Seribu Hari Taufan al-Aqsa dan Evolusi Genosid Era Moden

Pada 3 Julai 2026, genosid di semenanjung Gaza telah memasuki hari ke-1,000 sejak ia bermula pada 7 Oktober 2023. Namun begitu, sehingga kini tiada satu pun isu teras yang menjadi punca utama konflik berjaya diselesaikan. Senjata masih belum dilucutkan, pendudukan rejim masih belum berakhir, proses pembinaan semula sedikit pun belum dimulakan dan pertanggungjawaban undang-undang terhadap jenayah rejim masih belum ditegakkan.
Justeru, angka 1,000 hari di sini bukanlah sekadar detik untuk diingati sebagai sebuah sejarah, sebaliknya menjadi titik penting dalam meneliti perubahan struktur peperangan itu sendiri. Hal ini dapat dilihat melalui peralihan daripada genosid yang dilakukan secara terbuka dan terang-terangan, kepada sebuah ‘projek’ yang dirancang dan diurus secara sistematik di bawah institusi antarabangsa, yang dijenamakan sebagai ‘keamanan’.
Daripada Genosid Terbuka kepada Genosid Bersistem
Berdasarkan statistik terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Gaza, setakat 3 Julai 2026 sahaja, lebih 73,000 rakyat Palestin direkodkan syahid termasuklah lebih 20,000 orang daripada angka itu adalah kanak-kanak. Angka ini sekaligus menyangkal naratif yang mendakwa bahawa ‘perang telah berakhir’ susulan perjanjian gencatan senjata pada 10 Oktober 2025. Lebih membimbangkan, lebih 1,000 rakyat Palestin dilaporkan syahid setelah pengumuman gencatan senjata berlaku akibat pelanggaran yang terus berlaku hampir setiap hari dan turut didokumentasikan oleh pelbagai organisasi antarabangsa.
Realitinya, genosid ini tidak pernah benar-benar berakhir. Sebaliknya hanya berubah dari segi mekanisme pelaksanaan. Jika sebelum ini pembantaian dilakukan melalui serangan pengeboman besar-besaran secara terbuka. Namun kini, ia diteruskan dalam bentuk ‘pelanggaran’ berulang kali yang setiap kali itu juga diberikan justifikasi atas alasan keselamatan setempat. Lalu akhirnya, tindakan itu dinormalisasikan sebagai realiti harian yang perlu dihadapi rakyat Palestin tanpa ada sebarang pertanggungjawaban ke atas rejim.
Apa yang lebih membahayakan daripada kesinambungan pembunuhan itu sendiri adalah strategi peluasan geografi yang berlaku secara berperingkat. Garisan kuning yang dikenali sebagai garisan pemisah pada awalnya, yang bertujuan mengehadkan pengunduran tentera rejim Israel daripada sekitar 58% keluasan di semenanjung Gaza, kini secara berperingkat berkembang menjadi penguasaan de facto ke atas lebih daripada 64% wilayah Gaza, menurut analisis laporan-laporan terkini.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa gencatan senjata bukanlah penamat kepada aktiviti ketenteraan, sebaliknya hanya menjadi payung rundingan yang membolehkan proses pengilhakan secara beransur-ansur diteruskan. Sempadan kawalan terus diubah di lapangan setiap beberapa minggu tanpa mengambil kira sebarang komitmen yang telah dipersetujui secara bertulis.
Dimensi Perundangan dalam Pengiktirafan Antarabangsa terhadap Genosid
Dari sudut perundangan dan norma antarabangsa, istilah genosid kini tidak lagi terbatas kepada wacana solidariti atau naratif organisasi hak asasi Palestin semata. Pada September 2025, Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai wilayah Palestin yang diduduki telah merumuskan bahawa pendudukan rejim Israel sememangnya telah melakukan genosid terhadap rakyat Palestin di semenanjung Gaza, di mana empat daripada lima perbuatan yang ditakrifkan sebagai genosid di bawah Konvensyen Pencegahan dan Penghukuman Jenayah Genosid 1948 sememangnya berlaku. Selain itu, PBB turut menegaskan bahawa beberapa pegawai kanan Israel wajar dipertanggungjawabkan atas dakwaan menghasut secara langsung kepada perlakuan genosid.
