All Articles

H*M*S – Antara Penyusunan Semula Pimpinan dan Jawatankuasa Teknokrat Palestin

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
May 15, 2026

Gerakan Perjuangan Islam (HAMAS) berusaha menyusun semula barisan pasukannya sejak kali pertama perang di semenanjung Gaza ‘berakhir’ pada 10 Oktober 2025, selepas konflik tersebut berlarutan selama dua tahun berturut-turut. Perkara itu jelas kelihatan di dada-dada akhbar melalui laporan yang dipetik daripada sumber keselamatan tentera penjajah serta institusi-institusi keselamatannya yang beroperasi di semenanjung Gaza. Seperti semua sedia maklum, Gaza merupakan kawasan tumpuan utama operasi risikan yang tidak boleh dipandang ringan. Perkara ini juga dapat dilihat dalam pelaksanaan operasi pembunuhan bersasar oleh pihak rejim Zionis terhadap pimpinan kanan dalam barisan gerakan pejuang secara umum dan HAMAS secara khusus. Sebagai contoh, pembunuhan komander Raed Saad yang dianggap sebagai orang kedua dalam Briged al-Qassam selepas pemergian ramai pimpinan kanan tentera sepanjang peperangan. Operasi pembunuhan bersasar ini berlaku ketika muncul dakwaan yang menyatakan pejuang Palestin telah melanggar gencatan senjata. 

Pada masa yang sama, institusi keselamatan penjajah turut berusaha mengukuhkan hubungannya dengan militia yang wujud di semenanjung Gaza. Operasi keselamatan mereka banyak bergantung kepada militia yang dipimpin oleh Shawqi Abu Nasira di kawasan garisan kuning di timur Deir al-Balah, serta Hussam al-Astal yang berpangkalan di kawasan Qizan al-Najjar di bandar Khan Yunis. Kawasan garisan kuning tersebut secara umum diketahui berada di bawah kawalan tentera penjajah.

Perlu ditegaskan, Abu Nasira dan al-Astal merupakan bekas pegawai dalam Pihak Berkuasa Palestin (PA). Hal ini menjadikan mereka lebih diperlukan dalam operasi keselamatan rejim penjajah berbanding militia yang berpangkalan di timur Rafah, yang kini dipimpin oleh Ghassan al-Dahini, pengganti kepada Yasser Abu Shabab. Walaupun al-Dahini juga pernah berkhidmat dalam PA, pengalaman ketenteraan dan latihan yang dimilikinya tidak setanding dengan Abu Nasira dan al-Astal.

Selain itu, media Palestin turut melaporkan bahawa Jawatankuasa Teknokrat Palestin yang dicadangkan oleh Amerika Syarikat (AS) untuk mentadbir Gaza menolak untuk menandatangani sebarang perjanjian dengan HAMAS sebagai pemerintah semasa di Gaza bagi mengendalikan tugas keselamatan. Sebaliknya, jawatankuasa tersebut memilih untuk membuat kontrak dengan syarikat keselamatan bagi melindungi mereka.

Tindakan jawatankuasa ini boleh difahami dari dua sudut:

Pertama, ia mencerminkan penolakan mereka untuk berurusan dengan HAMAS dari sudut keselamatan. Keadaan ini boleh menimbulkan risiko kepada gerakan pejuang Palestin yang bergantung kepada kekuatan institusi keselamatan sebagai asas utama operasinya. Hal ini lebih membimbangkan kerana individu yang dipertanggungjawabkan mengendalikan isu keselamatan dalam jawatankuasa berkenaan ialah Sami Nasman, seorang tokoh daripada PA yang sebelum ini dikaitkan dengan beberapa tindakan yang mencetuskan ketegangan dan pergolakan di Gaza selepas HAMAS mengambil alih pemerintahan pada tahun 2007.

