All Articles

Palestin Pasca Pemerintahan Salahuddin Al-Ayyubi: Mehna dan Tribulasi Mempertahankan Baitul Maqdis

Written by
Khairul Yunus
Published on
April 7, 2025

Kebiasaannya kita sering didendangkan fasa kemaraan tentera Islam untuk menakluk kembali Baitul Maqdis kemuncaknya ketika zaman kepimpinan Salahuddin Al-Ayyubi. Zaman di mana Baitul Maqdis diperintah oleh Seorang Raja yang zuhud dan bijaksana, yang berasal dari sebuah bandar di Tikrit Iraq. Jonathan Phillips, seorang ahli sejarah sering menggambarkan Saladin atau Salahuddin sebagai seorang pemimpin tentera yang cemerlang. Baginda juga digambarkan sebagai pememerintah yang adil dan murah hati serta seorang tokoh yang berkarisma dan berjiwa besar yang disegani dunia Islam dan Barat. 

Selain dianggap sebagai seorang pahlawan yang terkenal kerana menawan Baitul Maqdis   daripada tentera Salib. Salahuddin juga dianggap hebat kerana berjaya mempertahankannya semasa Perang Salib Ketiga. Namun sejauh manakah kestabilan Baitul Maqdis di era Salahuddin ini terus bertahan? Sehingga ada yang menyangka episod penguasaan ke atas Baitul Maqdis oleh Kerajaan Islam Ayyubiyyah, yang juga dalam Khilafah Abbasiyyah ini berlangsung murni dan tulus tanpa sebarang konflik atau polemik. 

Sejak kematian Sultan Salahuddin Al-Ayyubi pada tahun 1193 Masihi, inilah titik awal menandakan berakhirnya era kegemilangan dinasti Ayyubiyyah. Beredarnya zaman ketika mana seorang Sultan yang berkarisma berjaya menyatukan sebahagian besar dunia Islam dan membebaskan Baitul Maqdis daripada cengkaman tentera Salib ditelan sejarah. 

Hakikatnya waris kepemimpinan dan legasi perjuangan beliau tidak mampu membawa keamanan dan kestabilan yang berpanjangan di Kota Suci ini. Menatijahkan wilayah ini terus menjadi rebutan penguasa dan mencetus konflik berdarah yang berpanjangan.

Kembalinya Perang Salib dan Pemerintahan Ayyubiyyah yang Berpecah (1193-1260 M)

Selepas kewafatan Salahuddin, empayar Ayyubiyyah terpecah kepada beberapa kerajaan kecil yang saling bersaing. Legasi Ayyubiyyah diteruskan oleh kerabat dan anak-anaknya. Raja Al-Afdhal Ali Bin Salahuddin memerintah di Damaskus dan Quds, manakala Raja Al-Aziz Imaduddin Utsman Bin Salahuddin mentadbir di Syria Barat. Adapun Raja Al-Adil saudara kepada Salahuddin menjadi penguasa di Mesir, Urdun dan Kurk. Pun begitu, ada wilayah lain seperti Mosul telahpun keluar membentuk kerajaannya sendiri di bawah pentadbiran Gabenor Izzuddin Mas’ud. 

Kelemahan atas perpecahan inilah yang membuka peluang kepada tentera Salib membentuk kekuatan dan melancarkan siri peperangan baharu atas polemik dalaman atau perang saudara antara kerajaan Ayyubiyyah. Sehinggalah Raja Al-Adil menguasai sebahagian besar kerajaan Ayyubiyyah, maka terjadilah genjatan senjata antara kubu Nasrani dan kerajaan Ayyubiyyah bermula pada tahun 1205 sehingga 1218 Masihi.

Jejak kemaran Perang Salib Ketiga (1189-1192 Masihi) yang sebelumnya pernah dipimpin oleh Raja Richard the Lionheart dari England. Meskipun gagal merebut kembali Baitul Maqdis, hakikatnya telah berjaya menguasai beberapa wilayah di pesisir Palestin.

Sehubungan itu, hilangnya sosok Salahuddin ini, membentang peluang medan pertempuran antara saki baki tentera Salib  yang masih menapak di Palestin dan para penguasa Ayyubiyyah yang saling berpecah belah antara satu sama lain. Akibatnya, beberapa perjanjian damai dan gencatan senjata ditandatangani. Baitul Maqdis terpaksa beberapa kali bertukar tangan, bahkan terlepas dari kekuasaan umat Islam. Hal ini mencerminkan ketidakstabilan politik dan ketenteraan di rantau tersebut selepas fasa kegemilangan Salahuddin sebelum itu.

