Krisis Gaza: Ketahanan Sosial Keluarga Sepanjang Tempoh Pengepungan

Kehidupan seharian keluarga di Gaza telah lama dibentuk oleh tekanan akibat krisis yang berpanjangan disebabkan gangguan bekalan makanan dan air, ketidaktentuan keselamatan, kemerosotan perkhidmatan awam serta perpindahan paksa yang berlaku berulang kali. Dalam suasana krisis berpanjangan, tumpuan awam biasanya terarah kepada statistik korban dan kemusnahan infrastruktur. Namun di sebalik angka-angka itu, persoalan utama ialah bagaimana keluarga sebagai unit sosial paling asas terus berfungsi, melindungi anak-anak dan membina daya tahan bersama. Ketahanan sosial menjadi asas kelangsungan bukan sahaja bagi individu, malah bagi keseluruhan keluarga. Di Gaza, ketahanan ini terlihat dalam pengurusan sumber yang terhad, sokongan komuniti, penyesuaian pendekatan keibubapaan serta sandaran kepada nilai budaya dan agama.
Hakikat ini semakin jelas apabila diteliti melalui perkembangan semasa konflik berskala besar yang melanda wilayah tersebut. Keluarga di Gaza kini menghadapi salah satu krisis kemanusiaan paling panjang dan teruk dalam sejarah moden. Sejak tercetusnya Perang Taufan al-Aqsa pada Oktober 2023, kehidupan seharian keluarga Gaza bukan sekadar bergantung kepada bekalan makanan dan air, malah menuntut strategi berterusan untuk bertahan dari sudut ekonomi, sosial dan psikologi.
Penilaian kemanusiaan oleh agensi-agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta rangka kerja Integrated Food Security Phase Classification (IPC) menunjukkan bahawa lebih 1.6 juta penduduk Gaza masih mengalami ketidakamanan makanan yang akut menjelang akhir 2025. Data ini bukan sekadar gambaran statistik, sebaliknya mencerminkan kerangka sosial yang membentuk cara keluarga mengatur kehidupan seharian mereka. Ia membuka ruang untuk memahami satu dimensi yang sering terlepas daripada sorotan utama—bagaimana keluarga, sebagai institusi sosial paling asas, membina benteng utama kelangsungan hidup di tengah-tengah tekanan yang luar biasa.
Tekanan Konflik terhadap Institusi Keluarga
Selepas lebih dua tahun hidup dalam suasana konflik berskala besar, Gaza berubah daripada wilayah dengan kehidupan relatif normal kepada kawasan yang terperangkap dalam keadaan huru-hara yang berlarutan. Kemerosotan ekonomi, kerosakan infrastruktur dan penyaluran bantuan yang tidak menentu, menjadikan institusi keluarga berfungsi sebagai pembuat keputusan penting—daripada urusan catuan makanan, pengurusan dana bantuan, hinggalah strategi bertahan dari hari ke hari.
Sepanjang tahun 2025, lebih 340,000 isi rumah menerima bantuan tunai kemanusiaan melalui program yang diselaraskan oleh agensi PBB dan rakan pelaksana tempatan. Sokongan ini memberi ruang kepada keluarga untuk membeli makanan, mendapatkan air bersih atau menampung kos pergerakan harian. Namun, kajian lapangan masih menunjukkan bahawa bantuan sahaja tidak mencukupi bagi menjamin keselamatan jangka panjang, khususnya apabila aliran sokongan sering terdedah kepada risiko gangguan dan sekatan.
Laporan daripada Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) untuk sepanjang tahun 2025 tentang situasi kemanusiaan di Gaza turut menegaskan bahawa risiko malnutrisi dalam kalangan kanak-kanak kekal tinggi dalam ketidaktentuan aliran bantuan. Dapatan ini menggariskan bahawa daya tahan sosial tidak boleh hanya bergantung kepada sokongan luar, melainkan memaksimumkan keupayaan dalaman dan menyesuaikan diri dalam situasi yang paling mencabar.
Fungsi Keluarga dalam Fasa Krisis
Dalam institusi keluarga di Gaza, tekanan krisis paling jelas kelihatan apabila bekalan makanan, air dan tenaga sering terganggu sehingga perlu dicatu dalam kehidupan seharian. Keadaan ini menyebabkan keluarga terpaksa menetapkan keutamaan bagi memastikan kelangsungan kehidupan. Antara keputusan penting yang perlu dibuat termasuklah siapa yang akan didahulukan ketika makanan tidak mencukupi; bagaimana dana bantuan dibelanjakan; bila stok air boleh digunakan serta bagaimana bantuan yang diterima akan diagihkan. Dalam situasi lain, saiz hidangan juga dikurangkan, manakala kanak-kanak kecil diberi keutamaan. Keputusan yang dibuat secara rutin ini akhirnya membentuk pola kelangsungan hidup bersama yang menentukan kemampuan sesebuah keluarga untuk terus bertahan.