Kedua, tindakan jawatankuasa itu mungkin bertujuan untuk mengelakkan sebarang gambaran kerjasama terbuka dengan HAMAS sebagai pemerintah Gaza. Langkah ini dilihat mampu  mengurangkan sebarang halangan yang berpotensi diwujudkan oleh rejim penjajah Israel terhadap kewujudan HAMAS, khususnya ketika perdebatan mengenai pelucutan senjata HAMAS sedang hangat diperkatakan.

Beberapa media turut melaporkan bahawa HAMAS menolak untuk menyerahkan dua sektor utama di Gaza, iaitu kewangan dan keselamatan kepada Jawatankuasa Teknokrat Palestin. Keadaan ini menimbulkan kemungkinan berulangnya senario seperti hubungan antara Hizbullah dengan kerajaan Lubnan, di mana kawalan terhadap sumber kerajaan berada di tangan pihak tertentu dan kerajaan tidak mampu membuat keputusan tanpa persetujuan kementerian kewangan dan keselamatan.

Pendekatan ini boleh mengurangkan beban pentadbiran terhadap HAMAS sebagai pemerintah Gaza, sekali gus membolehkan gerakan tersebut memberi tumpuan lebih besar terhadap agenda perjuangan tanpa terlalu terbeban dengan urusan pemerintahan dan keperluan harian rakyat Palestin di Gaza. 

Selain itu, langkah tersebut juga dilihat mampu memudahkan usaha pembinaan semula infrastruktur yang musnah akibat peperangan berulang di Gaza, terutamanya perang terakhir yang disifatkan paling dahsyat. Pada ketika itu, usaha pembangunan semula cuba digerakkan melalui bantuan daripada pelbagai pihak antarabangsa yang sebelum ini enggan berurusan dengan kerajaan HAMAS kerana dianggap sebagai ‘organisasi pengganas’ oleh beberapa negara.

Di samping itu, langkah ini juga berupaya memperbaiki keadaan dalaman masyarakat yang menyokong projek penentangan dengan menonjolkan pencapaian gerakan penentangan dalam aspek keselamatan. Hal ini penting kerana kebanyakan masyarakat yang hidup di bawah penjajahan sering berdepan pelbagai ancaman keselamatan.

Langkah berkenaan turut dilihat mampu memperlihatkan kelebihan terhadap pendekatan penentangan berbanding projek rundingan dan kompromi yang dilaksanakan di Tebing Barat, khususnya selepas kegagalan proses damai dalam Perjanjian Oslo 1993. Tambahan pula, baru-baru ini pihak penjajah telah memindahkan pengurusan perbandaran bandar al-Khalil (Hebron) daripada kuasa PA kepada pentadbiran awam (sivil) penjajah — satu langkah yang mengancam kewujudan penduduk bandar tersebut dan menjejaskan kehidupan mereka.

Kesimpulan

Tidak dapat dinafikan bahawa kesinambungan projek penentangan membawa kos yang besar kerana ia mencabar kekuatan dunia secara keseluruhan. Namun, akhirnya kemenangan boleh dicapai jika ia dilaksanakan melalui strategi yang jelas dan tepat.

Gerakan penentangan tidak boleh diringkaskan hanya kepada organisasi bersenjata semata-mata. Ia melibatkan perjalanan yang lebih luas, bermula daripada sokongan rakyat, diikuti dengan usaha politik yang serius serta dilindungi oleh kekuatan keselamatan dan ketenteraan yang memainkan peranan penting dalam mempertahankan kelangsungannya. 

Dalam konteks ini, keengganan HAMAS untuk melepaskan dua portfolio utama iaitu kewangan dan keselamatan merupakan antara cabaran paling penting dan paling sensitif dalam mana-mana perjanjian yang direkodkan. Hal ini kerana pihak yang menguasai kewangan lazimnya memiliki pengaruh besar terhadap proses membuat keputusan. Begitu juga pihak yang mengawal aliran sumber masuk dan keluar sesebuah wilayah, yang pada hakikatnya mempunyai kuasa menentukan keputusan berkaitan perang dan damai, khususnya dalam keadaan tiadanya kementerian pertahanan yang rasmi.