All Articles

Serangan al-Dahiyeh: Titik Perubahan dalam Pertembungan Tehran-Tel Aviv

Written by
Naim Ashraf Mushtaha
Published on
July 1, 2026

Di tengah-tengah peningkatan ketegangan serantau yang berlaku baru-baru ini, serangan rejim Israel ke atas kawasan al-Dahiyeh yang berada di selatan Beirut serta tindak balas langsung Iran selepas itu membawa implikasi yang jauh melangkaui sekadar operasi ketenteraan biasa. Perkembangan kali ini dilihat sebagai satu titik perubahan yang berpotensi membentuk semula percaturan pertembungan antara paksi yang dipimpin Iran dan rejim Israel.

Ketika laporan Memorandum Persefahaman (MoU) Islamabad semakin mendapat perhatian dan berpotensi menamatkan konflik sedia ada, persoalan utama yang muncul adalah, sama ada pertembungan ini telah melahirkan satu taktik persamaan cegah-rintang baharu (new deterrence equation) yang akan kekal selepas ketegangan reda atau ia hanyalah sekadar satu episod lain dalam konflik panjang yang masih belum jelas percaturannya?

Daripada Pertahanan Sekutu kepada Pertahanan Diri 

Sejak sekian lama, strategi rejim Israel berasaskan konsep pemisahan medan, iaitu dengan cara menyerang Hizbullah di Lubnan, kumpulan Houthi di Yaman atau fraksi-fraksi Palestin di Gaza tanpa mencetuskan serangan balas langsung daripada Iran. Justeru, strategi ini dilihat memberikan ruang yang luas kepada rejim Israel untuk menyasarkan apa yang dianggapnya sebagai ‘cabang-cabang’ paksi Iran dengan kos terkawal, sementara ‘pusat’ atau kepimpinan utamanya di Tehran kekal selamat; jauh daripada pertembungan langsung. 

Namun, serangan ke atas al-Dahiyeh dan tindak balas Iran melalui pelancaran peluru berpandu balistik yang menyasarkan Pangkalan Udara Ramat David — pangkalan yang didakwa menjadi lokasi berlepas pesawat yang menyerang Beirut — telah mengubah logik tersebut. Dalam hal ini, mesej Iran dilihat begitu direct dan jelas, bahawa sebarang serangan terhadap al-Dahiyeh akan dibalas dengan serangan terus menyasarkan rejim Israel. Dalam konteks ini, isu tersebut tidak lagi dilihat sekadar sebagai usaha mempertahankan Hizbullah, tetapi sebagai satu pentakrifan semula terhadap konsep keselamatan nasional Iran. Hal ini bermakna pada masa hadapan, al-Dahiyeh dan berkemungkinan Gaza serta Yaman juga dianggap sebagai garis merah strategik bagi Iran sebagaimana ia merupakan garis merah bagi sekutu-sekutu Tehran.

Lebih penting lagi, ketepatan serangan Iran yang menyasarkan Pangkalan Udara Ramat David —iaitu pangkalan yang digunakan untuk melancarkan serangan ke atas al-Dahiyah— memberikan petunjuk tentang tahap perkongsian risikan antara Tehran dan Hizbullah yang jauh melangkaui apa yang pernah kita tahu sebelum ini. Serangan itu menunjukkan kewujudan maklumat yang sangat terperinci mengenai rantaian arahan dan pelaksanaan operasi tentera rejim Israel, sesuatu yang lazimnya hanya dapat diperoleh melalui rangkaian risikan lapangan yang disepadukan dengan keupayaan strategik yang lebih tinggi.

Keadaan ini juga menggambarkan bahawa walaupun Iran dan Hizbullah mengalami kerugian besar sepanjang konflik tersebut, keupayaan kedua-dua pihak untuk berkongsi maklumat risikan dan penyelarasan operasi ketenteraan masih kekal berfungsi pada tahap yang tinggi. Justeru, hal ini menunjukkan ketahanan atau kekuatan struktur paksi ini lebih jelas daripada tanda-tanda kelemahannya.

Mojtaba Khamenei: Dari Bayangan kepada Doktrin

Strategi persamaan cegah-rintang baharu ini tidak akan dapat difahami sekiranya kita tidak meneliti perubahan yang berlaku di pucuk kepimpinan Iran. Mojtaba Khamenei, yang dipilih sebagai Pemimpin Tertinggi Iran ketiga dengan sokongan kuat Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) selepas kematian bapanya dalam satu serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel sebelum ini, telah dianggap mewakili corak kepimpinan yang berbeza secara dasarnya, berbanding kepimpinan sebelum ini. Ali Khamenei sebelum ini dikatakan mentadbir negara melalui keseimbangan yang teliti antara pelbagai arus politik, termasuk golongan reformis, konservatif dan IRGC, dengan setiap kelompok berfungsi sebagai pengimbang kepada yang lain. Pendekatan ini memberinya ruang fleksibiliti dalam mengurus hubungan luar dan krisis serantau.

