Pendekatan Baharu Damsyik Terhadap Non-State Actor

Dua perkembangan yang berlaku hampir serentak di Syria ini pada mulanya mungkin dilihat sebagai dua peristiwa berasingan. Namun hakikatnya, kedua-duanya saling terhubung dan mencerminkan perubahan dasar yang sedang berlaku di Damsyik. Salah satunya adalah pengumuman Kementerian Dalam Negeri Syria baru-baru ini berkenaan kejayaan menggagalkan cubaan menyeludup senjata dan peluru berpandu merentasi sempadan Iraq yang dipercayai ditujukan kepada Hizbullah di Lubnan. Senjata tersebut disembunyikan di dalam sebuah lori tangki minyak mentah dengan menggunakan dokumen rasmi yang dipalsukan bagi mengelirukan pihak berkuasa mengenai destinasi sebenar penghantaran.
Pada masa yang sama, pentadbiran tentera Syria terus mengekalkan dasar yang telah dilaksanakan sejak kejatuhan Bashar al-Assad iaitu dengan mengehadkan sebarang kehadiran politik atau ketenteraan faksi-faksi Palestin di wilayah Syria. Malah, pemegang pasport Palestin kini turut diwajibkan mendapatkan kelulusan keselamatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan memasuki negara itu.
Kedua-dua pendekatan ini, iaitu memperketat kawalan terhadap sebarang aktiviti berkait dengan Hizbullah di sempadan dan mengehadkan aktiviti faksi-faksi Palestin di dalam Syria, bukanlah langkah yang diambil secara kebetulan atau bersifat terasing. Sebaliknya, kedua-dua langkah tersebut mencerminkan pendekatan baharu Syria dalam usaha membina semula negara, iaitu memastikan hanya negara mempunyai hak eksklusif untuk menggunakan kekerasan yang sah, tanpa mengira ideologi atau panji yang dibawa oleh mana-mana kumpulan bersenjata.
Apabila Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membangkitkan idea bagi menugaskan Syria untuk menangani Hizbullah secara ketenteraan menggantikan rejim Israel, cadangan itu seolah-olah menghidupkan semula model lama — Syria sebagai pemain serantau yang masuk campur tangan secara ketenteraan di wilayah negara jiran yang sedang bergolak. Namun, apa yang sedang dilaksanakan oleh Syria pada hakikatnya jauh lebih daripada itu. Presiden Syria, Ahmad al-Sharaa, sendiri menyifatkan kenyataan Trump seolah-olah menggambarkan bahawa tentera Syria akan memasuki Lubnan pada keesokan paginya. Namun, beliau menolak sebarang campur tangan segera. Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa peranan positif Syria perlu dilaksanakan melalui negara Lubnan (negara dengan negara) dan bukannya mengatasi skop negara.
Apa yang didedahkan melalui operasi di sempadan Iraq baru-baru ini merupakan manifestasi praktikal terhadap pendirian tersebut. Tiada mobilisasi ketenteraan dilakukan dan tiada medan perang baharu dibuka. Sebaliknya, operasi itu hanya melibatkan tindakan penguatkuasaan kastam dan keselamatan terhadap satu muatan senjata yang disembunyikan di sebalik dokumen rasmi bagi penghantaran minyak, yang dipercayai telah berlepas dari Iraq sembilan hari sebelumnya. Perbezaan antara kedua-dua pendekatan ini bukan sekadar pada tahap pelaksanaannya, tetapi pada sifatnya.
Pendekatan pertama berasaskan pemaksaan kedaulatan ke atas wilayah atau negara lain melalui penggunaan kekuatan secara langsung. Sementara pendekatan kedua pula menumpukan kepada pengurusan aliran rentas sempadan melalui mekanisme pemantauan dan pemeriksaan. Perbezaan asas antara kedua-dua pendekatan ini memberi ruang kepada Syria untuk membuktikan kelayakannya sebagai rakan yang dipercayai oleh AS, tanpa perlu menanggung risiko terjerumus ke dalam kancah perang proksi yang tidak menjanjikan jalan keluar serta membawa kos yang sukar ditanggung.
Apa yang lebih penting adalah logik ini tidak hanya terhad pada kawalan ke atas pergerakan rentas sempadan. Malah turut melibatkan pentakrifan semula hubungan antara negara dengan pelaku (actor) yang telah lama bertapak di wilayah tersebut sejak beberapa dekad lalu.
