All Articles

Pembunuhan Terancang: Sistem Penjara Palestin di Bawah Undang-Undang Baharu Israel

No tag assign.
8 min read
Written by
Khairul Yunus
Published on
April 8, 2026


Kelulusan undang-undang baharu oleh Parlimen rejim haram Israel, Knesset pada 30 Mac 2026 lalu tidak boleh dilihat sebagai pindaan teknikal dalam  sistem jenayah semata-semata, namun ia adalah satu titik perubahan yang mengalihkan pendekatan Israel daripada kawalan melalui penahanan kepada kawalan melalui hukuman mati. Rang Undang-Undang (RUU) ini memperkenalkan hukuman mati mandatori terhadap tahanan Palestin yang disabitkan kes ‘keganasan’, menjadikan hukuman tersebut sebagai norma baharu dan bukan lagi pengecualian.

Perubahan ini berlaku dalam konteks konflik yang telah lama bergantung kepada sistem penjara sebagai instrumen kawalan populasi. Namun, dengan kemunculan undang-undang ini, sistem tersebut kini menunjukkan kecenderungan bergerak ke arah yang lebih ekstrem, di mana penahanan bukan lagi titik akhir, malahan ia hanyalah sebahagian daripada proses sebelum hukuman yang muktamad dijalankan. Inilah yang menjadikan perkembangan ini signifikan. Ia mengubah fungsi sistem undang-undang dan hukuman itu sendiri

Peralihan Dasar Yang Ketara

Selama beberapa dekad, Israel secara praktikal tidak melaksanakan hukuman mati walaupun peruntukan tersebut masih wujud dalam undang-undang mereka. Kes terakhir yang sering dirujuk ialah pelaksanaan hukuman terhadap Adolf Eichmann pada tahun 1962. Sejak itu, hukuman mati berada dalam keadaan seolah-olah digantung penggunaannya, mencerminkan satu bentuk moratorium secara tidak rasmi. 


Namun, undang-undang baharu ini mengubah keadaan tersebut secara drastik. Hukuman mati kini bukan sahaja dibenarkan, bahkan dijadikan hukuman mandatori dalam kes tertentu yang jelas menyasarkan tahanan Palestin. Lebih penting, pelaksanaannya dipercepatkan dalam tempoh yang singkat selepas sabitan, tanpa ruang  untuk pengampunan. Perubahan ini menandakan peralihan daripada pendekatan bersifat simbolik kepada pendekatan operasional, di mana hukuman mati tidak lagi sekadar wujud di atas kertas, tetapi menjadi sebahagian daripada mekanisme aktif dalam sistem ‘keadilan’ atau hampir jelas dilihat sebagai modus operandi pembunuhan yang terancang.

Penahanan Tanpa Perbicaraan

Antara aspek paling kritikal dalam sistem ini ialah penggunaan penahanan tanpa bicara atau administrative detention, yang membenarkan individu ditahan tanpa perbicaraan terbuka. Melalui mekanisme ini, seseorang boleh ditahan selama enam bulan dan tempoh tersebut boleh diperbaharui tanpa had. Malah, dalam banyak kes, lanjutan penahanan dibuat berasaskan bukti yang tidak didedahkan kepada tahanan mahupun peguam mereka.


Amalan ini telah lama dikritik oleh organisasi antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Rights Watch sebagai pelanggaran prinsip asas keadilan, khususnya hak untuk mengetahui pertuduhan dan membela diri secara adil. Dalam keadaan di mana proses perbicaraan itu sendiri tidak telus, persoalan tentang keadilan menjadi semakin mendesak.


Implikasi ini menjadi lebih serius apabila dikaitkan dengan undang-undang hukuman mati. Jika hukuman paling berat dalam sistem undang-undang mula diamalkan dalam kerangka yang tidak menjamin perbicaraan yang adil, maka risiko ketidakadilan bukan sahaja meningkat, malah berpotensi menjadi amalan perundangan yang dinormalisasikan.

Hukuman Sebagai Instrumen Politik

Undang-undang ini juga perlu difahami dalam kerangka politik domestik Israel. Ianya didorong oleh barisan ahli politik berhaluan kanan yang melihat hukuman mati tersebut sebagai alat pencegahan terhadap ancaman keselamatan. Pemimpin parti politik berhaluan kanan seperti Itamar Ben-Gvir memainkan peranan penting dalam mempromosikan naratif bahawa hukuman mati mampu menghalang serangan. Itamar Ben G-Vir semasa ucapannya membahas isu ini di  Knesset menyatakan:

“Ini adalah hari pencegahan terhadap musuh-musuh kita… sesiapa yang memilih keganasan akan berdepan kematian.”

