All Articles

Sekatan Operasi UNRWA, Malapetaka Baharu Musim Sejuk Penduduk Gaza

Written by
Sabrina Suhaimi
Published on
January 6, 2026


Realitinya, sepanjang musim sejuk di Gaza, suhu bukan sahaja jatuh sehingga boleh mencecah 5℃ - 6℃ malah suhu sejuk di sana turut menyebabkan banjir; dan sistem parit pula tidak cukup canggih untuk menampung kesan buruk cuaca sejuk. 

Berdasarkan data yang dikeluarkan pada 30 Disember 2025, lebih 56,000 keluarga di 464 lokasi di semenanjung Gaza terjejas dengan musim hujan lebat [1], pasca Ribut Byron pada awal Disember. Serangan yang dilancarkan rejim Israel bukan hanya memusnahkan kediaman dan universiti di semenanjung Gaza, tetapi menyebabkan sistem pengairan, sistem kumbahan dan rawatan air sisa juga hancur. Maka, tidak hairanlah rekod kemusnahan di wilayah terjajah itu mencapai lebih 80% sepanjang Taufan al-Aqsa sejak 7 Oktober 2023.

Jadi, apa yang berlaku?

Di sinilah berlakunya banjir yang bukan sahaja disebabkan hujan lebat, tetapi juga limpahan air sisa dan sisa kumbahan di hampir majoriti kawasan semenanjung Gaza. Ada pun sistem pengairan yang masih berfungsi tidak mampu untuk menghalang limpahan air sisa kerana pam yang sedia ada sudah uzur atau memerlukan bahan api sekurang-kurangnya 7,000 liter sehari. [2] [3]

Dalam menghitung hari-hari mendatang, banjir semakin keruh apabila khemah-khemah dan kawasan penempatan sementara penduduk Gaza seperti di Jabaliya dan Rafah dimasuki air, menyebabkan keadaan ‘rumah’ mereka sentiasa basah, lembab dan berlecak. Secara tidak langsung, penduduk Palestin di Gaza terdedah dengan pelbagai penyakit, termasuk bayi dan kanak-kanak mengalami hypothermia, serta penyakit berjangkit seperti kulit, mata dan pneumonia dalam pelbagai lapisan masyarakat kerana masalah kesukaran mengakses air bersih dan makanan yang bernutrisi. 


Sekatan Operasi UNRWA, Tali Gantung Penduduk Gaza

Keputusan Parlimen Israel, Knesset meluluskan sekatan ke atas sumber elektrik dan air terhadap Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) pada awal Januari 2026 telah memberi tamparan kepada komuniti antarabangsa yang selama ini gagal bertindak agresif menentang Israel. Lebih membimbangkan, tindakan terbaharu Israel sudah jelas memburukkan keadaan penduduk Palestin di Gaza, lagi-lagi sekatan ke atas lebih 30 buah badan bukan kerajaan (NGO) daripada menghantar bantuan kemanusiaan.

Alasan pentadbiran haram Israel, organisasi-organisasi kemanusiaan ini “failing to meet new requirement for operating war-devastated Gaza” dan mahu mengekang “exploitation of humanitarian frameworks for terrorism”. [4] Tindakan kerajaan haram Benjamin Netanyahu sungguh ironi kerana yang mengeksploitasi bantuan kemanusiaan itu, jika tidak tentera Israel, sudah tentu pasukan perompak Gaza yang menjadi agen Israel. 

Ini bukan kali pertama Israel ‘mencengkam’ leher penduduk Gaza. Pada 30 Januari 2025, dua undang-undang Israel – Sekatan Operasi UNRWA, yang mana pihak Israel dilarang berhubung dengan UNRWA; dan Sekatan Operasi UNRWA [5] di dalam wilayah haram Israel (termasuk Baitul Maqdis Timur yang dijajah) – berkuatkuasa.

Apa yang Israel mahu sebenarnya?

Tidak lain tidak bukan, mahu menekan orang Palestin sehingga mereka sendiri keluar dari Palestin secara rela. Jika mereka berdegil, maka peranglah jawapannya kerana itulah polisi Netanyahu sepanjang pemerintahannya.

Disebabkan itu jugalah Netanyahu berani untuk memasang cita mewujudkan The Greater Israel dan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump percaya Riviera of the Middle East dapat direalisasikan. Mereka tidak akan berhenti memerangi orang Palestin sehingga negara itu mencapai sifar rakyat asalnya, terutama yang didakwa sebagai HAMAS. 

NGO, UNRWA adalah nadi dan identiti rakyat Palestin

Sekatan ke atas 37 buah NGO tidak melibatkan Cinta Gaza Malaysia (CGM) kerana sekatan tersebut adalah bersasar. 

Menteri Hal Ehwal Diaspora Israel, Amichai Chikli memang terkenal dengan fokusnya terhadap menangani anti-Semitisme khayalan (imaginary antisemitism) dengan kerjasama parti-parti haluan kanan di seluruh dunia yang membawa nada anti-Semitisme. Melalui cara ini, Chikli mula membawa naratif fitnah ke atas organisasi antarabangsa yang sesuai dengan kehendaknya. Sebagai rekod, sejak diluluskan pada 2025, sesebuah organisasi boleh kehilangan lesennya jika dilihat sebagai agen mempromosikan pembatalan pengesahan Israel sebagai sebuah negara; jika stafnya didapati mempromosikan boikot ke atas Israel dalam tempoh 7 tahun sebelumnya; atau jika didapati menyokong tindakan undang-undang ke atas Israel di mahkamah luar atau antarabangsa. Organisasi-organisasi juga diminta untuk menyediakan senarai nama stafnya yang berkelahiran Palestin.

