All Articles

Trumpisme, Popularisme dan Fasisme Era Trump 2.0

Written by
Khairul Yunus
Published on
April 18, 2025

Era pentadbiran kedua Donald Trump, yang sering dirujuk sebagai Era Trump 2.0, menandakan satu babak penting dalam evolusi politik global. Kembalinya Donald Trump ke tampuk kuasa telah mencetuskan perubahan besar yang melangkaui sempadan Amerika Syarikat, dengan menimbulkan kesan bebenang yang nyata terhadap struktur ekonomi, dinamika politik, dan jalinan hubungan antarabangsa.

Kemunculan Trump 2.0 adalah cerminan perubahan serius dalam politik global, di mana Trumpisme, popularisme, dan fasisme menjadi alat untuk mengukuhkan kuasa dan pengaruh pemerintah Amerika Syarikat (AS). Walaupun pendekatan ini ‘mungkin’ memberikan manfaat jangka pendek kepada ekonomi dan politik domestik, ia juga membawa risiko besar kepada kestabilan global dan hubungan antarabangsa. Dunia kini berada dalam dilema, di mana pilihan yang dibuat oleh pemimpin global seperti Trump akan menentukan situasi masa depan sesebuah negara.

Trump menjadi salah satu sosok pemimpin dunia masa kini yang mempunyai kutub pemikirannya yang tersendiri. Dari situlah maka terlahir sebuah istilah pemikiran yang dinamakan Trumpisme. Trumpisme, berakar dari slogan "Make America Great Again" (MAGA). Sebuah slogan politik yang menekankan nasionalisme ekonomi, unilateralisme (pendekatan sepihak) dalam dasar luar, dan penolakan terhadap norma-norma diplomasi konvensional. Waima, dasar "America First" sering kali digunakan sebagai pendekatan diplomasi berasaskan transaksi, yakni hubungan antarabangsa melalui perkiraan untung-rugi secara langsung dalam hubungan ekonomi strategik.

Trumpisme dalam era Trump 2.0 ini dilihat memanifestasikan dirinya melalui pendekatan ekonomi yang protectionist dengan menjaga pasaran domestik dan mengenakan tarif yang tinggi kepada barangan import. Polisi yang dibawakan seperti pemotongan cukai korporat dan individu, serta perletakan tarif yang tinggi terhadap barangan import, bertujuan untuk merangsang ekonomi domestik Amerika Syarikat.

Namun, langkah-langkah ini juga mencetuskan ketegangan ekonomi dengan rakan dagang utama lain, terutama China yang menjadi fokus dalam perang dagang yang dilancarkan oleh pentadbiran Trump pada 2 April 2025. Meskipun strategi ini mungkin memberikan lonjakan ekonomi jangka pendek, tapi terdapat juga kebimbangan. Hal ini, akan menimbulkan reaksi terhadap gangguan pada rantaian bekalan global, peningkatan kos pengguna, dan dampak negatif terhadap pertumbuhan ekonomi dunia secara keseluruhan.

Manakala, popularisme lebih mudah difahami sebagai strategi politik yang  banyak bergantung pada aksi-aksi yang bersifat populis. Antara idea populis Trump tidak lama selepas menduduki kerusi Presiden kali ke-2 adalah menamakan semula Teluk Mexico kepada Teluk Amerika, berhasrat membeli Greenland, mengambil alih kawalan Teluk Panama dan menjadikan Kanada sebagai negeri ke-51 AS. 

Pendekatan populis Trump ini seperti kebiasaan akan menggunakan retorik untuk memancing emosi dan sentimen golongan kelas pekerja dan konservatif. Selain itu, turut dilaungkan dalam kempennya adalah naratif anti-elit dan anti-globalisasi untuk membina sokongan yang kuat dalam kalangan pengikutnya. Namun, pendekatan ini dikritik oleh penganalisis politik kerana dilihat sebagai gimik politik yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat melalui polarisasi politik yang ekstrem dan penyebaran maklumat yang salah.

Popularisme yang menjadi landasan politik Trump telah mengubah lanskap politik di Amerika Syarikat. Retorika America First dan penekanan pada kepentingan nasional berjaya memperkuatkan penyokong teras dalam kalangan golongan konservatif dan kelas pekerja. Malangnya, inilah sebenarnya yang juga melahirkan kekhuatiran yang signifikan mengenai potensi peningkatan autoritarianisme di zaman Trump 2.0 ini. 

Kerisauan terhadap autoritarian atau penggunaan kekuasaan eksekutif yang lebih mencengkam, serangan terhadap kebebasan media, dan usaha untuk melemahkan institusi-institusi demokratik menjadi perhatian utama. Tambahan, Trump juga galak membangkitkan sentimen anti-imigran dan memberi penekanan yang kuat pada identiti nasional, yang telah memburukan lagi perpecahan sosial dan konflik politik dalam masyarakat Amerika.

