All Articles

Paradoks Trump di Bumi Gaza: Antara Realiti Dan Fantasi

Written by
Khairul Yunus
Published on
March 17, 2025

Mutakhir ini Donald Trump, muncul lagi dengan lagak epiknya sebagai Presiden Amerika Syarikat di pentas geopolitik. Seperti biasa, Mr President ini tampil tanpa segan mencetuskan kontroversi dengan melontarkan sebuah idea gilanya untuk menjadikan Gaza sebagai ‘Riviera of the Middle East.’ Cadangan ini, yang digambarkan sebagai transformasi Gaza untuk dijadikan sebagai destinasi pelancongan mewah, telah menimbulkan pelbagai reaksi sama ada negatif dan tidak kurang pula, ada pihak yang menzahirkan kekaguman yang skeptikal. Meskipun, di sebalik retorik dan janji-janji manis Trump, ucapan ini mengundang persoalan mendalam tentang relevansi, etika, dan implikasi geopolitik daripada dasar luar negara ‘Uncle Sam’ tersebut.

Fantasi Riviera di Tengah Runtuhan

Trump menggambarkan Gaza sebagai kawasan pantai yang dipenuhi kasino, hotel mewah, dan pusat pelancongan bertaraf dunia. Dalam sebuah video treler yang dihasilkan menggunakan kecerdasan buatan, Trump mempamerkan Gaza sebagai sebuah utopia moden, lengkap dengan patung emas dirinya dan resort mewah. Waima, fantasi yang dihidangkan sebenarnya berbeza jauh dari realiti yang sebenar. Gaza sehingga pada detik ini berada dalam situasi darurat kemanusiaan, dengan hampir keseluruhan fasiliti dan bangunan musnah total, akibat kesan peperangan yang berpanjangan. Perancangan ini, tampak menarik di atas kertas, namun sebaliknya kelihatan seperti sebuah fantasi ngeri yang tidak mempedulikan kesengsaraan mental dan fizikal manusia.

Dasar Luar Amerika: Antara Retorik dan Realiti

Tanpa perlu menunggu lama untuk Trump kembali berada di kerusi kekuasaan sebagai Presiden AS. Sebuah pandangan diungkap untuk dijadikan manifestasi pendekatan dasar luar Trump yang sering kali kelihatan bersifat unilateral dan kontroversial. Analisa melalui konteks Gaza, Trump berhajat untuk memindahkan penduduk Palestin ini ke negara-negara jiran seperti Mesir dan Jordan, tanpa hak untuk mereka kembali ke tanah air. Tindakan ini bukan sekadar melanggar undang-undang antarabangsa, bahkan turut membangkitkan semula memori peristiwa Nakbah pada tahun 1948, di mana ratusan ribu penduduk Palestin kehilangan tempat tinggal di tanah air mereka sendiri.

Tambahan, apa yang lebih memburukkan keadaan, idea ini mendapat sambutan yang sangat ‘menggembirakan’ bagi beberapa pihak dalam kerajaan Israel yang memandang ia sebagai pintu peluang untuk menguatkan cengkaman ke atas agenda mereka di wilayah tersebut. Malangnya, gegak gempita suara Trump dan sekutunya ini disambut dingin oleh negara-negara Arab dan masyarakat antarabangsa, yang sepertinya dapat menghidu agenda tersebut sebagai bentuk pembersihan etnik secara terang-terangan.

Relevansi dan Implikasi

Dari perspektif geopolitik, Idea Riviera of the Middle East boleh disingkap sebagai manifestasi dasar luar America First melalui beberapa pendekatan. Pendekatan pertama; Penyelesaian Konflik yang Dianggap Membebankan. Dasar America First sebenarnya sudah lama menanggung beban atas konflik yang berpanjangan di Timur Tengah, yang memerlukan sumber dan perhatian yang besar dari Amerika Syarikat. Walaupun dengan cara yang kontroversial, ini selari dengan keinginan untuk mengurangkan beban AS dalam isu-isu ekonomi politik global. 

Seterusnya, kedua; Fokus Pembangunan Ekonomi (dengan syarat AS untung). Walaupun idea ini melibatkan pengusiran penduduk, naratif pembangunan ‘Riviera’ menekankan potensi keuntungan ekonomi melalui pelancongan dan pembangunan hartanah mewah. Ini juga seiring dengan kecenderungan America First untuk melihat hubungan antarabangsa melalui lensa ekonomi dan transaksi. 

