All Articles

Perjanjian Gencatan Senjata antara HAMAS dan Israel: Akankah Terealisasi?

8 min read
Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
June 10, 2025

Pada 19 Januari 2025, kumpulan mujahidin Palestin dan penjajah Israel telah mencapai persetujuan gencatan senjata sementara melalui usaha pengantaraan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat (AS). Perjanjian tersebut dijangka membawa kepada gencatan senjata yang berkekalan. Namun, pada subuh 18 Mac 2025, pihak rejim penjajah telah melanggar perjanjian dengan melancarkan serangan terhadap kumpulan mujahidin. Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan dalam kalangan negara pengantara yang selanjutnya ‘memaksa’ mereka untuk segera campur tangan bagi meredakan keadaan dan memulihkan kembali komitmen gerakan mujahidin terhadap perjanjian tersebut.

Kumpulan mujahidin walau bagaimanapun mengambil pendekatan untuk melakukan serangan balas terhadap pelanggaran perjanjian tersebut dan menghadapi segala bentuk pencerobohan yang dilakukan oleh angkatan darat tentera rejim. 

Tidak lama kemudian, pihak rejim Israel mengumumkan rancangan ketenteraan darat baharu ke atas Gaza yang dikenali sebagai Merkava Gideon. Rancangan ketenteraan ini bertujuan untuk melaksanakan pencerobohan darat secara menyeluruh ke atas wilayah Gaza dengan matlamat: 

  1. Menghapuskan gerakan HAMAS yang dianggap sebagai teras utama gerakan perjuangan Palestin.
  2. Membebaskan tahanan Israel yang telah ditawan oleh Briged al-Qassam dan fraksi-fraksi mujahidin Palestin yang lain. 
  3. Mencapai kemenangan mutlak yang diidamkan oleh Benjamin Netanyahu dan kerajaan pimpinannya sekarang. 

Sebelum ini, negara pengantara telah menganjurkan beberapa kali rundingan bagi mengembalikan semula usaha dan fokus ke arah gencatan senjata, namun semuanya menemui jalan buntu. Sementara Qatar pula giat berusaha di bawah tekanan yang kuat daripada Amerika Syarikat supaya satu gencatan senjata sementara dapat dicapai yang diharapkan akan membawa kepada gencatan senjata yang berkekalan. Pada awalnya, HAMAS menolak cadangan tersebut di fasa awal rundingan, namun akhirnya menarik balik penolakan itu dan mengumumkan persetujuannya terhadap cadangan yang dibentangkan oleh Amerika Syarikat dalam rundingan yang berlangsung di Qatar.

Walau bagaimanapun, kenyataan yang dikeluarkan oleh Benjamin Netanyahu tidak senada dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh HAMAS. Malah, kenyataan yang dikeluarkan olehnya bercanggah sama sekali dengan bentuk persetujuan yang diumumkan oleh HAMAS, sambil menegaskan bahawa pihaknya tetap komited dengan matlamat perang tanpa sebarang kompromi. 

Meskipun berlaku percanggahan laporan mengenai pihak mana yang benar-benar bersetuju, beberapa sumber ketenteraan dan politik berpangkat tinggi di bawah pentadbiran Rumah Putih mengesahkan bahawa negara pengantara kini semakin hampir dalam usaha merapatkan jurang antara HAMAS dan rejim Israel dalam rundingan tersebut. Perkembangan ini dilihat sebagai langkah penting ke arah pemeteraian satu perjanjian baharu yang akan menyaksikan pembebasan 10 tahanan warga haram Israel daripada pihak mujahidin Palestin, sebagai pertukaran kepada gencatan senjata selama 70 hari serta pembebasan puluhan tahanan Palestin daripada penjara penjajah.

Adakah perjanjian ini akan terlaksana? Jika ya, adakah ia akan membawa kepada gencatan senjata kekal?

Sebenarnya, tidak mustahil perjanjian ini akan dimeterai dalam masa terdekat dan dilaksanakan mengikut syarat-syarat yang telah dipersetujui antara HAMAS dan pihak Israel, khususnya melihat kepada hasrat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, bagi meredakan ketegangan di Timur Tengah serta perubahan ketara dalam dasar luar Washington terhadap rejim Israel sepanjang tempoh pentadbirannya.

Perubahan ini turut membuka ruang kepada pendedahan terhad berhubung perkara tersebut, berdasarkan kenyataan beberapa pegawai kanan Rumah Putih kepada pegawai-pegawai Israel yang menyatakan hasrat AS untuk menamatkan perang. Ia disertai amaran bahawa kegagalan pihak rejim untuk berbuat demikian akan mengakibatkan pengunduran sokongan AS terhadap Israel. Amaran yang turut membawa ancaman ini merupakan satu risiko yang tidak mampu dipertaruhkan oleh Netanyahu, khususnya ketika mereka dalam keadaan kekurangan bekalan senjata AS dalam simpanan ketenteraannya pada masa ini, yang sehingga kini menjadi antara faktor utama yang membolehkannya meneruskan peperangan di Gaza.

Keyakinan AS juga berpegang pada pandangan bahawa peperangan yang berterusan kini bukanlah demi kepentingan negara haram Israel secara keseluruhan, sebaliknya demi kepentingan politik peribadi seorang individu sahaja, iaitu kepentingan Netanyahu. Secara dasarnya, AS dilihat tidak akan membenarkan keadaan perang ini berlanjutan bagi tempoh yang lebih lama. Tambahan pula, Netanyahu pernah menyatakan bahawa dia tidak mahu peperangan ini berlanjutan lebih daripada dua tahun, iaitu sehingga 7 Oktober 2025.

Walau bagaimanapun, sudah menjadi kelaziman bagi Netanyahu untuk mengulangi taktik-taktik lama. Belum selesai dengan satu strategi, dia akan kembali menggunakannya lagi selepas beberapa tempoh. Justeru, tidak mustahil Netanyahu akan menandatangani perjanjian yang kini sedang dirangka, namun besar kemungkinan ia mengkhianati selagi dia masih memegang tampuk kuasa, demi memastikan kelangsungan gabungan pemerintahannya.

Netanyahu juga dijangka akan meneruskan strategi peperangan berbentuk perang berlarutan terhadap mujahidin Palestin melalui serangan udara, bagi melemahkan keupayaan dan sumber daya kumpulan mujahidin, sebagaimana yang sedang dilakukan terhadap Hizbullah di Lubnan. Perkara ini pastinya akan menjadi faktor utama yang mendorong kumpulan mujahidin Palestin di Gaza untuk menolak, dan turut menjadi pertimbangan penting mereka sekiranya perlu menandatangani sebarang perjanjian pada masa akan datang.

Ringkasnya, perjanjian semasa ini dijangka tidak akan membawa kepada gencatan senjata kekal. Namun sekurangnya, ia hanya akan membantu meredakan pertempuran buat sementara, iaitu tidak lebih daripada 90 hari, sebelum pertempuran kembali meletus dan saling berbalas serangan antara mujahidin Palestin dan pihak rejim penjajah. Hal ini akan berterusan sehinggalah peraturan penglibatan baharu diwujudkan, meskipun dengan pertumpahan darah yang sangat besar telah ‘dibayar’ oleh rakyat Palestin. Lebih membimbangkan, mereka turut berisiko berdepan kelewatan dalam pelaksanaan projek-projek pemulihan dan pembangunan semula, di samping kesan sosial dan kemasyarakatan yang mungkin timbul akibat penangguhan gencatan senjata tersebut.


Diterjemah oleh: Lia Maryam