All Articles

Nas Daily: Penjajahan Pemikiran Yang Wajib Ditentang

Written by
Syahmi Afiq
Published on
May 17, 2024

Siapa yang tidak kenal Nas Daily, pembangun kandungan yang popular di media sosial. Melalui kandungan yang dinaikkan dan sentiasa tular, Nas Daily sentiasa memaparkan kepelbagaian sisi hidup masyarakat dari seluruh pelusuk dunia. Bagus? Ya memang bagus. Namun kandungan yang menunjukkan sisi beragama agak sedikit membimbangkan kerana Nas Daily cenderung kepada ideologi pluralisme, menyamaratakan semua agama.

Terbaharu, Nas Daily menaikkan kandungan yang memaparkan hasil pembelajarannya mengenai agama Judaisme. Ada banyak masalah di dalam kandungan ini yang perlu kita nilai semula demi memahamkan kita soal sebenar Judaisme dan Zionisme.

Baitul Maqdis Tanah Suci Agama Judaisme

Di dalam tempoh awal kandungan dimainkan, Nas Daily menyebutkan bahawa Baitul Maqdis ialah tanah suci agama Judaisme. Ya, jika kita merujuk kepada Bible, memang ada disebutkan perihal Allah SWT mengarahkan mereka untuk masuk ke Baitul Maqdis. Al-Quran juga menyebutkan cerita ini di dalam surah Al-Ma’idah ayat 20 hingga ayat 26, yang pada akhirnya membawa kepada kemurkaan Allah SWT kerana keengganan mereka dan akhirnya mereka ‘tenggelam’ di padang pasir selama 40 tahun, tanpa arah tujuan.

Mendakwa bahawa ia tanah yang dijanjikan kepada mereka bermakna mereka di dalam penafian bahawa mereka tidak lagi berhak ke atas tanah tersebut setelah huru-hara, pembunuhan Nabi yang dihantar kepada mereka dan korupsi yang seterusnya menyebabkan mereka di dalam kesesatan setelah menafikan risalah tauhid yang telah sampai kepada mereka.

Islam sebagai agama akhir zaman, membawa risalah kenabian yang telah dijalankan oleh para anbiya sebelum Rasulullah SAW  ialah pewaris utama dan yang paling layak di dalam menuntut hak ke atas Baitul Maqdis, bukanlah mereka yang telah menyeleweng daripada jalan yang ditetapkan.

Simbolik penyerahan risalah kenabian ini boleh dirujuk pada peristiwa ketika Nabi Muhammad SAW menjadi imam ketika solat di Masjid al-Aqsa kepada 126,000 anbiya di dalam kisah Isra’ dan Mikraj.

Judaisme Agama Pertama Berfahaman Monotheism

Di dalam kandungan yang dimuatnaik oleh Nas Daily, dia ada menyebutkan bahawa Abraham ialah orang pertama menjadi Yahudi, dan membawa fahaman yang memperakui keesaan Tuhan. Dan daripada agama yang dibawa oleh Abraham inilah yang pada akhirnya mempengaruhi ideologi Islam dan Kristian di dalam soal ketuhanan.

Kita tidak akan menyamakan Abraham yang mereka fahami dan kenali melalui Old Testament dan New Testament dengan Nabi Ibrahim AS yang kita kenali melalui Al-Quran kerana ia adalah satu perbandingan yang tidak adil. Menyamakan Rasul melalui apa yang Allah SWT tintakan di dalam Al-Quran tidak akan pernah sama dengan apa yang manusia tintakan. Sudah pasti banyak tokok tambah yang tidak patut dimasukkan. Namun di dalam penulisan ini, kita akan meluruskan kembali kefahaman yang sebenar berkenaan Nabi Ibrahim AS yang digambarkan sebagai manusia pertama yang membawa agama Judaisme.

Di dalam sejarah Islam yang panjang, sebelum Abraham yang kita kenali sebagai Nabi Ibrahim AS, telah pun hadir para Anbiya sebelum baginda. Di dalam turutan 25 orang Rasul yang wajib diketahui umat Islam, sebelum Nabi Ibrahim AS, sudah ada Nabi Adam AS, Nabi Idris AS, Nabi Nuh AS, Nabi Hud AS dan Nabi Saleh AS. Masakan para Nabi ini membawa risalah kenabian yang berbeza dengan para Nabi yang datang selepasnya?