Selanjutnya, ketiga; Pendekatan Unilateral dan Mengabaikan Konsensus Antarabangsa. Semua maklum, Idea ini dicetuskan tanpa rundingan yang merangkumi semua pihak-pihak berkepentingan, terutamanya rakyat Palestin dan komuniti antarabangsa. Ini memberi mesej jelas bahawa kecenderungan dasar America First untuk bertindak secara unilateral dan kurang menghiraukan norma atau konsensus antarabangsa, jika ia dianggap menghalang kepentingan AS mengikut apa yang ditafsirkan oleh Trump.

Semua pendekatan ini disusun seakan-akan memenuhi ‘prinsip tidak campur tangan’ AS. Namun, dari sudut pandang ‘America First’ ala Trump, cadangan ini mungkin dianggap sebagai sebuah pendekatan yang ‘relevan’ dan memberi kelebihan atas kepentingan negara. Ini mempamerkan penyelesaian ‘Bisnes-like’ oleh Trump dalam menangani isu-isu geopolitik sekaligus mencerminkan mentaliti Trump sebagai seorang ahli perniagaan. Relevan bagi Trump, adakah relevan untuk masyarakat dunia? Mahunya, penyelesaian yang cepat dan efisen walaupun ia tidak konvensional atau menimbulkan kontroversi.

Namun, Trump seolah-olah lupa dengan kehadiran Rusia dan China. Umpama Trump bermimpi di siang hari, sudah semestinya Rusia dan China dapat menghidu langkah ini sebagai usaha AS untuk mengukuhkan legitimasi di Timur Tengah. Kedua-dua negara yang juga tunjang dalam sebuah gabungan kuasa baharu dunia BRICS ini, konsisten berpandangan penyelesaian dua negara adalah lebih baik, kerana ia tidak memaksa penduduk asal berpindah atau mengubah keadaan wilayah ikut suka hati. Cubaan Trump untuk memposisikan kuasa di rantau tersebut secara langsung bertentangan dengan kepentingan Rusia dan China.  Justeru, kegelojohan dalam tindakan Trump ini diambil sebagai peluang untuk mengecam dasar luar Amerika Syarikat dan menonjolkan sokongan terhadap perjuangan keamanan untuk rakyat Palestin.

Waima, sebuah lagi negara yang juga perlu diawasi Trump sebelum melakar angan-angan Mat Jeninnya di bumi Gaza, ialah Iran. Iran secara terang-terangan tidak bersetuju dengan pembangunan semula Gaza acuan Trump.  Iran secara sinis menempelak ucapan Trump yang memang berniat untuk  menghalau rakyat Gaza keluar dari tanah mereka supaya AS dan Israel mendapat laba hasil dari tindakan tersebut.  Oleh kerana Iran yang juga sebuah negara Islam, mempunyai sentimen persaudaraan sesama Muslim. Maka mereka merasa mempunyai tanggungjawab untuk melindungi rakyat Palestin.  Iran bahkan tidak juling atau buta untuk menilai 'Riviera Timur Tengah' ini sebagai sebahagian daripada agenda AS dan Israel untuk melemahkan perjuangan Palestin dan mengukuhkan hegimoni mereka di Asia Barat. Iran yang sememangnya galak berseteru dengan AS, pasti menghalang usaha ini dengan menggunakan semampu mungkin pengaruh mereka di rantau tersebut.

Natijahnya, cadangan Trump yang masih diawang-awangan ini menimbulkan tanda tanya besar, sejauh mana idea ini relevan ataupun tidak? Secara praktisnya, cadangan ini nampak mustahil. Kerana logiknya, Gaza bukan hanya sekadar kawasan geografi yang tak berpenghuni. Apa yang mungkin Trump terlepas pandang atau mungkin dirinya sedang mengalami sindrom penafian. Bahawa Gaza atau Palestin dilihat sebagai buffer state untuk kepentingan geopolitik antarabangsa. Sudah tentu ia bukan jalan mudah untuk membuat pemetaan kuasa baharu di kawasan ini. Tambahan ia juga adalah simbol perjuangan rakyat Palestin untuk keadilan dan hak asasi sepanjang zaman. Jadi, mimpi untuk membangunkan semula ia sebagai sebuah lokasi pelancongan mewah, tanpa menekuni isu-isu asas seperti hak tanah, kebebasan, dan keadilan hanya akan melebarkan jurang konflik yang tidak berkesudahan di Gaza.

