All Articles

Memasuki 2 Tahun Tufan al-Aqsa | Strategi Baru: Konflik Sifar antara Pejuang dan Penjajah

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
October 10, 2025

Serangan rejim Israel terhadap Gaza kini sudah genap tahun kedua pertempuran berdarah yang disifatkan sebagai pertempuran berulang antara serangan dan bertahan, di tengah-tengah perubahan taktik peperangan oleh pasukan penjajah yang beroperasi di semenanjung Gaza dan oleh pihak pejuang Palestin. Keadaan ini menjadikan suasana semakin rumit dan memaksa semua pihak memasuki fasa “menggigit jari” yang akhirnya akan berakhir dengan kekalahan mutlak bagi salah satu pihak.

Dalam kehangatan pertempuran itu, rejim Israel  bergerak mengikut strategi membeli masa dengan memasuki rundingan tanpa sebarang niat bagi menamatkan perang. Sebaliknya, mereka menggunakan kad rundingan dan para perantara sebagai alat untuk terus menumpahkan darah rakyat Palestin serta menekan pihak perunding Palestin melalui peningkatan jumlah korban di semenanjung Gaza. Dalam pusingan rundingan terakhir, rejim Israel dengan kerjasama Amerika Syarikat (AS) telah cuba melancarkan serangan ketenteraan terhadap para pemimpin HAMAS di Qatar ketika mereka sedang membincangkan cadangan AS pada 9 September lepas.

Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila langkah keselamatan yang diambil lebih awal oleh kumpulan pejuang berjaya menggagalkan operasi tersebut. Kejadian ini menyebabkan rejim Israel menanggung malu di peringkat antarabangsa dan memaksa Donald Trump menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad bagi menegaskan penghormatan terhadap kedaulatan Qatar serta memastikan insiden sedemikian tidak berulang di tanah Qatar, terutamanya kerana kehadiran kepimpinan pejuang di Qatar adalah atas permintaan pihak Barat sebagai saluran komunikasi antara mereka dan pihak pejuang sekiranya berlaku konflik dengan rejim haram.

Sementara itu, rejim Israel terus mengeluarkan arahan kepada penduduk Gaza agar berpindah ke kawasan selatan Wadi Gaza bagi mengulangi proses perpindahan penduduk dan memisahkan kumpulan pejuang daripada sokongan dalaman mereka. Usaha ini bertujuan untuk mengekalkan pendudukan di bandar Gaza dan kawasan utaranya. Persoalannya kini, adakah pasukan rejim Israel akan berjaya dalam misi tersebut?

Situasi di medan tempur

Tekanan ketenteraan rejim Israel terhadap kumpulan pejuang Palestin kini meningkat ke tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini apabila pasukan tentera darat rejim menggunakan robot sarat bahan letupan untuk memusnahkan bangunan kediaman dan mencipta tekanan ke atas kumpulan pejuang Palestin tanpa mengalami sebarang kerugian di pihak tentera rejim.

Taktik ini merupakan sebahagian daripada dasar “bumi hangus” yang digunakan oleh pihak rejim dalam setiap pertempuran darat, disokong oleh tiga divisyen tentera yang beroperasi secara aktif di semenanjung Gaza (Divisyen ke-36, ke-162 dan ke-98). Meskipun keluasan Gaza yang kecil secara logiknya tidak mampu menampung kekuatan sebesar itu, namun pihak penjajah mempunyai beberapa matlamat, antaranya:

  • Membolehkan pertukaran antara unit tentera yang sedang bertugas dengan unit yang telah berehat, sekali gus mengekalkan operasi rondaan berterusan agar pasukan yang bertugas sentiasa berada dalam keadaan segar dan tidak tertekan.
  • Mengekalkan momentum serangan berterusan terhadap kumpulan pejuang Palestin dan melemahkan mereka tanpa mengira sejauh mana kekuatan mereka.

Penjajahan Gaza 

Walau bagaimanapun, adakah rejim Israel benar-benar mampu mencapai apa yang didakwa oleh Perdana Menterinya, Benjamin Netanyahu iaitu menjajah Gaza sepenuhnya?

Keraguan semakin meningkat dalam kalangan institusi ketenteraan rejim haram terhadap kemampuan mereka untuk menjajah Gaza, sebagaimana dinyatakan oleh Ketua Turus Tentera Israel, Herzi Halevi disebabkan kesan strategik besar yang akan ditanggung dari sudut kewangan dan keselamatan. Bebanan kos yang perlu ditanggung rejim Israel sekiranya kekal berada di Gaza akan berlipat kali ganda berbanding apa yang telah dibayar sepanjang perang yang telah berlarutan selama hampir dua tahun ini.

Kehadiran mereka di Gaza hingga tahun 2005 menjadi bukti yang paling jelas di mana salah satu sebab utama pengunduran mereka dari Gaza adalah tanggungan kewangan yang tinggi yang ditanggung kerajaan haram, dibandingkan dengan jumlah penempatan yang tidak seimbang di Gaza serta harga darah yang tinggi yang terpaksa dibayar oleh warga haram Yahudi dan tenteranya sendiri.

Peringkat Serantau dan Antarabangsa

Republik Arab Mesir terus berhadapan dengan konflik di Palestin dengan penuh kebimbangan sejak tercetusnya perang di Gaza, khususnya di tengah-tengah peningkatan perbincangan mengenai dasar pemindahan penduduk Gaza ke Sinai, di mana ia adalah sesuatu yang dianggap oleh Kaherah sebagai ‘ancaman’ terhadap keselamatan nasionalnya. Hal ini terserlah dalam ucapan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi pada sidang kemuncak negara-negara Arab baru-baru ini apabila beliau membentangkan cadangan pembentukan pakatan Arab bagi menghadapi ancaman Israel sambil merujuk kepada Israel sebagai musuh buat kali pertama sejak beliau memegang jawatan presiden pada tahun 2014.

Sementara itu, Turkiye dan Qatar pula kekal memainkan peranan sebagai pengantara yang berusaha gigih mencapai gencatan senjata, manakala Paksi Penantangan (Axis of Resistance) dan Iran melihat pertempuran yang sedang berlaku di Gaza sebagai satu pertempuran penentu yang berpotensi membuka lembaran baru di rantau ini serta membentuk keseimbangan kuasa yang baharu.

Di peringkat antarabangsa, AS dan Eropah pula cuba menyeimbangkan sokongan mereka terhadap rejim Israel dengan usaha mengekang krisis kemanusiaan yang semakin kritikal di Gaza. Situasi ini turut mendorong beberapa buah negara Eropah lain mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara dalam usaha membawa kestabilan di rantau tersebut.

Sebagai kesimpulan, penulis tidak melihat akan berlakunya gencatan senjata dalam beberapa minggu akan datang, khususnya selepas rundingan terhenti susulan cubaan membunuh pemimpin HAMAS di Qatar. Oleh itu, perang di Gaza dijangka akan terus berlarutan dalam keadaan serang-balas yang berterusan di tengah-tengah situasi kemanusiaan yang amat buruk dan ketegangan serantau yang boleh meletus pada bila-bila masa — serta berterusan sehingga berakhir dengan keputusan sifar, walau selama mana pun ia berlangsung.

Diterjemahkan oleh: Lia Maryam Faisal