Kesimpulan ini muncul selepas dua organisasi dari dalam wilayah haram Israel, iaitu B’Tselem dan Physicians for Human Rights-Israel, pada Julai tahun yang sama menyifatkan siri ketenteraan rejim Israel sebagai suatu tindakan genosid. Malah, penilaian tersebut turut disokong dengan pengiktirafan daripada International Association of Genocide Scholars.
Kepentingan strategik daripada perkembangan ini bukanlah terletak pada setiap penemuan, tetapi pada kepelbagaian sumber institusi yang bebas antara satu sama lain. Dakwaan bahawa rejim Israel melakukan genosid tidak lagi hanya berdasarkan hujah moral atau pendapat individu semata, tetapi kini turut disokong oleh penilaian undang-undang dan dapatan daripada pelbagai institusi yang berwibawa. Oleh itu, dakwaan tersebut menjadi semakin kukuh dan lebih sukar untuk dinafikan atau dipertikaikan pada masa hadapan. Walau bagaimanapun, budaya bebas daripada hukuman (impunity) masih terus menjadi realiti politik semasa selagi tiada mekanisme penguatkuasaan yang mengikat bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
BOP Sebagai Instrumen Urus Tadbir Pemusnahan
Kenyataannya, Lembaga Keamanan (BOP) yang ditubuhkan melalui Resolusi 2803 Majlis Keselamatan PBB dan dipengerusikan oleh pentadbiran Amerika Syarikat (AS), bukanlah satu perkara terpisah daripada bentuk kawalan yang terdahulu. Sebaliknya, ia merupakan evolusi kepada kaedah penguasaan yang lebih tersusun. Jika sebelum ini penindasan bergantung kepada pengeboman secara langsung, kini mekanisme tersebut beralih kepada instrumen pentadbiran dan teknokratik yang jauh lebih terselindung.
Antara mekanisme yang digunakan termasuklah sekatan bekalan makanan sehingga menyebabkan kira-kira 77% penduduk Gaza berdepan tahap keterjaminan makanan yang kritikal, puluhan ribu pesakit termasuk sekitar 11,000 penghidap kanser, dihalang daripada mendapatkan rawatan di luar semenanjung Gaza, penangguhan projek pembinaan semula yang dianggarkan menelan belanja AS$70 bilion serta pengenalan konsep yang kabur dari sudut perundangan. Antara pengenalan konsep perundangan yang kabur ini adalah seperti komuniti alternatif selamat (alternative safe communities) tanpa sebarang kejelasan mengenai status undang-undangnya mahupun hak kebebasan pergerakan penduduk keluar dan masuk dari kawasan tersebut.
Corak ini hampir bertepatan dengan konsep biopower (kuasa biopolitik) yang dikemukakan oleh Michel Foucault. Menurut beliau, kuasa tidak hanya dilaksanakan melalui hak untuk membunuh secara langsung, tetapi juga melalui keupayaan menentukan siapa yang dibenarkan untuk terus hidup, dalam keadaan bagaimana mereka hidup dan siapa yang dibiarkan menghadapi kemusnahan secara perlahan-lahan melalui mekanisme pentadbiran dan birokrasi yang pada zahirnya kelihatan neutral.
Dalam konteks ini, BOP bukanlah suatu titik perubahan yang menandakan berakhirnya peperangan atau hadirnya keamanan. Sebaliknya, ia merupakan kesinambungan kepada peperangan dalam wajah pentadbiran yang lebih tersusun. Melalui pendekatan ini, genosid tidak lagi dilaksanakan semata-mata melalui tindakan ketenteraan secara terbuka, tetapi diteruskan menerusi suatu sistem tadbir urus yang mengekalkan kemusnahan secara berterusan, meskipun dibungkus dengan naratif keamanan, kemanusiaan dan kestabilan.
Dimensi Serantau: Fokus Utama Beralih daripada Gaza
Selain itu, konflik serantau yang melibatkan Iran turut mengubah perhatian masyarakat antarabangsa. Perkembangan seperti pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU), rundingan nuklear di Geneva dan pertukaran serangan berskala terhad pada Jun 2026 telah mengalih perhatian diplomatik dunia daripada Gaza. Akibatnya, ketika tumpuan antarabangsa telah beralih kepada krisis lain, rejim Israel terus mengukuhkan penguasaannya di lapangan dengan pengawasan dan tekanan antarabangsa yang semakin berkurangan.
