Pejabat Media Kerajaan Gaza mendedahkan bahawa tentera Israel telah menggugurkan lebih 100,000 tan bahan letupan ke atas semenanjung Gaza dan membunuh lebih 62,000 rakyat Palestin sejak bermulanya serangan besar-besaran pada 7 Oktober 2023.
Menurut kenyataan rasmi, angka korban termasuk lebih 10,000 individu yang masih terperangkap di bawah runtuhan, dengan nasib mereka kekal tidak diketahui.
Pihak berkuasa tempatan menuduh Israel melakukan lebih 12,000 pembunuhan beramai-ramai, termasuk 11,926 kematian ahli keluarga Palestin, yang mengakibatkan penghapusan sepenuhnya 2,200 keluarga dari rekod awam dan 6,350 individu dipadamkan daripada daftar penduduk.
Selain itu, tentera Israel dilaporkan turut mencuri 2,300 mayat dari kubur, dan membuat tujuh kubur besar di kawasan hospital. Setakat ini, hanya 529 mayat berjaya diperolehi semula.
Kenyataan itu turut menekankan krisis kesihatan awam yang kritikal, dengan lebih 2.1 juta kes penyakit berjangkit dilaporkan akibat pemindahan paksa, tempat perlindungan yang sesak, dan keruntuhan sistem kesihatan Gaza. Antaranya termasuk 71,338 kes hepatitis yang sedang menular dalam kalangan penduduk yang terjejas.
Pejabat Media Gaza menggesa komuniti antarabangsa untuk segera campur tangan dan menamatkan apa yang mereka anggap sebagai kempen pemusnahan sistematik terhadap rakyat Palestin.
Sumber: Middle East Monitor