All Articles

Kenapa Banyak Negara Menyokong Kempen LGBT, Tapi Bukan Palestin?

Written by
Haikal Zulkefli
Published on
November 30, 2022

Bintang bola sepak Brazil, Neymar da Silva Santos Júnior, yang mesra dengan panggilan sebagai Neymar Jr memberikan jawapan yang jelas kepada isu LGBT (Lesbian, Gay, Bisexual and Transgender) di Piala Dunia 2022 Qatar. Ketika sidang media, Neymar Jr ditanya pendapatnya mengenai sikap Jerman, Denmark dan England yang mahu memakai lilitan ‘One Love’ sebagai kempen hak LGBT.

Jawapan ringkas yang diberikan pemain Paris Saint-Germain (PSG), 

“Dalam pasukan kebangsaan, kami hanya suka wanita..."

Sebelum ini, semua pemain Jerman bertindak menutup mulut ketika sesi bergambar sebelum sepak mula menentang Jepun dalam saingan Kumpulan E di Piala Dunia. Hal itu sebagai tanda protes kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang melarang mereka memakai lilitan lengan pelangi.

Pemain Jerman menutup mulut ketika sesi bergambar sebelum memulakan perlawanan menentang Jepun di Stadium Antarabangsa Khalifa. Lilitan yang tertera tulisan “One Love” bermaksud satu cinta merujuk kepada kebebasan untuk mencintai sesiapa sahaja termasuk pasangan sejenis. Jerman berbuat demikian sebagai sebagai tanda protes kepada polisi kerajaan Qatar yang melarang perbuatan berkenaan kerana bercanggah dengan ajaran Islam.

Terdahulu, terdapat enam negara yang mencetuskan idea mahu memakai lilitan pelangi di Qatar tanda sokongan kepada golongan terpinggir LGBT. Negara itu termasuk Jerman, Belanda, Perancis, Belgium, Denmark dan Switzerland. FIFA menegaskan bahawa jika kapten pasukan memakai lilitan lengan 'One Love’, mereka akan dilayangkan kad kuning pada awal perlawanan, selain pemain dan persekutuan terbabit dikenakan denda dari segi kewangan.

Gambar rajah 1: Identiti Individu di Amerika Syarikat

Sebagai manusia yang normal, dengan melihat apa yang telah terjadi di Qatar, kita akan beranggapan bahawa begitu besarnya sokongan yang diterima oleh komuniti LGBT, dan pastinya kita akan tertanya-tanya,

“Komuniti LGBT itu kan hanya minoriti, dan tidak akan mempengaruhi pasaran perniagaan. Jadi, kenapa ramai yang menyokong mereka dan apakah keuntungannya?”

Jika di negara yang majoritinya umat Islam seperti di Malaysia mungkin ia benar. Tetapi bagaimana dengan negara seperti Amerika Syarikat? Kalau kita lihat, syarikat-syarikat besar seperti Apple, Google, Meta, Youtube, Microsoft, Walt Disney dan Unilever secara terbuka menyokong agenda LGBT dan sokongan ini bukanlah dibuat tanpa sebab kecuali perkara itu mendatangkan untung bagi mereka. 

Menurut Bob Witeck yang merupakan seorang ahli perniagaan dan aktivis LGBT, bahawa buying power komuniti LGBT di Amerika Syarikat pada tahun 2012 adalah USD 790 juta. Dari tahun ke tahun, jumlahnya kian meningkat hingga mencapai USD 1.4 trillion pada 2021. 

Itu baru Amerika Syarikat, bagaimana pula dengan seluruh dunia?

Pada tahun 2018, angka buying power komuniti LGBT dunia telah mencapai USD 3.7 trillion, dan naik menjadi USD 3.9 trillion pada tahun 2019. Jika menggunakan nilai tukar matawang Ringgit Malaysia (RM) terhadap USD pada 2019, jumlahnya sekitar RM 17.5 trillion. Maka, tidak hairanlah jika komuniti LGBT disebut-sebut sebagai masa depan ekonomi Amerika Syarikat dan dunia. Walaupun hanya minoriti, namun pada 2012 sahaja, komuniti LGBT telah menduduki tangga ketiga dari segi buying power, di mana mereka telah mengalahkan komuniti Asian-American yang berada di tangga keempat.

