All Articles

Two State Solution VS Two State Illusion

Written by
Khairul Yunus
Published on
November 7, 2025


Pendahuluan

Lebih tujuh dekad konflik Palestin–Israel menjadi luka yang tidak pernah sembuh dalam sejarah kemanusiaan moden. Setiap kali rundingan damai dibangkitkan, dunia akan mengulang satu frasa yang seolah-olah menjadi mantera diplomasi: Two-State Solution atau Solusi Dua Negara.

Namun, setelah lebih tiga puluh tahun sejak Perjanjian Oslo ditandatangani pada tahun 1993, keamanan yang dijanjikan masih tidak kunjung tiba. Sebaliknya, yang muncul ialah dua realiti yang jauh berbeza. Israel yang semakin melata dan Palestin yang terus diratah oleh penindasan.

Kini, semakin ramai sarjana dan pemerhati dunia Islam menyebut bahawa apa yang dinamakan Solusi Dua Negara itu bukan lagi sebuah solusi, tetapi lebih tepat dikatakan sebagai Two-State Ilusion (Ilusi Dua Negara) iaitu ilusi politik yang menutup wajah sebenar penjajahan.


Solusi Dua Negara atau Ilusi Dua Negara?

Istilah Ilusi Dua Negara adalah kritik yang menggambarkan kegagalan mendasar idea Solusi Dua Negara. Ia membayangkan bahawa keamanan yang diimpikan sebenarnya hanyalah bayangan yang dicipta untuk melanjutkan status quo kolonialisme.

Ilusi pertama ialah ilusi kesamarataan. Dunia sering digambarkan bahawa Palestin dan Israel ialah dua pihak setara yang hanya perlu mencari titik temu. Hakikatnya, satu pihak ialah penjajah bersenjata nuklear, manakala satu lagi ialah bangsa tertindas yang kehilangan tanah, sempadan dan kedaulatan.

Ilusi kedua pula ialah ilusi masa depan. Perjanjian demi perjanjian kononnya menjanjikan negara Palestin merdeka suatu hari nanti, namun hari itu tidak kunjung tiba. Sementara dunia menunggu, penempatan haram terus bertambah, tembok pemisah semakin melebar dan Gaza kekal menjadi penjara terbuka terbesar di dunia.

Bak kata sarjana Palestin tersohor, Edward Said:

“Oslo bukan perjanjian damai, tetapi pelanjutan kolonialisme melalui diplomasi.”


Dari Peace Process ke Justice Process

Sekian lama, rundingan Palestin–Israel terikat dalam kerangka Peace Process, proses damai yang berasaskan kompromi, bukan keadilan. Kini wacana baharu muncul dengan istilah Justice Process, yakni proses yang berpaksikan prinsip pemulihan hak (restorative justice) dan  penyahjajahan (decolonization).

Tiga tiang utama pendekatan ini ialah:

  1. Pemulihan Hak Asal (Restoration of Rights) – termasuk hak kembali pelarian Palestin seperti yang termaktub dalam Resolusi 194 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

  2. Penyahjajahan (Decolonization) – menolak semua bentuk penempatan haram dan apartheid sistemik yang melanggar undang-undang antarabangsa.

  3. Kesetaraan Insan (Equality of Citizenship) – menyeru kepada satu entiti demokratik yang memberi hak sama rata kepada semua warga antara Sungai Jordan dan Laut Mediterranean.

Pendekatan ini tidak menolak keamanan, tetapi menegaskan bahawa tiada keamanan tanpa keadilan.


Anti-Tesis: Dari Pertikaian Sempadan ke Prinsip Keadilan

Skeptikal terhadap Solusi Dua Negara bukan bererti menolak keamanan, tetapi menolak kerangka palsu yang menjadikan keadilan sebagai korban politik.

Dalam pandangan Islam, asas perdamaian ialah kebenaran dan keadilan. Firman Allah SWT dalam Surah al-Ma’idah ayat 8:

“Wahai orang yang beriman! Hendaklah kamu menjadi orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menjadi saksi dengan kebenaran. Dan janganlah kebencian kamu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu untuk tidak berlaku adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih hampir kepada takwa.”

Ayat ini menjadi asas kepada fahaman bahawa keamanan sejati tidak dapat lahir dari kompromi terhadap kezaliman. Apa yang diperlukan bukan sempadan baharu, sebaliknya adalah keadilan yang memulihkan maruah manusia.

Maka lahirlah gagasan Restorative Palestine Framework iaitu sebuah kerangka keadilan yang berasaskan pemulihan hak, penamatan apartheid (dasar pemisahan kaum) dan pengembalian kedaulatan rakyat asal.


Dunia Islam dan Suara Global South

Kegagalan doktrin dua negara telah membuka mata banyak negara di Selatan Global (Global South). Malaysia, Indonesia, Afrika Selatan, Bolivia dan Turki kini lantang menolak pendekatan yang menormalkan penjajahan.

Di Malaysia, prinsip ini jelas melalui pendirian konsisten kerajaan dan gerakan masyarakat sivil yang memperjuangkan Palestin. Inisiatif seperti Sumud Nusantara di bawah penganjur Global Sumud Flotilla yang diterajui oleh Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan kempen BDS (Boycott, Divestment, Sanctions) menegaskan bahawa solidariti bukanlah soal simpati semata, tetapi soal moral dan tanggungjawab kemanusiaan.

Inilah wajah baru perjuangan Palestin. Bukan sekadar perbincangan isu pembahagian wilayah, tetapi melihat soal ujian nilai kemanusiaan dan integriti peradaban manusia.


