All Articles

Hubungan Malaysia-Palestin: Mengapa Kita Terus Peduli?

Written by
Khairul Yunus
Published on
June 22, 2026


Penahanan rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) pada tahun 2025 mencetuskan suasana tegang di seluruh negara. Wisma Putra melaporkan seramai 23 orang rakyat Malaysia telah ditahan oleh rejim penjajah Israel. Setelah sekian lama cubaan untuk memecahkan sekatan Israel dilakukan, usaha ini kembali aktif dengan skala yang lebih besar. Pun begitu, ini bukanlah kali pertama rakyat Malaysia terlibat dalam gerakan solidariti untuk Palestin. Bahkan, sebelum itu sudah wujud pelbagai inisiatif kemanusiaan dan advokasi yang digerakkan oleh rakyat Malaysia. Dari sekian banyak siri bantuan kemanusiaan, peristiwa ini mengundang satu persoalan yang menarik. Mengapakah hampir setiap gerakan solidariti Palestin sentiasa mendapat dukungan rakyat Malaysia seisinya?


Soalan ini membawa perbincangan jauh melangkaui skop GSF. Hakikat ini merupakan lembaran cerita yang bermula sebelum adanya media sosial, sebelum perang Taufan al-Aqsa pada tahun 2023 dan sebelum tragedi GSF menjadi tajuk perbincangan di seantero dunia. Jawapan kepada persoalan ini tidak lahir daripada rentetan beberapa peristiwa semata-mata. Sebaliknya, ia terbentuk melalui sebuah perjalanan yang panjang, bermula daripada pendirian dasar luar negara sebelum meresap ke dalam seluruh gerakan sosial yang merentasi zaman.


Sejarah membuktikan ketika Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) mengisytiharkan kemerdekaan negara Palestin pada tahun 1988, Malaysia merupakan antara negara yang terawal memberikan pengiktirafan diplomatik. Ketika sebahagian besar negara Barat masih belum mengambil langkah yang sama, Kuala Lumpur telah meletakkan pendiriannya dengan jelas. Sehingga hari ini, Malaysia terus menyokong penubuhan negara Palestin yang merdeka dan tidak mengiktiraf penubuhan negara haram Israel.


Jelaslah di sini pendirian tersebut dizahirkan berdasarkan cerminan daripada pengalaman Malaysia sendiri sebagai sebuah negara pascakolonial. Dalam kerangka ini, isu Palestin tidak hanya dilihat sebagai sebuah konflik wilayah di Asia Barat. Sebaliknya ia turut dibaca sebagai persoalan penjajahan, kedaulatan dan hak menentukan nasib sendiri.


Seiring berjalannya waktu, jaringan dukungan terhadap Palestin semakin berkembang dan bergerak dalam pelbagai bentuk mengikut keperluan semasa. Dalam tempoh tiga dekad yang lalu, pelbagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Malaysia muncul sebagai sebahagian daripada ekosistem bantuan dan advokasi Palestin. Organisasi seperti Yayasan Amal, Muslim Care Malaysia, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE), Aman Palestin, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN Palestin), Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Malaysian Medical Relief Society (MERCY Malaysia), Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan banyak lagi NGO lain membina rangkaian bantuan kemanusiaan yang merangkumi projek pendidikan, kebajikan, pembangunan komuniti dan bantuan kecemasan.


Hasil daripada perkembangan ini, maka terbentuklah satu tradisi keprihatinan dan kemanusiaan yang diwariskan dari satu generasi ke generasi berikutnya. Setiap dekad menyaksikan kemunculan wajah-wajah baharu yang mengambil peranan masing-masing dalam usaha membela manusia yang tertindas di sana. Ada yang menggerakkan bantuan kemanusiaan, ada yang membina kesedaran awam, manakala sebahagian lagi terlibat dalam advokasi antarabangsa dan berada di barisan hadapan misi kemanusiaan dan advokasi untuk Palestin.


Dimensi inilah yang akhirnya membawa sebahagian rakyat Malaysia menyertai misi flotila antarabangsa bagi mencabar sekatan ke atas Gaza.


Bagi sebahagian masyarakat hari ini, penyertaan rakyat Malaysia dalam misi flotila mungkin lebih sinonim dengan GSF. Hakikatnya, penglibatan ini sebenarnya sudah lama berlaku sama ada secara langsung atau tidak langsung. Mengimbau misi flotila pada tahun 2010, dunia dikejutkan dengan serangan tentera Israel terhadap armada bantuan Gaza Freedom Flotilla yang diketuai oleh kapal Mavi Marmara. Serangan yang dilakukan oleh tentera rejim penjajah Israel di perairan antarabangsa itu mengorbankan aktivis kemanusiaan dan mencetuskan kecaman yang hebat secara meluas. Ketika peristiwa tersebut berlaku, seramai 12 rakyat Malaysia berada di atas kapal berkenaan.