Kesimpulan

Riviera of the Middle East sekilas pandang kelihatan indah secara kosmetiknya. Walaupun begitu, indah khabar dari rupa adalah bidalan yang tepat untuk memperlihatkan Amerika yang sedang menghantar signal kepada dunia, bahawa pendekatan dasar luar yang diamalkan kini tidak sensitif dan tidak berpijak di bumi yang nyata. Bumi Gaza tidak memerlukan pusat perjudian, gedung-gedung mewah atau hotel bertaraf lima bintang. Apa yang lebih mustahak bagi Gaza pada waktu ini adalah solusi kepada kebebasan dan keadilan hak ke atas konflik yang telah berlarut panjang. Paradoks Trump di bumi Gaza ini bukan sekadar merefleksikan kegagalan dasar luar Amerika ala Trump, tetapi juga mengingatkan kita tentang pentingnya pendekatan yang lebih manusiawi dan inklusif dalam menangani isu-isu global.

Rujukan

1.  Anderson, N. (2025, 27 Februari). Hamas responds to Trump’s AI Gaza video after president lauded gaudy vision of his “Riviera of the Middle East”. Daily Mail Online. https://www.dailymail.co.uk/news/article-14442039/Hamas-responds-Trump-AI-Gaza-video.html?citationMarker=43dcd9a7-70db-4a1f-b0ae-981daa162054

2.  Hellyer. H. A. (2025, 26 Febuari). Trump’s ‘Riviera of the Middle East’ Plan Fundamentally Misreads the Arab World. American Progress Online. https://www.americanprogress.org/article/trumps-riviera-of-the-middle-east-plan-fundamentally-misreads-the-arab-world/?citationMarker=43dcd9a7-70db-4a1f-b0ae-981daa162054

3.  EA Daily. (2025, 10 Mac). A slap in the face to Trump: the largest European countries have hooked the plan for the Middle Eastern Riviera. EA Daily. https://eadaily.com/en/news/2025/03/10/a-slap-in-the-face-to-trump-the-largest-european-countries-have-hooked-the-plan-for-the-middle-eastern-riviera?citationMarker=43dcd9a7-70db-4a1f-b0ae-981daa162054

4.  Collinson, S. (2025, 5 Febuari). Analysis: Trump’s Gaza “Riviera” plan is the most outlandish idea in the history of US Middle East Peacemaking | CNN politics. CNN. https://edition.cnn.com/2025/02/05/politics/trump-gaza-takeover-analysis/index.html?citationMarker=43dcd9a7-70db-4a1f-b0ae-981daa162054

5.  UK, H. M. W. (2025, 5 Febuari). “Riviera of the Middle East”: what does Trump’s Gaza plan mean for the region? Theweek. https://theweek.com/world-news/riviera-of-the-middle-east-what-does-trumps-gaza-plan-mean-for-the-region?citationMarker=43dcd9a7-70db-4a1f-b0ae-981daa162054

6.  Magid. J dan Berman. L. (2025, 5 Febuari). Trump: US will ‘take over’ Gaza, level it and create ‘the Riviera of the Middle East’. The Times Of Israel Online. https://www.timesofisrael.com/trump-us-will-take-over-gaza-level-it-and-create-riviera-of-the-middle-east/?citationMarker=43dcd9a7-70db-4a1f-b0ae-981daa162054

7.  “BRICS adalah sebuah gabungan beberapa negara yang dipelopori Brazil, Rusia, India, China dan South Africa bertujuan untuk membina dunia multipolar dalam kuasa politik, menjadikan institusi ekonomi alternatif yang lebih representatif, demokratik dan keluar dari lingkaran kuasa Barat.” Norton. B. (2024, 26 Oktober). BRICS grows, inviting 13 new ‘partner countries’ at historic summit in Kazan, Russia. Geopolitical Economy. https://geopoliticaleconomy.com/2024/10/26/brics-13-partner-countries-summit-kazan-russia/