All Articles

Lubnan Dijual? Menilai Dakwaan, Realiti Politik dan Kerangka Israel–Lubnan

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
June 30, 2026

Baru-baru ini timbul spekulasi yang mengatakan tanah di bahagian selatan Lubnan telah dijual. Menyoroti isu ini di enjin carian, terdapat beberapa artikel yang boleh menyokong kepada spekulasi tersebut. Salah satunya artikel , itu pun tidak menyebut “tanah selatan Lubnan dijual”. Sebaliknya, menekankan bahawa Israel telah “pra-jual tanah yang dimiliki rakyat Lubnan susulan daripada kenyataan Menteri Keselamatan Israel, Itamar Ben-Gvir yang menyeru kepada perluasan kawalan ketenteraan dan penempatan haram di Lubnan”

Jadi, di manakah bermulanya dakwaan ini? 

Boleh jadi “pra-jual’ itu adalah terjemahan secara langsung. Mungkin juga situasi di Lubnan – ketika rundingan dalam proses – diterjemahkan sebagai “pra-jual” kerana masyarakat beranggapan Israel tidak akan berundur dari wilayah selatan dalam masa terdekat.

Situasi Terkini Lubnan

Setakat 28 Jun 2026, Israel telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang disebut sebagai kerangka persetujuan Israel-Lubnan di Washington pada 26 Jun. Kerangka itu disifatkan sebagai “permulaan kepada permulaan” setelah rundingan bermula sejak April 2026. Sebagai rekod, ketegangan Israel-Lubnan memuncak pada Oktober 2023 dan semakin tegang pada 28 Februari 2026 susulan daripada pembunuhan Pemimpin Tertinggi Iran, Ali Khamenei. 


Serangan tersebut disifatkan pihak Zionis sebagai operasi berterusan di zon keselamatan di selatan Lubnan berdasarkan perjanjian gencatan senjata. Namun, tidak bagi pihak penggubal undang-undang Hizbollah yang memberi amaran bahawa serangan tersebut akan mencetuskan konflik dalaman. 


Kenapa?

Sejak awal lagi, Hizbullah menentang rundingan bersama Israel dan Setiausaha Agung Hizbullah, Naim Qassem menganggap kerangka Israel-Lubnan tidak sah dan terbatal kerana dilihat sebagai penyerahan selatan Lubnan kepada Israel. Tidak cukup dengan itu, penggubal undang-undang Hizbullah, Hassan Fadlallah berkata kerangka itu adalah “perjanjian penghinaan dan keaiban yang ditandatangani oleh pihak berkuasa tidak akan pernah menjadi kenyataan”.


Jadi, apakah intipati kepada rundingan tersebut?


Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) kongsikan beberapa intipati utama kerangka Israel-Lubnan, antaranya:

  1. Perjanjian kerangka ini adalah satu proses berurutan bagi menstabilkan kawasan sempadan.
  2. Tentera Lubnan akan kembalikan kuasa ke atas semua wilayah Lubnan dan pada masa yang sama Hizbullah– sebagai entiti yang tidak disahkan kerajaan – perlu melucutkan senjata.
  3. Pengunduran tentera Zionis dari Lubnan secara berperingkat jika proses pelucutan senjata dan pemulihan kuasa oleh tentera Lubnan selesai.
  4. Bagaimanapun, zon penampan (buffer zone) akan terus dikekalkan di dalam wilayah Lubnan sehingga Hizbullah dilucutkan senjata sepenuhnya.
  5. Kewujudan zon rintis (pilot zone) untuk pengunduran awal tentera Zionis. Di dalam zon ini, tentera Lubnan akan mula mengambil alih tanggungjawab keselamatan secara beransur-ansur dan berkesan.
  6. Israel bersetuju untuk menghormati integriti wilayah dan kedaulatan Lubnan sebagai sebahagian daripada syarat untuk menghentikan kempen ketenteraannya.


Kerangka ini dilihat lebih berat memenangkan kuasa Barat yang melindungi Israel. Sebagai rekod, Presiden Lubnan, Joseph Aoun sendiri menyatakan kesanggupan kerajaan untuk bertanggungjawab dalam melaksanakan perjanjian kerangka tersebut. Maka, berlakulah lima rundingan perbincangan di Washington sebelum perjanjian itu ditandatangani Israel-Lubnan.


Menariknya di sini, sebelum perjanjian itu ditermeterai, Hizbullah berkali-kali mendesak pihak berkuasa Lubnan untuk berhubung dengan negosiasi Iran untuk menamatkan perang dengan AS. Hal ini kerana Hizbullah percaya Memorandum Persefahaman (MoU) antara Iran dan AS boleh menjadi asas untuk menamatkan konflik Israel-Lubnan, sekaligus mengekalkan pengaruh Iran sebagai pembela Lubnan. 