Namun, persoalannya — adakah hukuman mati benar-benar berfungsi sebagai mekanisme pencegahan ancaman keselamatan? Kajian antarabangsa menunjukkan bahawa tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan tersebut. Oleh yang demikian, naratif keselamatan yang dibalut dalam pelaksanaan undang-undang ini tidak lain hanyalah bertujuan sebagai alat propaganda semata-mata. Ia berfungsi untuk menghantar mesej ketegasan kepada masyarakat domestik, megukuhkan sokongan politik dan membentuk persepsi bahawa kerajaan bertindak tegas terhadap ancaman. Dengan kata lain, dalam konteks ini, hukuman mati berperanan sebagai simbol kuasa — bukan sekadar hukuman terhadap jenayah.


Risiko Kematian dalam Tahanan

Walaupun undang-undang ini secara formal tidak menyebut sasaran tertentu, pelaksanaannya hampir pasti tertumpu kepada tahanan Palestin. Ini disebabkan oleh struktur perundangan yang berbeza, serta bagaimana istilah keganasan dibingkaikan dalam konteks konflik ini. Tahanan Palestin lebih cenderung didakwa di bawah kategori tersebut, manakala warga Israel jarang menghadapi pertuduhan yang sama dalam kerangka yang setara.


Keadaan ini mewujudkan satu bentuk diskriminasi secara terang-terangan. Hukuman mati ini bukan sekadar hukuman terhadap perbuatan, tetapi mencerminkan bagaimana nilai kehidupan diukur secara berbeza dalam sistem yang sama. Ia memperlihatkan satu realiti di mana undang-undang berfungsi secara tidak seimbang dan akibatnya dirasai secara berbeza oleh kumpulan yang berlainan.


Pertembungan Dengan Undang-Undang Antarabangsa

Dari perspektif undang-undang antarabangsa, undang-undang ini menimbulkan pelbagai persoalan serius. Prinsip hak untuk hidup yang termaktub dalam pelbagai instrumen antarabangsa mengehadkan penggunaan hukuman mati kepada keadaan yang sangat terhad. Selain itu, pelaksanaannya melalui mahkamah tentera turut menimbulkan keraguan terhadap keadilan pembicaraan, khususnya dalam wilayah yang diduduki.

Konvensyen Geneva Keempat menetapkan bahawa penduduk di wilayah tersebut mesti diberikan perbicaraan yang adil tanpa diskriminasi. Ketiadaan ruang untuk pengampunan dalam undang-undang baharu ini pula bertentangan dengan prinsip keadilan jenayah moden. Oleh itu, tidak hairan apabila pelbagai pihak antarabangsa menimbulkan persoalan serius terhadap pematuhan Israel terhadap kewajipannya di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.


Implikasi Konflik dan Masa Depan

Dalam jangka pendek, undang-undang ini berpotensi meningkatkan ketegangan di Tebing Barat dan memperhebat gelombang tindak balas antara kedua-dua pihak. Ancaman hukuman mati boleh mencetuskan reaksi yang lebih agresif, sekali gus memperdalam konflik sedia ada.


Di samping itu, tekanan antarabangsa dijangka akan semakin kuat, termasuk kemungkinan cabaran di mahkamah dan forum global. Namun, dalam jangka panjang, implikasi paling besar ialah pengukuhan naratif bahawa konflik ini bukan sekadar pertikaian wilayah, tetapi melibatkan struktur undang-undang yang tidak seimbang dan bersifat diskriminasi.


Kesimpulan

Undang-undang hukuman mati terhadap tahanan Palestin tidak boleh dilihat secara terasing daripada agenda penindasan yang lebih besar. Ia bukan sekadar isu undang-undang jenayah, sebaliknya ia adalah sebahagian daripada evolusi sistem penahanan dalam konteks pendudukan yang berpanjangan.


Apa yang dipertaruhkan bukan hanya nyawa tahanan, tetapi juga prinsip asas keadilan, legitimasi sistem undang-undang dan masa depan sosial masyarakat Palestin. Dalam dunia yang semakin menolak kaedah hukuman mati, perkembangan ini memperlihatkan bahawa norma antarabangsa tidak sentiasa diterjemahkan secara konsisten, khususnya apabila berdepan konflik yang sarat dengan kepentingan politik dan keselamatan.