All Articles

Liberal Zionis: Tiang Seri Projek Penjajahan Israel

8 min read
Written by
Haikal Zulkefli
Published on
July 25, 2023

Melihat kepada pendekatan rejim Zionis yang lebih ke arah polisi haluan kanan (right-wing), Zionisme Liberal masih memainkan peranan yang penting dalam ideologi Zionis. Ia masih memenuhi fungsinya yang kritikal dalam membantu projek Zionis bersama peradaban Barat ala-Demokratik serta politik yang progresif.

Natijahnya, rejim Israel sangat jarang dijelaskan dalam arus perdana Barat untuk apa yang telah dilakukan; iaitu negara penjajah yang mengamalkan apartheid. Ahli politik dan stesen media merentas pelbagai spektrum politik di Eropah, Amerika Utara dan di kawasan sekitarnya menyifatkan Israel sebagai “negara tunggal demokrasi di Timur Tengah”, berkongsi nilai Barat yang membuatkan ia sebagai suar (beacon) untuk politik progresif di kawasan yang bukan bersifat autoritarian.

Retorik ini kemudian digunakan untuk menjustifikasikan sokongan Barat terhadap rejim Zionis di Israel, termasuklah dengan menyediakan ruang politik, ekonomi dan ketenteraan di mana ia diperlukan untuk mengekalkan dan meluaskan penjajahan mereka ke atas Palestin.

Memahami Zionisme Liberal 

Fahaman kontemporari Zionisme Liberal ini muncul daripada Zionisme Buruh (Labor Zionism) - yang digelar juga sebagai haluan kiri, cabang sosialis kepada gerakan Zionis yang muncul sekitar satu abad yang lepas dan memainkan peranan yang penting dalam penubuhan negara Zionis. 

Sejak tertubuhnya Israel, Zionisme Liberal telah muncul dengan pelbagai polisi yang menjayakan kerajaan haluan kiri dan dalam misi Badan Bukan Kerajaan (NGO), kumpulan lobi, parti politik dan jaringan akademik serta institusi yamg mempromosikan Israel sebagai sebuah negara Yahudi yang liberal. 

Zionisme Liberal menikmati hegemoni ideologi untuk beberapa dekad sehingga 1948. Seperti mana yang telah ditulis oleh Yehuda Kurtzer, seorang penulis Zionis yang liberal dengan merujuk kepada pra-Zionis:

The triumphant Zionists understood what they were doing as building a liberal political movement. Liberalism was baked into the political Zionism that ultimately led to the building of the state.”

Melalui perspektif ini, kita melihat bahawa Zionisme Liberal boleh difahami sebagai penjajah, akar dan pokok yang bertanggungjawab kepada kepada peristiwa Nakbah 1948. Penganut fahaman ini telah beroperasi dalam arus perdana berdasarkan apa yang telah mereka fahami semenjak beberapa dekad yang lalu iaitu:

  1. Penubuhan negara Israel adalah satu-satunya cara untuk memastikan keselamatan orang Yahudi dan menyelesaikan pengasingan orang Yahudi daripada komuniti
  2. Yahudi mempunyai tuntutan berdasarkan kitab terhadap Palestin
  3. Projek Zionis adalah usaha yang bersifat heroik yang telah membawa obor pemodenan ke Israel
  4. Perang Kemerdekaan pada 1948 adalah satu kemestian untuk dilakukan, dan hasil dari perang tersebut telah menyebabkan lebih 750,000 rakyat Palestin dihalau dari kediaman mereka - dianggap sebagai perkara semulajadi yang patut berlaku dan diterima oleh semua pihak.

Kita perlu faham, bukan semua Zionis liberal bersetuju dengan empat poin di atas. Contohnya, sebahagian menggunakan naratif yang berbeza seperti yang dinyatakan pada poin ke-4, di mana mereka mengatakan rakyat Palestin tidak dihalau tetapi mereka keluar dengan kehendak mereka sendiri. Mereka menganggap apa yang dilakukan oleh Zionis pada 1948 adalah sah di sisi undang-undang dan haram untuk dikritik. 

