All Articles

Kejatuhan Zionis: Palestin Melawan Lupa!

8 min read
Written by
Syahmi Afiq
Published on
May 23, 2024

Insiden 7 Oktober 2023 yang telah berlanjutan selama 227 hari menjadi seumpama punat reset, melaraskan semula perjuangan warga Palestin di dalam menentang penjajahan Zionis selama ini.

Kenapa reset?

Selama ini, perjuangan membebaskan Palestin mencuba untuk membawa kepada perbincangan kedamaian seterusnya membawa kepada pengiktirafan solusi dua negara. Penjajah dan masyarakat dunia menggunakan kedua solusi ini untuk menghentikan pertikaian ke atas konflik berterusan Israel dan Palestin.

Buktinya? Solusi dua negara yang dikemukakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu diangkat sebagai solusi utama di dalam menyelesaikan konflik yang sudah bermula sejak 1918 lagi, ketika British memerintah Palestin menggunakan Mandat British.

1947, Resolusi PBB 181 menyatakan perlu ada pembahagian ke atas tanah Palestin, menjadikan ia dua buah negara dengan Baitul Maqdis sebagai corpus separatum, sebuah entiti yang akan diperintah oleh rejim khas antarabangsa. Inilah asal muasal kepada adanya solusi dua negara yang diangkat oleh masyarakat antarabangsa.

Sekian lamanya solusi ini dikempenkan sehingga termeterai Perjanjian Oslo, menjadikan ia sebagai solusi yang diterima oleh Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Melalui perjanjian ini, PLO mengiktiraf Israel sebagai rakan rundingan dan vice versa.

Situasi selepas 7 Oktober 2023 menjadikan semua ini dibetulkan semula, dengan perjuangan utama ialah bebas daripada penjajahan zionis. Masyarakat dunia mula melihat bahawa penjajahan zionis ke atas Palestin sebagai sebuah kejadian yang tidak sepatutnya berlaku. Ini ditambah lagi dengan sentimen Nakbah 2.0 yang mula menjadi topik utama perbincangan setelah pelbagai solusi yang dikemukakan oleh pemimpin zionis untuk menyelesaikan isu Gaza sebagai solusi tidak masuk akal.

Antara solusi yang dikemukakan? Mengeluarkan warga Gaza daripada Gaza dan mula membina penempatan Yahudi di dalam Gaza, mencadangkan kepada negara-negara Afrika untuk menyambut warga Gaza yang akan menjadi pelarian, serta menghapuskan warga Gaza secara terus.

Ini menjadikan matlamat perjuangan penentangan bermula semula, dengan Nakba yang berlaku 76 tahun lepas sebagai titik tolak perjuangan utama. Setiap tahun Nakba diingati dengan sambutannya sebelum ini hanya sekadar dalam kalangan mereka yang terlibat secara terus di dalam Nakba atau mereka yang bergiat aktif di dalam gerak kerja dunia kemanusiaan.

Sebelum ini, sambutan hari memperingati Nakba bergantung kepada konteks politik semasa, ada masanya membincangkan soal harapan, memperingati kesengsaraan dan kemungkinan untuk pulang.

Fasa awal perjuangan yang melibatkan sekitar penghapusan populasi 80% warga Arab di Palestin, soal hak untuk pulang bukan sekadar simbol atau slogan, tapi satu kemungkinan; sekurang-kurangnya itu yang bermain di dalam minda para pelarian.

Tahun 50-an hingga 70-an semangat nasionalisme Arab merupakan kuasa politik yang kuat, bukan sekadar menjadi wahana pergerakan tetapi turut diwacanakan sehingga mengukuh di dalam minda warga Arab ketika itu. Pergerakan nasionalisme Arab berpusat di Mesir, Syria dan Iraq dengan Perang Arab-Israel selama beberapa siri tidak mampu untuk membebaskan Palestin dari cengkaman zionis. Seiring masa yang berjalan, jelas bahawa tindakan-tindakan nasionalis ini bukanlah untuk membebaskan Palestin secara terus ketika itu, namun hanya untuk menjaga kekuasaan mereka sahaja. Oleh kerana itu Nakba menjadi antara ‘senjata utama’ warga Palestin untuk melawan lupa akan kekejaman rejim zionis ke atas mereka.

Kebangkitan PLO pada tahun 1960-an menjadikan harapan untuk kembali ke Palestin kembali bersinar. Penentangan melalui slogan-slogan revolusi dan penggunaan senjata menjadi alat utama penentangan ketika itu. Namun, harapan tersebut musnah apabila PLO dipaksa untuk keluar dari Lubnan pada 1982, ditambah dengan persetujuan untuk menandatangani Perjanjian Oslo antara PLO dan Israel dan krisis kepimpinan Palestin yang kelihatan tidak relevan selepas daripada 1993.

Apa yang terjadi pada aspirasi warga Palestin untuk kembali? Ia hanya menjadi seruan-seruan politikal, tidak lagi dibincangkan oleh mana-mana pihak sebagai isu politik yang boleh digunakan sebagai desakan.

Selepas daripada semua ini terjadi, Israel kelihatan tidak lagi menghormati segala resolusi yang dipersetujui di peringkat dunia, malah mengendahkan segala janji yang dimeterai melalui perjanjian yang ditandatangani. Mereka semakin rakus menjarah tanah Palestin, meningkatkan kehadiran Yahudi daripada luar Palestin, meluaskan lagi penempatan haram yang mereka bina untuk menampung kehadiran Yahudi, dan berterusan berusaha untuk menormalisasikan kewujudan mereka di Asia Barat dengan menjalinkan hubungan dengan negara-negara jiran.

Walau bagaimanapun, 7 Oktober mengubah segalanya. Wacana baru berkenaan politik dunia terbit di Gaza selepas kejadian 7 Oktober berlanjutan. Masyarakat dunia mula berfikir semula berkenaan Palestin dan segala susah payah yang dihadapi oleh warga Palestin semenjak 1918.

Ianya jelas kelihatan melalui ucapan jurucakap Menteri Luar China, Wang Wenbin di dalam sebuah sidang media pada 15 Mei tahun ini. Beliau menyinggung soal Nakba Palestin di dalam ucapannya.

“Seventy-six years on, the historical injustice suffered by the Palestinian people, far from being redressed, has further worsened,”

Ucapannya ini jelas mengaitkan insiden Nakba dengan apa yang berlaku di Gaza kini.

Wacana baharu ini kini mengambil tempatnya, dan sejarah Palestin yang dilakar selepas Perjanjian Oslo mula dilupakan demi mengambil pendekatan menyeluruh di dalam menegakkan keadilan di Palestin. Walaupun Washington dan beberapa negara sekutunya masih lagi menafikan dan memilih untuk tidak mengembalikan kedaulatan Palestin seperti sebelum era Mandat British, masyarakat dunia mula celik dan menuntut agar ia dikembalikan.

Peralihan perspektif ini bukan sahaja menunjukkan kegagalan Oslo dan juga disebabkan oleh tindakan kejam rejim zionis di Gaza, tapi kerana keteguhan di dalam penentangan yang ditunjukkan oleh warga Palestin itu sendiri.

Ini juga menunjukkan wacana berkenaan budaya ingatan bukanlah sekadar wacana aras tinggi di dalam dunia akademik, tetapi ianya mampu menjadi alat senjata di dalam tangan orang yang biasa-biasa.

Terima kasih kepada warga Palestin, perjuangan kali ini bakal menatijahkan kejatuhan zionis dalam keadaan penuh hina, disebabkan oleh perjuangan mereka di dalam melawan lupa!