All Articles

Tragedi Nakbah: Pertarungan Makna

Written by
Khairul Yunus
Published on
May 15, 2026

Nakbah sering difahami sebagai tragedi pengusiran besar-besaran rakyat Palestin pada tahun 1948. Dalam peristiwa itu, lebih 750,000 rakyat Palestin dipaksa meninggalkan tanah air mereka, ratusan kampung dimusnahkan dan sebuah bangsa telah dipaksa hidup dalam diaspora yang panjang. Namun, memahami Nakbah sekadar sebagai kisah pelarian dan kehilangan rumah sebenarnya terlalu naif. Hakikatnya, Nakbah hanyalah sebahagian daripada episod agenda penjajahan Israel. Ia merupakan projek terancang perampasan tanah dan bakal mengubah makna pada tanah Palestin itu sendiri.

Jika ditelusuri sebelum Palestin dikenal sebagai wilayah konflik, tanah ini sudah pun sekian lama menyimpan makna yang sangat besar dalam sejarah dan peradaban manusia. Merujuk kepada sejarah Islam, wilayah yang merangkumi Baitul Maqdis ini memiliki kedudukan yang sarat dengan nilai kesucian dan kenabian. Kota ini mulia kerana ada hubungannya dengan peristiwa Israk Mikraj, kiblat pertama umat Islam dan kawasan yang disebut dalam al-Quran sebagai tanah yang diberkati. 

Apa yang menjadikan Palestin lebih unik ialah kerana wujudnya kepelbagaian komuniti dan agama dalam satu wilayah yang sama. Baitul Maqdis merupakan kota sakral bagi tiga agama samawi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi. Sebab itulah, pertembungan terhadap simbol, sejarah dan legitimasi tidak boleh dipisahkan jika berbicara soal perebutan di wilayah ini.

Selain  mempunyai kedudukan istimewa dari sudut pandang agama, Baitul Maqdis juga mempunyai fungsi yang sangat signifikan dalam geopolitik antarabangsa. Lokasinya yang sangat strategik, menjadikannya sebagai titik pertemuan benua, laluan perdagangan dan medan persaingan kuasa-kuasa besar dunia sejak berabad-abad lamanya.

Sehubungan dengan itu, Nakbah boleh difahami sebagai titik perubahan besar sejarah. Palestin yang suatu ketika dahulu berkembang sebagai ruang persilangan tamadun, perlahan-lahan diubah menjadi wilayah yang dipenuhi pagar dan tembok pemisah. Ternyata, rejim penjajah moden ini tidak hanya datang bersama kereta kebal dan tentera, tetapi juga membawa kesungguhan untuk memaksa perubahan terhadap cara dunia melihat Palestin.

Seribu satu cara digunakan untuk Israel mencapai ‘cita-citanya’. Antaranya, bahasa dijadikan alat dalam membentuk persepsi dunia. Wilayah ini pada asalnya masyhur dengan panggilan Bayt al-Maqdis, al-Ard al-Muqaddasah dan al-Ard al-Mubarakah, yang merujuk kepada tanah suci dan tanah keberkatan. Malangnya, dalam landskap geopolitik hari ini, ia lebih kerap dipersembahkan melalui istilah seperti ‘wilayah konflik’, ‘wilayah dipertikai’ dan ‘zon keselamatan’. Bahasa ini secara tidak langsung, semakin dinormalisasikan untuk memadam ingatan manusia terhadap peradaban yang pernah ada di sana.

Di sinilah letaknya dimensi Nakbah yang sering terlepas pandang. Nakbah cenderung difahami sebagai pengusiran fizikal, sedangkan realitinya adalah proses pemutusan secara paksa hubungan antara suatu bangsa dengan sejarah dan identiti tanah mereka. Gerak kerja kejam rejim Zionis ini diterjemahkan melalui tindakan konkrit mereka. Satu per satu nama kampung dipadam daripada peta, nama Arab ditukar istilahnya dan generasi baharu cuba dipisahkan daripada memori asal usul mereka. Dari sini, jelas untuk kita menilai bahawa Nakbah (bencana) ini adalah sebuah proses yang berterusan dan berkembang kepada suatu bentuk penindasan yang terancang.