Hakikat ini menjadi bukti nyata bahawa lima belas tahun sebelum GSF menghiasi tajuk berita utama, rakyat kita sudah pun terlibat secara langsung dalam usaha misi untuk mencabar kepungan ke atas Gaza.


Namun, ramai tidak menyedari bahawa Mavi Marmara bukanlah permulaan kepada gerakan flotila. Usaha untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza melalui laut sebenarnya telah bermula sejak tahun 2008 menerusi Free Gaza Movement. Dalam tempoh hampir dua dekad berikutnya, lebih 30 pelayaran dan percubaan flotila direkodkan melibatkan aktivis, ahli politik, wartawan dan sukarelawan dari pelbagai negara. Sebahagiannya berjaya menghampiri Gaza, manakala sebahagian yang lain dipintas, disabotaj atau dihalang daripada meneruskan pelayaran. Dalam konteks ini, GSF bukanlah sebuah gerakan yang muncul secara tiba-tiba, tetapi kesinambungan kepada sebuah usaha yang telah berlangsung sejak sekian lama.


Peristiwa Mavi Marmara pada waktu itu bukan sekadar mencetuskan kemarahan masyarakat dunia terhadap Israel. Walaupun armada tersebut tidak berjaya sampai ke destinasinya, insiden itu telah mengubah cara masyarakat antarabangsa melihat sekatan yang dikenakan ke atas Gaza dan mengangkat isu tersebut ke pentas perdebatan global. Selepas itu, pelbagai misi flotila terus digerakkan oleh kumpulan aktivis yang berbeza. Kapal belayar silih berganti, namun mesej yang dibawa tetap sama, kepungan ke atas Gaza tidak boleh dibiarkan dan dinormalisasikan.


Dari sudut ini, GSF tidak boleh dilihat sebagai usaha mengulangi kegagalan Mavi Marmara atau mana-mana flotila sebelumnya. Setiap armada yang belayar lahir dalam konteks politik yang berbeza dan membawa fungsi yang tersendiri. Sebahagiannya berjaya membuka perbahasan baharu, sebahagiannya meningkatkan tekanan diplomatik dan sebahagian lagi menghidupkan semula perhatian masyarakat dunia terhadap Gaza. Dalam gerakan solidariti, kejayaan tidak semestinya diukur melalui kemampuan kapal untuk berlabuh, tetapi juga melalui kemampuannya memastikan isu tersebut terus hidup dalam kesedaran masyarakat antarabangsa.


Di sinilah gerakan flotila sering disalah faham. Ramai membandingkannya dengan saluran bantuan kemanusiaan yang berjaya memasuki Gaza dan mempersoalkan keperluan untuk meneruskan pelayaran seperti ini. Hakikatnya, flotila tidak pernah diwujudkan untuk menggantikan saluran bantuan yang sedia ada. Sebaliknya, ia berfungsi mencabar struktur sekatan itu sendiri dan memastikan persoalan mengenai kepungan ke atas Gaza terus dibahaskan di peringkat antarabangsa.


Jika misi perubatan seperti yang digerakkan oleh MERCY Malaysia bertujuan menyampaikan bantuan perubatan secara langsung melalui saluran kemanusiaan yang diiktiraf, flotila pula berfungsi sebagai gerakan advokasi bagi menuntut kebebasan untuk rakyat Gaza. Sejak awal tahun 2000-an, MERCY Malaysia telah terlibat dalam pelbagai program bantuan kecemasan, pembangunan kesihatan dan bantuan perubatan di Palestin. Pada tahun 2024 misalnya, enam anggota Emergency Medical Team (EMT) MERCY Malaysia berjaya memasuki Gaza untuk menjalankan operasi perubatan ketika konflik sedang memuncak sebelum dibawa keluar melalui Rafah apabila keadaan keselamatan semakin meruncing.


Perbandingan antara MERCY dan flotila kadang kala menimbulkan salah faham. Sebaliknya, kedua-duanya bergerak dalam ruang yang berbeza. MERCY memasuki Gaza melalui mekanisme kemanusiaan yang dipersetujui bersama badan-badan antarabangsa dan pihak berkuasa berkaitan. Flotila pula tidak bertujuan menggantikan saluran tersebut. Ia berfungsi mencabar struktur sekatan itu sendiri. Dalam erti kata lain, yang satu berusaha memasuki Gaza melalui ruang yang dibenarkan, manakala yang satu lagi mempersoalkan mengapa ruang tersebut perlu dikawal dan dihadkan sejak awal.