Dari perspektif teori Realisme Ofensif yang diperkenalkan oleh John Mearsheimer, rejim Israel sebagai aktor paling dominan di peringkat serantau dengan sokongan penuh AS telah memanfaatkan perubahan fokus masyarakat antarabangsa ini kepada isu-isu yang dianggap lebih strategik seperti program nuklear Iran dan keselamatan Selat Hormuz. Keadaan ini hakikatnya telah membuka ruang kepada rejim Israel untuk mengukuhkan kedudukannya di Gaza dengan kos politik dan liputan media yang jauh lebih rendah. Dalam erti kata lain, peralihan fokus serantau ini bukanlah suatu kebetulan, tetapi merupakan peluang strategik yang dimanfaatkan oleh pihak yang mempunyai keupayaan paling tinggi untuk bertindak dengan pantas.
HAMAS: Antara Ketahanan Organisasi dan Tekanan Pelucutan Kuasa
Dalam masa yang sama, HAMAS masih mengekalkan kawalan de factonya ke atas sekitar 40% hingga 46% kawasan semenanjung Gaza, meskipun kepimpinan sayap ketenteraannya terus menjadi sasaran serangan pihak rejim, termasuk pembunuhan Izzuddin al-Haddad (Abu Suhaib), komander Briged al-Qassam di Gaza, pada Mei 2026. HAMAS masih dengan pendiriannya bahawa sebarang proses pelucutan senjata hanya boleh dipertimbangkan sekiranya disertakan dengan jaminan politik yang lebih menyeluruh, termasuk laluan yang jelas ke arah penentuan nasib sendiri rakyat Palestin. Sebaliknya, pihak-pihak yang menaja pelan keamanan ini menganggap pendirian tersebut hanyalah sebagai halangan utama kepada pelaksanaan "fasa kedua" pelan berkenaan.
Namun, kepentingan strategik di sebalik pendirian ini tidak boleh difahami semata-mata daripada sudut ideologi. Dalam realiti politik semasa, pihak yang menguasai senjata juga merupakan pihak yang memiliki kedudukan sebenar dalam menentukan masa depan Gaza. Justeru, meskipun kewujudan senjata membawa implikasi kemanusiaan yang amat besar terhadap penduduk awam, ia masih dianggap sebagai aset tawar-menawar terakhir yang dimiliki oleh sebuah aktor-bukan-negara yang sedang berdepan kepungan berterusan.
Prospek Pasca 1,000 Hari
Nikolay Mladenov, wakil PBB yang dipertanggungjawabkan memantau pelaksanaan pelan keamanan ini memberi amaran bahawa sekiranya situasi semasa terus berlarutan tanpa penyelesaian yang menyeluruh, garisan kuning berupaya untuk berubah menjadi tembok pemisah yang bersifat kekal. Menurut beliau, pada ketika itu Gaza secara efektifnya akan lenyap sebagai sebuah entiti yang memiliki geografi dan politik berdaya maju.
Amaran tersebut merumuskan hakikat sebenar fasa yang sedang dilalui ketika ini. Apa yang berlaku bukanlah suatu keadaan di mana peperangan telah berakhir dan keamanan telah bermula. Sebaliknya, suatu fasa peralihan antara ‘tiada peperangan’ dan ‘tiada keamanan’ (no war, no peace), yang secara beransur-ansur berubah menjadi suatu realiti kekal melalui peredaran masa dan pengukuhan mekanisme pentadbiran.
Dalam konteks ini, ukuran sebenar bagi 1,000 hari yang akan datang bukan lagi sekadar jumlah korban yang terus meningkat, tetapi sejauh mana struktur antarabangsa baharu, yang diwakili oleh BOP dan Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) mampu beralih daripada sekadar menjadi instrumen yang membekukan konflik pada suatu titik keseimbangan yang menguntungkan pihak paling dominan kepada mekanisme yang benar-benar menangani punca-punca struktural konflik termasuk pendudukan, kepungan serta ketiadaan laluan politik yang jelas ke arah penentuan nasib sendiri rakyat Palestin.
Sehingga matlamat tersebut dapat direalisasikan, gencatan senjata di Gaza dari sudut analisis semata-mata boleh difahami sebagai kesinambungan genosid yang diteruskan melalui kaedah yang lebih terselindung, kurang mendapat perhatian, namun berpotensi menghasilkan kesan yang lebih berpanjangan.
Diterjemahkan oleh: Lia Maryam binti Faisal
Penterjemah Arab-Melayu