Mengapa Israel dan HAMAS Sama-Sama Tidak Berhajat Kepada Solusi Dua Negara

Menariknya, kedua-dua pihak utama dalam konflik ini iaitu Israel dan HAMAS, sebenarnya sama-sama tidak percaya akan Solusi Dua Negara.

Kerajaan Israel di bawah pimpinan Benjamin Netanyahu menolak idea negara Palestin berdaulat, bahkan terus memperluas penempatan haram di Tebing Barat. Parti Likud, parti yang diwakili Netanyahu juga secara rasmi menganggap tanah Palestin sebagai tanah warisan Yahudi yang tidak boleh diserahkan. Sejak 1977 hingga 2025, ideologi Parti Likud tidak pernah berganjak dari asas nasionalisme wilayah dan teologi Zionisnya.

Apa yang berubah hanyalah konteks geopolitik dan cara penyampaiannya dari retorik ‘damai dengan keselamatan’ ke tindakan praktikal ‘penempatan dan kawalan keselamatan penuh.’ Piagam Parti Likud 1977 ada menyatakan pendirian ini secara jelas:

“Hak bangsa Yahudi terhadap tanah Israel adalah kekal dan tidak dapat dipertikaikan, serta berkait rapat dengan hak untuk keamanan dan keselamatan. Oleh itu, wilayah Judea dan Samaria tidak akan diserahkan kepada mana-mana pentadbiran asing; di antara Laut Mediterranean dan Sungai Jordan hanya akan ada kedaulatan Israel semata-mata.”

HAMAS pula menolak Solusi Dua Negara atas dasar prinsip. Bagi mereka, menerima pembahagian tanah bermakna mengiktiraf penjajahan dan menafikan status Palestin sebagai tanah waqaf Islam. 

Prinsip ini boleh dilihat jelas melalui perkara 20 dalam Document of General Principles and Policies (dokumen dasar baharu HAMAS) yang diumumkan pada 1 Mei 2017.

“HAMAS berpendapat bahawa tiada bahagian mana pun daripada tanah Palestin boleh dikompromi atau dipersetujui, tidak kira apa sebabnya, keadaan atau tekanan dan tidak kira berapa lama penjajahan itu berlangsung. HAMAS menolak apa-apa alternatif selain pembebasan penuh Palestin, daripada sungai hingga ke segara. Walau bagaimanapun, tanpa menjejaskan penolakan terhadap entiti Zionis dan tanpa melepaskan sebarang hak Palestin, HAMAS menganggap penubuhan sebuah negara Palestin yang sepenuhnya berdaulat dan merdeka, dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kotanya menurut sempadan 4 Jun 1967, beserta pemulangan para pelarian dan orang-orang yang dipindahkan ke rumah-rumah mereka yang telah diusir, sebagai satu formula konsensus kebangsaan.”

Maka, kedua-duanya walau dari sisi berbeza berpandangan bahawa Solusi Dua Negara bukan jalan penyelesaian yang praktikal menurut ideologi masing-masing.

Solusi Dua Negara: Mitos Damai dan Propaganda

Konsep Solusi Dua Negara mula diperkenalkan secara rasmi oleh PBB menerusi Resolusi 181 (1947) yang mencadangkan pembahagian Palestin kepada dua negara, Arab dan Yahudi.

Resolusi PBB 242 (1967) kemudian memperkukuh kerangka ini dengan prinsip land for peace dan Perjanjian Oslo (1993) memformalkannya dalam rundingan damai antara Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) dan Israel. Dunia Barat menamakannya ‘realistik’, sedangkan bagi Palestin ia adalah kompromi yang mencabuli hak orang asal.

Realitinya:

  • Israel terus menguasai lebih 85% tanah Palestin dengan tembok pemisah dan penempatan haram yang bertambah saban tahun.

  • Tebing Barat kini menjadi wilayah terpecah kepada kawasan A, B, C, di mana hanya 18% berada di bawah kawalan penuh Palestin.

  • Gaza, yang kononnya bebas, sebenarnya menjadi penjara terbuka terbesar di dunia, yang dikawal melalui darat, laut dan udara oleh negara haram Israel.

Solusi Dua Negara ini tidak lebih dari hanya sekadar slogan atau propaganda perdamaian, kerana tidak adapun wujud ‘negara’ untuk Palestin dalam struktur kuasa yang sebenar hingga ke hari ini.

Rujukan

Said, E. W. (1994). The politics of dispossession: The struggle for Palestinian self-determination, 1969–1994. Pantheon Books.

Pappé, I. (2017). Ten myths about Israel. Verso Books.

Khalidi, R. (2020). The hundred years’ war on Palestine: A history of settler colonialism and resistance, 1917–2017. Metropolitan Books.

Amnesty International. (2022). Israel’s apartheid against Palestinians: Cruel system of domination and crime against humanity. Amnesty International Ltd. https://www.amnesty.org/en/documents/mde15/5141/2022/en/

United Nations. (2023–2024). Reports on the occupied Palestinian territories. United Nations Office for the Coordination of Humanitarian Affairs. https://www.ochaopt.org

Institute for Palestine Studies. (2017). Hamas: Document of general principles and policies. Journal of Palestinian Studies, 28(111), 212. https://www.palestine-studies.org

Lippman, T. W. (2020, May 18). How Israel’s Likud Party played the long game toward annexation of the West Bank. Responsible Statecraft. Quincy Institute for Responsible Statecraft. https://responsiblestatecraft.org/2020/05/18/how-israels-likud-party-played-the-long-game-toward-annexation-of-the-west-bank/