All Articles

Kes Dr. Aafia Siddiqui: Analisis Pelanggaran Undang-undang Antarabangsa

Written by
Khairul Yunus
Published on
December 22, 2025

Pendahuluan

Kes Dr. Aafia Siddiqui merupakan antara kes paling kontroversi dalam konteks Global War on Terror, melibatkan pertindihan bidang kuasa jenayah Amerika Syarikat (AS), hak perbicaraan yang adil dan dakwaan pelanggaran serius terhadap undang-undang hak asasi manusia antarabangsa. Selepas peristiwa 11 September 2001, AS memperluas penggunaan undang-undang jenayah dan kuasa keselamatan negara ke luar sempadan wilayahnya. Dalam konteks ini, kes Dr. Aafia Siddiqui sering dirujuk sebagai contoh ekstrem penguatkuasaan undang-undang jenayah persekutuan dalam zon konflik bersenjata.

Terdapat banyak kontroversi yang timbul dalam fakta kes yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan AS. Pelbagai laporan dakwaan dan dokumentasi yang telah dikemukakan oleh pertubuhan hak asasi manusia. Meskipun sabitan jenayah Dr. Aafia Siddiqui telah disahkan secara kehakiman, namun masih wujud beberapa persoalan serius dari perspektif undang-undang antarabangsa yang masih belum pernah diadili dengan bukti substantif.

Berdasarkan rekod kehakiman rasmi AS dan analisis terhadap implikasi undang-undang antarabangsa, beberapa pelanggaran undang-undang yang dilakukan pihak berkuasa AS dapat dikenal pasti dalam kes penangkapan Dr. Aafia Siddiqui.


Analisis Pelanggaran Undang-Undang Antarabangsa bagi Kes Dr Aafia Siddiqui
:

1. Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik (ICCPR), Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), 1966

AS adalah negara yang menandatangani ICCPR pada 5 Oktober 1977 dan meratifikasikannya pada 8 Jun 1992. Penahanan dan kehilangan paksa (forced disappearance) oleh pihak berkuasa AS ke atas Dr. Aafia Siddiqui di Bagram dan Ghazni, Afghanistan sekitar tahun 2003 hingga 2008 jelas melanggar undang-undang antarabangsa melalui Artikel 9 dan Artikel 14, ICCPR (1966).

Artikel 9 – Larangan Penahanan Arbitrari
  • 9.1: Setiap individu mempunyai hak untuk menikmati kebebasan dan keselamatan diri. Tiada sesiapa boleh ditangkap atau ditahan secara sewenang-wenangnya dan tiada seorang pun boleh dilucutkan kebebasannya kecuali atas sebab yang sah dan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang.
  • 9.2: Sesiapa yang ditangkap atau ditahan atas suatu pertuduhan jenayah hendaklah dibawa dengan segera ke hadapan seorang hakim atau pegawai lain yang diberi kuasa oleh undang-undang untuk menjalankan kuasa kehakiman dan berhak untuk dibicarakan dalam tempoh yang munasabah atau dibebaskan. 
Artikel 14 – Hak Perbicaraan Secara Adil
  • 14.2: Setiap individu yang dituduh melakukan suatu kesalahan jenayah hendaklah dianggap tidak bersalah sehingga kesalahannya dibuktikan menurut undang-undang.
  • 14.3(a): Hak untuk dimaklumkan dengan segera dan secara terperinci dalam bahasa yang difahaminya, tentang jenis dan sebab pertuduhan terhadapnya.
  • 14.3(b): Hak untuk diberikan masa dan kemudahan yang mencukupi bagi menyediakan pembelaannya serta untuk berhubung dengan peguam yang dipilihnya sendiri.
  • 14.3(c): Hak untuk dibicarakan tanpa sebarang kelewatan yang tidak munasabah.

2. Konvensyen Menentang Penyeksaan Dan Layanan Atau Hukuman Lain Yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan Atau Menjatuhkan Maruah (CAT), PBB, 1984

AS telah menandatangani Konvensyen Menentang Penyeksaan (CAT) pada 18 April 1988 dan meratifikasikannya pada 21 Oktober 1994.

