All Articles

Hero Muslim Australia — Penyelamat Serangan Hanukkah

8 min read
Written by
Khairul Yunus
Published on
December 31, 2025

Pada 14 Disember 2025, satu serangan bersenjata telah berlaku semasa sambutan Hanukkah di Pantai Bondi, Sydney, Australia. Serangan tersebut berlaku pada kira-kira jam 6.47 minit petang dan disifatkan oleh kerajaan Australia sebagai serangan anti-Semitisme dan tindakan keganasan. Serangan ini menyasarkan komuniti Yahudi yang berkumpul untuk menyambut perayaan tersebut dan mencatatkan seramai 15 orang awam terbunuh, manakala 42 lagi cedera, menjadikannya antara insiden keganasan paling tragik dalam sejarah serangan di Australia. 

Pada waktu kejadian, suasana tiba-tiba berubah menjadi panik selepas tembakan mula dilepaskan oleh suspek yang dikenali sebagai Sajid Akram dan anaknya Naveed Akram, masing-masing berusia 50 dan 24 tahun. Rakaman video yang tular menunjukkan seorang lelaki muncul dalam kalangan orang awam, bertindak dengan penuh keberanian untuk menghentikan salah seorang penyerang. Lelaki tersebut dikenali sebagai Ahmad al-Ahmed, seorang warga Muslim Australia, berasal dari Syria dan berumur 43 tahun.

Kemunculan Ahmad; Hero Penyelamat

Kehadiran Ahmad pada waktu tersebut yang kebetulan sedang makan di restoran berhampiran adalah suatu kejadian yang tidak dirancang sehinggalah Ahmad menyaksikan begitu ramai nyawa orang awam yang terkorban dan tercedera. Akhirnya dia membuat keputusan untuk menggagahkan diri, berlari ke arah penyerang tersebut kemudian melucutkan senjatanya. Tindak balas daripada Naveed Akram kemudiannya menyasarkan tembakan ke arah Ahmad. Serangan balas itu hampir menggadaikan nyawa Ahmad akibat terkena dua das tembakan di lengan dan tapak tangan.

Peristiwa ini jelas memperlihatkan betapa pertimbangan kritikal dan sifat kemanusiaan menjadi faktor utama yang mendorong Ahmad menyelamatkan mangsa serangan dalam situasi yang genting pada waktu itu. Pertolongannya yang penuh bersahaja, tanpa mengira warna kulit, latar budaya, apatah lagi perbezaan agama dan ideologi berjaya menepis naratif jahat terhadap umat Islam. Jika yang muncul sebagai penyelamat pada waktu tersebut bukan Ahmad, sebaliknya lelaki lain yang bukan beragama Islam — besar kemungkinan naratif Islamofobia akan menjadi tajuk utama di dada-dada akhbar antarabangsa pada waktu ini.


Keberanian Sebenar daripada Hati Nurani

Beliau telah menerima pengiktirafan rasmi daripada pimpinan Australia atas tindakannya yang berani. Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, melawat Ahmad al-Ahmed di St George Hospital seminggu selepas kejadian, memuji keberaniannya dan menyatakan bahawa tindakan itu mencerminkan hati nuraninya sebagai rakyat Australia. Albanese menyatakan bahawa Ahmad mempunyai hati nurani yang cekal dan selayaknya mendapatkan penghormatan daripada seluruh masyarakat Australia atas keberaniannya dalam menghadapi situasi yang menakutkan itu. Selain pujian daripada Albanese, Premier New South Wales, Chris Minns, juga menggambarkan Ahmad sebagai hero dunia sebenar kerana tindakannya yang membantu menyelamatkan banyak nyawa. 


Stereotaip Mempengaruhi Hukuman Kolektif

Dalam banyaknya pujian dan ucapan penghargaan terhadap keberanian Ahmad, perlu diingat bahawa keberanian tersebut tidak boleh dibaca secara naif sebagai kisah seorang hero semata-mata. Ia perlu difahami dalam konteks yang lebih kritikal, khususnya bagaimana naratif keganasan sering berkembang dan dikaitkan dengan komuniti Islam di seluruh dunia selepas setiap tragedi. Dalam banyak kes sebelum ini, latar belakang agama atau etnik pelaku sering dieksploitasi untuk membentuk stigma kolektif, walaupun jenayah tersebut dilakukan oleh individu tertentu. Di sinilah munculnya bahaya hukuman kolektif, apabila komuniti yang tidak terlibat dipaksa menanggung kesalahan moral pelaku individu tertentu.