Sebab itu, penjajah moden seperti Israel sentiasa memberi perhatian besar terhadap tanah dan demografi. Dalam konteks Palestin, projek penempatan haram Israel, kawalan sempadan dan pembinaan tembok pemisah, sering kali dicanang atas alasan ‘langkah keselamatan’. Walhal inilah sebahagian daripada usaha pembentukan semula imej Palestin. Gaza menjadi bukti nyata, bagaimana manusia boleh diasingkan daripada dunia luar melalui sekatan berpanjangan. Tebing Barat pula dipaksa melalui sistem permit, pusat pemeriksaan dan siri perampasan tanah yang berterusan.

Apa yang berlaku ini sangat berbeza dengan beberapa fasa dalam sejarah Baitul Maqdis, yang lebih bersifat terbuka dan inklusif suatu masa dahulu. Ketika zaman pemerintahan Islam di bawah Khalifah Umar al-Khattab dan selepasnya era Salahuddin al-Ayyubi, masyarakat Kristian dan Yahudi diberikan jaminan keselamatan serta kebebasan untuk terus menetap dan mengamalkan agama masing-masing.  Masyarakat dapat hidup bersama secara harmoni dan meraikan kepelbagaian kepercayaan dan budaya.

Berbeza dengan pemerintahan kolonial yang bergerak dari arah yang bertentangan. Mereka justeru membina jurang sosial dan mengamalkan politik eksklusif yang memisahkan manusia berdasarkan identiti dan etnik. Perkongsian tanah tidak berlaku dengan adil. Kebebasan dinikmati secara sepihak sementara pihak yang lain dikepung oleh hegemoni politik yang tidak pernah mempedulikan undang-undang antarabangsa.

Perang di Gaza selepas 7 Oktober 2023 menunjukkan kepada dunia skala kemusnahan yang amat dahsyat. Kemusnahan besar-besaran kawasan awam, cadangan pemindahan keluar rakyat Gaza dan usaha penghapusan etnik telah menghidupkan semula perbahasan tentang ‘Nakbah kedua’. Buat pertama kalinya, dalam tempoh perlawanan yang panjang, masyarakat dunia mula melihat bahawa persoalan Palestin bukan lagi soal konflik sempadan atau isu keselamatan. Ia adalah persoalan besar tentang bagaimana sebuah bangsa dipisahkan daripada tanah, sejarah dan identitinya secara kejam.

Tamparan ini sekali gus menyedarkan kita betapa gagalnya dunia selama ini memahami situasi sebenar sebuah negara yang tertindas. Istilah “konflik” seolah-olah menggambarkan pertembungan dua pihak yang setara, sedangkan hakikatnya di situ wujud sebuah ketidakseimbangan kuasa yang sangat ketara antara penjajah dan masyarakat yang dijajah. Sebab itu, istilah seperti aparteid, pencerobohan tanah dan pembersihan etnik semakin banyak digunakan dalam perbahasan antarabangsa untuk merujuk isu Israel-Palestin hari ini.

Mungkin inilah sebabnya Palestin tidak pernah sunyi dari wacana dan perbahasan berkaitan hak dan kedaulatan negara. Kerana persengketaan yang berlaku di sana bukan sekadar pada isu sempadan atau kuasa, sebaliknya turut membawa kepada pertarungan makna sebuah tanah. Sama ada Palestin akan terus dikenang sebagai tanah barakah yang kaya dengan sejarah dan peradabannya, atau dibiarkan tenggelam dan dirampas identitinya akibat naratif yang dibentuk oleh sekumpulan manusia yang percaya bahawa mereka adalah insan terpilih untuk menduduki tanah yang dijanjikan.