Namun sebaliknya, Mojtaba yang naik ke tampuk kuasa, realitinya dalam keadaan suasana yang jauh berbeza. Beliau muncul ketika Iran berdepan situasi perang yang luar biasa. Dengan sokongan institusi yang lebih tertumpu daripada IRGC serta tanpa legasi keagamaan yang panjang seperti yang pernah dimiliki bapanya, yang selama ini menjadi sumber legitimasi politik dan agama yang tersendiri.

Atas sebab itu, penulis berpendapat adalah tidak tepat untuk melihat Mojtaba sebagai wajah rasmi yang sekadar melaksanakan keputusan IRGC tanpa pengaruh pendirian peribadi. Sebaliknya, pendekatan tegas yang ditunjukkannya dilihat bukan sekadar pilihan taktikal yang boleh dirunding, tetapi menjadi sebahagian daripada sumber legitimasi pemerintahannya. Dalam erti kata lain, komitmen terhadap strategi cegah-rintang baharu ini bukan sekadar manuver politik sementara, tetapi telah berkembang menjadi satu doktrin pemerintahan yang menyatukan kepentingan peribadi Mojtaba demi mengukuhkan legitimasi beliau dengan kepentingan IRGC sebagai institusi yang menyokong kenaikannya ke tampuk kuasa.

Berdasarkan analisis ini, faktor itulah yang telah menjelaskan mengapa butiran awal yang dikaitkan dengan MoU Islamabad dilaporkan mengandungi syarat-syarat yang tegas, termasuk mengaitkan isu penyelesaian konflik di Lubnan dengan rundingan yang lebih luas serta mengekalkan pendirian keras dan tidak berkompromi dalam isu nuklear Iran. Syarat-syarat ini menunjukkan bahawa Tehran memasuki rundingan daripada kedudukan strategik yang semakin kukuh hasil pelaksanaan strategi cegah-rintang baharu, bukannya daripada kedudukan yang lemah atau terpaksa mengalah. 

Netanyahu: Dilema Antara Perang dan Keamanan Bersama

Sementara itu, di pihak rejim Israel, strategi ini pula bertembung dengan krisis politik dalaman yang kian meruncing. Knesset telah meluluskan bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) untuk membubarkan parlimen dengan majoriti besar, iaitu 106 daripada 120 ahli, selepas salah satu parti ultra-Ortodoks Yahudi menarik sokongan terhadap kerajaan pimpinan Benjamin Netanyahu susulan pertikaian berhubung undang-undang kerahan tentera. Pada masa yang sama, tinjauan pendapat menunjukkan blok Netanyahu berdepan risiko kehilangan majoriti sekiranya pilihan raya diteruskan dalam masa terdekat, dengan blok pemerintah dijangka memperoleh 52 kerusi berbanding 58 kerusi bagi blok pembangkang.

Lebih penting lagi, Netanyahu dilihat berusaha menangguhkan pilihan raya selama mungkin, selain cuba menubuhkan sebuah suruhanjaya siasatan berunsur politik yang diketuai olehnya sendiri bagi menyiasat kegagalan risikan sebelum serangan 7 Oktober 2023 dan bukannya menyokong penubuhan suruhanjaya siasatan bebas di peringkat nasional. Menurut analisis, krisis kegagalan risikan sebelum 7 Oktober berpotensi menjadi ancaman yang jauh lebih besar terhadap masa depan politik Netanyahu berbanding sebarang serangan ketenteraan yang dihadapi rejim Israel.

Keadaan ini telah meletakkan Netanyahu dalam dilema. Di satu sisi, kesinambungan perang telah memberi ruang politik bagi menangguhkan tekanan dan tuntutan domestik, selain membolehkan dirinya muncul lalu dilihat sebagai pemimpin yang diperlukan ketika negara berada dalam keadaan darurat. Namun di satu sisi yang lain, sebarang perjanjian yang membawa kepada pengurangan ketegangan atau penamatan konflik di semua medan akan membuka semula persoalan-persoalan politik dalaman yang selama ini tertangguh.