Di sini, kita dapat melihat bahawa kerajaan Lubnan ‘tidak sebulu’ dengan Hizbullah, gerakan syiah-Islam yang melawan penjajahan Zionis. Penyerahan semula kawalan keselamatan kepada tentera Lubnan sebagai wakil kerajaan mungkin dilihat sebagai “penjualan tanah selatan Lubnan” atau sebuah kemenangan dan penyerahan keselamatan kepada Israel. Namun, rincian kerangka tersebut jelas memberatkan lagi kemenangan untuk Israel dan AS, walaupun Ketua Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri Parti Kataeb Lubnan, Marqwan Abdallah berkata kerangka Israel-Lubnan tidak boleh dibaca sebagai lampiran kepada proses rundingan AS-Iran.


Bagi Marqwan, satu-satunya peranan Iran yang boleh diterima di negara itu adalah dengan memutuskan hubungan dengan Hizbullah dalam aspek kewangan, politik dan ketenteraan.


Kepentingan Politik di Lubnan

Keadaan politik di Lubnan tidak seperti di Malaysia, mahupun negara-negara lain. Pembentukan kerajaan di Lubnan adalah berkonsepkan konfesionalisme; yang membahagikan kuasa mengikut mazhab agama – Kristian, Sunni dan Syiah; yang mana pemimpinnya cuba untuk bersikap neutral dan menjaga keseimbangan antara kepelbagaian supaya tidak menimbulkan konflik dalaman. 


Berdasarkan sejarah, pembentukan kerajaan di Lubnan bermula dengan Pakatan Kebangsaan 1943 (Al-Mithaq al-Watani), sebuah perjanjian tidak bertulis yang menetapkan pembahagian kuasa selepas kemerdekaan daripada Mandat Perancis pada November 1943. Perjanjian ini melibatkan pemimpin elit Kristian Maronit dan Muslim Sunni yang menyaksikan pembahagian jawatan utama kepada: Presiden (Kristian Maronit), Perdana Menteri (Muslim Sunni) dan Speaker Parlimen (Muslim Shiah). Pada waktu itu, demi membentuk identiti Lubnan yang bebas, masyarakat Kristian bersetuju untuk tidak meminta perlindungan daripada kuasa Perancis dan orang Muslim bersetuju untuk melepaskan penyatuan dengan Syria sebagai jaminan perlindungan komuniti Kristian Maronite.


Bagaimanapun, susulan daripada Perjanjian Taif 1989, terutamanya pada hari ini, kita menyaksikan lebih banyak konflik berbanding keamanan di Lubnan. Manakan tidak, Hizbullah muncul sebagai kuasa tentera yang mengatasi tentera kebangsaan dan dilihat mencabar kedaulatan negara dengan enggan melucutkan senjata dalam persengketaan bersama Israel. Sedangkan, apa yang cuba diusahakan oleh Hizbullah adalah kerana enggan situasi di Gaza berlaku di Lubnan pada masa akan datang. Lihat sahaja perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui untuk ‘keamanan’ Gaza. Ironinya, tentera Zionis sudah mengambil 60% tanah semenanjung Gaza untuk dijadikan zon kuning (Yellow Zone) dengan kawalan tentera Zionis meningkat sebanyak 70%.


Maka, apabila kerangka Israel–Lubnan meletakkan syarat pelucutan senjata Hizbullah dan pemulihan kuasa tentera Lubnan di selatan, isu ini tidak lagi sekadar berkaitan keamanan di sempadan. Ia menyentuh persoalan lebih besar iaitu tentang siapa sebenarnya berhak menentukan masa depan Lubnan – kerajaan rasmi yang terikat dengan rundingan antarabangsa; atau gerakan penentangan yang melihat Israel sebagai ancaman bagi seluruh Asia Barat. 


Kesimpulannya, dakwaan “Lubnan dijual” mungkin bukan realiti undang-undang dalam erti kata tanah selatan Lubnan benar-benar dipindah milik kepada Israel. Namun, ia mencerminkan kegusaran politik yang lebih mendalam. Pada hari ini, rundingan yang berlaku sedang membentuk semula kuasa keselamatan di selatan Lubnan dengan syarat yang dilihat lebih menguntungkan Israel dan sekutunya. Dalam konteks negara yang dibina atas keseimbangan mazhab, sejarah perang saudara dan kewujudan aktor bersenjata seperti Hizbullah, sebarang perjanjian keamanan serantau tidak akan dibaca secara neutral. Ia akan sentiasa ditafsir sebagai persoalan kedaulatan, pengaruh asing dan masa depan Lubnan sebagai sebuah negara merdeka.