Kesannya, daripada 37 buah NGO yang disekat, Doctors Without Borders (MSF) dan Norwegian Refugee Council (NRC) adalah antara entiti yang disekat. Pada masa yang sama, Israel menuduh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) gagal mengumpulkan bantuan yang masuk ke Gaza walaupun sebenarnya ketenteraan Israel sudah menghadkan akses PBB ke atas bantuan tersebut. 

Sebelum ini, Israel mempromosikan Gaza Humanitarian Foundation (GHF), sebuah NGO yang disokong AS yang mana jelas tidak akan memberi impak positif ke atas penduduk Gaza sepanjang tempoh misinya. Walaupun mereka mendakwa telah mengedarkan lebih tiga juta kotak makanan [6], ia masih tidak cukup dan diragui. Manakan tidak, terlalu banyak berita buruk yang dilaporkan sejak penubuhan GHF, salah satunya seramai 2,000 penduduk Gaza dilaporkan maut kerana bersesak di dalam kerumunan manusia yang ingin dapatkan bantuan dan ada juga yang terbunuh ditembak rejim Zionis. 

Selepas lumpuhnya NGO yang disenaraikan bersama UNRWA, apa lagi yang penduduk Gaza boleh harapkan?

Musim sejuk yang membeku, terutamanya pada Januari di Gaza, tidak mustahil akan menyebabkan 2.1 juta penduduk Palestin ‘mati akal’ untuk mencari sumber asas untuk meneruskan kehidupan, baik untuk mengisi perut atau memanaskan badan.

Di sinilah peranan NGO-NGO lain, terutama dari Asia Tenggara seperti CGM, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (HALUAN), Cinta Salam Malaysia (CSM) dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) memainkan peranan, menampung gerak kerja yang tidak dapat dilaksanakan oleh entiti lain di Gaza, terutama ketika waktu genting seperti perang (kecemasan) dan musim sejuk. 

Sebagai organisasi yang bertapak di Gaza sejak 2014, CGM tidak pernah culas dalam memastikan bantuan kemanusiaan benar-benar sampai kepada para penerima. Walaupun pergerakan pasukan dan sukarelawan CGM di Gaza terhad kerana faktor cuaca yang menyebabkan mereka perlu memfokuskan kepada ahli keluarga terlebih dahulu, amanah para penderma seluruh dunia terutamanya di Malaysia dan Nusantara, tetap dilunaskan.

Pelbagai bentuk bantuan yang CGM telah salurkan kepada penerima manfaat seperti baju sejuk, selimut, khemah nylon, makanan panas, pek sayuran, susu, lampin bayi dan air bersih. Tidak cukup dengan itu, pasukan CGM juga membantu menubuhkan semula surau sementara, membuat pembersihan runtuhan bangunan dan baik pulih telaga air.

Secara tidak langsung, gerak kerja yang diusahakan CGM ini bukan hanya untuk menonjol di persada dunia tetapi saling memenuhi melengkapi tenaga dari pihak lain – seperti 37 NGO yang tidak dibenarkan membawa masuk bantuan kemanusiaan dan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) yang membantu pembersihan sekitar 1,000 tan sisa buangan setiap bulan [8]. Pada akhirnya, misi ini dijalankan di bawah payung kemanusiaan, menolak kepentingan diri demi kebangkitan ummah dalam mempertahankan Baitul Maqdis.

Rujukan:

[1] ‘Utterly preventable’ Gaza flood tragedy must mobilize global action to end Israel’s genocide. (December 2025). Amnesty International. https://www.amnesty.org/en/latest/news/2025/12/utterly-preventable-gaza-flood-tragedy-must-mobilize-action-to-end-israels-genocide/
[2] Relief Web. (30 December 2025). Gaza Humanitarian Response | Situation Report No. 56. https://reliefweb.int/report/occupied-palestinian-territory/gaza-humanitarian-response-situation-report-no-56
[3] 7,000 liter yang diperuntukkan sehari hanya untuk di Sheikh Radwan, Bandar Gaza sahaja
[4] Siddiqui, U. (31 December 2025). Which aid groups is Israel banning from Gaza now - and what will it mean?. AlJazeera. https://www.aljazeera.com/news/2025/12/31/which-aid-groups-is-israel-banning-from-gaza-now-and-what-will-it-mean
[5] Berg, K. G., Jensehaugen, J., & Takkenberg, L. (2025). The consequences and prospects of Israel’s ban of UNRWA. The Cairo Review of Global Affairs. Dipetik daripada https://www.thecairoreview.com/essays/the-consequences-and-prospects-of-israels-ban-of-unrwa/
[6] Al Jazeera Staff. (November 2025). US-backed GHF ‘aid mission’ in Gaza ends - a timeline of violence. Al Jazeera. Dipetik daripada https://www.aljazeera.com/news/2025/11/25/us-backed-ghf-aid-mission-in-gaza-ends-a-timeline-of-violence
[7] Al Jazeera Staff. (November 2025). US-backed GHF ‘aid mission’ in Gaza ends - a timeline of violence. Al Jazeera. Dipetik daripada https://www.aljazeera.com/news/2025/11/25/us-backed-ghf-aid-mission-in-gaza-ends-a-timeline-of-violence
[8]  Humanitarian Aid. (2 January 2026). Gaza aid lifelines under strain as winter worsens. UN News. Dipetik daripada https://news.un.org/en/story/2026/01/1166694