Sejak awal kejatuhan rejim Assad, pentadbiran tentera Syria telah memaklumkan kepada faksi-faksi Palestin tentang keputusan untuk melaksanakan pelucutan senjata secara menyeluruh. Semua senjata di kem-kem ditarik dan hanya senjata ringan dibenarkan untuk disimpan di pejabat-pejabat. Sementara pemakaian pakaian seragam tentera turut dilarang, termasuk dalam kalangan pengawal peribadi para pemimpin. Menjelang penghujung tahun 2024, aktiviti faksi-faksi ini telah berubah menjadi hampir sepenuhnya bersifat rahsia dan hanya dijalankan oleh sejumlah kecil anggota kecemasan sahaja kerana bimbang menjadi sasaran serangan rejim Israel dalam keadaan keselamatan yang masih rapuh.
Sementara itu, tekanan daripada AS pula dilihat telah memberikan legitimasi rasmi terhadap pendekatan ini. Antara lapan syarat yang dilaporkan sebagai prasyarat untuk menarik balik sekatan ke atas Syria adalah larangan menyeluruh ke atas semua kumpulan bersenjata dan aktiviti politik Palestin, selain pengusiran anggota-anggotanya. Sebagai respons, Syria menghantar satu memorandum yang mengesahkan penubuhan sebuah jawatankuasa bagi memantau aktiviti faksi-faksi Palestin serta komitmennya untuk tidak membenarkan sebarang senjata berada di luar kawalan negara. Dan pada Januari 2026, pendekatan ini dilengkapkan lagi dengan pelaksanaan syarat mana-mana pemegang pasport Palestin yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Palestin (PA) perlu mendapatkan kelulusan keselamatan terlebih dahulu sebelum memasuki Syria. Sementara pemegang dokumen pelarian Syria pula diberikan layanan yang setara dengan warganegara Syria yang lain.
Menariknya, pihak yang paling terkesan dengan perkembangan ini bukanlah HAMAS. Sebagaimana yang diketahui, gerakan ini telah menutup pejabat-pejabat cawangannya di Syria sejak 2011–2012 sebagai bantahan terhadap tindakan rejim Bashar al-Assad yang menindas revolusi Syria dan sebelum memindahkan pusat operasinya ke Doha. Malah, sehingga tahun 2022, HAMAS juga tidak menunjukkan sebarang hasrat yang serius untuk kembali ke Syria.
Sebaliknya, pihak yang paling menerima kesan daripada dasar baharu ini adalah gerakan pejuang Jihad Islami Palestin (PIJ), yang sejak sekian lama mempunyai hubungan institusi yang paling rapat dengan struktur pemerintahan Syria terdahulu serta hubungan yang kukuh dengan Tehran melalui Hajj Ramadan dan pegawai-pegawai cawangan Palestin dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC).
Justeru, keputusan Syria ini tidak wajar ditafsirkan sebagai suatu bentuk permusuhan semata-mata terhadap perjuangan Palestin. Sebaliknya, ia mencerminkan kesinambungan prinsip negara untuk memonopoli penggunaan kekerasan yang sah. Bezanya, prinsip ini kini diterapkan terhadap sebuah aktor bukan negara (non-state actor) yang sebelum ini menikmati ruang pengaruh dan autoriti tersendiri di dalam wilayah Syria dan bukannya sekadar menjadikan wilayah tersebut sebagai laluan transit. Inilah yang menjelaskan mengapa keputusan tersebut memiliki implikasi simbolik yang jauh lebih besar berbanding sekadar tindakan merampas atau menghalang penghantaran senjata yang melalui sempadan.
Dalam konteks ini, tanggapan umum bahawa Syria hanya mempunyai dua pilihan, iaitu sama ada memberikan sokongan sepenuhnya atau memutuskan hubungan sepenuhnya perlu dinilai semula. Sejarah sendiri menunjukkan bahawa wujudnya satu pendekatan pertengahan yang pernah diamalkan. Sebelum tahun 2011, pejabat HAMAS dan gerakan JIP di Kem Yarmouk bukan sahaja pernah berfungsi sebagai pusat aktiviti politik dan ketenteraan, malah turut mengendalikan pelbagai program kebajikan dan kemanusiaan, termasuk menyokong Kompleks Perubatan al-Khalsa serta menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan.