Menurut jurnal tulisan Aisha Adil bertajuk Dr. Aafia Siddiqui: Unraveling the Mysteries and Seeking Justice, pada malam 17 Julai 2008, Dr. Aafia Siddiqui mendakwa beliau telah diperiksa oleh warga Amerika di ibu pejabat Polis Nasional Afghanistan (ANP), di dalam sebuah bilik yang dihuni oleh individu berpakaian seragam dan orang awam.

Beliau dilaporkan mengalami layanan buruk termasuk penderaan fizikal oleh sebahagian individu terbabit dan turut menyatakan kehadiran individu warga India di lokasi berkenaan. Dr. Aafia juga merayu kepada pihak berkuasa Afghanistan agar tidak menyerahkannya kepada AS kerana bimbang akan keselamatan dan nasib yang bakal dihadapinya. Rayuan tersebut dilaporkan berterusan sepanjang malam hingga ke awal pagi.

Insiden ini dianggap sebagai antara bukti pelanggaran Artikel 2, Artikel 12 dan Artikel 15 CAT 1984.

Artikel 2 – Larangan Penyeksaan Dalam Apa Jua Keadaan
  • 2.2: Tiada sebarang keadaan luar biasa, sama ada peperangan, ancaman perang, ketidakstabilan politik dalaman atau apa-apa kecemasan awam yang lain boleh dijadikan alasan untuk membenarkan penyeksaan.
Artikel 12 – Mewajibkan Siasatan Segera dan Berkesan
  • Setiap negara hendaklah memastikan bahawa pihak berkuasa yang berwibawa menjalankan penyiasatan yang segera dan tidak berat sebelah, sekiranya terdapat alasan munasabah untuk mempercayai bahawa suatu perbuatan penyeksaan telah berlaku di mana-mana wilayah yang berada di bawah bidang kuasanya.
Artikel 15 – Melarang Penggunaan Kenyataan yang Diperoleh Melalui Penyeksaan
  • Setiap negara hendaklah memastikan bahawa sebarang kenyataan yang terbukti dilakukan akibat penyeksaan tidak boleh digunakan sebagai keterangan dalam mana-mana prosiding, kecuali terhadap individu yang dituduh melakukan penyeksaan, sebagai bukti bahawa kenyataan tersebut telah dibuat.

3. Konvensyen Vienna Mengenai Hubungan Konsulat (VCCR), PBB, 1963

AS telah menandatangani Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Konsulat pada 24 April 1963 dan meratifikasikannya pada 24 November 1969. Perjanjian ini sekali gus menjadikan AS sebagai sebuah negara yang terikat secara sah di bawah undang-undang ini. Menurut kenyataan Menteri Luar Negeri Pakistan, Makhdoom Shah Mahmood Hussain Qureshi pada tahun 2008, Kerajaan Persekutuan Pakistan perlu menggesa pihak berkuasa AS supaya memberikan jaminan akses konsulat secara berkala kepada pegawai Kedutaan Pakistan serta membenarkan lawatan keluarga secara berkala terhadap Dr. Aafia Siddiqui. Permintaan ini dilakukan sebagai respons dari tindakan AS yang tidak memberi kerjasama kepada pegawai Kedutaan Pakistan untuk berkomunikasi dengan Dr Aafia Siddiqui. Situasi ini jelas memperlihatkan pihak berkuasa AS telah melanggar undang-undang Artikel 36, VCCR 1963.

Artikel 36 – Menjamin Hak Warga Asing
  • Warganegara (migran) yang ditahan di negara tempat bermastautin mempunyai hak untuk berkomunikasi dan berhubung dengan pegawai konsulat.
  • Sebarang komunikasi daripada individu yang ditahan hendaklah disampaikan segera kepada pejabat konsulat.
  • Warganegara yang ditahan juga mesti diberi maklumat segera tentang hak mereka di bawah perenggan ini.

Kesimpulannya, penangkapan ke atas Dr. Aafia Siddiqui oleh AS jelas melanggar undang-undang antarabangsa melalui hujah dan bukti yang telah dikemukakan. Walaupun timbul banyak kontroversi berkenaan hak dan keadilan beliau sepanjang tempoh penangkapan, namun sehingga ke detik ini AS masih belum mendengar mana-mana tuntutan agar kes ini dapat diadili dengan sebaiknya. Hal Ini bermakna, tugas kita untuk menyebarkan solidariti terhadap pembebasan beliau masih perlu diteruskan hingga keadilan dapat ditegakkan.