Tekanan berpanjangan ini turut mengubah peranan dalam sesebuah keluarga. Contohnya, remaja di Gaza membantu menjaga adik-adik mereka bagi membolehkan ibu bapa menumpukan perhatian kepada usaha mendapatkan bekalan atau bantuan. Manakala warga emas pula sering menjadi sumber ketenangan—penasihat yang baik dan rujukan moral ketika keadaan membimbangkan. Pembahagian peranan ini membentuk struktur sokongan dalaman yang membantu keluarga mengekalkan kestabilan dan ketahanan sosial dalam suasana yang tidak menentu.
Jaringan Komuniti sebagai Sistem Sokongan Keluarga
Di luar kelompok keluarga terdekat, jiran, saudara-mara dan komuniti setempat berfungsi sebagai jaringan sokongan sosial masyarakat. Dalam persekitaran di mana bantuan formal kadangkala tersekat atau diberikan secara berkala, hubungan sosial ini membantu menyediakan tempat perlindungan sementara, berkongsi makanan dan berperanan sebagai medium penyebaran maklumat berkaitan keselamatan.
Solidariti dalam komuniti berfungsi sebagai mekanisme penting yang meringankan beban institusi keluarga. Ia menunjukkan bahawa daya tahan masyarakat Gaza tidak hanya terletak pada kekuatan individu, tetapi pada hubungan sosial yang terus dipelihara walaupun di tengah kemusnahan yang kritikal.
Perlindungan Emosi Kanak-Kanak dalam Institusi Keluarga
Walaupun jaringan keluarga dan komuniti berfungsi sebagai benteng sokongan dalam kehidupan seharian, kesan konflik berpanjangan terhadap kesejahteraan psikologi kanak-kanak kekal menjadi salah satu cabaran paling serius. Kehilangan rumah, kematian anggota keluarga dan ketidakpastian masa depan memberi kesan emosi yang mendalam kepada generasi muda di Gaza. Menurut laporan daripada UNICEF dan Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 17,000 kanak-kanak di Gaza kehilangan penjaga utama atau terdedah secara langsung kepada pengalaman traumatik akibat peperangan. Dalam keadaan ini, fungsi emosi dan keselamatan mereka diletakkan di bawah banyak tekanan, yang meningkatkan risiko kesan psikososial jangka panjang.
Dalam menghadapi realiti ini, bagi anak-anak yang masih tinggal bersama ibu bapa atau penjaga, keluarga berfungsi sebagai barisan pertahanan utama terhadap kesan psikososial semasa konflik. Ibu bapa berperanan sebagai orang dewasa yang mampu menapis maklumat yang diterima oleh anak-anak dan menyampaikannya mengikut tahap pemahaman mereka, dengan mengekalkan mesej positif sebagai bentuk pembelajaran tidak formal dalam kehidupan seharian. Usaha-usaha ini bertujuan membantu kanak-kanak berasa lebih selamat dengan mengurangkan tekanan emosi dan mengawal ketakutan yang berlebihan.
Budaya dan Agama Membina Ketahanan Keluarga
Selain strategi psikososial yang bersifat praktikal, keluarga di Gaza turut bergantung kepada kerangka budaya dan agama untuk memberi makna dalam menghadapi pengalaman yang mencabar. Nilai budaya seperti keteguhan (sumud), kesabaran dan kesatuan sering dijadikan asas moral untuk terus bergerak ke hadapan secara kolektif.
Amalan keagamaan pula membantu ramai keluarga melihat perspektif penderitaan bukan sebagai kegagalan peribadi, tetapi sebagai ujian bersama yang perlu ditempuhi dengan tabah. Bingkai pemikiran ini tidak akan menghapuskan kesakitan, namun memberikan suntikan moral yang membolehkan mereka terus bertahan dalam keadaan yang sangat sukar.
Had Ketahanan Keluarga dan Implikasi Polisi
Meskipun pelbagai strategi untuk bertahan membolehkan banyak keluarga terus berfungsi dalam keadaan yang sangat mencabar, daya tahan sosial tetap mempunyai hadnya. Tekanan hidup yang berpanjangan berpotensi meninggalkan keletihan emosi hingga berisiko mengalami gangguan kesihatan mental. Tanpa proses pemulihan yang sistematik, ketahanan sosial yang hari ini menjadi pelindung juga boleh perlahan-lahan terhakis dan memberi kesan negatif ke atas kesejahteraan keluarga.
Implikasinya terhadap polisi kemanusiaan sangat besar. Antara cara untuk menanganinya adalah bantuan tidak boleh terhad kepada keperluan segera semata-mata, sebaliknya perlu dirangka sebagai sokongan menyeluruh yang menggabungkan perlindungan psikososial. Pendekatan ini turut merangkumi usaha memastikan kesinambungan pendidikan serta memperkukuh peranan keluarga sebagai institusi sosial utama melalui kerjasama rapat dengan organisasi komuniti tempatan. Pelaburan jangka panjang dalam kesihatan mental, pendidikan dan pemulihan infrastruktur asas juga harus dilihat sebagai asas pemulihan sosial, bukan pilihan sampingan. Pendekatan ini penting agar keluarga di Gaza bukan sekadar mampu bertahan, sebaliknya mereka perlu dibantu untuk berupaya membina semula kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.