All Articles

Hilangnya Matawang Palestin Dijajah Shekel

8 min read
Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 10, 2024

Tahukah anda, ketiadaan matawang rasmi di Palestin menyebabkan negara barakah itu bergantung kepada matawang Israel, tidak lain tidak bukan – shekel.

Berbeza dengan negara-negara lain yang turut tidak mempunyai matawang sendiri seperti Scotland, Timor Leste dan Zimbabwe; Palestin terpaksa meneruskan kelangsungan ekonominya menggunakan matawang shekel, dinar Jordan dan dolar Amerika Syarikat (AS) selepas ketumbangan pemerintahan Khalifah Uthmaniyah di Palestin pada era Perang Dunia Pertama (WWI).

Revolusi Matawang Palestin 

Sebagaimana sesebuah negara berdepan dengan perubahan satu pemerintahan ke satu pemerintahan yang baharu, begitu juga matawang Palestin yang tidak terlepas dengan revolusi. 

Nur Masalha menerusi bukunya, Palestine: A Four Thousand Year History ada menjelaskan kepentingan matawang di sesebuah negara bukan sahaja untuk membangunkan ekonomi tetapi ia juga menjadi indikator autonomi sesebuah negara terhadap ekonominya. 

Matawang Palestin telah dikenalpasti seawal era syiling perak pada zaman Helenistik, sekitar lewat 600 SM di beberapa kawasan di negara itu seperti Gaza, Ascalon, Jaffa dan Ashdod. Apabila Alexander the Great menawan Palestin pada 332 SM, penggunaan syiling perak semakin meluas pada 538-332 SM dalam aktiviti perdagangan antarabangsa di beberapa kawasan sekitar Palestin sehingga dinamakan sebagai syiling Philisto-Arabian. Kewujudan syiling tersebut di dalam kitaran ekonomi boleh dikatakan sangat lama sehingga tamatnya kuasa Persia.

Kemunculan kuasa Rom di Palestin menyebabkan penghasilan syiling perak terhenti dan digantikan dengan syiling gangsa atau tembaga. Manakala matawang perak pula dikhususkan untuk negara-negara penting luar Rom dan syiling gangsa diteruskan sehingga era Byzantine digantikan dengan pemerintahan Islam di tanah Palestin.

Di bawah pemerintahan Parsi sehinggalah Khulafa al-Rasyidin, Palestin menyaksikan kesuburan ekonomi dan aktiviti perdagangan. Tetapi bermulanya pemerintahan Khilafah Umayyah di Palestin menandakan era baharu syiling di wilayah itu - matawang dihasilkan menggunakan emas. Revolusi matawang Palestin terus berlaku di bawah kerajaan Bani Umayyah, terutamanya ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik bin Marwan. Difahamkan segala unsur yang bersifat Byzantine telah digantikan dengan reka bentuk, imej, perkataan yang bertunjangkan Islam dan syiling yang dihasilkan oleh emas disebut sebagai ‘dinar emas’ dan perak disebut sebagai ‘dirham’. Hatta, imej pemerintah Rom pada matawang juga mereka telah tukarkan kepada wajah Khalifah Abdul Malik. 

Kedudukan Palestin sebagai sebuah negara yang mampan ekonominya bermula pada abad ke-9, sekitar 935 Masihi sehingga 969 Masihi, apabila perkataan ‘di Palestin’ tertulis di atas setiap syiling yang dihasilkan. 

Apabila Timur Tengah diterajui Empayar Uthmaniyah, matawang yang digunakan di Palestin adalah lira. Hal sama juga berlaku di negara Timur Tengah yang lain seperti Mesir dan Turkiye. Tetapi apabila British datang menguasai Palestin seawal 1917 selepas ketumbangan Empayar Uthmaniyah, bermula pula era paun (pound) di Timur Tengah.

Di bawah Mandat British, Palestin pada awalnya menggunakan paun Mesir sebelum digantikan dengan paun Palestin pada 1927 sehingga 14 Mei 1948. Jika dilihat pada wang kertas paun Palestin yang dikeluarkan – misalnya wang kertas 1 paun Palestin, kalian boleh lihat nilainya ditulis dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan Bahasa Ibrani. Dikatakan nilai paun di Timur Tengah pada ketika itu menyamai nilai paun sterling di United Kingdom (UK).

Ekonomi Dijajah - Pembebasan Palestin Tertangguh?