Pun begitu, populis dianggap sebagai strategi politik yang efektif dalam memobilisasi dukungan rakyat. Perkara ini menunjukkan adanya ketidakpuasan yang meluas terhadap status quo dan elit politik konservatif di berbagai negara. Hal ini, tidak terlepas dari hakikat yang sama seperti yang berlaku di AS sekarang. 

Seterusnya, kecenderungan fasis atau fasisme dalam konteks Era Trump 2.0. Fasisme dalam konteks ini tidak semestinya merujuk kepada ideologi fasis klasik, tetapi lebih kepada penggunaan kuasa secara autoritarian untuk mencapai matlamat politik. Ini termasuk usaha untuk mempengaruhi naratif media, mempersoalkan legitimasi institusi demokratik seperti sistem kehakiman dan proses pilihan raya. Trump mutakhir ini, semakin selesa dengan gaya ini dengan memperkukuhkan pengaruh politiknya melalui dasar-dasar kontroversial dan retorik nasionalistik yang eksklusif.

Sehubung itu dalam perspektif hubungan antarabangsa, Era Trump 2.0 memperkenalkan gaya diplomasi transaksional yang mengutamakan keuntungan sepihak semata berbanding memelihara hubungan rakan diplomatik dan kerjasama multilateral dengan pihak lain. Sebagai contoh idea Riviera of the Middle East, yang mana Trump berimpikan Gaza sebagai sebuah kawasan pelancongan mewah yang dikuasai Amerika. Walaupun ditentang Liga Arab, AS terus berprinsip untuk menjayakan perancangan ini walau dengan apa cara sekalipun. 

Selain itu, keputusan untuk menarik diri dari Perjanjian Iklim Paris sebagai sebuah perjanjian antarabangsa,yang berkomitmen menangani perubahan iklim, juga menunjukkan trump tidak lagi mahu berkomitmen dari sudut dana untuk menangani krisis dunia. Tambahan, Trump turut mempersoalkan relevansi dan sumbangan sekutu NATO. Semua ini cukup memberi gambaran corak kepimpinan Trump 2.0 yang penuh kontroversi dan bersifat ke’aku’an

Pergeseran ini telah mengubah cara negara-negara berinteraksi. Sehinggakan setiap perjanjian dan pemilihan rakan diplomatik dinilai berdasarkan kepentingan ekonomi dan kepentingan strategik untuk kemapanan ekonomi nasional terlebih dahulu. Huru-hara ekonomi politik ini adalah risiko yang bakal menghakis kepercayaan dunia terhadap keadilan antarabangsa yang selama ini berteraskan hukum dan peraturan yang lazim.

Era Trump 2.0 bukan hanya sekadar perubahan kepimpinan di Amerika Syarikat, ia juga merupakan manifestasi dari trend global yang lebih luas menuju nasionalisme, proteksionisme dan populisme. Kebangkitan Trumpisme, dengan penekanannya pada kedaulatan nasional dan ketidakpercayaan terhadap institusi multilateral, memecahkan dominasi liberalisme yang sekian lama digunapakai sejak pasca Perang Dingin. 

Implikasi jangka panjang dari trend ini masih belum sepenuhnya terlihat. Namun, jelas bahawa negara-negara lain harus cepat beradaptasi dengan landskap politik global yang kian berubah. Diplomasi yang lebih berhati-hati, pengukuhan perikatan di peringkat regional, dan fokus pada kerjasama multilateral dalam isu-isu global seperti perubahan iklim dan kesihatan umum perlu dirangka dengan strategis.

Kesimpulan

Era Trump 2.0 adalah sebuah kerancuan politik dunia berpunca dari perubahan dasar dalam politik AS. Trumpisme, popularisme, dan fasisme muncul sebagai spektrum politik yang signifikan dalam membentuk penerapan dasar domestik Amerika Syarikat dan dasar hubungan luarnya. Meskipun pendekatan ini mungkin menawarkan keuntungan jangka pendek dalam dimensi ekonomi dan politik domestik bagi sebahagian pihak, tapi ia juga membawa risiko yang kritikal terhadap kestabilan global, peraturan dunia yang berteraskan hukum perundangan dan hubungan antara negara. Dunia saat ini berada pada titik persimpangan yang pentingl, di mana pilihan dan tindakan para pemimpin kuasa besar dunia akan menentukan halatuju masa depan politik dan kerjasama antarabangsa. Analisis yang berterusan dan respon terhadap dasar yang dilaksanakan oleh adi kuasa ini perlu bijaksana dan pastinya akan  mencorakkan peta hubungan ekonomi politik  era baru dunia masa kini.