Rujukan

Aisha Adil. (2023). Dr. Aafia Siddiqui: Unraveling the mysteries and seeking justice. International Journal of Advanced Legal Research, 4(2).
https://ijalr.in/wp-content/uploads/2024/03/DR.-AAFIA-SIDDIQUI.pdf#page=14.16

Amnesty International. (2007). Off the RecordU.S. Responsibility for Enforced Disappearancesin the “War on Terror”.
https://www.amnesty.org/en/wp-content/uploads/2021/07/amr510932007en.pdf

Cageprisoners. (2009). Aafia Siddiqui: A case of lies and inconsistencies.
https://cdn.prod.website-files.com/6364ebb4927fbc4330221d8f/694075dd98d1ef0202aa8fa6_bh3YqrqeHpCxhu1ptmPr33b2WIkGk1GanQcs4qhmM8Y.pdf#page=14.16

Doyle, C. (2025, May 27). U.S. prosecution of overseas torture (Legal Sidebar LSB11315). Congressional Research Service.
https://www.congress.gov/crs-product/LSB11315

Federal Bureau of Investigation. (2010, September 23). Aafia Siddiqui sentenced in Manhattan federal court to 86 years for attempting to murder U.S. nationals in Afghanistan and six additional crimes. FBI New York Field Office.
https://archives.fbi.gov/archives/newyork/press-releases/2010/nyfo092310.htm

Johnson, K. (2024, September 25). Pakistani prisoner beaten and sexually assaulted in Fort Worth federal prison, lawsuit says. KERA News.
https://www.keranews.org/criminal-justice/2024-09-25/aafia-siddiqui-carswell-pakistani-prisoner-sexual-assault-fort-worth-federal-prison-lawsuit

Legal Information Institute. (n.d.). 18 U.S. Code § 2340A – Torture. Cornell Law School.
https://www.law.cornell.edu/uscode/text/18/2340A

Legal Information Institute. (n.d.). 18 U.S. Code § 2441 – War crimes. Cornell Law School.
https://www.law.cornell.edu/uscode/text/18/2441

National Assembly of Pakistan. (2008). Resolution On Dr. Aafia Siddiqui.
https://na.gov.pk/en/resolution_detail.php?id=42

Office of the United Nations High Commissioner for Human Rights. (1966). International Covenant on Civil and Political Rights. United Nations.
https://www.ohchr.org/en/instruments-mechanisms/instruments/international-covenant-civil-and-political-rights

U.S. Sentencing Commission. (2012). U.S. Sentencing Guidelines Manual § 3A1.4: Terrorism.
https://www.ussc.gov/guidelines/guidelines-archive/2012-3a14

United Nations. (1963). Vienna Convention on Consular Relations (VCCR).
https://legal.un.org/ilc/texts/instruments/english/conventions/9_2_1963.pdf

United Nations. (1966). International Covenant on Civil and Political Rights (ICPPR). https://www.ohchr.org/en/instruments-mechanisms/instruments/international-covenant-civil-and-political-rights

United Nations. (1984). Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)https://www.ohchr.org/en/instruments-mechanisms/instruments/convention-against-torture-and-other-cruel-inhuman-or-degrading-treatment-or-punishment

United States Attorney’s Office, Southern District of New York. (2010, February 3). Aafia Siddiqui found guilty in Manhattan federal court of attempting to murder U.S. nationals in Afghanistan and six additional charges (Press release). U.S. Department of Justice. https://www.justice.gov/archive/usao/nys/pressreleases/February10/siddiquiaafiaverdictpr.pdf

United States Court of Appeals for the Second Circuit. (2012). United States v. Siddiqui: Second Circuit Court of Appeals ruling. The Investigative Project on Terrorism.
https://www.investigativeproject.org/case_docs/us-v-siddiqui/2061/second-circuit-court-of-appeals-ruling.pdf

United States Department of Justice. (2008, August). Criminal complaint: United States of America v. Aafia Siddiqui.https://www.justice.gov/archive/opa/pr/2008/August/siddiqui-aafia-complaint.pdf