Bukan sekadar itu, Malaysia turut memainkan peranan yang lebih besar dan strategik dalam isu ini melalui kerjasama antara masyarakat, NGO dan negara.


Selain laluan laut, pelbagai bantuan kemanusiaan dari Malaysia turut disalurkan melalui sempadan Rafah di Mesir. NGO seperti Muslim Care, MAPIM, MyCARE, HALUAN Palestin dan CGM mempunyai kerjasama dengan rakan strategik di Mesir bagi menghantar makanan, ubat-ubatan dan keperluan asas kepada rakyat Gaza.


Waima dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerjasama serantau turut menjadi sebahagian daripada strategi bantuan kemanusiaan. Misi Sumud Nusantara yang menghimpunkan NGO dari Asia Tenggara dan Asia Selatan memperlihatkan bagaimana dukungan terhadap Palestin tidak lagi bergerak dalam kerangka negara secara berasingan. Misi ini menghubungkan sumber, kepakaran dan jaringan kemanusiaan dari pelbagai negara bagi memastikan bantuan dapat terus disalurkan kepada rakyat Gaza melalui laluan yang masih boleh diakses.


Peranan yang dimainkan oleh sesebuah negara juga penting. Malaysia contohnya, pada tahun 2024 menerima 41 rakyat Palestin yang cedera akibat serangan Israel bersama 86 ahli keluarga mereka untuk mendapatkan rawatan di negara ini. Operasi yang melibatkan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu menjadikan Malaysia antara negara Asia yang bertanggungjawab menerima mangsa perang Gaza untuk rawatan dan pemulihan.


Selain itu, Malaysia juga aktif menggunakan jalur undang-undang antarabangsa. Pada tahun 2025, Malaysia mengemukakan kenyataan bertulis kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tanggungjawab Israel untuk memastikan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan organisasi kemanusiaan dapat menjalankan tugas mereka di wilayah Palestin yang diduduki. Dalam hujah tersebut, Malaysia menegaskan kepentingan mempertahankan hak rakyat Palestin serta memastikan undang-undang antarabangsa dihormati dan dipatuhi.


Walaupun dengan segala usaha yang telah dilakukan, semestinya Malaysia bukanlah sebuah negara yang mampu mengubah realiti geopolitik Asia Barat secara bersendirian. Malaysia tidak mempunyai kuasa veto di Majlis Keselamatan PBB dan tidak memiliki pengaruh ketenteraan yang mampu menentukan arah konflik. Namun dalam isu Palestin, pengaruh Malaysia dibina melalui sesuatu yang lebih signifikan iaitu konsistensi. Dukungan terhadap Palestin terus dipelihara merentasi perubahan kerajaan, zaman dan generasi. Dalam dunia yang sering berubah mengikut kepentingan politik semasa, konsistensi seperti ini bukanlah sesuatu yang mudah dipertahankan.


Dalam geopolitik hari ini, kekuatan sesebuah negara  sering diukur melalui kuasa veto, ketumbukan tentera dan pengaruh ekonomi. Pengalaman Malaysia dalam isu memperjuangkan bumi barakah ini menawarkan satu pelajaran yang berbeza. Pendekatan yang diambil sentiasa teguh pada prinsip, namun anjal dari segi kaedah pelaksanaannya. Ada ketikanya perjuangan digerakkan melalui saluran diplomasi, ada masanya melalui misi bantuan kemanusiaan, advokasi awam dan antarabangsa, serta ada juga yang memilih pelayaran flotila sebagai usaha memperjuangkan pembebasan Palestin. 


Secara umumnya, hubungan Palestin di hati sanubari rakyat Malaysia mempunyai ikatan yang sangat kuat. Namun untuk mengekalkan momentum dan kefahaman ini, usaha pendidikan awam, kempen kesedaran dan gerakan Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) perlu terus diperkasa. Semua ini penting untuk memastikan masyarakat sentiasa ingat bahawa rejim negara haram Israel perlu dilawan dan dikalahkan.


Setiap daripada kita punya peranan. Tidak semua orang mampu belayar di atas kapal flotila. Tidak semua orang juga mampu berhujah di dewan ICJ. Apa yang pasti, setiap individu mempunyai ruang dan peluang untuk berjuang. Dalam tempoh perjuangan yang telah berlangsung lebih tujuh dekad ini, perubahan sering bermula daripada kesediaan masyarakat untuk membebaskan Palestin daripada belenggu penjajahan. Sebahagiannya melalui bantuan kemanusiaan, sebahagiannya melalui pendidikan, advokasi dan sebahagiannya lagi melalui gerakan BDS. Jalannya mungkin berbeza, tetapi matlamatnya tetap sama. Segalanya mampu dicapai selagi semua mengambil peduli, bermula dari diri, bermula dari yang kecil dan bermula dari sekarang.