Era Mamluk dan Ancaman Mongol (1260-1516 M)

Kejatuhan dinasti Ayyubiyyah di Mesir pada tahun 1250 Masihi membawa kepada kemunculan Kesultanan Mamluk. Di bawah pemerintahan Mamluk, Palestin kembali menjadi sebahagian daripada wilayah kekuasaan Islam. Era ini menyaksikan beberapa pertempuran penting, terutamanya dalam menghadapi ancaman pencerobohan tentera  Mongol.

Pada tahun 1260 Masihi, keunggulan tentera Mamluk di bawah pimpinan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz telah berjaya menewaskan tentera Mongol dalam sebuah Pertempuran Ain Jalut yang bersejarah di Galilee. Kemenangan ini bukan sahaja telah menyelamatkan Palestin dan Syria daripada kemaraan Mongol, bahkan turut menandakan permulaan era dominasi Kerajaan Mamluk di rantau tersebut selama hampir tiga abad.

Dalam siri pertempuran yang panjang bersama tentera salib. Setelah 200 tahun lamanya berperang dan berjihad mempertahankan Tanah Suci. Akhirnya, wilayah terakhir yang dikuasai oleh tentera salib, iaitu kota Akka jatuh ke tangan Kerajaan Mamluk. Peristiwa ini menandakan, Palestin bebas sepenuhnya dari pendudukan tentera salib pada tahun 1291 Masihi.

Walaupun Mamluk berjaya mempertahankan Palestin daripada ancaman dalam fasa kekuasaan. Wilayah ini tetap menjadi lokasi perselisihan antara kerajaan Mamluk yang berpusat di Mesir dan sisa-sisa kerajaan Salib serta kuasa-kuasa kecil lain. Pembangunan infrastruktur dan aktiviti keagamaan diteruskan di bawah pemerintahan Mamluk, namun konflik dan pemberontakan dalaman tidak lekang dari sejarah pemerintahan Islam dalam tempoh tersebut.

Palestin di Bawah Kekuasaan Uthmaniyyah (1516-1917 M)

Pada awal abad ke-16, kuasa Kesultanan Mamluk mula merosot. Peluang ini diambil oleh Kesultanan Uthmaniyyah yang sedang berkembang pesat di bawah kepimpinan Sultan Selim I untuk memposisi. Pada tahun 1516 Masihi, tentera Uthmaniyyah berjaya menewaskan Mamluk dalam Pertempuran Marj Dabiq, dan dengan itu, Palestin menjadi sebahagian daripada wilayah Empayar Uthmaniyyah selama lebih kurang 400 tahun.

Di bawah pemerintahan Uthmaniyyah, Palestin dibahagikan kepada beberapa daerah yang berada di bawah pentadbiran wilayah yang lebih besar. Bahagian Utara Palestin ditadbir sebagai sebahagian daripada wilayah Lubnan, dengan pusat pentadbiran di Akka. 

Manakala Bahagian Selatan Palestin berada di bawah pentadbiran wilayah Syam(Syria), yang berpusat di Damsyik. Secara relatif, era Uthmaniyyah merupakan tempoh yang lebih stabil bagi Palestin. Walaupun terdapat beberapa pemberontakan dan konflik serantau, pemerintahan pusat Uthmaniyyah berjaya mengekalkan kawalan ke atas wilayah tersebut untuk jangka masa yang panjang.

Baitul Maqdis terus menjadi pusat keagamaan yang penting bagi umat Islam, Kristian, dan Yahudi. Uthmaniyyah mengekalkan status quo keagamaan dan mengizinkan ziarah daripada pelbagai agama. Namun, dari segi pembangunan ekonomi dan politik, Palestin pada era Uthmaniyyah tidaklah mengalami kemajuan yang signifikan berbanding wilayah-wilayah lain dalam empayar tersebut.

Mandat British dan Konflik yang Memuncak (1917-1948 M)

Kekalahan Empayar Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama, membawa kepada perubahan drastik dalam peta politik Timur Tengah. Liga Bangsa (League of Nations) memberikan Mandat Palestin kepada Britain pada tahun 1920. Mandat ini secara rasmi bertujuan untuk mempersiapkan Palestin untuk kemerdekaan. Namun ia juga memasukkan Deklarasi Balfour (1917) yang menyatakan sokongan Britain terhadap penubuhan "rumah negara bagi bangsa Yahudi di Palestin."