Gambar rajah 2: Kedudukan Buying Power di Amerika Syarikat

Antara faktor lain yang menjadi komuniti LGBT ini seolah-olah berjaya meraih sokongan dunia adalah kesetiaan mereka terhadap sesuatu jenama. Ini juga sebab yang tidak diambil ringan oleh para kapitalis. Lebih dari separuh, iaitu sekitar 55% pengguna LGBT akan memilih untuk berniaga dengan syarikat yang menyokong kesamarataan terhadap komuniti LGBT. 

Kemudian, 70% orang dewasa dari komuniti LGBT menyatakan bahawa mereka akan membayar dengan harga premium untuk produk dari syarikat yang menyokong komuniti LGBT. Dengan semakin gencarnya kempen LGBT di media sosial, maka sokongan terhadap “segmen minoriti dengan peningkatan tercepat” itu merupakan promosi yang sangat ampuh buat mereka. 

Namun, ini semua hanya ditinjau dari sudut ekonomi. Persoalannya, adakah majoriti dari komuniti LGBT ini memikirkan manfaat ekonomi ketika mereka berdiri teguh dengan perbuatan tidak bertamadun ini? Semestinya mereka hanya peduli dengan kesenangan mereka sahaja.

Maka, para kapitalis menganggap ini adalah peluang untuk terus mendapatkan keuntungan dengan menggadai segala prinsip kemanusiaan yang telah mereka jadikan sebagai polisi syarikat mereka sebelum ini. Bagi pelaku LGBT, sekularisme dan liberalisme menjadikan tindakan mereka itu satu perilaku yang normal. Bagi para kapitalis pula, kedua-dua ideologi yang disebutkan tadi adalah sebagai tiang sokongan yang sempurna bagi kapitalisme sebagai satu-satunya sistem yang mampu memudahkan mereka untuk mendapatkan keuntungan yang besar tanpa mempedulikan prinsip moral. 

Siapa pula yang harus peduli dengan nasib rakyat Palestin yang ditindas selama 75 tahun kerana isu ini tidak langsung memberikan keuntungan? Ini semua tentang wang dan kesenangan. Ketika mereka yang pro-Palestin melakukan kempen boikot untuk menekan Israel yang menjajah tanah Palestin, kempen itu bukan disokong malah dianggap sebagai tindakan yang bercanggah hak asasi manusia. Adakah memisahkan anak dan ibu bapa selama bertahun-tahun di dalam penjara itu dianggap benar dari sudut hak asasi manusia? Adakah tidak membenarkan rakyat Palestin untuk kembali semula ke tanah mereka yang dirampas dikira sebagai tindakan pengganas? 

Sokongan negara-negara dan para kapitalis ke atas LGBT adalah satu bentuk tindakan yang konsisten dan kesetiaan mereka pada nilai-nilai sekularisme dan liberalisme yang menjadi dasar kepada kehidupan mereka. Maka, pembelaan Barat terhadap komuniti LGBT atas nama hak asasi manusia, di mana pembelaan ini tidak pernah mereka lakukan dalam isu Palestin bukanlah sebuah kontradiksi kerana hak asasi manusia hanya akan berpihak kepada kepentingan Barat. Mereka menganggap penduduk Palestin yang majoriti beragama Islam adalah penghalang utama bagi kebebasan hidup dan perniagaan mereka. 

Jika umat Islam ingin diberikan pembelaan oleh masyarakat dunia, maka mereka juga harus membela tindakan yang selaras dengan nilai-nilai sekularisme mahupun liberalisme. Disebabkan ini, kita tidak akan menjual prinsip dan agama kita untuk sebuah harga kemerdekaan, kerana kemerdekaan Palestin bermakna kemerdekaan jiwa-jiwa umat dari belenggu kejahilan.