Dalam kes serangan Hannukah di Pantai Bondi ini, fakta menunjukkan pelaku keganasan adalah dua individu Muslim. Namun ini tidak boleh dijadikan asas untuk memindahkan kesalahan mereka kepada komuniti Muslim secara keseluruhannya. Pada masa yang sama, pengiktirafan terhadap keberanian Ahmad tidak boleh pula dimanipulasi sebagai pengecualian bahawa seolah-olah dalam ramai Muslim yang bermasalah, wujud juga Muslim seperti Ahmad yang baik dan boleh dipercayai. Ahmad  dijadikan subjek yang mengabsahkan stigma dan stereotaip Islamofobia sedia ada. Walhal sebaliknya, tindakan Ahmad mendedahkan dengan jelas kelemahan stereotaip tersebut. Premis yang perlu diketengahkan dalam isu serangan ini adalah bahawa kemanusiaan tidak ditentukan oleh agama dan keganasan pula tidak mewakili mana-mana komuniti secara kolektif.



Kontra-Naratif Islamofobia

Lebih penting, tindakan Ahmad berfungsi sebagai kontra-naratif serentak terhadap dua bentuk ekstremisme. Pertama, ekstremisme ganas yang dizahirkan melalui serangan anti-Semitisme . Kedua, ekstremisme melalui wacana yang sering muncul selepas tragedi dengan menjadikan umat Islam sebagai sasaran tuduhan melampau yang tidak berasas. Melalui peristiwa serangan ini, Ahmad perlu dijadikan simbolik sifat murni kemanusiaan oleh masyarakat dunia. Tindakannya adalah satu peringatan penting kepada masyarakat, bahawa respon paling berkesan terhadap kebencian bukanlah dibalas dengan kebencian, sebaliknya sifat berani yang melindungi dan mengasihi sesama manusia.

Tragedi ini merupakan kisah sedih yang seharusnya dirasai oleh setiap manusia yang bergelar insan. Namun, kisah di Pantai Bondi ini juga membawa dua persoalan besar  secara serentak. Pertama, sejauh mana keupayaan sesebuah negara melindungi komuniti Yahudi dari keganasan anti-Semitisme. Persoalan seterusnya, sejauh mana kejujuran masyarakat dalam menolak Islamofobia rentetan daripada isu ini. Respons terhadap dua persoalan ini cukup mudah, hanya memerlukan kejujuran dan naluri kemanusiaan untuk menjawabnya. Sekali lagi, sosok Ahmad perlu dijadikan contoh bahawa setiap rakyat perlu menghentikan tindakan anti-Semitisme dan setiap rakyat juga perlu berhenti melontarkan stereotaip terhadap komuniti lain, khususnya stigma berkaitan Islamofobia demi masa depan sesebuah negara yang lebih aman dan harmoni.

Jika keganasan boleh ditafsirkan sebagai usaha memecah-belahkan masyarakat melalui ketakutan. Maka, kisah seorang hero seperti Ahmad sepatutnya boleh menjadi teladan dan medan penentuan sama ada kita memilih keadilan dan kemanusiaan atau membiarkan prasangka mengambil alih sebuah realiti kebenaran. Dalam dunia yang semakin terpolarisasi, keberanian sebenar bukan hanya perlu ditunjukkan dalam situasi penyelamat, tetapi juga keberanian untuk berprinsip dan memperjuangkan sesuatu perkara dengan penuh keadilan dan kebenaran.


Rujukan
Smith, K. (2025, December 25). Australia announces bravery award for heroes of Bondi antisemitic attack. AP News.
https://www.apnews.com/article/australia-shooting-bondi-hannukah-guns-bravery-award-e63c2c140a2f92b4553bfb40e8e78b5a

Robinson, T. (2025, December 16). Bondi gunmen went to Philippines for military-style training, sources say. ABC News.
https://www.abc.net.au/news/2025-12-16/bondi-gunmen-went-to-philippines-for-military-style-training/106148662

McIlroy, T. (2025, December 15). Man who tackled alleged Bondi gunman couldn’t bear to see people dying, cousin says. The Guardian.
https://www.theguardian.com/australia-news/2025/dec/15/man-who-tackled-alleged-bondi-gunman-couldnt-bear-to-see-people-dying-cousin-says-ntwnfb

Al Jazeera. (2025, December 16). What we know about Ahmed Al-Ahmed, hero who disarmed Bondi attacker. Al Jazeera English.
https://www.aljazeera.com/news/2025/12/16/what-we-know-about-ahmed-al-ahmed-hero-who-disarmed-bondi-attacker

PBS NewsHour. (2025, December 22). Australian police release documents showing Bondi Beach shooting suspect conducted firearms training with his father. PBS.
https://www.pbs.org/newshour/world/australian-police-release-documents-showing-bondi-beach-shooting-suspect-conducted-firearms-training-with-his-father

Australian Financial Review. (2025, December 19). Anatomy of Bondi shooting: Australia’s deadliest terror attack.
https://www.afr.com/politics/federal/anatomy-of-bondi-shooting-australia-s-deadliest-terror-attack-20251219-p5np3y

Radio New Zealand. (2025, December 15). How the gunmen positioned themselves above Bondi Beach and opened fire. RNZ.
https://www.rnz.co.nz/news/world/581848/how-the-gunmen-positioned-themselves-above-bondi-beach-and-opened-fire