Pembunuhan Wartawan Palestin: Apakah Motifnya?

Perang genosid yang dilancarkan rejim Israel ke atas semenanjung Gaza sejak 7 Oktober 2023 masih berterusan hingga kini. Ia menjadi antara peperangan paling panjang dan tidak seimbang dalam sejarah konflik Arab-Israel yang sudah berlarutan lebih seratus tahun. Penjajah terus menyasarkan segala keupayaan dan sumber milik rakyat Palestin di mana sahaja, sambil mengangkat slogan: “Tangan panjang Israel mampu mencapai ke mana sahaja yang mengancamnya.” Oleh itu, mereka turut menjadikan penulis, penyair, pelukis, wartawan dan golongan profesional lain sebagai sasaran, kerana semuanya dianggap ancaman langsung terhadap kewujudan mereka.
Rejim Israel mengamalkan dasar keunggulan kualitatif — satu dasar yang memastikan mereka sentiasa lebih maju dan lebih kuat dari segi taktikal dan teknikal — di rantau ini dalam semua bidang. Dan hal ini diperkukuhkan lagi dengan penguasaan Amerika Syarikat ke atas dunia. Keadaan ini memberi ruang kepada pihak rejim untuk mencabuli segala undang-undang antarabangsa yang diiktiraf dalam keadaan damai mahupun perang. Antara bentuk serangan yang dilakukan rejim adalah pembunuhan moral terhadap rakyat Palestin dengan cara membungkam suara kebenaran yang mendedahkan penderitaan mereka — baik ketika pertempuran dan pencerobohan yang sedang dihadapi oleh pihak pejuang Palestin mahupun dalam kehidupan seharian yang penuh dengan sekatan ketat serta kepungan dari darat, laut dan udara.
Sepanjang tempoh perang yang sedang berlangsung ini, pihak rejim telah membunuh puluhan wartawan Palestin dan antara yang terbaharu ialah Saleh al-Ja’farawi. Sehingga saat ini, jumlah wartawan yang telah dibunuh mencecah 300 orang.
Dalam perang naratif yang sedang berlangsung, rejim penjajah berusaha untuk memutarbelitkan naratif Palestin serta mengekalkan dominasi naratif pihak penjajah sebagaimana yang berlaku sejak awal konflik. Namun, keteguhan rakyat Palestin menegakkan kebenaran melalui platform media sosial yang ada telah menyukarkan kedudukan penjajah di mata dunia. Justeru, keadaan ini mendorong rejim Israel untuk menubuhkan sebuah unit khas digelar The Legitimacy Cell — sebuah unit rahsia dalam tentera Israel dengan misi khas — selepas perang bermula. Melalui unit ini, penjajah telah mencipta bahan-bahan palsu yang kononnya menunjukkan adanya hubungan antara wartawan yang mereka bunuh dengan pihak pejuang Palestin.
Antara wartawan yang menjadi sasaran tersebut ialah Tamer al-Mishal, yang rumahnya telah diserang oleh rejim penjajah pada awal perang serta Wael al-Dahdouh, Ketua Biro Al Jazeera di Gaza, yang telah kehilangan beberapa orang ahli keluarganya akibat serangan penjajah. Baru-baru ini, koresponden Al Jazeera, Anas al-Sharif dan Muhammad Qurayqa, turut terkorban apabila khemah wartawan berhampiran Hospital al-Shifa di bandar Gaza diserang, bersama tiga lagi rakan wartawan mereka. Serangan ini telah mencetuskan gelombang kemarahan global terhadap rejim penjajah, khususnya kerana Anas al-Sharif dikenali sebagai wajah media yang berpengaruh di skrin dan dekat di hati penonton di seluruh dunia.
Di tengah-tengah usaha yang dijalankan oleh unit baharu rejim ini, salah satu sumber perisikan berkata:
“Apabila media antarabangsa melaporkan bahawa Israel telah membunuh wartawan yang tidak bersalah, segera akan ada usaha gigih untuk mencari seorang wartawan yang mungkin dianggap ‘tidak sepenuhnya bersih’ — seolah-olah tindakan itu boleh dijadikan alasan untuk membenarkan pembunuhan terhadap dua puluh wartawan lain.”
Melalui tindakan membunuh wartawan Palestin, rejim penjajah sebenarnya berusaha mencapai beberapa tujuan utama, antaranya:
- Melemahkan semangat juang rakyat Palestin yang menentang naratif rejim Israel dan menyokong perjuangan penentangan, sambil menggambarkan wartawan Palestin sebagai ‘pengganas’ yang bersembunyi di sebalik jaket dan topi kewartawanan, sehingga mereka dipandang hina oleh masyarakat dunia.
- Menakut-nakutkan media antarabangsa daripada menyiarkan kebenaran dengan menanam rasa gentar secara halus melalui pembunuhan wartawan Palestin, sehingga mereka akhirnya berundur daripada kerja-kerja yang mendokumentasikan jenayah rejim Israel.
- Memadamkan kebenaran, kerana rejim penjajah berusaha untuk menutup suara kebenaran yang semakin merosakkan imejnya sendiri, kononnya demokratik dan pencinta keamanan, khususnya di mata dunia Barat yang telah lama dipengaruhi oleh naratif; ‘Israel cintakan kedamaian dan rakyat Palestin adalah pengganas’.
- Menguasai naratif media, dengan melancarkan perang maklumat dan propaganda yang bergerak seiring dengan peperangan ketenteraan di lapangan.
- Mempengaruhi pandangan masyarakat antarabangsa dengan melemahkan penyebaran video dan gambar dari medan Gaza ke dunia luar. Tindakan ini melemahkan tekanan rakyat terhadap kerajaan masing-masing untuk mendesak rejim Israel secara diplomatik, sekali gus membantu rejim penjajah mengelak daripada sebarang pertanggungjawaban di bawah undang-undang antarabangsa, yang selama ini dianggapnya tidak terpakai ke atas diri mereka.
Pun begitu, media antarabangsa dan rakyat Palestin tetap tampil menentang penjajahan melalui pelbagai cara, termasuk melahirkan wartawan baharu setiap kali rejim penjajah membunuh wartawan dan mewujudkan proses penggantian segera di lapangan. Dalam hal ini, kita dapat lihat saluran Al Jazeera menonjol sebagai media yang tegas menentang penjajahan Israel dan naratifnya, serta konsisten menyokong rakyat Palestin dan perjuangan mereka.
Perkembangan ini semakin memperkukuh naratif rakyat Palestin dan pengaruhnya terhadap pandangan dunia, yang menyaksikan genosid dan pembunuhan beramai-ramai berterusan di Gaza sejak hampir dua tahun lalu. Dalam konteks ini, rakyat Palestin menjadi penentang utama terhadap dominasi media rejim, yang menggunakan kekuatan ketenteraan bagi melaksanakan pembunuhan terancang terhadap wartawan Palestin — satu bentuk serangan halus yang menyasarkan minda dan aliran maklumat.
Diterjemahkan oleh: Lia Maryam Faisal