Zionisme Liberal sangat memusuhi pengkritik dekolonialisme Palestin pada tahun 1948 dan sering menggambarkan mereka sebagai anti-Semitik dengan tujuan untuk menghapuskan gerakan mereka. Pada awal 70-an, Menteri Luar Negeri Israel iaitu, Abba Eban telah mula memainkan naratif anti-Zionis adalah anti-Semitik. Malah, Zionis liberal terus menggunakan asas kepercayaan ini untuk mengkritik penjajahan yang dilakukan pada 1967 di Tebing Barat, termasuk Baitul Maqdis Timur dan Gaza, di samping mereka berhati-hati untuk mengalihkan perhatian terhadap Nakbah 1948.   

Polisi Apartheid Zionisme Liberal

Polisi ini telah bermula semenjak penyingkiran secara besar-besaran rakyat Palestin pada 1948. Selepas mereka berjaya menubuhkan Israel, maka mereka wujud pula undang-undang apartheid yang kekal sehingga kini; Law of Return 1950, Absentees’ Property Law 1950 dan Nationality Law 1952 serta banyak lagi.

Untuk menjaga imej Israel, kelompok Zionis liberal ini mengelakkan sebarang pendedahan terhadap realiti penjajahan yang telah dilakukan. 

Sebagai contoh, kita boleh lihat kepada kritikan baru yang dilemparkan kepada rejim Benjamin Netanyahu yang dilihat lebih agresif dalam menjayakan cita-cita menjadikan Palestin sebagai sebuah negara Yahudi. Sebahagian pengkritik juga menyatakan bahawa Netanyahu menggalakan keganasan dan memacu Israel sebagai sebuah negara etno-nasionalis.

Cuma kalau kita perhatikan, kelompok liberal Zionis ini sebenarnya menyokong agenda solusi dua negara, namun agenda ini hanyalah propaganda Israel dan Amerika Syarikat untuk melambatkan proses perdamaian antara Palestin dan Israel. Agenda ini juga dilihat telah memberi ketakutan kepada Amerika Syarikat kerana hubungan baiknya dengan Israel. 

Nyah-Zionisasi (de-Zionization) Adalah Cara Terbaik

Perkataan yang mungkin baru didengari tetapi sudah lama dicetuskan oleh Hanan Ashrawi yang merupakan veteran jurucakap Palestin mewakili PLO pada tahun 2012 untuk menyoroti nasib pelarian Yahudi di negara-negara Arab yang kononnya ditindas dan menjadi asbab kepada penubuhan Israel.

Sebenarnya, idea nyah-Zionisasi ini bagus untuk Yahudi di Israel untuk jangka masa panjang kerana jika kita lihat, Yahudi di Israel menganggap Zionisme tidak mampu untuk menyelesaikan Jewish Question yang telah berlegar di Eropah sekitar kurun ke-17 yang telah membawa kepada peristiwa Holocaust pada kurun ke-20, tetapi lebih teruk lagi mengaplikasikan kerangka penjajahan Barat di Palestin.  

Natijahnya, Yahudi di Israel masih dianggap imigran dan bukannya penduduk asal di tanah bersejarah Palestin. 

Kenapa mereka tidak menyelesaikan masalah pada akarnya dan menjadikan komuniti Yahudi adalah komuniti yang dihormati di Eropah dan seluruh dunia tanpa melibatkan pertumpahan darah dengan semangat rasis di Palestin?

Ini kerana mereka sendiri pun keliru dengan ideologi mereka sendiri dan faktornya-faktornya sudah kita nyatakan di atas. Akibat dari tekanan mereka oleh penduduk Eropah, kenapa perlu rakyat Palestin yang majoritinya Muslim menjadi mangsa. 

Tidakkah mereka melihat kepada sejarah bahawa kerajaan Muslim sentiasa melindungi mereka dan memberi mereka kebebasan kepada agama mereka? Kebencian mereka sepatutnya dilampiaskan kepada orang Eropah yang beragama Kristian kerana orang Eropah menganggap orang Yahudi sebagai masyarakat kelas ketiga dan tidak layak berada dalam kalangan mereka. Tidak dilupakan, orang Yahudi juga dituduh sebagai dalang pembunuhan Nabi Isa AS oleh orang Kristian. 

Hanya dengan meruntuhkan ideologi Zionisme, maka kita mampu untuk membebaskan Palestin dan menghentikan projek penjajahan ini. Untuk ini berlaku, maka orang Yahudi perlu bersama dan melepaskan diri daripada ideologi yang merosakkan ini untuk memastikan keadilan mampu dikembalikan kepada yang hak