Berbeza dengan sebelum ini, dimensi politik dan ketenteraan kini telah disingkirkan sepenuhnya. Namun, keperluan kemanusiaan di kem-kem pelarian seperti Yarmouk, Palestin dan Khan al-Sheikh masih berterusan memandangkan proses pemulihan di kawasan-kawasan tersebut berjalan dengan perlahan. Keadaan ini memerlukan kewujudan pihak-pihak yang mampu menyalurkan bantuan kepada masyarakat setempat. Oleh itu, saluran bantuan kemanusiaan dan kebajikan dilihat sebagai senario yang paling realistik. Pendekatan ini membolehkan Syria mengekalkan imej bahawa ia tidak mengabaikan kebajikan pelarian Palestin, sementara HAMAS atau institusi kebajikan yang berkaitan dengannya masih dapat mengekalkan kehadiran secara simbolik dengan kos politik yang jauh lebih rendah. Namun, keadaan ini hanya dapat dikekalkan selagi semua aktiviti tersebut berada di bawah pemantauan keselamatan yang ketat dan tidak bertukar, sama ada dari segi realiti mahupun persepsi, menjadi saluran pembiayaan atau perekrutan yang boleh ditafsirkan sebagai pelanggaran terhadap komitmen Syria kepada AS.
Sementara itu, hubungan secara tidak rasmi atau saluran komunikasi tertutup bukanlah suatu kemungkinan baharu, sebaliknya telah lama menjadi sebahagian daripada realiti sedia ada. JIP tidak pernah benar-benar meninggalkan Syria dan kerajaan Syria sendiri tidak mempunyai keupayaan mahupun kepentingan untuk memutuskan hubungan risikan sepenuhnya dengan sebuah aktor yang masih beroperasi di dalam wilayahnya. Apa yang dilakukan oleh Syria sebenarnya adalah mengurangkan kadar hubungan secara ‘senyap’ dan bukannya dengan cara menghapuskannya sepenuhnya. Misalnya aktiviti secara terbuka digantung, tetapi saluran komunikasi yang tidak diumumkan kepada awam masih dikekalkan sebagai mekanisme pengurusan krisis dan bukannya sebagai simbolik kepada sebuah pakatan strategik yang terbuka.
Namun, dimensi yang paling signifikan dari sudut strategik adalah implikasi perkembangan ini terhadap struktur Paksi Penentangan (Axis of Resistance) itu sendiri. Syria bukan sekadar sebuah negara anggota yang berkongsi ideologi dalam paksi tersebut. Malah Syria pernah digambarkan oleh beberapa pegawai kanan Iran sebagai "rantaian emas" (golden link) yang menghubungkan Tehran dengan Lubnan dan Palestin. Kedudukan ini menjadikan Syria sebagai laluan darat yang menghubungkan rangkaian logistik, menyediakan kedalaman strategik serta menjadi ruang institusi bagi pengukuhan pengaruh politik paksi tersebut.
Justeru itu, penghapusan ketiga-tiga fungsi utama ini secara serentak, iaitu dengan menyekat kewujudan politik faksi Palestin, menghalang penghantaran bekalan ketenteraan melalui kawalan sempadan serta mengehadkan pergerakan individu telah mengubah paksi tersebut daripada sebuah rangkaian geografi yang bersambung kepada kelompok-kelompok yang terpisah dan hanya mampu berhubung melalui saluran rahsia yang jauh lebih rumit serta menelan kos yang lebih tinggi. Keadaan ini boleh diibaratkan seperti penyeludupan minyak yang kini tidak lagi dilakukan secara terbuka, sebaliknya melalui rangkaian perdagangan tersembunyi yang melibatkan pelbagai perantara. Begitu juga dengan penghantaran senjata, yang tidak lagi boleh dilakukan melalui kehadiran institusi yang diiktiraf, tetapi terpaksa bergantung kepada rangkaian sulit yang lebih kompleks.
Dalam konteks ini, langkah yang diambil oleh Syria, sama ada melalui kawalan sempadan mahupun penstrukturan semula hubungannya dengan faksi-faksi Palestin, dilihat bukan sekadar melemahkan satu komponen dalam Paksi Penentangan. Sebaliknya, ia berpotensi melucutkan kelebihan geografi yang selama ini menjadi faktor utama yang menyatukan paksi tersebut — iaitu keupayaan untuk mengekalkan laluan darat yang bersambung dari Tehran hingga ke Lubnan.
Diterjemahkan oleh: Lia Maryam binti Faisal
Penterjemah Arab-Melayu