All Articles

HAMAS Terbitkan Siri Kedua Our Narrative… Menjelang 2026

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
December 26, 2025


Pada 24 Disember 2025, gerakan penentangan Palestin di Gaza, HAMAS telah menerbitkan satu dokumen bertajuk Our Narrative… Al-Aqsa Flood: Two Years of Steadfastness and the Will for Liberation melalui laman web rasmi mereka, Al-Moqawma.


Dokumen Our Narrative… adalah dokumen bersiri. Sebelum ini, untuk siri pertama yang bertajuk Our Narrative: Operation Al-Aqsa Flood telah diterbitkan pada 21 Januari 2024. Untuk kedua-dua siri ini, tiada banyak perbezaan kerana untuk empat bab terawal, HAMAS menyentuh beberapa aspek seperti – pertama, motif dan cabaran di sebalik operasi Taufan al-Aqsa; kedua, keperluan siasatan ke atas kejadian yang berlaku pada 7 Oktober 2023 sebagai usaha untuk menyingkap kebenaran selepas HAMAS dituduh sebagai pembunuh.


Our Narrative… Al-Aqsa Flood: Two Years of Steadfastness
memiliki 8 bab untuk 42 mukasurat itu membawa kelainan apabila HAMAS lebih terperinci di dalam penerbitan mereka. Melalui dokumen ini, HAMAS juga menegaskan peranan mereka dalam menyekat keganasan Israel dan pelan Trump, begitu juga kewujudan mereka yang tidak dapat diasingkan dari Gaza. Tidak cukup dengan itu, HAMAS menggariskan beberapa keutamaan mereka untuk fasa seterusnya dalam operasi Taufan al-Aqsa – baik secara politik atau di medan pertempuran.


Ketika media Israel melabel penerbitan dokumen terkini HAMAS itu sebagai satu propaganda, HAMAS menyatakan komitmen mereka untuk terus bertahan di Gaza walaupun objektif Benjamin Netanyahu dan Donald Trump dalam perang ini adalah untuk menghabiskan HAMAS dan Briged al-Qassam. Perkara ini dijelaskan di dalam bab ketujuh – HAMAS Cannot Be Isolated – di mana kewujudan HAMAS berakar sejak 1987 dan seterusnya menjadi pilihan politik rakyat Gaza selepas meraih majoriti undian pada 2006. Kesungguhan HAMAS untuk bertahan di Gaza bukan kerana enggan mengalah dengan Israel, sebaliknya menjalankan amanah yang diberikan rakyat mereka untuk melindungi keamanan dan keselamatan wilayah itu, sekaligus mencerminkan ketahanan rakyat Gaza itu sendiri. 


Dokumen ini juga cukup menjelaskan bahawa HAMAS tiada apa yang dituntut melainkan kemerdekaan Palestin, baik di Gaza dan di Tebing Barat, terutamanya menyahkan operasi yahudisasi ke atas Baitul Maqdis dan pembahagian ke atas Masjid al-Aqsa untuk kepentingan orang Yahudi secara haram. HAMAS juga mengharapkan orang ramai untuk terus berdepan menentang normalisasi Zionis dengan membawa naratif Palestin yang lebih tepat – maka, inilah hasilnya, Our Narrative… Al-Aqsa Flood: Two Years of Steadfastness.


Cukup jelas perincian dokumen ini untuk menyangkal dakwaan Israel bahawa ini adalah sebuah propaganda HAMAS kerana apa yang ditekankan adalah kedaulatan sebuah negara, Palestin untuk mereka yang berhak iaitu rakyat Palestin yang dihalau sejak 1948 sehingga tercetusnya Taufan al-Aqsa. 


Apa-apa pun, HAMAS dan rakyat Palestin berhak menuntut hak mereka walau apa cara sekalipun kecuali seperti yang ditegaskan HAMAS, tidak melibatkan pembunuhan atau kecederaan ke atas tawanan mereka melainkan itu semua berpunca daripada serangan yang dilancarkan oleh rejim Israel di Gaza.