Penubuhan Israel secara haram di Palestin melalui peristiwa an-Nakbah pada 15 Mei 1948 membawa kepada kejatuhan ekonomi Palestin secara berperingkat sehinggalah matawang Palestin terhapus dalam pasaran negara itu. Sejarah merekodkan, paun Israel menggantikan paun Palestin sekitar tahun 1952 sebelum digantikan dengan shekel pada 1985.

Pada hari ini, jika anda berurusan di Palestin, sudah tentu anda tidak lagi menemukan paun Palestin kerana penduduk di dalam wilayah terjajah itu menggunakan matawang shekel, dinar Jordan, Euro atau dolar AS untuk meneruskan kelangsungan hidup dan ekonomi negara mereka. Persoalannya, bagaimana?

Setakat 2019, direkodkan sebanyak 25 bilion shekel berada dalam kitaran ekonomi Palestin. Jumlah shekel yang boleh dikatakan jumlahnya mendahului matawang lain adalah usaha Israel untuk memperkenalkan shekel sebagai satu-satunya matawang yang sah di Gaza dan Tebing Barat. 

Apabila Israel sudah mula bergantung kepada pembayaran digital, Palestin menerima lambakan shekel tunai kerana ribuan penduduk Palestin yang bekerja di wilayah haram Israel menerima gaji mereka secara tunai dan Bank Israel (BOI) pula enggan menerima tunai. Alasan mereka, wang tunai akan menggalakkan jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan di Israel.

Peranan bank pusat yang dikenali sebagai Palestine Monetary Authority (PMA) pula lumpuh sejak Perjanjian Oslo mencadangkan penubuhannya pada 1994. Manakan tidak, PMA tidak diberikan kuasa untuk mengeluarkan matawang Palestin, begitu juga menetapkan kadar faedah dan pengurusan bekalan matawang. Sebaliknya, BOI yang berkuasa menentukan nasib ekonomi Palestin sejak 1967 di mana ketika itu Israel menggantikan kesemua bank tempatan dan Arab dengan sistem kewangannya. Mereka jugalah yang mengenakan cukai terhadap pekerja Palestin dan duti import bagi setiap aktiviti perdagangan di wilayah terjajah.

Berdasarkan penjelasan itu, sudah cukup kita lihat betapa liciknya Israel memusnahkan Palestin melalui ekonomi sahaja. Bukti lain, sepanjang Taufan al-Aqsa yang meletus pada 7 Oktober 2023, sudah berapa kali Israel menyekat pemindahan cukai pendapatan kepada Palestinian Authority (PA) agar tidak disalurkan kepada Gaza. Sedangkan melalui cukai itulah PA manfaatkan untuk membayar kos perubatan dan program bantuan di Gaza.

Justeru, dalam kita melihat wang sebagai satu not kertas atau syiling yang memiliki kuasa untuk membeli, sebenarnya wang juga merupakan simbol kebangsaan yang mengangkat pemerintahan semasa sesebuah negara, sekaligus mengetengahkan identiti, naratif, sosial dan psikologi negara; lagi-lagi apabila pelancong asing berurusan di sesebuah negara. 

Lihat saja wajah Yang di-Pertuan Agong Pertama Malaysia, Tuanku Abdul Rahman dan sekuntum bunga raya pada wang kertas kita, tidak kira RM1 atau RM50. Sebaliknya pula, ada pelbagai imej yang menjadi simbol Malaysia seperti RM1 ada gambar wau; dan RM50 ada gambar ikonik yang terakam pada 31 Ogos 1957, Tunku Abdul Rahman Putra sedang melaungkan ‘Merdeka!’ dan gambar pokok kelapa sawit. Kesemua unsur inilah menjadi identiti Malaysia, kuasa, kepercayaan dan duta secara tidak langsung yang mewakili negara ini di pasaran kewangan antarabangsa.

Jadi, bayangkan jika kita berpeluang untuk berpijak ke Palestin yang merdeka tetapi masih menggunakan shekel… tidakkah ia pembebasan Palestin dianggap satu jenaka? 

Disebabkan itu, pada 2021 PMA mengumumkan untuk mengkaji keberkesanan matawang digital bank pusat (CBDC) dan matawang kripto dalam usaha membebaskan ekonomi Palestin dari cengkaman Israel. Walaupun dilihat sukar untuk bergerak ke arah itu ketika PMA masih lagi dikawal Israel, segalanya tidak mustahil. Namun pengaplikasian CBDC di Palestin mungkin perlu dilakukan dengan berhati-hati dan telus. Barangkali PMA perlu bergiat aktif mengejar masa dan mendapatkan pandangan daripada negara-negara yang mendahului teknologi CBDC seperti China dan Sweden.