All Articles

Kenapa Tiada 'Superstate' Untuk Negara Arab?

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
June 26, 2023

Tamadun Arab bermula dengan orang Arab yang berasal dari lembah padang pasir Arab yang terbentang luas. Mereka telah mula menganut agama Islam pada kurun ke-7 Masihi dan telah menakluk majoriti kawasan Asia Barat dari empayar Sassanid dan empayar Byzantine kemudian mendirikan empayar Arab-Islam yang bermula dari Sepanyol ke Asia Tengah dan dari Caucasus ke India.

Disebabkan itu, Islam telah diterima sebagai undang-undang dan budaya oleh orang Parsi, orang Turki dan ramai lagi. Apa yang dirujuk sebagai Tamadun Arab adalah gabungan antara nilai klasik Arab , budaya Islam dan institusi, warisan keilmuan tamadun-tamadun yang hebat di Dunia Lama (Old World) dan kesatuan yang diberikan oleh bahasa Arab. 

Bangsa Arab, ketika mereka mempunyai sebuah empayar yang besar, budaya dan segala perilaku mereka menjadi contoh bukan sahaja Muslim, tetapi bukan Muslim juga turut mengikuti gaya mereka, seperti mana kita pada hari ini menjadikan Barat sebagai kiblat gaya hidup kita. 

Kemuncak kepada empayar Arab adalah ketika pemerintahan kerajaan Abbasiyah, di mana selepas itu kekhalifahan mula mengalami kemerosotan akibat dari kemunculan kerajaan-kerajan kecil dan pemberontakan dalaman terhadap kelemahan sistem kekhalifahan. Satu persatu wilayah kerajaan Abbasiyah terpisah selepas munculnya kerajaan Tuluniyyah di Mesir pada 868 Masihi, kerajaan Safavid di Iran pada 861 Masihi.

Boleh dikatakan, dunia Arab mempunyai sejarah yang rumit terhadap penaklukan, toleransi dan budaya intelektual tetapi pengaruh luar seperti pemerintahan Turki Uthmaniyah, British dan Perancis telah menghalang usaha untuk membangunkan negara Arab yang bersatu di bawah satu pemerintahan.

Dunia Arab mungkin dilihat berpecah tetapi sejarah telah membuktikan bahawa dengan kesatuan mereka, mereka mampu untuk melebarkan empayar hampir ⅔ dunia di bawah panji Islam. Ketika kerajaan Islam yang dipimpin oleh bangsa Arab berada di puncaknya, komuniti utama dalam kerajaan ketika itu adalah Yahudi dan Kristian, dan kerajaan Abbasiyah telah melaksanakan dasar toleransi, dengan membenarkan mereka untuk beramal dengan kepercayaan dan budaya mereka, memacu kepada budaya intelektual di kota-kota besar seperti Baghdad, Damsyik dan Kaherah. 

Kemudian dunia telah berada di Zaman Kebangkitan Eropah atau Renaissance di mana kuasa Islam semakin lemah dan masyarakat mula menjadikan Eropah sebagai ‘kiblat’ mereka. Walau bagaimanapun, hegemoni Turki Uthmaniyah dan kemudian pengaruh British dan Perancis telah menghalang cita-cita mewujudkan kesatuan negara Arab dan memperkenalkan idea sekularisme dan nasionalisme kepada dunia Arab.

Nasionalisme Arab telah muncul sebagai tindak balas kepada kemerosotan kuasa Turki Uthmaniyah dan pengilhakan yang dibuat oleh Barat, seperti penubuhan Israel yang menghalang negara kesatuan Arab yang menjangkau dari Maghribi sehingga Iraq. Jangkauan wilayah yang disebut adalah cadangan selepas Perang Dunia Kedua, namun disebabkan faktor politik seperti penubuhan negara Yahudi di Palestin telah membantutkan hasrat tersebut.

Negara-negara Arab telah berusaha untuk bersatu bersama Mesir selepas krisis Suez 1956, yang membawa kepada pembentukan United Arab States (UAS), tapi kesatuan ini tidak bertahan lama disebabkan perebutan kuasa dan konflik berpanjangan di antara negara-negara Arab. Jika kita lihat faktor yang mempengaruhi gagalnya UAS ini adalah disebabkan cabaran geografi, sejarah, ketidakseimbangan pengagihan kuasa dan sumber menghalang pembentukan UAS, menyebabkan mereka mula menagih simpati pengaruh luar untuk kepentingan mereka.

Perang Arab-Israel 1973 telah menjadikan Mesir, yang dianggap sebagai negara Arab yang kuat dari sudut ketenteraan, menagih perdamaian bersama Israel, di mana ia menunjukkan kelemahan Arab dan membenarkan politik Islam mengisi kelompangan tersebut, dan akhirnya memperbaharui sektarianisme. 

Iran bangkit sebagai sebuah negara teokrasi dan inisiatif kuasa lunak Arab Saudi seperti melalui pendanaan sekolah dan institusi budaya merentasi dunia mengubah dinamik kuasa serantau. Percubaan untuk mendirikan negara kesatuan Arab telah gagal disebabkan penyebaran fahaman radikal Sunni, dan konflik rentas sempadan. Namun begitu, ideanya tetap berterusan untuk membentuk politik Asia Barat walaupun negara-negara Arab menjadi negara tanpa bangsa.

Kebanyakan doktrin telah membawa kepada peperangan dan nasionalisme Arab tidak terkecuali. Gerakan kebangsaan mempunyai kecenderungan ke arah ekstremisme dan xenophobia, dan mungkin juga ke arah sikap mementingkan diri sendiri. Inilah yang menjadikan negara-negara Arab kini bergantung kepada sempadan yang penjajah letakkan untuk mereka. 

Mereka tidak mampu untuk membentuk satu kekuatan baru walaupun berada di bawah OIC dan mempunyai sumber yang mampu menandingi Amerika Syarikat dan China. OIC hanya tinggal nama dan tidak berfungsi seperti sepatutnya. Lebih mengecewakan, pada 2020, beberapa negara Arab telah menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel. Tindakan ini seolah-olah menikam belakang saudara Islam di seluruh dunia dan bangsanya sendiri di Palestin.

Salah satu faktor yang utama adalah kerana kekurangan pemimpin yang mempunyai karisma bagi memimpin dunia Arab yang kian berpecah. Mereka belum ada lagi pemimpin seperti Raja Faisal, Saddam Hussein atau Muammar Gaddafi yang lantang menentang pengaruh Barat dan juga mempertahankan Palestin.

Umat Islam tidak akan mampu mencipta sesuatu yang besar tanpa keberanian menghadapi risiko. Tetapi keberanian hanya wujud pada umat yang bertawakal, yang punya rasa kebergantungan kepada Allah SWT, di samping faktor-faktor kekuatan yang lainnya. Orang yang takut tumbang tidak akan berani berdiri, orang yang takut jatuh tidak akan berani mendaki dan orang yang takut kalah tidak akan berani bertarung dan kerana itu tidak akan pernah mencapai kemenangan.

Bangsa Arab perlu sedar bahawa mereka mampu membentuk satu kekuatan yang kuat kerana melalui sumber dan sejarah, mereka hanya akan menang jika mereka bersatu dan kembali kepada jalan asal perjuangan, iaitu membebaskan dan mempertahankan Baitul Maqdis.