adalah tangkap dan penjara. 

Kenyataan Flotila: Ini Misi Keamanan, Bukan Misi Perang

Pada malam serangan, sekretariat Global Sumud Flotilla menggariskan butiran yang tegas, iaitu: 13 letupan, lebih 15 dron mengelilingi kapal Alma, objek dijatuhkan ke atas sekurang-kurangnya 10 kapal, komunikasi terganggu – semuanya tanpa korban namun dengan kerosakan jelas. Mereka juga menolak label “flotila HAMAS” dan menganggapnya kempen pencemaran nama yang merintis alasan untuk tindakan ketenteraan terhadap warga awam. Mereka menuntut pengiring negara dan pemerhati diplomatik antarabangsa. Dengan hujah bahawa undang-undang laut dan kewajiban ICJ memihak kepada akses bantuan yang selamat dan tanpa halangan.

Naratif ini disokong pelbagai laporan media antarabangsa yang memetik aktivis di atas kapal, termasuk kehadiran personaliti awam Eropah dan berprofil global yang menambah tumpuan dan liputan media antarabangsa. Dalam beberapa jam, Itali dan Sepanyol menyatakan kesediaan bantuan maritim, menjadi satu isyarat bahawa Eropah tidak mahu satu lagi tragedi laut menjadi tajuk utama untuk hari-hari berikutnya. 

Di Atas Peta: Tiga Percaturan

Pertama, percaturan undang-undang antarabangsa. Israel mendakwa sekatannya sah di sisi undang-undang dan menegaskan jangan masuk zon pertempuran aktif (active combat zone). Sebaliknya GSF dan penyokongnya menegaskan prinsip kebebasan navigasi dan keperluan kemanusiaan yang mendesak adalah tiket sah untuk memasuki Gaza. Selagi tafsiran berbeza mengenai legaliti sekatan berlarutan, setiap batu nautika menjadi medan hujah yang tak berkesudahan 

Kedua, percaturan kemanusiaan. Angka kematian, hospital yang padat dan infrastruktur asas yang ranap di Gaza membina sokongan moral untuk akses secara langsung ke atas ubat, makanan, susu bayi dan kit bantuan lain sebagai simbolik kemanusiaan yang kerap ditekankan GSF. Walaupun Israel menegaskan laluan bantuan wujud melalui pemeriksaan keselamatannya, ramai petugas kemanusiaan menyatakan aliran itu tidak mencukupi atau tersekat di lapangan.

Ketiga, percaturan politik dan persepsi. Bagi Israel, flotila boleh menjadi perhiasan teater politik yang membolos naratif keselamatan. Waima GSF berpandangan Ashkelon adalah pentas simbolik Israel yang melunturkan mesej kebebasan, sekatan ini mesti dicabar. Pada skrin telefon di seluruh dunia, klip dron, siren dan layar koyak, mengukir perang naratif yang sama kuatnya dengan riak ombak yang menghentam keegoan Israel.

Apa Maknanya untuk Malaysia dan Dunia Nusantara?

Makna solidariti untuk Palestin punya sejarah panjang di Malaysia. Dari masjid ke jalanan dari konvoi darat ke armada kemanusiaan. Global Sumud Flotilla mempertautkan kembali jaringan itu. Dalam era normalisasi yang sering menyembunyikan luka, sumud untuk bertahan menjadi kosa kata serantau pada waktu ini. Tidak sekadar bendera, poster, doa dan bisikan ibu kepada anaknya. Solidariti se-nusantara ini ibarat bebola salji yang semakin membesar ke seluruh pelusuk negara.

Bagi rantau ini, khususnya negara-negara majoriti Muslim, episod ini menguji diplomasi praktikal, adakah kita akan teguh mempertahankan prinsip hak kemanusiaan dan akses bantuan atau tunduk kepada realpolitik ‘keselamatan’? Ketika Eropah mengerahkan frigat untuk berjaga, tidakkah Asia Tenggara akan menawarkan apa sebagai tanda sokongan melalui aksi nyata? Sekadar pernyataan menyelar tidak lagi memadai. Kehadiran di laut menjadi bahasa baru diplomasi kemanusiaan.

Detik Penentu: Malam-malam Menjelang Gaza

Menjelang hari-hari seterusnya, beberapa senario terbentang dan pintasan di laut terbuka. Israel menghentikan flotila jauh dari perairan Gaza, menahan kru, mengalihkan kapal ke pelabuhan Israel. Kerosakan fizikal minimum tetapi kemenangan simbolik terbahagi dua; Israel mengabsahkan kuasa kawalan manakala flotila mengisytiharkan “kami dipaksa, bukan tunduk.”

Tindakan ketenteraan atau kemalangan maritim menyebabkan korban jiwa. Dunia pernah menyaksikan bab ini pada 2010; ramai berdoa agar sejarah tidak berulang. Apa pun hasilnya, Global Sumud Flotilla sudah pun meraih sesuatu kerana setidaknya Gaza kembali hangat diposisikan di peta kemanusiaan dunia. Ia menuntut kita memilih bahasa yang mana untuk menamakan krisis: sekatan atau kepungan; penghantaran atau penyelamatan; pemeriksaan atau penghalangan.

Suara yang Tak Boleh Didiamkan

Dalam liputan hari ini, kita membaca angka dan kenyataan. Sementara di sebalik runtuhan konkrit, ada cerita yang tidak sempat dirumus. Jururawat yang menyusun kit trauma, seorang tua yang tenat mencari bekal makanan, anak muda yang pertama kali menatap langit Mediterranean dan menanti kehadiran bahtera sumud. Mereka tahu risiko. Mereka juga tahu pelayaran ini penuh dengan ketidakpastian. Namun harapan itu tetap tumbuh dari hari ke hari sejak hari pertama pelayaran itu dimulakan.

Kepada pemerintah dan pemain serantau, mesejnya jelas – dunia tidak akan selamanya menerima normalisasi penderitaan sebagai kos sampingan. Kebenaran kemanusiaan bukan aksesori yang disemat hanya ketika cuaca politik mengizinkan. Di laut yang tidak memiliki papan tanda “kawasan larangan masuk” untuk yang bergelar insan. Global Sumud Flotilla dengan segala kekurangan menjadi mercu kebesaran hati dan iltizam masyarakat awam dunia yang melihat kegagalan pemimpin dunia untuk penyelesaian isu Gaza.

Malam-malam menuju Gaza, ketika radar berputar dan dron mungkin kembali berdesing di atas tiang, armada kecil terus mara, perlahan tetapi terus ke depan. Satu hal yang jelas untuk kita ketahui, lautan telah menjadi medan saksi bahawa sumud bukan retorik, tetapi bukti sebuah perlawanan. Alangkah bahagianya, di saat sebuah bandar yang dipagari runtuhan, mungkin ada seorang kanak-kanak yang esoknya mendapat susu bayi, sebotol antibiotik dan keyakinan bahawa di luar sana masih ada manusia yang tidak menyerah untuk Gaza.