Lebih mencabar, jika perjanjian damai dicapai dalam keadaan cegah-rintang, rejim Israel dilihat semakin terhakis termasuk selepas serangan Iran terhadap Pangkalan Udara Ramat David yang menurut analisis ini dianggap sebagai kejayaan separa Tehran. Perkara ini boleh digunakan oleh pihak pembangkang sebagai bukti tambahan kegagalan kepimpinan keselamatan Netanyahu. Dalam senario ini, sebarang usaha bagi menutup kontroversi berkaitan kegagalan 7 Oktober berkemungkinan tidak akan berjaya, malah boleh menambahkan lagi tekanan politik yang sedia dihadapinya.

MoU Islamabad: Pengurangan Ketegangan atau Tempoh Menunggu?

Perkembangan terkini menunjukkan bahawa Tehran dan AS semakin hampir untuk menukar gencatan senjata sedia ada kepada satu penyelesaian yang lebih berkekalan melalui MoU Islamabad. Berdasarkan maklumat yang tersebar, memorandum itu dijangka merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz, lanjutan gencatan senjata selama 60 hari serta pelonggaran bersyarat beberapa sekatan terhadap Iran. Bagaimanapun, ia dilaporkan tidak mengandungi sebarang peruntukan baharu berkaitan program nuklear Iran.

Namun begitu, wujud perbezaan ketara dalam cara kedua-dua pihak menggambarkan perjanjian tersebut. Washington melihatnya sebagai sebuah kejayaan diplomatik bagi Donald Trump, manakala Tehran pula menggambarkannya sebagai sebuah kemenangan nasional bagi Iran. 

Naratif berbeza sedemikian berlaku bukanlah perkara yang luar biasa dalam konflik serantau dan tidak semestinya menandakan kestabilan jangka panjang. Apa yang lebih penting adalah syarat utama yang dikemukakan oleh Tehran, iaitu mengaitkan sebarang perjanjian dengan penamatan konflik di Lubnan. Langkah itu dilihat sebagai manifestasi praktikal terhadap konsep penyatuan medan pertempuran yang semakin menjadi teras strategi Tehran.

Dalam kerangka tersebut, Tehran tidak dilihat sekadar mahu menamatkan konflik dengan kerugian minimum, sebaliknya berusaha menterjemahkan pencapaian ketenteraannya di lapangan—termasuk serangan ke atas Pangkalan Udara Ramat David serta peluasan sasaran kepada pangkalan tentera Amerika di Teluk—kepada komitmen politik yang diiktiraf secara rasmi.

Lubnan Sebagai Penanda Aras

Walau apa pun nasib MoU Islamabad, perkembangan di Lubnan dijangka kekal menjadi penanda aras utama untuk menilai sejauh mana kukuhnya strategi persamaan cegah-rintang baharu yang sedang cuba dibentuk oleh Iran.

Sekiranya operasi ketenteraan rejim Israel di selatan Lubnan masih diteruskan walaupun perjanjian yang merangkumi semua medan konflik berjaya dimeterai dengan Tehran, namun keadaan ini menunjukkan bahawa rejim Israel sama ada dengan sokongan atau sekurang-kurangnya tanpa bantahan daripada AS sedang berusaha mengelakkan strategi cegah-rintang tersebut dengan memisahkan semula medan Lubnan daripada konflik yang lebih luas. 

Dari perspektif Tehran, khususnya berdasarkan pendekatan yang dikaitkan dengan kepimpinan Mojtaba Khamenei, tindakan sedemikian berkemungkinan akan dianggap sebagai pencabulan terhadap strategi pencegahan baharu dan boleh mencetuskan tindak balas balas yang lebih keras, selaras dengan doktrin pencegahan yang sedang dibentuk Iran. 

Dalam erti kata lain, perjanjian yang dijangka dimeterai itu mungkin bukan penamat kepada konflik semasa, sebaliknya menjadi ujian pertama terhadap keberkesanan strategi cegah-rintang baharu yang berasaskan prinsip di mana setiap serangan terhadap sekutu Iran akan dibalas dengan serangan langsung terhadap rejim Israel.

Oleh itu, persoalan yang lebih penting bukanlah sama ada perjanjian itu berjaya ditandatangani, tetapi sama ada strategi pencegahan tersebut mampu bertahan apabila berdepan cubaan pertama Israel untuk mengatasinya. Jawapan kepada persoalan inilah yang akan menentukan sama ada Asia Barat benar-benar sedang memasuki fasa baharu keseimbangan cegah-rintang atau sekadar menikmati tempoh tenang sementara sebelum tercetusnya konflik yang lebih besar. 

Diterjemahkan oleh: Lia Maryam binti Faisal
Penterjemah Arab-Melayu