Dasar Britain yang menggalakkan imigrasi Yahudi ke Palestin secara besar-besaran menimbulkan rasa tidak puas hati dan penentangan yang hebat daripada penduduk Arab Palestin. Konflik antara kedua-dua komuniti ini terus meningkat, dizahirkan melalui pemberontakan, keganasan, dan ketidakstabilan politik.

Menjelang akhir Mandat British, keadaan di Palestin menjadi semakin tidak terkawal. Britain akhirnya menyerahkan isu Palestin kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Pada tahun 1947, PBB mengeluarkan Resolusi 181 yang menyerukan pembahagian Palestin kepada dua negara: satu negara Arab dan satu negara Yahudi, dengan Baitul Maqdis berada di bawah pentadbiran antarabangsa. Di sinilah idea asal Two State Solution bermula.

Perang Arab-Israel 1948 dan Pembentukan Negara Israel

Rancangan pembahagian PBB ditolak oleh pihak Arab. Sehari selepas Britain menamatkan mandatnya pada 15 Mei 1948, negara haram Israel diisytiharkan. Peristiwa ini mencetuskan Perang Arab-Israel 1948. Dalam perang tersebut, Israel berjaya memperluaskan wilayahnya di luar batas yang ditetapkan oleh rancangan pembahagian PBB.

Akibat perang ini, lebih daripada 700,000 rakyat Palestin dipindahkan atau melarikan diri, menjadi pelarian dan terusir dari tanah air sendiri dalam tragedi pembasmian etnik, Nakba. Sejak itu juga, Wilayah Palestin terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu wilayah yang dikuasai oleh Israel, Tebing Barat yang berada di bawah pentadbiran Jordan, dan Gaza pula berada di bawah pentadbiran Mesir.

Konflik Berterusan dan Masa Depan yang Tidak Pasti (1948-Kini)

Sejak tahun 1948, Palestin terus menjadi pusat konflik yang berpanjangan antara Israel dan bangsa Palestin. Beberapa perang dan intifada (kebangkitan) telah terjadi, menyebabkan kehilangan nyawa yang besar dan penderitaan yang berterusan bagi kedua-dua pihak.

Konflik ini mencetuskan Intifada Pertama atau gelombang kebangkitan rakyat Palestin yang menentang pendudukan Israel di Tebing Barat dan Jalur Gaza. Gerakan ini berlangsung pada tahun 1987 dan berterusan selama enam tahun. Medan ini digunakan rakyat Palestin untuk mengadakan tunjuk perasaan, kempen boikot, dan serangan ke atas pasukan keselamatan Israel. Seterusnya, dilancarkan Intifada Kedua, atau gelombang kedua pada tahun 2000 selepas kegagalan rundingan damai di Camp David dan ketika kunjungan Ariel Sharon, salah seorang tokoh politik Israel, ke Masjid Al-Aqsa.

Pada tahun 2007, kerajaan Hamas telah berjaya menguasai Palestin di Jalur Gaza selepas perlawanan politik dengan Fatah yakni sebuah parti yang dominan di Tebing Barat Palestin. Penentangan Hamas terhadap  Israel sejak itu terus berlangsung di Gaza melalui siri peperangan pada tahun 2008-2009, Perang Gaza 2014, dan terkini semasa perang dua tahun lepas yang dipanggil sebagai Taufan Al-Aqsa pada tahun 2023.

Isu-isu utama dalam konflik ini termasuk status Baitul Maqdis, hak kembali pelarian Palestin, penarikan diri Israel dari wilayah-wilayah yang diduduki, dan pembentukan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat. Pelbagai usaha damai telah dicuba, namun penyelesaian yang adil dan komprehensif masih belum tercapai.

Kesimpulan

Palestin pasca pemerintahan Salahuddin Al-Ayyubi adalah kisah tentang perjuangan, ketabahan, dan juga kehilangan. Tanah suci ini telah menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan empayar Islam, pertembungan peradaban, perang saudara dan yang paling penting adalah aspirasi yang tidak pernah padam untuk kebebasan dan keadilan untuk Baitul Maqdis. Meskipun berabad-abad telah berlalu, warisan konflik dan keinginan untuk keamanan terus membaluti nasib bumi yang penuh sejarah ini. Masa depan Palestin masih diselimuti ketidakpastian. Namun harapan untuk penyelesaian yang tuntas dan bermaruah, untuk sebuah tanah Palestin yang merdeka tetap menjadi impian setiap insan yang mencintai tanah mulia ini. Allahuakbar!