
Pengarah Kompleks Perubatan al-Shifa di Gaza, Dr. Mohammed Abu Salmiya memberi amaran bahawa Gaza kini berdepan krisis kesihatan dan kemanusiaan yang semakin kritikal apabila peningkatan kes kekurangan zat makanan, penularan wabak penyakit, kekurangan ubat-ubatan serta kerosakan infrastruktur kesihatan. Keadaan yang meruncing itu mendorong sistem perubatan di Gaza ke ambang keruntuhan.
Menurut beliau, hospital-hospital di Gaza kini beroperasi melebihi 130 peratus daripada kapasiti sebenar. Kadar peratusan yang tinggi itu disebabkan rekod puluhan mangsa syahid dan cedera setiap hari, termasuk kanak-kanak yang mengalami kecederaan serius sehingga memerlukan amputasi anggota badan. Situasi itu diburukkan lagi dengan sekatan terhadap bekalan ubat-ubatan dan peralatan perubatan asas.
Berdasarkan laporan organisasi antarabangsa, kira-kira 1.6 juta penduduk Gaza sedang berdepan dengan ancaman kebuluran dan kekurangan zat makanan, termasuk 74,000 kanak-kanak yang mengalami pelbagai tahap malnutrisi, serta 25,000 wanita hamil yang berisiko mengalami anemia yang serius.
Beliau berkata keadaan hidup yang semakin merosot di kem-kem pelarian akibat gangguan bekalan elektrik, pencemaran sumber air dan ketiadaan kemudahan penyejukan telah mencetuskan peningkatan kes jangkitan usus, keracunan makanan, penyakit kulit dan cacar air. Difahamkan kira-kira 5,000 kes direkodkan setiap minggu tanpa bekalan vaksin dan rawatan yang mencukupi.
Pada masa yang sama, sekitar 70 peratus ambulans di Gaza tidak lagi dapat beroperasi akibat kekurangan tayar, alat ganti dan minyak pelincir. Kelompongan kemudahan tersebut menjejaskan usaha memindahkan mangsa cedera, pesakit serta jenazah di seluruh wilayah.
Dr. Abu Salmiya turut memaklumkan bahawa kira-kira 4,000 pesakit kanser kini tidak lagi menerima rawatan kemoterapi dan seramai empat hingga lima kematian setiap hari daripada rekod tersebut. Beliau turut mendedahkan bahawa pesakit dialisis buah pinggang berdepan dengan krisis kesihatan akibat kekurangan hormon dan suplemen penting. Manakala kanak-kanak penghidap diabetes tidak lagi mempunyai akses kepada pen insulin sehingga ramai dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat komplikasi.
Sehubungan itu, beliau menggesa masyarakat antarabangsa supaya segera campur tangan dengan membuka laluan sempadan dan memastikan bantuan perubatan serta bantuan kemanusiaan dapat disalurkan ke Gaza. Menurutnya, petugas kesihatan kini semakin sukar memberikan rawatan yang diperlukan bagi menyelamatkan nyawa mangsa dan pesakit.
Sumber: PALM Strategic Initiative Center, P.N News