Lihat juga penurunan ayat 45 di dalam Surah al-Zukhruf, satu-satunya ayat di dalam al-Quran yang turun di Masjid al-Aqsa, yang menunjukkan bahawa risalah kenabian tidak pernah berpaling daripada memperjuangkan keesaan Allah SWT.

وَسْـَٔلْ مَنْ أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ مِن رُّسُلِنَآ أَجَعَلْنَا مِن دُونِ ٱلرَّحْمَـٰنِ ءَالِهَةًۭ يُعْبَدُونَ

Dan bertanyalah kepada umat mana-mana Rasul yang Kami telah utuskan sebelummu; pernahkah Kami memberi hukum menetapkan sebarang tuhan untuk disembah, selain dari Allah Yang Maha Pemurah.

Menyatakan bahawa Abraham sebagai manusia pertama yang membawa fahaman monoteisme bermaksud menafikan ayat ke 45 di dalam surah Al-Zukhruf ini.

Di dalam Surah Ali Imran ayat 67 juga menyatakan perihal Ibrahim AS bukanlah Yahudi atau Nasrani.

مَا كَانَ إِبْرَٰهِيمُ يَهُودِيًّۭا وَلَا نَصْرَانِيًّۭا وَلَـٰكِن كَانَ حَنِيفًۭا مُّسْلِمًۭا وَمَا كَانَ مِنَ ٱلْمُشْرِكِينَ

Ibrahim bukanlah seorang Yahudi dan bukan (pula) seorang Nasrani, tetapi dia adalah seorang yang lurus, Muslim dan dia tidaklah termasuk orang-orang musyrik.

Jadi daripada mana datangnya idea bahawa Ibrahim AS ialah seorang Yahudi, beragama Judaisme?

Judaisme: Agama Teras Orang Yahudi

Nas Daily juga melalui kandungan yang sama mempromosikan bahawa Judaisme bukan agama berteraskan keagamaan, bangsa atau negara. Melalui hasil kajian para penyelidik di al-Zaytouna Centre for Studies and Consultation, mereka membahagikan Yahudi kepada dua kategori.

Kategori pertama ialah Yahudi berasaskan kepada kewarganegaraan mereka. Golongan ini melihat identiti Yahudi mereka daripada sudut cara hidup, kebudayaan dan kekayaan sosial mereka. Mereka menjauhkan diri mereka daripada kepercayaan keagamaan dan selalunya dikategorikan sebagai ateis ataupun sekular.

Kategori kedua pula ialah mereka yang mengikat diri mereka dengan kepercayaan agama mereka, iaitu Judaisme. Di bawah kategori ini mereka terbahagi kepada tiga mazhab iaitu; Judaisme Ortodoks, Judaisme Reformasi dan Judaisme Konservatif. Ketiga mazhab ini memegang kepelbagaian kepercayaan di dalam menanggapi idea Palestin sebagai tanah yang dijanjikan dan menubuhkan negara khusus untuk warga Yahudi.

Ini belum ditambah amalan kasta dalam kalangan Yahudi. Sungguh pun Nas Daily mencuba dengan tanpa segannya mengatakan bahawa tidak kira mereka berkulit hitam, cerah mahupun sawo matang, asalkan mereka Yahudi, mereka berkongsi gen yang sama. Walaupun mungkin perkara ini betul (ada kajian yang menyokong ke?), realiti di Israel tidaklah seindah yang digambarkan; bahawa agama Judaisme ini berasaskan ikatan kekeluargaan.

Pembahagian kasta wujud di Israel; Sefardi, Ashkenazi dan Mizrahim. Namun pembahagian kasta ini pun ada masalahnya. Kerana pengkelasan antara Yahudi itu sendiri bermasalah dari sudut batas geografi, budaya dan bahasa.

Janganlah diambil kandungan yang dimuat naik oleh Nas Daily sebagai fakta sebenar-benar fakta, tiada yang lain melainkan fakta belaka. Semak dahulu, kaji, luaskan pembacaan. Kita berada di dunia hujung jari. Terlalu banyak masalah membelenggu ‘negara’ orang Yahudi, penganut Judaisme itu, tidak berpadanan dengan label yang Nas letakkan bahawa ia agama yang menekankan etika kekeluargaan.